36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 29: Kepentingan Merujuk Kepada Kitab Asal (1).

 

Dalam rangka membela lafaz istighfar popular:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ.

 

sebagai zikir selepas solat fardhu, pihak ASSSDK 61 mengemukakan beberapa hadis bagi menyatakan betapa besar fadhilatnya. Namun kesilapan terus berlaku pada hadis pertama yang mereka kemukakan:

Hadis yang pertama ini telah disebut al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya Fathu al-Baari semasa menyebutkan ungkapan zikir dan istighfar Rasulullah ketika berada di tempat tidur. Hadis ini merupakan riwayat Imam al-Tirmizi daripada Abi Sa’id dan beliau telah menghukumkan Hadis ini sebagai Hadis hasan, katanya:

 

مَنْ قَالَ حِين يَأْوِي إِلَى فِرَاشه : أَسْتَغْفِر اللَّه الَّذِي لاَ إِلَه إِلاَ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ ثَلاَثَ

 

مَرَّاتٍ غُفِرَت لَهُ ذُنُوبُه وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ وَإِنْ كَانَتْ عَدَدَ رَمْلٍ عَالِجٍ وَإِنْ كَانَتْ عَدَدَ أَيَّامِ الدُّنْيَا.

Maksudnya:

“Sesiapa yang ketika berada di tempat tidurnya beristighfar sebanyak tiga kali dengan lafaz:

أَسْتَغْفِر اللَّه الَّذِي لاَ إِلَه إِلاَ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

Nescaya akan diampunkan dosa-dosanya walaupun ianya sebanyak buih di laut, walaupun ianya sebanyak pasir yang bertimbun-timbun dan walaupun ianya sebanyak bilangan hari-hari dunia.”

Dalam notakaki nombor 66, pihak ASSSDK menyebut rujukan:

فتح الباري لابن حجر – (ج 18 \ ص 84), تحفة الأحوذي – (ج 8 \ ص 295)

 

 

Kritikan:

Jika dirujuk kepada kitab al-Jami oleh al-Tirmizi rahimahullah, akan ditemui dua sebab kenapa penting untuk seseorang penulis itu merujuk kepada kitab asal bagi mengkaji sesebuah hadis.

 

Sebab Pertama:

Terdapat sedikit perbezaan lafaz, iaitu pada apa yang saya gariskan:

مَنْ قَالَ حِينَ يَأْوِي إِلَى فِرَاشِهِ: "أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ" ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

 

غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ وَإِنْ كَانَتْ عَدَدَ وَرَقِ الشَّجَرِ وَإِنْ كَانَتْ عَدَدَ رَمْلِ عَالِجٍ \

 

وَإِنْ كَانَتْ عَدَدَ أَيَّامِ الدُّنْيَا.

Sesiapa yang ketika berada di tempat tidurnya beristighfar sebanyak tiga kali dengan lafaz: “Astaghfirullahal-‘azim allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum waatubu ilaihi”, nescaya diampunkan Allah baginya dosa-dosanya walaupun ia sebanyak buih di laut, walaupun ia sebanyak daun di pokok, walaupun ia sebanyak pasir yang bertimbun-timbun dan walaupun ia sebanyak bilangan hari-hari dunia.[1]

 

Sebab Kedua:

al-Tirmizi rahimahullah telah menerangkan darjat hadis-hadis yang beliau keluarkan dalam kitab al-Jami’nya. Akan tetapi beberapa manuskrip yang sampai ke tangan kita menunjukkan perbezaan dalam menerangkan darjat hadis-hadis itu. Ia bukan perkara yang baru berlaku mutakhir ini tetapi sudah dikesan sejak kurun ketujuh hijrah, iaitu melalui tulisan Ibn Sholah rahimahullah (643H):

وتختلف النسخ من (كتاب الترمذي) في قول: هذا حديث حسن

 

أو هذا حديث حسن صحيح ونحو ذلك. فينبغي أن تصحح أصلك به بجماعة أصول وتعتمد على ما اتفقت عليه.

Wujud perbezaan di antara naskah kitab al-Tirmizi berkenaan perkataan (beliau): “Hadis ini hasan” atau “Hadis ini hasan sahih” dan yang seumpama. Maka anda hendaklah menyemak naskah anda dengan sejumlah naskah yang lain dan merumuskan berdasarkan apa yang disepakati (di antara naskah itu).[2]

Maka terhadap hadis di atas, wujud perbezaan darjatnya di antara beberapa manuskrip atau naskah kitab al-Jami’ al-Tirmizi, iaitu:

·         Pertama: Hasan. Ini sebagaimana yang disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah dalam kitabnya Fath al-Bari.[3] Sumber ini menjadi rujukan pihak ASSSDK.

