36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 31: Menganggap Sahabat Cuai Dalam Meriwayatkan Hadis.

 

Berdasarkan kritikan-kritikan di atas, ternyata bahawa riwayat yang menganjurkan istighfar popular pada waktu tertentu seperti sebelum tidur dan selepas solat fardhu adalah amat dha‘if. Apa yang sahih dalam bab ini adalah, anjuran membaca istighfar bersifat umum sehingga boleh diamalkan pada bila-bila masa. Hadis yang sahih menyebut:

 

مَنْ قَالَ "أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ" غُفِرَ لَهُ وَإِنْ كَانَ فَرَّ مِنْ الزَّحْفِ.

Sesiapa yang berkata: “Astaghfirullahal-‘azim allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum waatubu ilaihi”, nescaya diampunkan baginya sekalipun (dosanya sebesar) lari dari medan perang.

 

Hadis ini disahihkan oleh al-Albani rahimahullah dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 3577. Pihak ASSSDK 62 juga telah mengemukakan hadis ini mereka bersetuju atas kesahihannya. Namun, sekalipun mengetahui hadis di atas merujuk kepada masa secara umum, pihak ASSSDK 65 tetap ingin menggunakannya pada masa tertentu, iaitu sebagai zikir selepas solat fardhu. Mereka berkata:

Walaupun lafaz istighfar yang biasa diamalkan selepas solat di Negara kita sekarang, tidak disebutkan secara khusus di dalam hadis sahih, tetapi ianya telah disebut secara khusus di dalam Hadis dha‘if. Begitu juga lafaz ini, telah disebutkan secara umum iaitu tidak dikaitkan dengan masa-masa tertentu di dalam Hadis sahih.

Justeru itu, lafaz istighfar yang popular ini tidak salah digunakan selepas solat lima waktu kerana alasan-alasan berikut:

1.   Hadis sahih secara umumnya telah menerangkan dengan jelas bahawa selepas selesai sahaja solat, disunatkan beristighfar. Dalam Hadis sahih tidak disebutkan secara khusus apakah dia lafaz istighfar tersebut.

 

Kritikan:

Hadis sahih yang dimaksudkan ialah:

 

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاَتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا وَقَالَ ‏"اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ‏"‏.‏

 

قَالَ الْوَلِيدُ :فَقُلْتُ لِلأَوْزَاعِيِّ: كَيْفَ الاِسْتِغْفَارُ؟ قَالَ: تَقُولُ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ‏.‏

Daripada Tsauban (radhiallahu 'anh), dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai dari solat, baginda beristighfar tiga kali dan kemudian menyebut:

 

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ‏.

 

Berkata al-Walid, aku berkata kepada al-Auza’e: “Bagaimana cara beristighfar?” Beliau menjawab:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ‏.‏[1]

Apabila Tsauban menerangkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam beristighfar selepas selesai dari solat, ia bukanlah penerangan yang bersifat umum. Ketelitian para sahabat dalam meriwayatkan hadis menyebabkan mereka tidak meninggalkan apa-apa melainkan diriwayatkan secara terperinci. Hasil dari ketelitian dan keperincian ini, jika Rasulullah membaca lafaz istighfar yang panjang, para sahabat akan meriwayatkan lafaz tersebut sepenuhnya sebagaimana hadis no: 3577 dalam Shahih Sunan al-Tirmizi. Sebaliknya jika Rasulullah membaca lafaz yang pendek, iaitu أستغفر الله maka para sahabat cukup meriwayatkan bahawa baginda beristighfar

Perkara ini diperkuatkan oleh jawapan yang diberikan oleh al-Auza’e rahimahullah apabila ditanya bagaimanakah bacaan istighfar itu. Sebagai seorang tokoh generasi Salaf,[2] beliau amat mengenali ketelitian dan keperincian para sahabat meriwayatkan hadis. Beliau mengetahui jika Rasulullah beristighfar selepas solat fardhu dengan lafaz yang lebih panjang dari أستغفر الله, tentu Tsauban atau sahabat yang lain akan meriwayatkannya. Memandangkan mereka tidak meriwayatkannya, bererti apa dibaca oleh baginda hanyalah أستغفر الله.

Diyakini al-Auza’e juga mengetahui fadhilat membaca istighfar dengan lafaz yang panjang. Namun beliau juga mengetahui bahawa fadhilat itu hanya diperolehi jika ia dibaca pada masa yang betul. Ketika masa selepas solat, fadhilat yang utama ialah mengikuti sunnah Rasulullah dalam bacaan zikir-zkir.

