36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 35: Kesalahan Lebih Besar Daripada Syirik.

 

Alasan ketiga dan terakhir yang dikemukakan oleh pihak ASSSDK 69 untuk membaca istighfar popular sebagai zikir selepas solat ialah:

Lafaz istighfar yang disebutkan selepas solat mengandungi makna berdoa kepada Allah SWT supaya menghapuskan dosa. Oleh kerana itu, maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa adalah sesuatu yang sangat baik dan sesuai, kita menyebutkan sifat-sifat terpuji bagi Allah SAW selepas kita menyebut namaNya, dengan niat supaya doa kita akan lebih dimakbulkan oleh Allah SWT. Maksud sifat yang ditokok tambah yang tidak terdapat di dalam Hadis sahih ialah:

 

الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومُ.

Tambahan pula sifat yang ditambah pada kalimah Allah SAW itu, mengikut setengah riwayat Hadis yang sahih merupakan salah satu daripada nama Allah Yang Maha Agung.

 

Kritikan:

Zikir adalah salah satu cara beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kita tidak tahu apakah cara terbaik untuk beribadah kepada Allah melainkan mengikuti apa yang Allah turunkan dalam al-Qur’an dan ajar melalui lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Merupakan satu kelaziman di kalangan sebahagian agamawan untuk mendakwa itu baik dan ini sesuai dalam rangka beribadah kepada Allah padahal Allah tidak menyatakan ia baik dan sesuai. Ketahui bahawa apabila seseorang itu mendakwa ini baik dan itu sesuai tanpa bukti daripada Allah, dia sebenarnya memperkatakan tentang Allah sesuatu yang tidak diketahuinya.

Ini adalah satu kesalahan yang besar, lebih besar daripada syirik kepada Allah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

 

وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ

 

وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا

 

وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

 

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan:

  1. Perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa;

  2. Dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar;

  3. Dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya);

  4. Dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. [al-A’raaf 7:33]

Perhatikan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala telah membahagikan perkara yang haram kepada empat tingkatan, dengan tingkatan awal merupakan yang paling ringan (namun tetap haram) dan tingkatan terakhir merupakan yang paling berat dan dahsyat.[1] Tingkatan terkahir itu adalah memperkatakan sesuatu terhadap Allah tanpa ilmu, yakni tanpa hujah daripada Allah. Termasuk dalam kesalahan tingkatan terakhir ini adalah mengatakan itu baik dan ini sesuai dalam rangka beribadah kepada Allah tanpa sebarang hujah yang sahih lagi benar dari al-Qur’an dan al-Sunnah.

Zikir istighfar, sama ada dengan lafaz أستغفر الله atau
lafaz
أستغفر الله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه adalah doa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya menghapuskan dosa. Kedua-duanya adalah baik kerana kedua-duanya diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Namun yang menjadi fokus kita sekarang ialah lafaz manakah yang baik lagi sesuai untuk dibaca selepas solat fardhu? Tentu saja lafaz أستغفر الله yang diterangkan oleh Tsauban radhiallahu 'anh dari kalangan sahabat yang amat teliti lagi terperinci dalam meriwayatkan apa jua daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

 

 

 


 

[1]               Diringkaskan dari penjelasan Ibn al-Qayyim rahimahullah sebagaimana dalam Bada’i al-Tafsir (Dar Ibn Jauzi, Riyadh, 1993), jld. 2, ms. 208. Kitab ini merupakan himpunan perkataan Ibn al-Qayyim terhadap ayat-ayat al-Qur’an, dihimpun dari pelbagai hasil karya beliau oleh Yusri al-Sayyid Muhammad.