36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 34: Hukum Menokok Tambah Zikir.

 

Seterusnya pihak ASSSDK 66 mengemukakan alasan kedua untuk membaca istighfar popular sebagai zikir selepas solat:

Menokok tambah lafaz istighfar yang sangat besar kelebihannya, walaupun penambahan tersebut tidak pernah diriwayatkan di dalam Hadis sahih, samalah dengan tindakan yang dilakukan oleh seorang Sahabat RA yang bernama Rifa‘ah bin Rafi’ al-Zaraqiyyi RA yang telah menokok tambah lafaz zikir ketika bangkit daripada ruku’. Cerita ini……

 

Kritikan:

Rifa‘ah bin Rafi’ al-Zuraqi radhiallahu ‘anh yang berkata:

 

كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ: "سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ".

قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ: "رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ".

فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ: "مَنْ الْمُتَكَلِّمُ؟"

قَالَ: "أَنَا".

قَالَ: "رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ".

Kami pada satu hari pernah bersolat di belakang Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Tatkala baginda mengangkat kepalanya daripada rukuk, baginda mengucapkan: “Sami Allahuliman hamidah”.

Seorang lelaki di belakangnya berkata: “Rabbana lakal hamdu hamdan katsiran thoyyiban mubarokan fihi”.

Tatkala selesai solat baginda bertanya: “Siapa yang berbicara (itu)?”

Lelaki itu menjawab: “Saya.”

Baginda melanjutkan: “Aku melihat lebih tiga puluh malaikat saling berebutan, siapakah di antara mereka yang akan menulisnya terlebih dahulu.”[1]

 

Ketika mensyarahkan hadis ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:

Riwayat ini dijadikan dalil atas bolehnya membuat zikir dalam solat yang tidak berasal daripada Rasulullah s.a.w. selagi mana zikir itu tidak menyalahi apa yang berasal daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.[2]

 

Kata-kata al-Hafiz ibn Hajar ini seterusnya dijadikan hujah oleh pihak ASSSDK 69 bahawa dibolehkan menokok tambah lafaz istighfar. Namun bagi mereka yang membaca kata-kata ulama’ dengan sikap hormat tetapi kritis, rendah diri tetapi menganalisa, mereka akan terhenti sebentar ketika membaca kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar di atas. Mereka tertanya-tanya, mengapakah tokoh yang besar ini membolehkan seseorang itu membuat zikir tersendiri padahal zikir yang terbaik ialah mencontohi apa yang diajar dan diiktiraf oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Bukankah Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

 

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

 

 Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). [al-Ahzab 33:21]

 

Mereka terfikir bahawa hadis Rifa‘ah bin Rafi’ al-Zuraqi di atas merujuk kepada masa ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masih hidup. Namun apabila baginda wafat, semua ibadah telah ditetapkan sehingga tidak mungkin bagi umat Islam untuk memilih-milih zikir tersendiri berbeza daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bukankah Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memperingatkan:

 

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ

 

وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

 

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzab 33:36]

 

Mereka merasakan tidak senang hati kerana dalam kesempurnaan Islam, tidak perlu lagi bagi sesiapa jua dari kalangan umat Islam untuk membuat zikir-zikir yang tersendiri. Ayat ini berlegar-legar di fikiran mereka:

 

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

 

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. [al-Maidah 5:03]

 

Atas beberapa pertanyaan yang lahir dari pemikiran yang kritis lagi sikap yang menganalisa, saya ini ingin mengajak para pembaca sekalian untuk menetili semula kata-kata al-Hafiz ibn Hajar di atas. Langkah pertama ialah dengan mengulangkaji semula beberapa kategori sunnah sebagaimana yang diterangkan dalam kitab-kitab usul al-fiqh.

 

Beberapa Aspek dan Kategori Sunnah.

Kajian terhadap sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membolehkan ia dibahagikan kepada beberapa aspek dan kategori. Dalam kritikan ini, memadailah kita berkenalan dengan dua aspek.

Aspek Pertama ialah berkenaan diri baginda sebagai seorang manusia, maka ia terbahagi kepada dua kategori.

  • Pertama disebut sebagai sunnah ghairi tasyri’, iaitu peranan baginda sebagai manusia biasa yang tidak dijadikan hukum syari’at Islam.

  • Kedua disebut sebagai sunnah tasyri’, iaitu peranan baginda sebagai seorang Rasul yang membawa syari’at Allah yakni agama Islam.

Contoh masyhur perbezaan antara sunnah ghairi tasyri’ dan sunnah tasyri’ ialah hukum memakan biawak (dhab).Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah dijamu dhab, baginda meninggalkannya tetapi mengizinkan para sahabat memakannya. Tindakan baginda tidaklah bererti hukum memakan dhab ialah haram dari sudut syari’at kerana ia duduk dalam kategori sunnah ghairi tasyri’. Para sahabat sedia memahami hal ini lalu mereka terus menjamu mengikut selera masing-masing.

Para pembaca sekalian hendaklah menghalusi perbezaan antara sunnah ghairi tasyri’ dan sunnah tasyri’. Ini kerana kejahilan dalam aspek ini menyebabkan sebahagian orang berhujah bahawa dalam syari’at Islam ini, apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah tidaklah menjadi bid’ah apabila dilaksanakan oleh umat Islam. Mereka berhujah dengan hadis dhab di atas, padahal hadis itu duduk dalam kategori sunnah ghairi tasyri’ sementara larangan berbuat bid’ah adalah dalam urusan syari’at.

 

Aspek Kedua ialah berkenaan diri baginda sebagai seorang Rasul, maka sunnah terbahagi kepada beberapa kategori:

·         Pertama ialah sunnah qauliyah, iaitu perkataan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

·         Kedua ialah sunnah fi’liyah yang merujuk kepada perbuatan baginda.

