Kata-kata Aluan

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

 

 

Segala pujian hanya layak bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang telah menyempurnakan segala nikmat untuk semua hamba-Nya, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam contoh ikutan kita semua. Selawat dan salam juga untuk kaum keluarga baginda, para sahabat dan sesiapa yang mengikuti sunnah baginda hingga hari manusia dibangkitkan.

 

Hidup di alam dunia ini ada peraturan dan undang-undangnya. Tanpa mengira di mana jua seseorang itu berada, pasti tidak akan terlepas dari apa saja peraturan dan susun atur yang perlu dituruti. Di jalanraya, para pengguna jalanraya terpaksa akur dengan peraturan lalu lintas seperti lampu isyarat dan kadar had laju. Di sekolah, seorang murid terpaksa mematuhi segala peraturan sekolah yang telah ditetapkan oleh pihak badan disiplin.

 

Maka begitulah seterusnya dalam semua hal dan situasi yang ditempuhi oleh manusia. Ajaran Islam sangat menekankan soal disiplin. Sebagai contoh dalam bab solat berjemaah, makmum perlu mengikuti setiap pergerakan imam bermula dari takbiratul ihram hingga salam. Adalah menjadi kesalahan jika makmum mendahului imam dalam apa jua pergerakan ketika solat. Ini kerana peraturan solat berjemaah telah menetapkan begitu.

 

Apabila kita menyentuh soal ilmu agama, maka ia juga tidak terlepas dari peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah tertentu yang di namakan disiplin ilmu ataupun manhaj. Perbincangan tentang permasalahan hukum fiqh tidak akan terlepas dari disiplin ilmu usul (al-fiqh) atau juga kaedah hukum fiqh (qawaid fiqhiyyah). Perbahasan dalam ilmu tafsir pula tidak terlepas dari disiplin ilmu tafsir iaitu usul al-tafsir atau ulum al-qur’an. Ilmu hadis pula terikat kuat dengan disiplin ilmu dalam bidang mustalah hadis mencakupi ilmu riwayah dan dirayahnya.

 

Sekiranya ada pihak yang menyampaikan ilmu agama melalui apa jua medium penyampaiannya – secara kuliah, penulisan artikel, penulisan buku  - lalu mengabaikan kepentingan disiplin ilmu itu sendiri, nescaya akan berlakulah pelbagai kesilapan yang bakal menatijahkan kesan yang sangat buruk. Di dalam bidang penulisan buku-buku agama, terdapat banyak buku-buku agama yang ditulis dengan pendekatan yang sangat meremehkan kepentingan berpegang kepada disiplin ilmu. Sebagai contoh, matan hadis yang dikemukakan oleh pihak penulis kadang-kadang tidak dinyatakan rujukannya. Terdapat juga penulis yang merujuk sesuatu hadis bukan kepada kitab hadis yang asal dan tidak pula memperkatakan kedudukan sanadnya.

 

Selain itu wujud juga penulis yang mengheret penjelasan para ulamak dalam karangan kitab mereka kepada satu maksud yang jauh berbeza dari yang asalnya. Tidak kurang yang menganggap pendapat para ulamak hasil dari ijtihad mereka itu sebagai satu hukum yang dikira sebagai sunnah yang tetap.

 

 Pada masa kini, masyarakat Islam yang mempunyai kesedaran beragama dilihat  begitu ghairah dan berminat untuk kembali beramal berdasarkan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasaallam. Fenomena sebegini menyebabkan sesetengah pihak yang berjuang untuk mempertahankan sunnah tradisi masyarakat agar dilihat ia sebagai sunnah Rasul, bermati-matian mengemukakan pelbagai hujah, pendapat ulamak, kitab-kitab rujukan dan sebagainya. Tanpa disedari, kaedah penyampaian hujah itu didatangkan dengan manhaj yang salah. Dengan lain perkataan,  ilmu disampaikan tanpa mengikut peraturannya. Kesannya ialah keunggulan dunia kesarjanaan terpalit dengan pelbagai aneka perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

 

Saudara pembaca boleh membayangkan bagaimana huru-haranya sebuah sekolah jika pelajar-pelajarnya datang dan pulang ke rumah sesuka hati. Jika di sekolah tiada disiplin yang menetapkan waktu datang dan pulang, mungkin pelajar akan datang pukul 9 pagi dan pulang pukul 11 pagi.  Cuba bayangkan, betapa dahsyatnya kemalangan jalanraya yang akan berlaku di persimpangan jalan jika tiada kemudahan lampu isyarat disediakan.  Kesan yang lebih buruk dari kemalangan jalanraya ialah apabila kaedah penyampaian ilmu dilakukan tanpa berpegang kepada disiplin dan manhaj yang betul. Jika kemalangan jalanraya hanya mengakibatkan korban nyawa di jalanraya, maka penyampaian ilmu yang salah disiplin dan manhaj akan membawa kesan buruk hingga ke akhirat.

 

Di antara buku agama yang telah muncul di pasaran dan tidak menepati piawaian penyampaian ilmu mengikut disiplin dan manhaj sebenar ialah buku “Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya”. Jika mahu disenaraikan, terdapat berpuluh-puluh kesilapan di dalam buku ini dengan pelbagai ragam dan bentuknya. Sahabat saya, Kapten Hafiz Firdaus bin Abdullah telah membuat semakan semula ke atas buku yang dimaksudkan, lalu menjawab serta menjelaskan beberapa kesilapannya secara terperinci. 

 

Kepada para pembaca yang pernah membaca buku tersebut, maka amat dianjurkan membaca buku ini yang diberi jodol “36 Kritikan Ke Atas Buku Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya” sebagai satu bahan kajian perbandingan. Bacalah dan kajilah dengan minda yang terbuka, bebas tanpa menyebelahi mana-mana pihak, bersikap adil dan jujur ketika menganalisa. Akhirnya mohonlah  petunjuk dari Allah Subhanahu wa Ta’ala agar pembaca dapat membezakan antara “sunnah masyarakat” dan “sunnah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam”.

 

 

 

Ustaz Badrul Hisham b. Sulaiman

Kota Bharu, Kelantan.