36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

  
 

 

 

 

# 3: Di Antara Dalil dan Manhaj.

 

ASSSDK 2:

Kami mengharapkan, penjelasan yang akan kami berikan, yang disokong dengan hujah-hujah dan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Hadis yang dirujuk dan dipetik daripada kitab-kitab yang muktabar dapat menyelesaikan segala kekusutan yang membelenggu benak dan fikiran masyarakat.

 

Kritikan:

Jika ditinjau dari aspek dalil dan hujah dari al-Qur’an serta hadis, maka umat Islam di Malaysia melalui beberapa fasa:

 

·         Fasa Pertama: Dalil dan hujah memiliki peranan yang amat minimum. Masyarakat hanya mengikuti apa yang diajar oleh sebahagian agamawan[1] tanpa mengira wujud atau tidak dalil dan hujah di sebaliknya.

 

·         Fasa Kedua: Slogan berpegang kepada al-Qur’an dan hadis mula mendapat tempat di kalangan masyarakat. Mereka mula bertanya apakah dalil dan hujah di sebalik sesuatu pemikiran atau amalan. Maka sebahagian agamawan turut berpindah dari fasa pertama ke fasa kedua, mula tercari-cari dalil dan hujah bagi menjustifikasikan apa yang mereka ajar selama ini.

 

·         Fasa Ketiga: Ilmu masyarakat semakin berkembang dan mereka mengetahui bahawa hadis-hadis tidak boleh diterima begitu sahaja melainkan dinyatakan sumbernya dan disemak darjatnya. Sebahagian agamawan terpaksa mengikuti perkembangan ini dan beranjak dari fasa kedua ke fasa ketiga. Mereka mula mencari sumber dan darjat hadis yang mereka jadikan hujah sebelum ini.

 

·         Fasa Keempat: Ilmu masyarakat semakin meningkat. Mereka mengetahui bahawa dalil dan hujah daripada al-Qur’an dan hadis sahaja tidak mencukupi. Ini kerana aliran-aliran yang sesat sejak zaman awal Islam seperti Syi‘ah, Khawarij, Murji’ah, Mu’tazilah, Qadariyah, Jabariyah dan lain-lain, semuanya memiliki dalil dan hujah dari al-Qur’an dan hadis jua. Demikian juga aliran-aliran masa kini seperti Islam Liberal, Anti hadis dan selainnya. Apa yang membezakan antara aliran-aliran ini dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ialah manhaj dalam memahami al-Qur’an dan hadis. Maka masyarakat kini mula memberi penekanan kepada manhaj dalam beragama, manhaj dalam berinteraksi dengan al-Qur’an dan hadis.

 

Boleh dikatakan bahawa pihak ASSSDK sedang berada dalam fasa peralihan antara kedua dan ketiga. Mereka cuba melengkapi buku mereka dengan dalil dan hujah dari al-Qur’an dan hadis yang disemak sumber dan darjatnya. Namun mereka masih tersasar dari sudut manhaj. Antara kesasaran mereka ialah:

 

·         Pertama: Menjadikan amalan tradisional sebagai dasar agama. Pihak ASSSDK tidak memulakan penulisan dengan merujuk kepada al-Qur’an dan hadis, sebaliknya memulakan penulisan dengan merujuk kepada amalan tradisional. Mereka tidak membuka kitab-kitab induk hadis lalu kemudian menulis, tetapi membuka kitab-kitab kuning tradisional lalu kemudian menulis.

Setelah merujuk kepada amalan dan kitab tradisional, barulah pihak ASSSDK merujuk kepada al-Qur’an dan hadis untuk menyokong dan menjustifikasikan ajaran serta amalan tradisional tersebut. Manhaj yang tersasar ini diakui sendiri oleh pihak ASSSDK melalui kenyataan mereka yang telah dinukil di atas:

 

…penjelasan yang akan kami berikan, yang disokong dengan hujah-hujah dan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Hadis…

 

Perhatikan bahawa al-Qur’an dan hadis hanya berperanan sebagai penyokong. Ia tidak menjadi dasar kepada penulisan atau penjelasan mereka. Manhaj yang benar ialah tidak meletakkan apa jua di atas atau sebelum al-Qur’an dan hadis. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

 

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran daripada) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [al-Hujurat 49:01]

 

·         Kedua: Mencampur aduk antara yang umum dan khusus.[2] Sesiapa yang menyelami samudera Islam yang luas lagi indah ini akan mendapati sebahagian amalan disyari’atkan secara umum dan sebahagian lagi secara khusus. Amalan yang umum menandakan kelapangan dan kemudahan Islam sehingga membolehkan umat melaksanakannya pada keselesaan mereka. Sementara amalan yang khusus menandakan ketertiban dan keterperincian Islam sehingga mendisiplinkan umat melaksanakannya secara teliti lagi teratur. Sifat umum atau khusus ini terkandung dalam unsur jenis, ukuran, cara, masa dan tempat bagi setiap amalan, sebagaimana yang telah dihuraikan dalam kritikan sebelum ini.