·         Ketiga ialah sunnah tarkiyah, iaitu apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w..

·         Kategori keempat ialah sunnah taqririyah iaitu perkataan atau perbuatan para sahabat yang diiktiraf oleh Rasulullah. Pengiktirafan boleh berlaku dalam beberapa bentuk seperti perkataan atau perbuatan Rasulullah. Bahkan jika perkataan atau perbuatan itu berlaku di hadapan baginda atau dikhabarkan kepada baginda lalu baginda hanya mendiamkan diri, ia sudah cukup untuk dianggap sebagai satu pengiktirafan.

Tempoh sunnah qauliyah, fi’liyah, tarkiyah dan taqririyah yang sah untuk dijadikan rujukan syari’at umat Islam ialah dari saat baginda diangkat menjadi Rasul (menerima wahyu pertama) sehinggalah saat baginda menghembuskan nafas yang terakhir (wafat).

 

Hadis Rifa‘ah bin Rafi’ al-Zuraqi.

Hadis Rifa‘ah bin Rafi’ al-Zuraqi radhiallahu ‘anh di atas duduk dalam kategori sunnah taqririyah. Ini kerana Rifa‘ah telah melakukan sesuatu yang kemudiannya diiktiraf oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Bahkan baginda memuji tindakannya itu dengan menerangkan perlumbaan para malaikat untuk mencatit lafaz zikir yang dibaca oleh beliau.

Akan tetapi sunnah taqririyah hanya berlaku dalam tempoh dari saat baginda diangkat menjadi Rasul (menerima wahyu pertama) sehinggalah saat baginda menghembuskan nafas yang terakhir (wafat). Sunnah taqririyah tidak wujud selepas kewafatan Rasulullah kerana baginda tidak hadir untuk memberi pengiktirafan atau pengingkaran kepada apa yang dilakukan oleh umat Islam.

Perlu diingatkan bahawa di kalangan para sahabat sendiri semasa zaman kehidupan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bukan semua perkataan atau perbuatan mereka diiktiraf oleh baginda. Di antaranya ada yang baginda ingkari dan perbetulkan. Satu contoh berkaitan zikir ialah kisah seorang sahabat yang membonceng di belakang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tiba-tiba haiwan tunggangan mereka tergelincir lalu dia berkata: “Celakalah syaitan!”

Sepintas lalu, kata-kata sahabat itu terasa benar kerana dia menyandarkan kepada syaitan dan mencela syaitan atas sesuatu buruk yang dialaminya. Namun ia tidak diiktiraf oleh Rasulullah. Baginda membetulkannya dengan bersabda:

 

لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ

 

وَيَقُولُ بِقُوَّتِي وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ.

Janganlah menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata “Demi kekuatanku!” Sebaliknya sebutlah “Bismillah!” kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat.[3]

 

Justeru pengiktirafan atau pengingkaran, pujian atau pembetulan dalam sunnah taqririyah hanya dapat berlaku ketika Rasulullah masih hidup. Dengan kewafatan baginda, sunnah menjadi satu ketetapan yang sempurna lagi yang terbaik. Berdasarkan ayat 21 dan 36 surah al-Ahzab serta ayat ketiga surah al-Maidah, tidak perlu – bahkan – tidak boleh bagi umat Islam membuat ibadah tersendiri sama ada lafaz zikir atau selainnya. Sesiapa selepas itu yang membuat ibadah tersendiri sama ada lafaz zikir atau selainnya, dia bukan sahaja tidak mendapat pengiktirafan Rasulullah tetapi jatuh dalam ancaman bid’ah yang telah diperingatkan oleh baginda.

Atas dasar ini, maka tidaklah benar pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah yang menjadikan hadis Rifa‘ah bin Rafi’ al-Zuraqi sebagai dalil boleh membuat zikir yang tidak berasal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Tindakan Rifa‘ah hanya dibolehkan pada zaman kehidupan Rasulullah dan tidak boleh diikuti atau dijadikan dalil oleh orang selepas kewafatan baginda. Justeru berkata ‘Abdul Aziz bin ‘Abdullah bin Baz rahimahullah terhadap kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar ini:

 

Perkataan ini diperlu diperhatikan. Seandainya beliau (al-Hafiz Ibn Hajar) mengaitkan penjelasannya ke zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, tentu ia benar kerana sesungguhnya pada zaman itu tidak diiktiraf apa-apa kebatilan (kerana apa jua yang dibuat oleh para sahabat akan disemak oleh baginda). Berbeza keadaannya setelah kewafatan Nabi, kerana sesungguhnya wahyu sudah terputus manakala syari‘at Islam telah disempurnakan oleh Allah, segala puji bagi Allah. Maka tidak boleh menambah sesuatu dalam ibadah apa yang tidak dikehendaki oleh syara’. Wallahu ‘Alam.[4]

 

Apabila pandangan seorang ulama’ ditolak, umpama dalam kritikan ini, bukanlah bererti kita tidak mencintai ulama tersebut. Kita tetap mencintainya dan ini dibuktikan dengan sikap mengupas pandangannya secara hormat dan beradab. Kita juga berterusan dalam mendampingi dan menelaah karya-karyanya. Namun dalam rangka mencintai para ulama’, kita tidak boleh mengunggulkannya di atas kecintaan terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini kerana Rasulullah telah mengingatkan kita bahawa:

 

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ.

Tidaklah (sempurna) iman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.[5]

 

 

 

 


 

[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 799.

[2]               Fath al-Bari, jld. 2, ms. 544.

[3]               Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4982.

[4]               Catatan ke atas Fath al-Bari, jld. 2, ms. 544.

[5]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 15.