Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 12

                    Hadis A:

Tidaklah halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk bermusafir sehari semalam kecuali bersama mahramnya.[143]

Hadis B: Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Tidak boleh bermusafir seorang wanita melebihi 3 hari kecuali bersama mahramnya.[144]

Hadis A hanya membenarkan seorang wanita bermusafir seorang diri dengan jarak perjalanan yang tidak lebih dari sehari semalam manakala Hadis B pula membenarkan musafir tidak lebih 3 hari dan 3 malam. Sekali lagi, kenapakah wujud perbezaan ini ?

Jawapannya, sebagaimana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memerhatikan kepada siapa baginda berbicara, diperhatikan juga keadaan sekeliling apabila berbicara.

Jika dikaji hadis-hadis yang lain, akan didapati para muslimah di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memang bebas berjalan-jalan di sekitar Kota Madinah tanpa mahram mereka, manakala jika hendak bermusafir, diwajibkan bersama mahram. Kewajipan hadirnya mahram menunjukkan yang dipertimbangkan oleh Rasulullah ialah faktor keselamatan.

Oleh itu dapat kita fahami bahawa beza tempoh perjalanan yang dihadkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis A dan B di atas adalah bersangkutan dengan faktor keselamatan semasa. Hadis A disabdakan baginda ketika daerah-daerah di luar Kota Madinah tidak terjamin keselamatannya, oleh itu dihadkan kepada para muslimah yang bermusafir sendirian kepada daerah Kota Madinah dan persekitarannya sahaja. Apabila keadaan keselamatan bertambah stabil dan terjamin, had bermusafir sendirian diluaskan kepada jarak perjalanan 3 hari, sebagaimana hadis B.

 

===========================

[143]       Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Shafi‘i, al-Bukhari, Muslim, Ibn Hibban, al-Baihaqi dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 1088. (Kitab menyingkatkan solat, Bab panjang perjalanan yang membolehkan solat disingkatkan......).


[144]       Sahih: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhuma, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 1338 (KitabHajj, Bab Musafir seorang wanita........).

 

 
:: laman utama