36 Kritikan Ke Atas Buku
Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya

 

Hafiz Firdaus Abdullah

  
 

 

 

 

#9: Nukilan Kata-Kata Ibn Rejab Yang Di Luar Konteks.

 

Setelah mengemukakan beberapa riwayat daripada kitab Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Rejab berkenaan tindakan beberapa sahabat yang berzikir secara kuat pihak ASSSDK menyimpulkannya dengan nukilan berikut:

Sesungguhnya suatu ketika, Abidah bin al-Silmaani telah mengingkari tindakan Mas’ab bin al-Zubair bertakbir selepas memberi salam daripada solat fardhu. Boleh jadi beliau bersikap sedemikian kerana Mas’ab mengucapkan takbir tersebut secara nyaring dalam keadaan menghadapkan tubuh dan mukanya ke arah kiblat iaitu sebelum berpaling dari arah kiblat. Penafsiran seperti ini adalah mengikut sebagaimana yang tercatat dalam kitab عبد الرزاق. Kesimpulannya apabila sesuatu amalan telah sabit dalam mana-mana Hadis sahih dan ianya telah diamalkan oleh para sahabat RA, maka tidak boleh kita mengingkari atau memulaukannya. [ASSSDK 15]

 

Kritikan:

Kesimpulan di atas terasa janggal kerana al-Hafiz Ibn Rejab sendiri sebagaimana yang dikemukakan dalam kritik sebelum ini, telah memilih pendapat bahawa zikir selepas solat fardhu dilaksanakan secara perlahan melainkan jika imam ingin mengajar makmum, maka ia dikuatkan. Adapun riwayat-riwayat yang beliau kemukakan berkenaan para sahabat yang berzikir secara kuat, ia adalah sebagai dalil ke atas pendapat Ahmad bin Hambal rahimahullah yang membaca sebahagian zikir secara kuat. Ia juga untuk membetulkan pendapat sesetengah tokoh mazhab Hambali yang secara mutlak membenci zikir dengan suara yang kuat.

Atas semua ini, maka mengapakah al-Hafiz Ibn Rejab membela tindakan Mus‘ab yang berzikir secara kuat selepas solat dan membantah pengingkaran ‘Abidah bin al-Salmani dengan hujah: “Kesimpulannya apabila sesuatu amalan telah sabit dalam mana-mana Hadis sahih dan ianya telah diamalkan oleh para sahabat RA, maka tidak boleh kita mengingkari atau memulaukannya”?

Kejanggalan ini menyebabkan saya mencari-cari nukilan kata-kata al-Hafiz Ibn Rejab di atas dan menemuinya kira-kira dua puluh muka surat selepas perbincangan berkenaan zikir secara suara kuat atau perlahan. Nukilan di atas sebenarnya merujuk kepada hukum berzikir selepas solat dan bukannya kedudukan suara ketika berzikir selepas solat.

Berikut diturunkan kata-kata al-Hafiz Ibn Rejab yang sepenuhnya. Setelah mengemukakan sekian banyak hadis berkenaan bacaan-bacaan zikir selepas solat, beliau berkata:

 

وفي الذكر عقب الصلوات المكتوبات أحاديث أخر. وجمهور أهل العلم على استحبابه،

 

وقد روي عن علي وابن عباسٍ وابن الزبير وغيرهم، وهو قول عطاءٍ والثوري والشافعي وأحمد وإسحاق وغيرهم.

 

Berkenaan zikir selepas solat fardhu terdapat banyak lagi hadis yang lain. Majoriti ahli ilmu menyukainya (menghukumnya sunat) dan pendapat ini telah diriwayatkan daripada ‘Ali (bin Abi Thalib), Ibn ‘Abbas, Ibn al-Zubair dan selain mereka (radhiallahu 'anhum). Ini juga merupakan pendapat ‘Atha’, al-Tsauri, al-Syafi’e, Ahmad, Ishaq dan selain mereka (rahimahumullah).

 

وخالف فيه طائفةٌ قليلةٌ من الكوفيين، وقد تقدم عن عَبِيدَةَ السَّلْمَانِيِّ أنه عد التكبير عقب الصلاة من البدع،

 

ولعله أراد بإنكاره على مُصْعَبِ، أنه كان يقوله مستقبل القبلة قبل أن ينحرف ويجهر،

 

كذلك هو في ((كتاب عبد الرزاق))، وإذا صحت السنة بشيءٍ وعمل بها الصحابة، فلا تعدل عنها.

 

Pendapat ini diperselisihi oleh sekumpulan kecil daripada warga Kufah, sebagaimana yang telah dinyatakan daripada ‘Abidah al-Salmani bahawasanya dia memandang takbir selepas solat adalah bid’ah. Kemungkinan dia mengingkari Mus‘ab (yang bertakbir selepas solat) kerana dia (Mus‘ab) menyebutnya dengan menghadap kiblat sebelum berpindah dan dia menyebutnya secara kuat, demikian sebagaimana yang disebut dalam kitab ‘Abdurrazzaq. Apapun, apabila sesuatu sunnah adalah sahih dan menjadi amalan para sahabat, maka tidak boleh berubah daripadanya.[1]

 

Dengan merujuk kepada keseluruhan nukilan Fath al-Bari di atas, dapat difahami tanpa perasaan janggal bahawa tindakan Mus‘ab yang dibela oleh al-Hafiz Ibn Rejab merujuk kepada amalan berzikir selepas solat dan bukannya berzikir secara kuat selepas solat. Pengingkaran ‘Abidah yang dibantah oleh al-Hafiz Ibn Rejab dengan merujuk kepada hadis sahih dan amalan para sahabat merujuk kepada amalan berzikir selepas solat dan bukannya berzikir secara kuat.

Sangat dikesali tindakan pihak ASSSDK yang menukil kata-kata al-Hafiz Ibn Rejab di atas dalam suasana di luar konteks perbicaraan. Jika dirujuk kepada susunan bab dalam buku ASSSDK, nukilan di atas sepatutnya diletakkan dalam bab “Hukum Berzikir Selepas Solat Fardhu” dan bukannya bab “Hukum Berzikir Secara Nyaring Selepas Solat Fardhu”.

 

 


 

[1]               Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Rejab, jld. 5, ms. 254.