36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 33: Kekeliruan Dalam Penggunaan Hadis Dha‘if (3).

 

Masih dalam rangka mengemukakan alasan pertama untuk membaca istighfar popular sebagai zikir selepas solat, pihak ASSSDK 66 berhujah:

Di dalam Hadis sahih pula dinyatakan bahawa di antara lafaz istighfar yang sangat besar kelebihannya jika diamalkan sebagaimana yang telah dijelaskan di atas tadi ialah:

 

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ.

Tetapi hadis sahih ini tidak mengkhususkan waktu-waktu tertentu sama ada selepas solat atau waktu lainnya. Cuma ada riwayat hadis dha‘if yang menyebutkan bahawa istighfar seperti ini sunat dibacakan selepas solat Subuh dan Asar.

Ada riwayat Hadis dha‘if lain pula menyatakan sunat beristighfar itu ialah setiap kali selepas solat. Kelebihan yang disebutkan pula sama dengan kelebihan yang disebutkan dalam Hadis sahih. Justeru itu, salahkah kita mengamalkan Hadis dha‘if ini yang seolah-olah menjadi penafsiran kepada Hadis sahih di atas dan seolah-olah mentakhsiskan lafaz umum istighfar yang terdapat di dalam Hadis sahih di atas tadi.

Tambahan pula beramal dengan Hadis dha‘if di dalam perkara Fadha‘ilu A’mal memang dibolehkan sebagaimana penjelasan yang telah berikan sebelum ini di dalam Bab Kedua. Wallahu’alam.

 

Kritikan:

Fokus kita ialah lafaz istighfar apakah yang dibaca sebagai zikir selepas solat fardhu dan bukannya kelebihan istighfar tertentu. Dalam kenyataan ASSSDK di atas, terdapat tiga hadis yang disentuh berkenaan lafaz zikir, iaitu:

 

·         Hadis A:

مَنْ قَالَ "أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ" غُفِرَ لَهُ وَإِنْ كَانَ فَرَّ مِنْ الزَّحْفِ.

Sesiapa yang beristighfar dengan lafaz: “Astaghfirullahal-‘azim allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum waatubu ilaihi”, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya walaupun di antara dosanya itu ialah kerana melarikan diri dari medan perang. Hadis dinyatakan sahih oleh ASSSDK 62 & 66.

 

·         Hadis B:

مَنْ قَالَ بَعْدَ صَلاَةِ الْفَجْرِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ وَبَعْدَ الْعَصْرِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ

 

الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ كُفِّرَتْ عَنْهُ ذُنُوبُهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ.

Sesiapa yang beristighfar sebanyak tiga kali selepas solat Subuh dan Asar dengan lafaz: “Astaghfirullah allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum waatubu ilaihi”, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya walaupun ianya sebanyak buih di laut. Hadis ini dinyatakan dha‘if oleh ASSSDK 65.

 

·         Hadis C:

مَنْ قَالَ دُبُرَ كُلَّ صَلاَةٍ أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ غُفِرَ لَهُ وَإِنْ كَانَ فَرَّ مِنَ الزَّحْفِ.

Sesiapa yang beristighfar setiap kali selepas solat fardhu dengan lafaz: “Astaghfirullah wa atubu ilahi”, nescaya diampunkan dosanya walaupun dosa melarikan diri dari medan perang. Hadis ini dinyatakan dha‘if oleh ASSSDK 64.[1]

 

Berdasarkan ketiga-tiga hadis ini, nampaknya pihak ASSSDK mengetahui bahawa istighfar popular yang disebut oleh Hadis A yang sahih tidak mengkhususkan masa-masa tertentu untuk membacanya. Hadis B menyebut istighfar popular, namun bukan itulah yang diinginkan oleh pihak ASSSDK kerana riwayat itu hanya mengkhususkan masa selepas solat Subuh dan Asar.

Pihak ASSSDK berhajat besar kepada Hadis C kerana ia menyebut istighfar popular yang dikhususkan masa bacaannya kepada selepas setiap solat fardhu. Maka untuk mengamalkan Hadis C sebagai bacaan zikir selepas solat fardhu, pihak ASSSDK bertanya:

  1.  Soalan: Salahkah kita mengamalkan Hadis dha‘if ini yang seolah-olah menjadi penafsiran kepada Hadis sahih di atas? Jawapan: Salah. Hadis C tidak bersifat menafsirkan Hadis A yang sahih itu. Lebih dari itu terdapat perbezaan lafaz istighfar antara Hadis A dan Hadis C, maka bagaimana mungkin dikatakan ia saling menafsir?

     

  2. Soalan: Salahkah kita mengamalkan Hadis dha‘if ini yang seolah-olah mentakhsiskan lafaz umum istighfar yang terdapat di dalam Hadis sahih di atas tadi?

    Jawapan: Salah. Mengikut kaedah ushul al-fiqh, sesuatu hadis hanya boleh ditakhsiskan oleh hadis yang sedarjat dengannya. Hadis A yang sahih tidak boleh ditakhsiskan oleh Hadis C yang dha‘if.

     

  3.  Soalan: Tambahan pula beramal dengan Hadis dha‘if di dalam perkara Fadha‘ilu A’mal memang dibolehkan…..

    Jawapan: Dibolehkan jika dalam bab itu tidak ada hadis yang lebih tinggi darjatnya. Jika ada, maka mengunggulkan pengamalan hadis dha‘if di atas hadis sahih ialah satu kesongsangan yang hanya dilakukan oleh seseorang yang tidak lurus pertimbangannya. Dalam bab ini, mengamalkan hadis sahih daripada Tsauban radhiallahu ‘anh yang dikeluarkan oleh Muslim dalam kitab Shahihnya sudah cukup sehingga tidak perlu diganti oleh Hadis C yang dha‘if.

Sebelum beralih kepada kritikan yang lain, ingin ditarik perhatian pembaca bahawa lafaz istighfar Hadis C yang cuba dibela oleh pihak ASSSDK untuk dibaca selepas solat ialah:

أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ.

Namun apabila menyenaraikan bacaan zikir selepas solat di akhir buku, pihak ASSSDK 275 tidak mengemukakan lafaz istighfar Hadis C yang cuba mereka bela, sebaliknya mengemukakan lafaz istighfar popular: 

 

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ.

Maka kita tertanya-tanya, mengapa pihak ASSSDK cuba membela lafaz istighfar Hadis C dengan alasan ia menafsir, mentakhsis dan kerana Fadha’il al-A’mal namun kemudian tidak menyenaraikannya untuk diamalkan oleh para pembaca? Nampaknya pihak ASSSDK sendiri mengetahui bahawa alasan-alasan yang mereka kemukakan adalah tertolak sehingga mereka sendiri tidak menerimanya.

 

 

 


 

[1]               Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, al-Albani rahimahullah menilai hadis ini dha‘if jiddan. Namun wujud kemungkinan pihak ASSSDK tidak menerima penilaian al-Albani ini. Maka dalam kritikan ini digunakan penilaian ASSSDK bahawa ia hanya dha‘if.