Apakah kepentingan beriman kepada qadar dan qadha?




Jawapan:

Kepentingan beriman kepada qadar dan qadha akan dapat kita kecapi jika kita memahaminya dari sudut Tauhid, khasnya Tauhid al-Rububiyah. Maksud Tauhid al-Rububiyah ialah:

Iktiqad (keyakinan) secara pasti Allah satu-satunya Pencipta, Pemberi rezeki, Yang menghidupkan dan mematikan serta Yang mengurus keseluruhan urusan makhluk serta tiada sekutu bagi-Nya dalam perkara tersebut.[1]

Hubungan qadar dan qadha kepada Tauhid al-Rububiyah dijelaskan oleh Imam Abu Ja’far al-Thahawi rahimahullah (321H):

Seorang hamba hendaklah mengetahui bahawasanya Allah telah terlebih dahulu mengetahui segala sesuatu yang terjadi pada makhluk-Nya. Allah mentaqdirkan hal itu dengan taqdir yang pasti lagi baku. Tidak ada yang dapat membatalkan, tidak ada yang menyalahkan, tidak ada yang menghapuskan dan tidak ada yang dapat mengubah (semua ketetapan-Nya). Tidak ada yang kurang dan tidak ada yang lebih dari makhluk-Nya, baik di langit mahupun di bumi.

Itu adalah di antara ikatan iman dan asas ma’rifat (pengetahuan), serta pengakuan terhadap tauhid dan Rububiyyah Allah sebagaimana firman Allah di dalam kitab-Nya:

وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا.

Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan taqdir yang sempurna. [al-Furqan 25:02]

وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ قَدَرًا مَقْدُورًا.

Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu qadar (ketentuan) yang ditentukan berlakunya. [al-Ahzab 33:38]

(Oleh itu) binasalah orang yang menjadi penentang Allah dalam masalah Taqdir dan menghadirkan hatinya yang sakit untuk mengkajinya.[2]

Kepentingan ini seterusnya dijelaskan oleh Syaikh ‘Ali bin al-Sayyid al-Washifi:

Hubungan antara taqdir dengan perbahasan al-Rububiyah sangat erat kerana tidak mungkin terjadi sesuatu dalam kekuasaan Allah yang tidak Dia kehendaki. Tidak mungkin ada dalam kekuasaan Allah sesuatu yang Dia tidak ketahui. Tidak mungkin seseorang itu luput dari pengetahuan-Nya dan dari kekuasaan-Nya kerana segala sesuatu terjadi kerana ilmu-Nya, hikmah kebijaksanaan-Nya dan perbuatan-Nya. Inilah perbahasan al-Rububiyah sebagaimana yang disebut dalam firman-Nya:

أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ.

Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah (Tuhan yang Mencipta dan Mentadbirkan) sekalian alam. [al-‘Araaf 7:54]

Perbahasan tentang al-Rububiyah berkait rapat dengan perbahasan tentang taqdir. Sesiapa yang meyakini dalam kekuasaan Allah dapat terjadi sesuatu yang tidak Dia kehendaki atau tidak Dia ketahui, maka keimanannya terhadap al-Rububiyah Allah Subhanahu waTa'ala telah batal. Demikian pula orang yang meyakini bahawa sesuatu dapat terjadi di alam ini tanpa kekuatan dan kekuasaan-Nya, maka batal juga keimanannya terhadap al-Rububiyah Allah.

Syaikh Sulaiman berkata dalam Syarh Kitab al-Tauhid: “Tauhid al-Rububiyah tidak akan sempurna kecuali dengan penetapan (yang benar) terhadap taqdir.” Imam al-Qurtubi berkata: “Jika dikatakan Allah telah mentaqdirkan sesuatu, maka maksudnya adalah bahawa Dia telah mengetahui taqdirnya, keadaannya dan masanya sebelum Dia menciptakannya. Oleh kerana itu, tidak ada yang terjadi di alam ini kecuali berdasarkan ilmu-Nya, kekuasaan-Nya dan kehendak-Nya. Inilah pengertian taqdir menurut al-Salaf al-Shalih yang sesuai dengan dalil-dalil sahih.”

al-Lalika’i meriwayatkan dalam kitab al-Sunnah bahawa Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata: “Taqdir adalah sebuah kaidah tauhid. Maka sesiapa yang mentauhidkan Allah tetapi mendustakan taqdir maka pendustaannya itu telah merosakkan tauhidnya.”