Di antara amalan yang dimaksudkan ialah zikir-zikir. Di antara zikir-zikir itu ada yang khusus masanya, seperti yang dibaca selepas solat fardhu sahaja. Di antara zikir-zikir itu ada yang umum masanya sehingga boleh dibaca pada bila-bila jua. Termasuk dalam keumuman ini ialah zikir-zikir itu, secara sekali sekala, boleh dibaca sesudah solat fardhu apabila seseorang itu selesai membaca zikir-zikir yang khusus selepas solat fardhu.

Ini kerana sifatnya yang umum dari sudut masa membolehkan ia dibaca selepas solat fardhu. Namun atas sifatnya yang umum juga, ia tidak boleh dibaca secara berterusan selepas setiap solat fardhu kerana melakukan sedemikian bererti mengkhususkan sesuatu yang asalnya bersifat umum.

Adapun pihak ASSSDK, dalam beberapa kes mereka telah menjadikan zikir yang umum dari sudut masa sebagai dalil untuk dibaca secara khusus selepas solat fardhu. Bahkan mereka telah mewartakannya sebagai satu amalan sunnah dalam buku mereka ASSSDK. Ini adalah manhaj yang salah dalam beragama, bahkan menyelisihi tujuan agama yang membahagikan sesuatu amalan itu kepada umum dan khusus.

 

Dua kesasaran di atas akan dibuktikan dalam kritikan-kritikan akan datang, insya-Allah. Teruskan mengkaji tulisan ini dengan sabar dan cermat. Sebelum itu, ingin saya ambil kesempatan ini untuk mengingatkan para pembaca sekalian bahawa menggunakan dalil umum untuk menyokong satu amalan bid’ah merupakan helah yang amat masyhur di kalangan pencipta dan pengamal bid’ah. Ramai yang tertipu kerana menyangka dalil yang umum itu mencakupi amalan yang khusus.

Sebenarnya di dalam syari’at Islam terdapat apa yang umum dan apa yang khusus dari aspek pengamalannya, di mana pensyari’atan setiap satu daripadanya memiliki hikmah tertentu di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Mengkhususkan apa yang umum atau sebaliknya, bererti menafikan hikmah pensyari’atannya. Tidak ada sesiapa yang akan melakukannya melainkan mereka yang merasakan Islam ini masih cacat lagi kekurangan. Tidak ada yang merasakan sedemikian melainkan pencipta dan pengamal bid’ah. Ini kerana mereka sejak awal seolah-olah beriqtikad bahawa Islam masih cacat lagi kekurangan sehingga memerlukan pembaikan daripada mereka.

 

 


 


[1]               Saya berkata, fasa-fasa di atas hanya melibatkan sebahagian agamawan. Sebahagian lain, dari kalangan tok guru pondok hinggalah kepada penceramah bebas, daripada kalangan guru sekolah agama hinggalah kepada pensyarah pusat pengajian tinggi, ada yang tidak melalui fasa-fasa di atas. Mereka sejak awal telah mengajar agama merujuk kepada al-Qur’an dan hadis berdasarkan manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Mereka tidak segan atau keberatan untuk membetulkan ajaran atau amalan masyarakat yang menyalahi manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Segala puji bagi Allah yang telah menemukan saya dengan para agamawan seperti ini.

[2]               Lebih lanjut berkenaan bid’ah dalam mencampur aduk antara amalan yang khusus dan umum, rujuk buku Qawa’id Ma’rifat al-Bida’ oleh Muhammad bin Husain al-Jizani (edisi terjemahan oleh Aman Abd. Rahman atas judul Kaedah Memahami Bid’ah; Pustaka Azzam, Jakarta, 1998), kaedah no: 8 dan 9. Rujukan ini seterusnya disebut sebagai Qawa’id Ma’rifat al-Bida’ sahaja.