36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

  
 

 

 

 

# 4: Zikir Jahr Atau Sirr: Tiga Pendapat Para Ilmuan.

 

ASSSDK 6:

Persoalan ini difokuskan kerana ada fahaman yang telah menghembur suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa berzikir dengan nyaring selepas solat fardhu lima waktu itu adalah Bida’ah.

 

Kritikan:

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

 

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menguatkan suara (jahr), pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. [al-A’raaf 7:205]

 

‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh menerangkan:

 

أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ...

 

 كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ.

 

“Sesungguhnya meninggikan suara dalam berzikir ketika manusia selesai solat fardhu ada pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.” (Ibn ‘Abbas juga berkata): “Aku mengetahui apabila mereka telah selesai (solat) dengan yang demikian (suara zikir yang kuat) apabila aku mendengarnya”.[1]

 

Berdasarkan ayat dan keterangan Ibn ‘Abbas di atas, terhasil tiga pendapat di kalangan para ilmuan berkenaan kedudukan suara ketika berzikir selepas solat fardhu:

·         Pertama: Zikir dilaksanakan secara kuat (jahr) oleh imam dan makmum. Keterangan Ibn ‘Abbas mengecualikan keumuman ayat 205 surah al-A’raaf. Maksudnya, zikir secara umum dilaksanakan secara perlahan (sirr) kecuali selepas solat fardhu di mana ia dilaksanakan secara kuat (jahr).

·         Kedua: Zikir dilaksanakan secara perlahan (sirr) oleh imam dan makmum. Keterangan Ibn ‘Abbas hanya merujuk kepada zaman awal Islam, ketika solat berjamaah baru disyari’atkan. Ketika itu umur beliau masih teramat muda dan beliau tidak ikut serta bersolat jamaah. Seandainya beliau ikut serta berjamaah, nescaya beliau mengetahui solat telah selesai apabila makmum sama-sama memberi salam ke kanan dan kiri[2], bukannya dengan kedengaran suara zikir yang kuat.

·         Ketiga: Zikir dilaksanakan dengan perlahan (sirr) berdasarkan ayat 205 surah al-A’raaf. Sekali sekala apabila imam ingin mengajar makmum kalimah zikir, maka ia dikuatkan (jahr) berdasarkan keterangan Ibn ‘Abbas. Sebelum dikuatkan, diperhatikan bahawa tidak ada makmum masbuq yang masih melaksanakan baki solatnya. Ini kerana berzikir secara kuat (jahr) akan mengganggu orang yang masih bersolat dan ini adalah sesuatu yang dilarang berdasarkan hadis berikut:

 

عَنِ الْبَيَاضِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَقَدْ عَلَتْ أَصْوَاتُهُمْ بِالْقِرَاءَةِ فَقَالَ:

 

إِنَّ الْمُصَلِّي يُنَاجِي رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَلْيَنْظُرْ مَا يُنَاجِيهِ وَلاَ يَجْهَرْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ بِالْقُرْآنِ.

 

Daripada al-Bayadhi (radhiallahu ‘anh, dia berkata): Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada suatu ketika keluar kepada orang ramai (di masjid) dan mendapati mereka sedang bersolat dengan menguatkan suara ketika melakukan bacaan al-Qur’an (dalam solat). Maka Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang bermunajat kepada tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka hendaklah diperhatikan apa yang sedang dimunajatkan itu. Dan janganlah sebahagian kalian menguatkan suara (jahr) di atas sebahagian lain dengan bacaan al-Qur’an.”[3]

 

Pendapat ketiga merupakan pertengahan di antara pendapat pertama dan kedua. Ia merupakan pendapat al-Syafi’e rahimahullah dan kebanyakan ahli peneliti (muhaqqiq) yang telah menelusuri dalil dan hujah pendapat pertama dan kedua. Ia adalah pendapat yang paling mendekati sunnah di antara tiga pendapat di atas. al-Nawawi rahimahullah menjelaskan:

 

هذا دليل لما قاله بعض السلف أنه يستحب رفع الصوت بالتكبير والذكر عقب المكتوبة.

 

وممن استحبه من المتأخرين ابن حزم الظاهري,

 

ونقل ابن بطال وآخرون أن أصحاب المذاهب المتبوعة وغيرهم متفقون على عدم استحباب رفع الصوت بالذكر والتكبير,

 

وحمل الشافعي - رحمه اللَّه تعالى - هذا الحديث على أنه جهر وقتا يسيرا حتى يعلمهم صفة الذكر, لا أنهم جهروا دائما.

 

Ini (keterangan Ibn ‘Abbas) menjadi dalil bagi sebahagian salaf menyukai untuk meninggikan suara dengan takbir dan zikir setelah solat fardhu. Dan di kalangan tokoh mutakhir yang turut menyukainya ialah Ibn Hazm al-Zhahiri (Pendapat Pertama).