Ibn Abu al-Izz al-Hanafi mengulas kata-kata Ibn ‘Abbas tersebut dalam Syarh al-Thahawiyah: “Hal ini disebabkan iman kepada taqdir termasuk beriman kepada ilmu Allah yang sediakala (qadim), yang meliputi segala sesuatu. Juga beriman bahawa Allah telah menentukan taqdir semua makhluk-Nya.”[3]

Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd turut mengulas:

Iman kepada taqdir dalam agama Islam mempunyai kedudukan yang tinggi lagi penting. Iman kepada taqdir adalah paksi tauhid dan sistemnya, titik tolak agama yang lurus dan pemutusnya. Ia adalah salah satu rukun iman dan kaidah ihsan.

Taqdir adalah kekuasaan Allah. Maka orang yang beriman kepada taqdir, dia telah beriman kepada kekuasaan Allah dan orang yang mendustakan taqdir bererti dia mendustakan kekuasaan Allah.[4]

Rumusan dari penjelasan-penjelasan di atas adalah, beriman kepada qadar dan qadha adalah penting kerana ia membuktikan keimanan seseorang itu kepada Allah sebagai satu-satunya pencipta, pentadbir, pemberi rezeki dan pengatur hidup. Beriman kepada qadar dan qadha membuktikan keyakinan kita terhadap ilmu Allah, hikmah dan keadilan-Nya, di mana tidak ada yang Dia taqdirkan kepada mana-mana manusia melainkan pasti ada kebaikan, hikmah dan keadilan di sebaliknya.

Apabila seseorang itu memandang remeh kepada qadar dan qadha atau menganggap ia tidak penting, bererti dia merendah-rendahkan Allah sebagai pencipta, pentadbir, pemberi rezeki dan pengatur hidup, juga terhadap ilmu, hikmah dan keadilan Allah.

Beriman kepada qadar dan qadha begitu penting sehingga Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam mengulanginya ketika menjelaskan tentang iman. Mari kita mengulangkaji hadis yang dimaksudkan, iaitu pertanyaan malaikat Jibrail Maka khabarkan kepadaku tentang iman”, maka baginda menjawab:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ.

 Bahawa engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, Hari Akhirat dan engkau beriman kepada taqdir sama ada yang baik mahupun yang buruk.”[5]

Perhatikan bahawa setelah menyebut engkau beriman” kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya dan Hari Akhirat, Rasulullah mengulangi engkau beriman” kepada taqdir. Padahal sebutan engkau beriman” untuk kali yang pertama sudah mencukupi. Ini menunjukkan kepentingan beriman kepada qadar dan qadha.

Pada masa kini, sebahagian orang Islam menganggap beriman kepada qadar dan qadha bukanlah sesuatu yang penting. Mereka ini seterusnya terbahagi kepada dua kumpulan:

  1. Mereka yang meremehkannya secara terus, enggan beriman kepadanya dan menganggapnya sebagai sesuatu yang mustahil.

  2. Mereka yang meremehkannya secara tidak langsung, di mana mereka tidak mengaitkan segala perbuatan, usaha, kejayaan dan kegagalan mereka kepada qadar dan qadha. Seolah-olah apa yang mereka usaha dan buat bebas daripada Allah. Bebas dari kekuasaan Allah sebagai pencipta, pentadbir, pemberi rezeki dan pengatur segala rincian kehidupan mereka. Bahkan seolah-olah Allah tidak tahu apa yang mereka usaha dan buat, serta hikmah dan keadilan Allah tidak ada kena-mengena dengan usaha dan perbuatan mereka.

Semoga kita semua – para pembaca yang budiman dan saya – tidak termasuk dalam mana-mana di antara dua golongan di atas.


[1] Syaikh ‘Abd al-Razzaq bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr – al-Qaul al-Sadid fi al-Radd ‘ala man Angkara Taqsim al-Tauhid (edisi terjemahan oleh Mohd. Amin Yaacob di atas judul Tauhid 3T: Penjelasan dan Pembelaan; Jahabersa, Johor Bahru, 2010), ms. 23-24.

[2] al-Ta’liqat al-Mukhtasharah ‘ala Matn al-‘Aqidah al-Thahawiyah oleh Shalih bin Fauzan al-Fauzan (edisi terjemahan oleh Abdurrahman Nuryaman atas judul Penjelasan Ringkas Matan al-Aqidah ath-Thahawiyah: Akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah; Pustaka Sahifa, Jakarta, 2007), poin: 108-114.

[3]  al-Qadha wa al-Qadar inda al-Salaf, ms. 57-59 dengan beberapa suntingan bahasa.

[4]  al-Iman bi al-Qadha wa al-Qadar, ms 2.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 09 (Kitab al-Iman, Bab menjelaskan Iman, Islam dan Ihsan).