36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

  
 

 

 

 

# 6: al-Hafiz Ibn Hajar Menyokong Amalan Zikir Secara Kuat Di Malaysia?

 

ASSSDK 8:

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani ketika mengulas kenyataan Abdullah Ibnu Abbas tadi telah Berkata:

“Hadis ini menjadi dalil harus berzikir secara nyaring selepas solat fardhu lima waktu…….”

 

Kritikan:

Timbul persoalan, apabila al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berhujah sedemikian, adakah berzikir secara kuat yang beliau maksudkan itu dilakukan secara sentiasa atau sekali-sekala untuk mengajar makmum? Jawapan kepada persoalan ini dapat diperolehi dengan merujuk kepada penjelasan al-Hafiz Ibn Hajar seterusnya, yang dapat diringkaskan seperti berikut:

  1. Setelah menyatakan diboleh berzikir secara kuat, al-Hafiz Ibn Hajar menukil perbincangan di kalangan ulama’ lain bahawa berzikir secara kuat bukanlah satu kebiasaan di kalangan generasi al-Salaf al-Shalih. Terdapat beberapa pemimpin dan kelompok orang yang suka berzikir secara kuat selepas solat, namun kesukaan mereka tenggelam di dalam kebiasaan generasi al-Salaf al-Shalih yang berzikir secara perlahan. Terlalu biasa sehingga Ibn ‘Abbas mengeluarkan kenyataan bahawa dibolehkan zikir secara kuat jika ada keperluan syar’e di sebaliknya.

  2. Seterusnya al-Hafiz Ibn Hajar menukil kata-kata al-Nawawi rahimahullah bahawa “…pandangan yang terpilih adalah bahawa imam dan makmum sama-sama menyembunyikan bacaan zikir kecuali apabila berhajat untuk mengajar.”

  3. Dalam bab yang seterusnya, iaitu bab “Imam menghadap manusia apabila (selesai) memberi salam”, al-Hafiz Ibn Hajar menukil pendapat para ulama’ akan hikmah mengapa imam berpusing menghadap makmum setelah selesai solat. Antara pendapat yang dinukil ialah:

وقيل الحكمة فيه تعريف الداخل بأن الصلاة انقضت, إذ لو استمر الإمام على حاله لأوهم أنه في التشهد مثلا.

Dikatakan, hikmahnya ialah untuk memberitahu orang yang baru masuk (masjid) bahawa solat telah selesai, sebab jika imam masih tetap seperti posisinya yang asal (tanpa berpusing menghadap makmum), akan timbul sangkaan bagi yang baru datang bahawa imam masih sedang solat dalam posisi duduk tasyahud, misalnya.[1]

Nah! Seandainya al-Hafiz Ibn Hajar berpendapat imam sentiasa berzikir secara kuat, nescaya tidak perlu beliau mengemukakan penjelasan di atas. Atau beliau menukilnya hanya untuk menerangkan kebatilannya. Ini kerana bagi orang yang baru masuk masjid, mereka dapat mengetahui bahawa imam telah selesai solat dengan bacaan zikir yang kuat tanpa perlu melihat-lihat imam menghadap ke arah mana.

Sebaliknya apabila al-Hafiz Ibn Hajar menukil pendapat di atas tanpa sebarang penafian, ia mengisyaratkan beliau sejak awal memang berpendapat bahawa imam hanya berzikir secara kuat sekali-sekala untuk mengajar makmum. Waktu selebihnya, imam dan makmum berzikir secara perlahan dengan imam berpusing menghadap makmum supaya orang yang baru masuk masjid mengetahui bahawa imam telah selesai solat.

Tiga penjelasan ini memberikan jawapan kepada kita bahawa apabila al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dan di dalamnya terkandung dalil dibolehkan menguatkan suara saat membaca zikir ketika selesai solat”, bahawa yang dimaksud beliau ialah menguatkan suara sekali-sekala untuk imam mengajar makmum. Ia bukan sentiasa atau berterusan sebagaimana yang lazim diamalkan di Malaysia.

 


 

[1]               Fath al-Bari, jld. 2, ms, 603.