Kata Penutup.

 

 

 

Jamal al-Din al-Qasimi rahimahullah pernah berpesan:

 

Termasuk dalam rangka cemburu kepada Allah, Rasul-Nya dan agama adalah menafikan hal baru yang disandarkan kepada agama, menjauhinya dan mendedahkan (kesalahannya) di hadapan orang lain. Ini kerana perbuatan bid‘ah yang dibiarkan tersebar akan menimbulkan beberapa kerosakan seperti berikut:

 

Pertama, orang-orang awam akan menganggap dan menyakininya sebagai sesuatu yang benar atau baik.

 

Kedua, berpotensi menimbulkan kesesatan bagi umat dan menolong mereka untuk mengerjakan yang salah.

 

Ketiga, jika yang melakukan bid’ah itu adalah agamawan, maka ia boleh menyebabkan orang ramai mendustakan Rasulullah. Ini kerana orang awam akan berkata “Perbuatan bid’ah yang dikerjakan oleh agamawan ini termasuk salah satu sunnah Rasulullah (maka ia bukanlah bid‘ah).” Padahal perbuatan yang menyebabkan timbulnya kebohongan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sangat dilarang dan tidak boleh dikerjakan. Ia boleh mengakibatkan orang awam terjebak dalam sebuah keadaan yang sulit, sebagaimana janji Rasulullah: “Barangsiapa mendustakan aku secara sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya dari api neraka.”

 

Keempat, jika ada agamawan dan tokoh yang menjadi panutan serta dipandang sebagai orang yang shalih melakukan perbuatan bid’ah, maka sangat dibimbangi perbuatan buruk itu akan dianggap (oleh orang awam) sebagai sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dengan demikian, telah terjadi proses pembohongan terhadap Rasulullah sekalipun hanya melalui kedudukan sosial. Padahal kedudukan sosial adakalanya berkembang menjadi ungkapan lisan pada tahap berikutnya (perbuatan seorang tokoh yang masyur akan disebut-sebut dan disampaikan di kalangan orang ramai). Dan kebanyakan bid’ah yang ada berkembang melalui jalan ini.

 

Ini kerana perbuatannya kemudian akan menjadi bahan bicara orang ramai. Seterusnya orang awam akan menyangka agamawan itu sebagai seorang yang ahli ilmu dan bertaqwa, padahal sebenarnya tidak seperti itu. Mereka lalu mengikuti perkataan dan perbuatannya padahal ia hanya menyebabkan tingkahlaku (agama) mereka menjadi rosak.[1]

 

Berdasarkan pesanan di atas, dapat kita fahami bahawa membantah bid‘ah amatlah penting. Manakala membantah bid‘ah yang dibuat serta dibukukan oleh para agamawan menduduki tahap yang lebih penting kerana para agamawan adalah rujukan orang ramai. Jika mereka berbuat bid‘ah, orang ramai akan menyangka itu adalah sunnah lalu terus mengikutinya.

 

Para penulis, pengedit dan pengiktiraf buku ASSSDK semuanya terdiri dari kalangan para agamawan. Apa yang mereka hasilkan tentu menjadi rujukan dan keyakinan orang ramai. Namun dengan 36 kritikan yang saya beri ke atas lima bab pertama buku ASSSDK, sudah cukup untuk membuktikan bahawa ia tidak boleh dijadikan rujukan, jauh sekali dari menjadi sumber keyakinan orang ramai.

 

Berdasarkan 36 kritikan ke atas lima bab pertama tersebut, setiap pembaca hendaklah berwaspada ke atas keseluruhan buku ASSSDK. Seandainya ingin membaca bab-bab seterusnya:

 

  1. Hendaklah dibandingkan nukilan yang dikemukakan dengan kitab yang asal kerana kemungkinan wujud nukilan yang disembunyikan atau di luar konteks perbincangan.

  2. Hendaklah disemak terjemahan yang dilakukan kerana mungkin berlaku kesilapan atau tokok tambah yang di luar teks arab yang sebenar.

  3. Hendaklah dikaji penjelasan yang diberi kerana tidak diyakini pihak ASSSDK memahami sepenuhnya apa yang mereka nukil dan terjemahkan.

  4. Hendaklah dirujuk sumber dan darjat hadis kepada ahli hadis di kalangan Ahl al-Sunnah kerana pihak ASSSDK amat lemah dalam bidang hadis.

  5. Hendaklah dirujuk cara pengambilan dalil kepada ahli fiqh dan usul al-fiqh di kalangan Ahl al-Sunnah kerana pihak ASSSDK kerap kali mencampur aduk antara yang umum dan khusus, antara yang rambang dan tertib, antara yang lapang dan sempit.

 

Jika sukar untuk mempraktikkan lima pesanan di atas, maka beralihlah kepada buku yang dikenali kejujuran dan keilmuan pengarangnya. Di luar sana tetap wujud para agamawan yang boleh dirujuk ilmunya dan diyakini kesahihannya. Semoga Allah menemukan kita dengan mereka. Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada mereka untuk membela sunnah dan membasmi bid‘ah.


 

[1]               Islah al-Masajid min al-Bida’ wa al-Awa’id (edisi terjemahan oleh Wawan Djunaedi atas judul Bid‘ah Dalam Masjid; Pustaka Azzam, Jakarta, 2001), ms. 33-34 dengan beberapa olahan bahasa.