36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

 

 

 

# 36 Kekeliruan Antara Zikir dan Doa.

 

Pihak ASSSDK 71 mengakhiri Bab 5 buku mereka dengan anjuran untuk beristighfar kepada ibubapa, guru-guru dan orang-orang Islam. Namun di sebalik anjuran yang baik ini tetap wujud kesilapan. Marilah kita perhatikan apa yang mereka katakan:

Ada juga di kalangan para ulama’ kita yang beristighfar selepas solat untuk kedua ibubapa, guru-guru yang mengajar dan juga untuk orang-orang Islam yang lain. Sudah kita maklumi bahawa beristighfar untuk kedua-dua ibubapa sangat digalakkan, lebih-lebih lagi selepas solat fardhu lima waktu. Beristighfar untuk guru-guru yang mengajar pula telah dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hambal. Beliau pernah menyatakan bahawa: “Semenjak aku mula belajar ilmu dengan Imam al-Syafi’e, aku tidak lupa berdoa untuknya selepas solat fardhu lebih dahulu daripada kedua-dua ibubapaku.”

Bagaimana pula berdoa untuk orang-orang Islam? Mengenai permasalahan ini, Imam al-Thobarani telah meriwayatkan suatu hadis dengan sanad yang baik, daripada ‘Ubaadah bin al-Soomit RA, katanya:

وَعَنْ عُبَادَةَ بَنْ الصَّامِتِ قَالَ:

 

" سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِينَ

 

وَالْمُؤْمِنَاتِ كَتَبَ اللهُ لَهُ بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَةً. " رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ وَإِسْنَادُهُ جَيِّدٌ.

Maksudnya:

“Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beristighfar untuk orang mukmin lelaki dan perempuan, nescaya Allah SWT akan menulis baginya pahala sebanyak bilangan orang mukmin lelaki dan perempuan tersebut.”

 

 

Kritikan:

Beristighfar untuk ibubapa kita memang dianjurkan oleh Islam sebagaimana hadis berikut:

 

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ: يَا رَبِّ أَنَّى لِي هَذِهِ؟ فَيَقُولُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ.

Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang shalih di syurga, lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?” Dijawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.”[1]

 

Namun persoalannya, apakah dalil pihak ASSSDK untuk mengatakan beristighfar untuk ibubapa digalakkan selepas solat fardhu? Apakah hujah mereka untuk mengkhususkan waktu terhadap satu amalan yang umum? Tidak ada dalil, tidak ada hujah. Maka yang benar beristighfar untuk ibubapa adalah amalan yang digalakkan perlaksanaannya pada bila-bila masa tanpa khusus kepada selepas solat fardhu.

Dalam kenyataan di atas, kelihatannya pihak ASSSDK keliru di antara zikir selepas solat fardhu dan doa selepas solat fardhu. Bezakan bahawa:

·         Zikir selepas solat fardhu adalah ibadah yang telah ditetapkan lafaznya oleh Allah dan Rasul-Nya. Peranan kita hanyalah mengamalkannya dan bukan mengubah-suainya. Di antara zikir itu ada yang berbentuk doa seperti bacaan istighfar dan bacaan:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.

Ya Allah! Bantulah aku untuk berzikir kepada Kamu, bersyukur kepada Kamu dan memperbaiki ibadahku kepada Kamu.[2]

 

Juga bacaan selepas solat Subuh:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً.

Ya Allah! Aku memohon daripada Kamu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.[3]

Sekalipun bacaan-bacaan di atas berbentuk doa, ia tetap masuk dalam kategori zikir yang sudah ditetapkan selepas solat fardhu.

 

·         Doa selepas solat fardhu adalah ibadah yang lafaznya dibiarkan terbuka kepada setiap individu untuk memohon apa jua yang dikehendakinya. Dalilnya adalah hadis yang telah dikemukakan sebelum ini:

 

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ اللَّهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ ثُمَّ لْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لْيَدْعُ بَعْدُ بِمَا شَاءَ.

Apabila seseorang kalian bersolat, maka mulailah dengan
memuji Allah dan memberi sanjungan ke atas-Nya, kemudian berselawat ke atas Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian berdoa sesudah itu dengan apa saja.
[4]

 

Oleh itu apabila seseorang itu ingin berdoa agar Allah Subhanahu wa Ta'ala mengampunkan ibubapa, guru-guru dan muslimin seluruhnya, dia melakukannya sebagai doa sesudah berzikir. Ia tidak menjadi sebahagian zikir tetapi menjadi doa yang dibaca selepas berzikir. Oleh kerana itulah, jika kita mencermati perkataan Ahmad bin Hambal rahimahullah yang dinukil oleh pihak ASSSDK, beliau berkata:

“Semenjak aku mula belajar ilmu dengan Imam al-Syafi’e, aku tidak lupa berdoa untuknya selepas solat fardhu lebih dahulu daripada kedua-dua ibubapaku.”

Ahmad bin Hambal tidak berkata:

“Semenjak aku mula belajar ilmu dengan Imam al-Syafi’e, aku tidak lupa berzikir untuknya selepas solat fardhu lebih dahulu daripada kedua-dua ibubapaku.”

Demikianlah juga dengan amalan berdoa agar Allah Subhanahu wa Ta'ala mengampunkan kesemua mukminin dan mukminat, ia adalah doa yang dianjurkan secara umum. Ia bukan satu bacaan zikir selepas solat fardhu dan bukan juga doa yang dikhususkan permohonannya selepas solat fardhu. Perhatikan semula hadis yang dimaksudkan:

 

مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ كَتَبَ اللهُ لَهُ بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَةً.

Sesiapa yang beristighfar untuk orang mukmin lelaki dan wanita, Allah menulis baginya, dengan setiap orang mukmin lelaki dan wanita, satu kebaikan.[5]

 

Ketika mengemukakan hadis ini, al-Haitsami rahimahullah tidak meletakkannya di bawah “Kitab al-Adzkar, Bab-bab berkenaan zikir-zikir selepas solat”[6], tetapi meletakkannya di bawah “Kitab al-Taubat, Bab-bab berkenaan istighfar dan yang seumpama, Bab istighfar untuk mukminin dan mukminat.”[7] Bererti al-Haitsami sendiri tidak memahami hadis ini sebagai satu zikir selepas solat fardhu mahupun sebagai satu doa khusus selepas solat fardhu.

Hanya pihak ASSSDK yang memahaminya sebagai zikir yang khusus selepas solat fardhu, satu kefahaman yang meletakkan hadis yang benar di tempat yang salah.

  

 

 

 


 

[1]               Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas kitab Musnad Ahmad, hadis no: 10610.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1522.

[3]               Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 762.

[4]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 3477.

[5]               Hasan: Dikeluarkan oleh al-Thabarani sebagaimana dikemukakan oleh al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 17598 dan al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Shogheir, hadis no: 8419. Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shogheir wa Ziyadatuh, hadis no: 6026.

[6]               Berdasarkan penomboran jilid dan mukasurat yang dirujuk oleh pihak ASSSDK, rujuk jld. 10, ms. 99 dan seterusnya.

[7]               Berdasarkan penomboran jilid dan mukasurat yang dirujuk oleh pihak ASSSDK, rujuk jld. 10, ms. 188 dan seterusnya.