36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 28: Fitnah Ke Atas Tok Guru, Ulama’ dan Masyarakat.

 

Ketika cuba menghujahkan amalan memuji Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan ayat terakhir surah al-Isra’, pihak ASSSDK 57 menyebut:

Sudah menjadi amalan kepada Tok-Tok Guru Pondok dan masyarakat kita, apabila selesai sahaja daripada solat fardhu……..

Demikian juga apabila cuba menghujahkan “lafaz istighfar yang popular” pihak ASSSDK 60 menyebut:

Di Malaysia kita, di antara lafaz istighfar yang biasa digunakan oleh para ulama’ kita dan menjadi ikutan masyarakat dan generasi kita sejak turun temurun ialah lafaz:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ.

 

Kritikan:

Kenyataan di atas menimbulkan beberapa persoalan:

  • Benarkah tok-tok guru pondok menggantikan zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan zikir pilihan mereka sendiri?

  • Benarkah tok-tok guru pondok tidak tahu lafaz doa selepas makan dan bangun tidur?

  • Benarkah tok-tok guru pondok menganggap zikir-zikir selepas solat yang diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bukan merupakan pujian kepada Allah?

  • Benarkah masyarakat juga menggantikan zikir Rasulullah, tidak tahu lafaz doa selepas makan dan bangun tidur serta menganggap zikir-zikir selepas solat bukan merupakan pujian kepada Allah?

  • Benarkah para ulama’ dan masyarakat generasi turun temurun menggantikan zikir istighfar selepas solat dari أستغفر الله kepada أستغفر الله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه ?

Sudah tentu tidak.

 

Apa yang benar adalah, ia hanya merupakan amalan sebahagian tok guru pondok, ulama’ dan masyarakat. Tindakan pihak ASSSDK menyebut tok guru pondok, ulama’ serta masyarakat secara umum memberi pengertian ia adalah amalan keseluruhan mereka. Ini adalah satu strategi licik pihak ASSSDK untuk memperoleh keyakinan para pembaca. Padahal ia adalah satu fitnah kerana bukan semua tok guru pondok, ulama’ dan masyarakat mengamalkan sesuatu yang menyelisihi sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Sebahagian mereka – tok guru pondok, ulama’ dan masyarakat – benar-benar berusaha untuk beristiqamah di atas sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka berusaha untuk mengkaji dalil yang sahih dan memahami serta mengamalkannya di atas manhaj yang betul. Seterusnya mereka berusaha untuk menyebar dan mengajarnya.

Terhadap sebahagian tok guru pondok dan ulama’ yang menyelisihi sunnah, tanggungjawab kita ialah membetulkan mereka dan bukan mengikuti mereka. Janganlah kita menjadi umpama kaum Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang menyembah para ulama’ dan rahib mereka sebagaimana yang disinggung oleh ayat berikut:

 

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا

 

لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

 

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah, dan (juga mereka mempertuhankan) al-Masih putera Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah (Allah) Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. [al-Taubah 9:31]

 

Sembahan yang dilakukan oleh Ahli Kitab kepada para ulama’ dan rahib sehingga dihukum syirik oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala bukanlah dengan beribadah kepada mereka tetapi dengan mengikuti apa yang diajar oleh mereka sehingga mengenepikan kitab Taurat dan Injil. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan hal ini:

 

أَمَا إِنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا يَعْبُدُونَهُمْ وَلَكِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا أَحَلُّوا لَهُمْ شَيْئًا اسْتَحَلُّوهُ وَإِذَا حَرَّمُوا عَلَيْهِمْ شَيْئًا حَرَّمُوهُ.

Sesungguhnya mereka tidak menyembah orang alim dan rahib itu akan tetapi mereka, apabila orang alim dan rahib itu menghalalkan sesuatu bagi mereka, mereka ikut serta menghalalkannya. Apabila orang alim dan rahib itu mengharamkan sesuatu ke atas mereka, mereka (ikut serta) mengharamkannya.[1]

 

Hendaklah kita umat Islam mengambil iktibar daripada ayat dan hadis di atas. Sekalipun ayat di atas membicarakan sikap kaum Ahli Kitab, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah meletakkannya di dalam al-Qur’an agar ia menjadi iktibar ke atas umat Islam.

Peranan tok guru, ulama’ dan para agamawan ialah menyampaikan al-Qur’an dan al-Sunnah dengan pemahaman dan manhaj yang betul. Mereka adalah penyampai dan bukannya penggubal.[2] Seandainya sebahagian daripada mereka memperalatkan ayat al-Qur’an dan/atau hadis untuk menggubal ajaran tersendiri, maka hendaklah kita menegur mereka. Janganlah kita berbuat syirik dengan menyembah – yakni mengikuti secara membuta apa saja yang mereka ajar dan amalkan.

Jangan terperanjat jika sebahagian tok guru, ulama’ dan agamawan menjadi agen kepada pemikiran dan amalan bid’ah. Kejahilan, ikutan nafsu dan keinginan memperoleh sanjungan masyarakat menjadi faktor mengapa mereka mencipta bid‘ah dalam agama. Maka atas faktor-faktor itu, mereka menjadikan hadis yang tertolak sebagai hujah, menggunakan nas umum untuk amalan khusus, meletakkan nas yang betul di tempat yang salah dan menakutkan orang awam daripada membuat kajian sendiri kerana bimbang akan terbongkar kesalahan mereka. Maka hendaklah kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar Dia menemukan kita dengan para tok guru, ulama’ dan agamawan yang beragama kerana Allah.

Demikianlah juga, sesuatu amalan yang telah menjadi kelaziman masyarakat turun temurun bukanlah hujah dalam agama. Menjadikannya sebagai hujah ialah manhaj yang salah dalam beragama, umpama orang-orang kafir yang pernah dikritik dalam al-Qur’an:

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا

 

أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

 

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (al-Quran), dan kepada Rasul-Nya (al-Sunnah)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk? [al-Maidah 5:104]

 

Manhaj yang benar ialah sentiasa peka menganalisa amalan masyarakat, sekalipun yang sudah turun temurun. Ambil apa yang benar, betulkan apa yang salah.


 

 


[1]               Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 3095.

[2]               Pengecualian diberikan dalam perkara yang memerlukan ijtihad, seperti persoalan yang wujud pada masa kini yang tidak disentuh secara terperinci oleh al-Qur’an dan/atau al-Sunnah. Maka di sini para agamawan memiliki peranan menggubal, iaitu mengijtihadkan hukum dan solusi berdasarkan kaedah-kaedah Ushul al-Fiqh seperti qiyas dan lain-lain.