36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

  
 

 

 

 

#7: Kata-Kata Ibn Rejab Yang Disembunyikan.

 

ASSSDK 11:

Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hambali berkata lagi:

“Sesungguhnya Hadis Abdullah Ibnu Abbas menjadi dalil boleh bertakbir dengan nyaring selepas solat fardhu. Berkata al-Qadhi Abu Ya’la di dalam kitabnya الجامع الكبير : “Secara zahirnya, kesimpulan yang dapat diambil daripada kata-kata Imam Ahmad bin Hambal ialah ……

 

Kritikan:

Sebelum mengemukakan nukilan di atas, pihak ASSSDK telah memberikan pengenalan yang positif ke atas al-Hafiz Ibn Rejab al-Hambali rahimahullah. Antara lain mereka berkata:

 

AL-HAFIZ IBNU REJAB AL-HAMBALI, juga merupakan salah seorang tokoh ulama’ Hadis terkemuka. Bermazhab Hambali dan juga memiliki kitab Syarah kepada Sahih Bukhari yang namanya menyamai dengan nama kitab karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani iaitu Fathu al-Baari. Al-Hafiz Ibnu Rejab telah mengulas dengan panjang lebar mengenai permasalahan ini di dalam kitabnya Fathu al-Baari. Di sini kami telah memetik sebahagian daripadanya untuk tatapan pembaca budiman. [ASSSDK 9]

 

Saya tidak pasti sama ada pengenalan yang positif ini diberikan oleh pihak ASSSDK kerana mereka benar-benar menghormati ketokohan beliau atau semata-mata untuk membeli keyakinan para pembaca kepada seseorang yang tidak dikenali ramai? Ini kerana jika pihak ASSSDK benar-benar menghormati ketokohan beliau, kenapakah kata-kata beliau yang penting disembunyikan? Kenapakah yang dinukil hanya apa yang menyokong kecenderungan pihak ASSSDK (zikir secara kuat) sementara apa yang menyelisihinya (zikir secara perlahan) disembunyikan?

Buktinya ialah nukilan berikut: “Sesungguhnya Hadis Abdullah Ibnu Abbas menjadi dalil boleh bertakbir dengan nyaring selepas solat fardhu. (*****) Berkata al-Qadhi Abu Ya’la di dalam kitabnya الجامع الكبير : “Secara zahirnya, kesimpulan yang dapat diambil daripada kata-kata Imam Ahmad bin Hambal ialah …… di mana terdapat kata-kata al-Hafiz Ibn Rejab yang penting di bahagian yang saya tandakan (*****) yang telah disembunyikan. Berikut dikemukakan kata-kata penuh al-Hafiz Ibn Rejab:

 

وقد دل حديث ابن عباسٍ على رفع الصوت بالتكبير عقب الصلاة المفروضة،

 

وقد ذهب الظاهره أهل الظاهر وحكي عن أكثر العلماء خلاف ذلك،

 

وأن ألافضل الإسرار بالذكر؛ لعموم قوله تعالى:

 

(وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَخِيفَةً) [الأعراف: 205]

 

وقوله تعالى: (ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعاً وَخُفْيَةً) [الأعراف: 55]،

 

ولقول النَّبيّ لمن جهر بالذكر من أصحابه: ((إنكم لا تدعون أصم ولا غائباً)).

 

Hadis Ibn ‘Abbas telah dijadikan dalil untuk bertakbir dengan meninggikan suara selepas solat-solat fardhu. (Pemahaman) secara zahir ini telah diambil oleh ahli zahir dan dihikayatkan daripada kebanyakan ulama’ terkemudian (pemahaman) yang sedemikian. Namun yang lebih utama ialah memperlahankan suara ketika berzikir berdasarkan keumuman firman Allah Ta‘ala: Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut [al-‘A’raaf 7:205] dan firman Allah Ta‘ala: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.” [al-A’raaf 7:55] Juga berdasarkan sabda Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) kepada mereka yang berzikir secara kuat dari kalangan sahabat baginda: “Sesungguhnya kalian tidak menyeru kepada yang pekak mahupun jauh.”

 

وحمل الشافعي حديث ابن عباسٍ هذا على أنه جهر به وقتاً يسيراً حتى يعلمهم صفة الذكر؛

 

لا أنهم جهروا دائماً. قال: فأختار للإمام والمأموم أن يذكروا الله بعد الفراغ من الصلاة، ويخفيان ذلك،

 

إلا أن يكون إماما يريد أن يتعلم منه، فيجهر حتى يعلم، أنه قد تعلم منه، ثم يسر. وكذلك ذكر أصحابه.

 

وذكر بعض أصحابنا مثل ذلك - أيضاً. ولهم وجهٌ آخر: أنه يكره الجهر به مطلقاً.

 

وقال القاضي أبو يعلى في ((الجامع الكبير)) : ظاهر كلام أحمد......

 

Dan al-Syafi’e mengambil hadis Ibn ‘Abbas ini bahawa yang dimaksudkan dengan suara yang kuat adalah dalam tempoh yang seketika sehingga mereka dapat mempelajari sifat zikir, mereka tidak menguatkan suara dalam tempoh yang selama-lamanya. Berkata (al-Syafi’e): “Maka aku memilih agar imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat dan mereka memperlahankan zikir itu kecuali jika imam menghendaki (makmum) mempelajari daripadanya (sifat zikir), maka dikuatkan sehingga dapat diajar dan apabila mereka (makmum) sudah belajar daripadanya, diperlahankan (semula).

(Pemahaman) seperti ini disebut oleh para tokoh mazhab al-Syafi’e dan disebut oleh sebahagian tokoh mazhab kami (Hambali) pendapat yang semisal juga. Walaubagaimanapun bagi para tokoh (mazhab Hambali) ada pendapat lain, bahawa secara mutlak dibenci zikir yang kuat. Dan berkata al-Qadhi Abu Ya’la dalam kitabnya al-Jami’ al-Kabir: “Zahir perkataan Ahmad…”[1]

 

Berdasarkan keseluruhan kata-kata al-Hafiz Ibn Rejab ini, beliau sebenarnya telah mengemukakan tiga pendapat berkenaan kedudukan suara ketika berzikir selepas solat fardhu:

·         Pendapat Pertama: Zikir sentiasa dilaksanakan secara kuat.

·         Pendapat Kedua: Zikir dilaksanakan secara perlahan kecuali apabila imam ingin mengajar makmum, maka ia dikuatkan sehingga makmum dapat mempelajarinya. Kemudian ia kembali diperlahankan.

·         Pendapat Ketiga: Zikir sentiasa dilaksanakan secara perlahan.

Di antara tiga pendapat ini yang manakah merupakan pilihan al-Hafiz Ibn Rejab? Ia adalah pendapat kedua. Petandanya ialah perkataan “mutlak” yang beliau gunakan untuk pendapat ketiga. Ertinya, sekalipun beliau menyatakan bahawa yang utama ialah berzikir secara perlahan, ia bukanlah mutlak diperlahankan. Ia boleh dikuatkan jika ada keperluan bagi imam mengajar makmum.

Sungguh, merupakan sesuatu yang menjatuhkan maruah dan mencabut kejujuran terhadap pihak ASSSDK apabila mereka memuji-muji al-Hafiz Ibn Rejab al-Hambali rahimahullah, kemudian menyembunyikan kata-kata beliau dalam apa yang mereka nukilkan. 


 

[1]               Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Rejab (www.saaid.net), jld. 5, ms. 235-236.