·         Kedua: Hasan Gharib. Ini berdasarkan manuskrip yang ditahqiq oleh Ahmad Syakir rahimahullah dan Mushthofa Muhammad Husain hafizhahullah, di mana al-Tirmizi berkata:

هذا حديث حسن غريب لا نعرفه إلا من هذا الوجه من حديث الوصافي عبيد الله بن الوليد.

Hadis ini hasan gharib, tidaklah ia diketahui melainkan melalui bentuk ini daripada hadis al-Washafi (di mana beliau ialah) ‘Ubaidillah bin al-Walid.[4]

·         Ketiga: Gharib. Ini berdasarkan manuskrip yang ditahqiq oleh Basyar ‘Awwad Ma’ruf hafizhahullah, di mana al-Tirmizi berkata:

هذا حديث غريب لا نعرفه إلا من هذا الوجه من حديث الوصافي عبيد الله بن الوليد.

Hadis ini gharib, tidaklah ia diketahui melainkan melalui bentuk ini daripada hadis al-Washafi (di mana beliau ialah) ‘Ubaidillah bin al-Walid.[5]

 

Darjat hasan gharib atau gharib di sisi al-Tirmizi merupakan isyarat ke arah kelemahan sanad hadis manakala penyebutan nama salah seorang perawi dalam sanad hadis itu memberi isyarat akan di mana letaknya faktor kelemahan hadis. Jika dikaji kedudukan ‘Ubaidillah bin al-Walid al-Washafi dari sudut al-Jarh wa al-Ta’dil, nescaya ditemui bahawa beliau dikritik dengan pelbagai kecacatan. Oleh kerana itu Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya yang menyemak hadis ini dalam Musnad Ahmad telah menghukum statusnya sanadnya sebagai amat dha‘if (dha‘if jiddan).[6]

 


 

 


[1]               Sunan al-Tirmizi (tahqiq: Ahmad Syakir, jld. 1&2, Mushthofa Muhammad Husain, jld. 3-5; Dar al-Hadits, Kaherah, 1999), hadis no: 3397.

[2]               Kitab Ma’rifat Anwa’ ‘Ilm al-Hadits (Maktabah al-Farabi, 1984. www.islamww.com), ms. 22. Rujukan ini seterusnya diringkaskan sebagai Muqaddimah Ibn Sholah sahaja.

[3]               Jld. 12, ms. 411 ketika mensyarahkan hadis no: 6320 berkenaan bacaan zikir dan doa berkaitan tidur.

[4]               Sunan al-Tirmizi (tahqiq: Ahmad Syakir, jld. 1&2, Mushthofa Muhammad Husain, jld. 3-5; Dar al-Hadits, Kaherah, 1999), jld. 5, ms. 299, hadis no: 3397. Berkata Mushthofa Muhammad: “Dalam sanadnya terdapat ‘Athiyyah bin Sa‘ad bin Junadah al-‘Aufi, shaduq, banyak membuat silap serta seorang syi‘ah dan mudallis.”  

[5]               al-Jami’ al-Kabir (tahqiq: Basyar ‘Awwad Ma’ruf; Dar al-Gharb al-Islami, Beirut, 1996. www.alssunnah.com), jld. 5, ms. 404, hadis no: 3397. Basyar ‘Awwad berkata: “Apa yang kami sabitkan dalam naskah ini ialah yang paling benar memandangkan ‘Ubaidillah bin al-Walid al-Washafi adalah dha‘if sementara syaikhnya ‘Athiyyah al-‘Aufi adalah dha‘if juga.”

                Perhatian: Kitab hadis al-Tirmizi dikenali dengan beberapa judul seperti al-Sunan, al-Jami’ dan al-Jami’ al-Kabir. Semua judul ini boleh digunakan. Ada juga yang menjudulkannya sebagai al-Jami’ al-Shahih, namun judul ini adalah tertolak kerana bukan semua hadis dalam kitab tersebut adalah sahih sebagaimana yang diterangkan oleh al-Tirmizi sendiri.

[6]               Musnad Ahmad, hadis no: 11073. al-Albani meletakkan hadis ini dalam Dha‘if Sunan al-Tirmizi, hadis no: 3397.