Ibn Baththal dan selainnya menaqal bahawa para tokoh mazhab yang menjadi rujukan umat dan selain mereka bersepakat untuk tidak menyukai meninggikan suara ketika zikir mahupun takbir (Pendapat Kedua).

al-Syafi’e rahimahullah ta‘ala mengambil kefahaman atas hadis ini bahawa mereka menguatkan suara hanya untuk tempoh waktu yang singkat sehingga mereka mempelajari sifat zikir, bukan bererti mereka terus menerus menguatkan bacaan zikir (Pendapat Ketiga).[4]

 

Persoalan seterusnya, bolehkah menghukum pendapat pertama sebagai bid’ah? Pada asalnya tidak boleh kerana sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, tidak boleh menghukum bid’ah perkara khilaf yang memiliki dalil dan penghujahan yang betul. Walaubagaimanapun jika sesuatu amalan itu, sama ada yang disyari’atkan atau diperselisihkan, mampu menjadi pendorong kepada berlakunya bid’ah, maka amalan itu sendiri dihukum bid’ah.

Ini berdasarkan kaedah usul fiqh yang disebut sebagai Sadd al-Zari‘ah, iaitu jalan atau sarana yang mendorong kepada sesuatu yang dilarang oleh syari’at. Apabila sesuatu perkara itu dilarang oleh syari’at, maka apa-apa sarana yang mendorong ke arah pelarangan itu dilarang juga. Kaedah ini merupakan salah satu sumber hukum Islam disepakati oleh para ilmuan.[5] Contoh yang lazim ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat. [al-Isra’ 17:32] Berzina hukumnya haram dan berdasarkan ayat di atas, apa-apa yang menghampirkan seseorang itu kepada zina, yakni menjadi sarana yang mendorong seseorang itu melakukan zina, maka ia diharamkan juga.

 

Contoh kedua ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

 

كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

 

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. [al-An’aam 6:108] Mencerca Allah adalah sesuatu yang dilarang dan berdasarkan ayat di atas, melakukan sesuatu yang mendorong orang lain mencerca Allah adalah dilarang juga.

 

Dalam kitab-kitab usul fiqh, dikemukakan tiga syarat sebelum sesuatu perkara itu dihukum sebagai Sadd al-Zari‘ah, iaitu:

·         Syarat Pertama: Perkara itu secara pasti dapat mendorong kepada yang dilarang. Jika ragu-ragu atau sekadar kemungkinan, maka ia tidak dihukum sebagai Sadd al-Zari‘ah.

·         Syarat Kedua: Perkara itu berlaku secara meluas atau dengan kekerapan yang tinggi sehingga dapat mendorong kepada yang dilarang. Jika ia berlaku secara terpencil atau sekali-sekala, maka ia tidak termasuk dalam kategori Sadd al-Zari‘ah.

·         Syarat Ketiga: Perkara itu apabila dilarang tidak akan menimbulkan kerosakan (mafsadat) yang lebih besar berbanding jika ia dibiarkan. Jika menimbulkan kerosakan yang lebih besar, maka ia tidak termasuk dalam kategori Sadd al-Zari‘ah.

 

Kaedah usul fiqh Sadd al-Zari‘ah juga digunakan dalam subjek bid’ah. Bid’ah dilarang oleh agama dan apa-apa yang mendorong kepada bid’ah, maka ia dilarang juga. Muhammad bin Husain al-Jizani hafizhahullah menerangkan:

 

Setiap amalan, sekalipun disyari’atkan, yang mendorong kepada upaya mengada-adakan dalam agama (bid’ah) maka amalan itu dihukum bid’ah sekalipun pada asalnya ia bukan bid’ah…… Diketahui bahawa apa yang boleh mendorong kepada sesuatu yang dilarang, maka ia juga dilarang kerana sarana diberi hukum yang sama dengan tujuannya. Oleh sebab itu sesungguhnya segala sesuatu yang mendorong kepada bid’ah maka ia dikategori sebagai bid’ah juga. Hukumnya sama dengan hukum bid’ah.[6]

 

Kembali kepada pendapat berzikir secara kuat selepas solat fardhu, ia pada asalnya termasuk perkara khilaf yang tidak dihukum sebagai bid’ah. Namun pengamalannya secara kerap lagi berleluasa (syarat kedua) sebagaimana di Malaysia menyebabkan ia menjadi pendorong kepada satu amalan bid’ah yang jelas (syarat pertama), iaitu berzikir dengan irama atau rentak tertentu. Ia juga menimbulkan kerosakan yang besar (syarat ketiga) kerana kebanyakan orang berzikir bukan kerana mengamati maksud di sebalik kalimah zikir tetapi kerana seronok lagi khusyuk dengan alunan irama dan rentak zikir. Maka atas kaedah Sadd al-Zari‘ah, berzikir secara kuat selepas solat fardhu dihukum sebagai bid’ah.

 

 


 

[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 841 (penomboran Fu‘ad ‘Abd al-Baqi).

[2]               Pada zaman itu tidak ada sistem pembesar suara untuk makmum mendengar imam memberi salam pengakhir solat.

[3]               Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan ia dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad (Muassasah al-Risalah, Beirut, 1999), hadis no. 19022.

[4]               al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj (tahqiq: ‘Irfan Hasaunah; Dar al-Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, 2000), jld. 3, ms. 397. Rujukan ini seterusnya disebut sebagai al-Minhaj sahaja.

[5]               Muhammad Abu Zahrah – Ushul al-Fiqh (edisi terjemahan oleh Saefullah Ma’shum atas judul Ushul Fiqh; Pustaka Firdaus, Jakarta, 1994), ms. 447.

[6]               Qawa’id Ma’rifat al-Bida’, ms. 50-51 secara berpisah dan olahan bahasa.