36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

  
 

 

 

 

# 8: Kesilapan Menterjemah Kata-Kata al-Hafiz Ibn Rejab.

 

ASSSDK 11:

Berkata al-Qadhi Abu Ya’la di dalam kitabnya الجامع الكبير : “Secara zahirnya, kesimpulan yang dapat diambil daripada kata-kata Imam Ahmad bin Hambal ialah beliau telah berpendapat sunat bagi imam berzikir dan berdoa secara nyaring selepas solat fardhu lima waktu sekadar didengari oleh para makmum dan tidak lebih dari itu.” Al-Qadhi Abu Ya’la juga telah menyebut beberapa petikan kenyataan daripada Imam Ahmad yang menunjukkan bahawa beliau telah berzikir dengan nyaring untuk beberapa kalimah zikir dan berdoa secara perlahan. Catatan dan kenyataan yang telah diberikan oleh al-Qadhi Abu Ya’la adalah tepat.

 

Kritikan:

Terjemahan di atas perlu disemak semula. Ia seperti berikut:

 

وقال القاضي أبو يعلى في ((الجامع الكبير)): ظاهر كلام أحمد: أنه يسن للإمام الجهر بالذكر

 

والدعاء عقب الصلوات بحيث يسمع المأموم، ولا يزيد على ذلك.

 

وذكر عن أحمد نصوصاً تدل على أنه كان يجهر ببعض الذكر، ويسر الدعاء. وهذا هو الأظهر.

 

Berkata al-Qadhi Abu Ya’la dalam kitabnya al-Jami’ al-Kabir bahawa perkataan Ahmad secara zahirnya menunjukkan beliau menghukum sunat imam berzikir dan berdoa secara kuat selepas solat (fardhu) sekadar yang didengar oleh makmum, tidak ditambah (dikuatkan lagi) di atas itu. Dan disebut daripada Ahmad beberapa kenyataan yang menunjukkan bahawa beliau pernah membaca sebahagian zikir secara kuat dan memperlahankan doa.  Inilah yang paling tepat.[1]

 

Merujuk kepada kata-kata al-Hafiz Ibn Rejab di atas:

  1. Beliau menukil kata-kata al-Qadhi Abu Ya’la yang menerangkan pendapat Ahmad bin Hambal rahimahullah yang menghukum sunat bagi imam berzikir dan berdoa secara kuat selepas solat fardhu. Ini merupakan pendapat pertama Ahmad bin Hambal.

  2. Seterusnya al-Hafiz Ibn Rejab menerangkan bahawa terdapat juga kenyataan daripada Ahmad bin Hambal, bahawa beliau hanya berzikir secara kuat untuk sebahagian zikir sementara berdoa secara perlahan. Ini merupakan pendapat kedua Ahmad bin Hambal.

  3. Terhadap kedua-dua pendapat ini, al-Hafiz Ibn Rejab menyimpulkan bahawa pendapat kedua adalah paling tepat.

 

Berdasarkan nukilan dan simpulan al-Hafiz Ibn Rejab di atas, Ahmad bin Hambal membaca sebahagian zikir secara kuat dan sebahagian lagi secara perlahan selepas solat fardhu. Tidak diterangkan faktor apakah yang menyebabkan beliau membezakan zikir itu antara kuat dan perlahan. Adalah selamat untuk dikatakan bahawa kemungkinan beliau menguatkan zikir yang belum diketahui oleh makmum, umpama bacaan tahlil yang panjang, dalam rangka mengajar mereka dan memperlahankan zikir yang sudah diketahui oleh makmum umpama tasbih, tahmid dan takbir. Adapun doa selepas solat fardhu, ia sentiasa secara perlahan.

Merupakan satu kelaziman untuk seseorang imam mazhab memiliki dua atau lebih pendapat dalam sesuatu persoalan dan para tokoh mazhab selepas itu akan menerangkan pendapat manakah yang paling tepat atau paling kuat. Dalam mazhab al-Syafi’e misalnya, al-Nawawi rahimahullah biasa menukil beberapa pendapat daripada al-Syafi’e dan kemudiannya menerangkan pendapat manakah yang lebih tepat atau lebih kuat.

Nampaknya pihak ASSSDK tidak biasa dengan kelaziman ini sehingga mereka salah dalam menterjemah وهذا هو الأظهر daripada Inilah yang lebih tepat” kepada “Catatan dan kenyataan yang telah diberikan oleh al-Qadhi Abu Ya’la adalah tepat”. Harapnya kesalahan ini tidak disengajakan kerana kelihatannya ia condong ke arah menyokong pendapat pihak ASSSDK untuk sentiasa berzikir dan berdoa secara kuat selepas solat fardhu.

 


 

[1]               Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Rejab, jld. 5, ms. 236.