36 Kritikan Ke Atas Buku
Hafiz Firdaus Abdullah |
||
# 32: Kecuaian Atau Pendustaan Dalam Membaca Kitab.
Apabila saya berkata pihak ASSSDK cuai, ia bukanlah tuduhan kosong semata-mata. Sebelum ini telah dikemukakan beberapa contoh kecuaian mereka, kini dikemukakan satu lagi. Iaitu dalam alasan pertama membela lafaz istighfar popular, ASSSDK 66 mereka berkata: Cuma Imam Nawawi telah menukil suatu pendapat daripada Imam al-Auzaa’ie bahawa istighfar yang dimaksudkan di sini lafaz أستغفر الله. Kesimpulannya memang ada dalil asas disunatkan beristighfar selepas solat.
Kritikan: Pendapat al-Auza’e rahimahullah bahawa lafaz istighfar selepas solat ialah أستغفر الله bukan dinukil oleh al-Nawawi tetapi oleh Muslim bin Hajjaj dalam kitab Shahihnya. Bahkan al-Walid[1] dan al-Auza’e termasuk perawi yang berada dalam sanad yang meriwayatkan hadis tersebut. Marilah kita melihat semula hadis itu lengkap dengan sanadnya:
حَدَّثَنَا دَاوُدُ بْنُ رُشَيْدٍ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ عَنْ الأَوْزَاعِيِّ عَنْ أَبِي عَمَّارٍ اسْمُهُ شَدَّادُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاَتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا
وَقَالَ "اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ".
قَالَ الْوَلِيدُ :فَقُلْتُ لِلأَوْزَاعِيِّ: كَيْفَ الاِسْتِغْفَارُ؟
قَالَ: تَقُولُ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ. Malah jika dirujuk kepada kitab al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj, amatlah sukar untuk dikatakan kesalahan yang dilakukan oleh pihak ASSSDK adalah satu kecuaian. Lebih tepat ia adalah satu pendustaan kerana: 1. Dalam mana-mana edisi al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj, telah dibezakan secara jelas antara matan hadis oleh Muslim bin Hajjaj dan syarahannya oleh al-Nawawi. Amat sukar untuk dikatakan seseorang itu boleh tersalah dalam membezakan antara matan dan syarahannya. 2. Ketika mensyarahkan hadis di atas, al-Nawawi rahimahullah tidak berkata apa-apa kecuali:
قوله (إِذَا اِنْصَرَفَ مِنْ صَلاَته اِسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا) المراد بالانصراف السلام . Perkataan (Tsauban): “Apabila selesai dari solat, baginda beristighfar tiga kali”, maksudnya ialah selesai dari memberi salam. al-Nawawi tidak mensyarahkan pertanyaan al-Walid kepada al-Auza’e sehingga tidak timbul kemungkinan pihak ASSSDK tersilap membaca syarahan tersebut lalu menganggap keseluruhannya adalah perkataan al-Nawawi.
|
||