Pendahuluan

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ

Posmen memasukkan sebuah bungkusan yang kemas ke dalam peti surat rumah saya. Di dalamnya terkandung sebuah buku berjudul Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya (seterusnya diringkaskan sebagai ASSSDK) beserta sebuah surat daripada ustaz yang saya kasihi, Ustaz Badrul Hisham bin Sulaiman. Beliau telah mengepos buku tersebut kepada saya dari Kota Bahru pada 5 Mei 2009.

Surat itu dimulai dengan:

Assalamualaikum,

Apa khabar kapten ? Mudah-mudahan sihat sentiasa hendaknya.

Di sini ana hadiahkan senaskah buku berjodol “Amalan Sunnah Selepas Solat” untuk disemak, diteliti dan dianalisa beberapa perkara yang terdapat di dalamnya.

Sememangnya terdapat beberapa kelemahan ketara dalam penghujahan yang dikemukakan oleh pengarang, bahkan adakalanya dalil dan nukilan kata-kata tokoh ulamak diletakkan jauh terkeluar dari perbahasan tajuk yang asal.

Beberapa perenggan pertama di atas menyebabkan saya mula meneliti secara rambang buku ASSSDK. Fokus saya tertumpu kepada:

  1. Benarkah wujud kesalahan-kesalahan seperti yang disebut oleh Ustaz Badrul?
  2. Jika wujud, adakah kesalahan itu “benar-benar salah” atau duduk dalam wilayah perbezaan pendapat yang boleh kita berlapang dada terhadapnya?
  3. Jika benar-benar salah, adakah kesalahan itu kecil sehingga boleh diabaikan atau besar sehingga boleh memudaratkan para pembaca?
  4. Jika kesalahan yang besar benar-benar wujud, adakah ia berlaku secara tidak sengaja atau sengaja? Jika tidak sengaja, maka pembetulan dibuat secara tertutup kepada pengarangnya. Jika sengaja, maka pembongkaran dibuat secara terbuka agar orang awam dapat mengetahui dan berwaspada terhadap buku ASSSDK.

Setelah meneliti selama sebulan, saya mendapati apa yang dikatakan oleh Ustaz Badrul adalah benar. Saya menemui pelbagai kesalahan yang tidak duduk dalam wilayah perbezaan pendapat yang dibenarkan. Lebih dari itu, kesalahan-kesalahan tersebut ada yang kecil dan ada yang besar, sehingga jika ia dijumlahkan pasti akan memudaratkan para pembaca.

Menarik untuk diperhatikan bahawa kesalahan-kesalahan itu kebanyakannya wujud apabila pihak ASSSDK cuba membela amalan zikir yang salah namun sudah sebati di kalangan sebahagian agamawan dan masyarakat. Pelbagai muslihat digunakan untuk membela sehingga jelas kepada saya bahawa kesalahan-kesalahan tersebut disengajakan.

Maka pada pagi 1 Jun 2009, saya bersolat istikharah dan memulakan penulisan untuk membongkar kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam buku ASSSDK. Jumlah kesalahan amatlah banyak sehingga saya mengambil keputusan untuk membongkar kesalahan yang terdapat dalam lima bab yang pertama sahaja.

Saya menjudulkan buku ini sebagai 36 Kritikan Ke Atas Buku Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya. Angka 36 merujuk kepada 36 poin yang saya kritik dalam lima bab pertama buku ASSSDK. Perkataan “kritik” merujuk kepada ulasan saya kepada apa yang salah dalam buku ASSSDK, dengan catatan ia masih terbuka kepada ulasan oleh pihak yang lain. Ini kerana ilmu ini amatlah luas sehingga apa yang saya anggap salah mungkin benar dan apa yang saya anggap benar mungkin salah. Maka buku ini tidak bersifat muktamad, ia sentiasa terbuka kepada apa-apa kritikan dan perbandingan ilmiah daripada sesiapa lain yang memiliki ilmu dan akhlak yang baik.

Adapun metodologi kritik, maka kritikan ditujukan kepada dalil dan hujah, bukan individu dan latar belakang. Maka nama pengarang (2 orang), pengedit (1 orang) dan pengiktiraf (5 orang) tidak saya sentuh. Cukup untuk dikatakan bahawa mereka semua duduk dalam jurusan agama untuk sekian lama. Mereka semua saya sebut sebagai “pihak ASSSDK” kerana semuanya terlibat dalam penghasilan buku tersebut.

Apabila menukil sesuatu poin dari buku ASSSDK untuk dikritik, saya merujuknya sebagai “ASSSDK 15”, bererti buku Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya (cetakan kedua, November 2008), mukasurat 15.

Apabila menukil poin itu, saya menggunakan font Times New Roman. Apabila menukil kata-kata tokoh dan ulama’, saya menggunakan font Comic Sans. Adapun perkataan saya sendiri, ia menggunakan font Verdana. Semua ini diharapkan dapat memudahkan para pembaca memahami buku ini.

Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar buku ini dapat membela ketulenan agama-Nya, membela kesahihan sunnah Rasul kesayangan-Nya dan membela orang-orang yang berusaha untuk menjaga kebenaran amalan mereka.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang membantu menjayakan buku ini, semoga Allah merahmati kalian dan memberi ganjaran yang lebih baik.

 

Hafiz Firdaus bin Abdullah
1 Jun – 1 Ogos 2009