Apabila pihak ASSSDK mendakwa hadis di atas tidak menyebut secara khusus apakah lafaz istighfar yang dibaca oleh Rasulullah, mereka secara tidak langsung menuduh Tsauban cuai dalam meriwayatkan hadis. Namun diyakini bahawa yang cuai ialah pihak ASSSDK sendiri kerana tidak tahu manhaj para sahabat dalam meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Sebagai tambahan, marilah kita mengkaji contoh berikut berkenaan zikir tasbih, iaitu ucapan atau lafaz Subhanallah. Jika lafaz zikir yang dimaksudkan ialah sekadar mengucapkan Subhanallah, maka sahabat yang meriwayatkan hadis itu cukup menyebutnya sebagai tasbih, umpama hadis berikut:

 

عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ حَدَّثَنِي أَبِي قَالَ: كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:

 

أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَكْسِبَ كُلَّ يَوْمٍ أَلْفَ حَسَنَةٍ؟

 

فَسَأَلَهُ سَائِلٌ مِنْ جُلَسَائِهِ: كَيْفَ يَكْسِبُ أَحَدُنَا أَلْفَ حَسَنَةٍ؟

 

قَالَ: يُسَبِّحُ مِائَةَ تَسْبِيحَةٍ فَيُكْتَبُ لَهُ أَلْفُ حَسَنَةٍ أَوْ يُحَطُّ عَنْهُ أَلْفُ خَطِيئَةٍ.

Daripada Mush‘ab bin Sa‘ad, ayah aku (Sa‘ad bin Abi Waqas radhiallahu ‘anh) menceritakan: Kami berada di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu baginda bersabda: “Apakah salah seorang daripada kalian tidak mampu mencari dalam setiap hari seribu kebaikan?” Maka bertanyalah seorang di kalangan yang sedang duduk itu: “Bagaimanakah seseorang kami dapat mencari seribu kebaikan itu?”

Baginda menjawab: “Dia bertasbih dengan seratus kali tasbih, maka ditulis baginya seribu kebaikan atau dihapuskan daripadanya seribu kesalahan.”[3]

 

Namun jika zikir yang dimaksudkan melebihi dari lafaz Subhanallah, sahabat yang meriwayatkan hadis itu tidak akan menyebut tasbih tetapi akan menerangkan lafaz yangdimaksudkan sepenuhnya, selengkapnya. Perhatikan hadis berikut:

 

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ جُوَيْرِيَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ مِنْ عِنْدِهَا بُكْرَةً حِينَ صَلَّى الصُّبْحَ

 

وَهِيَ فِي مَسْجِدِهَا ثُمَّ رَجَعَ بَعْدَ أَنْ أَضْحَى وَهِيَ جَالِسَةٌ فَقَالَ: مَا زِلْتِ عَلَى الْحَالِ الَّتِي فَارَقْتُكِ عَلَيْهَا؟ قَالَتْ: نَعَمْ.

 

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَقَدْ قُلْتُ بَعْدَكِ أَرْبَعَ كَلِمَاتٍ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ لَوْ وُزِنَتْ بِمَا قُلْتِ مُنْذُ الْيَوْمِ لَوَزَنَتْهُنَّ:

Daripada Ibn ‘Abbas (radhiallahu ‘anhuma), daripada Juwairiyah (radhiallahu ‘anha), bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pergi dari sisinya pada waktu pagi selepas solat Subuh, ketika itu beliau duduk di tempatnya dalam masjid. Kemudian kembali setelah lewat pagi (waktu dhuha) dan mendapati Juwairiyah masih duduk (berzikir). Lalu baginda bertanya: “Apakah engkau masih dalam keadaan (berzikir) yang aku tinggalkan tadi?” Dia (Juwairiyah) menjawab: “Ya.”

Bersabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya aku telah mengucapkan, sementara meninggalkan engkau tadi, empat kalimat sebanyak tiga kali yang jika dineracai dengan apa yang engkau baca sejak tadi nescaya akan mengimbanginya, iaitu:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ.

Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya sebanyak makhluk-Nya, seredha diri-Nya, seberat Arasy-Nya dan sebanyak tinta (untuk menulis) kalimat-kalimat-Nya.[4]

 

 

 

[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 591.

[2]               Beliau ialah ‘Abd al-Rahman bin Auza’e yang dilahirkan di Syria pada tahun 89H dan meninggal dunia di Beirut pada tahun 157H. Seorang tokoh besar yang terkenal khasnya di Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan.

[3]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2698.

[4]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2726.