Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 14

Berikut dikemukakan satu lagi contoh hadis yang nampak bercanggah kerana ia ditujukan kepada individu berbeza dalam suasana yang berbeza. Disertakan sama di antara contoh-contoh ini hadis yang lemah statusnya (daif) sebagai latihan kepada para pembaca. Langkah yang harus ditempuhi ialah: [1] Sisihkan hadis-hadis yang lemah, [2] Himpunkan hadis-hadis yang kuat dan [3] Cari satu kefahaman antara hadis-hadis yang telah dihimpun dalam langkah ke 2 di atas.

Hadis A:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan sesiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan sesiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka pasti dia menempah tempat duduknya di dalam neraka.[160]

Hadis B:

Berkata Abu Sa‘id al-Khudri radiallahu ‘anhu:

Kami meminta izin kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam untuk menulis tetapi beliau tidak mengizinkan kami.[161]

Hadis C:

Berkata Abu Hurairah radiallahu ‘anhu: Adalah kami menulis apa yang kami dengar dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Maka disatu hari beliau datang kepada kami dan berkata: Apakah tulisan-tulisan ini ? Maka kami menjawab: Apa yang kami dengar dari engkau. Lalu beliau berkata: Tulisan bersama kitab Allah (al-Qur’an) ? Kami menjawab: (Ya !) iaitu apa yang kami dengar (dari engkau). Lalu bersabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

Tulislah kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan kitab Allah. Tulisan selain kitab Allah ? Jagalah ketulenan kitab Allah dan janganlah mencemari ia.[162]

Hadis D:

Diriwayatkan dari Muthalib bin Abdillah: Pernah Zaid bin Thabit radiallahu ‘anhu melawat Mu‘awiyah, lalu Zaid bertanya kepada Mu‘awiyah tentang suatu hadis. Maka Mu‘awiyah menyuruh pembantunya menuliskan hadis tersebut. Melihat demikian berkata Zaid:

Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kami untuk tidak menulis apajua hadis (perkataan) beliau. Maka kemudian dihapuskan tulisan hadis daripada Mu‘awiyah tersebut.[163]

Hadis E:

Ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengambil alih semula Kota Mekah (Fath-ul-Makkah), beliau telah berkhutbah kepada orang ramai. Setelah selesainya khutbah tersebut, bangun seseorang yang berasal dari Yaman bernama Abu Shah, dia berkata: Ya Rasulullah, tuliskanlah (khutbah ini) untuk aku. Rasulullah menjawab:

Tuliskanlah untuk Abu Shah.[164]

 

 

===========================

[160]    Sahih: Hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, al-Darimi dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 3004. (Kitab Zuhud dan Raqa‘iq, Bab Kedudukan hadis dan penulisannya).

[161]    Sahih: Hadis dikeluarkan oleh al-Tirmizi, al-Darimi dan Ibn ‘Abd al-Barr, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 2665. (Kitab Ilmu, Bab Makruhnya menulis ilmu (hadis) ; juga dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam Musnad al-Darimi – no: 465. Mustafa Azami dalam Hadis Nabawi dan Sejarah Kodifikasinya, ms 113 melemahkan hadis ini berdasarkan jalan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam sepertimana yang dikeluarkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Taqyid al-Ilmi, ms 32. Namun hadis ini juga dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan al-Darimi dari jalan Zaid bin Aslam, tanpa melalui anaknya Abdurrahman yang sememangnya didaifkan oleh sesetengah pengkritik perawi hadis.

[162]    Hasan: Sebahagian dari hadis yang panjang dengan 3 jalan periwayatan:

[1] Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dalam al-Musnad – no: 11034. (Musnad Abu Sa‘id al-Khudri, haddathana Ishaq bin ‘Isa) dari jalan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam dan beliau adalah perawi yang dilemahkan oleh majoriti. Hamzah Ahmad Zain menguatkan hadis ini ke taraf hasan kerana maksudnya selari dengan riwayat Abu Sa‘id al-Khudri yang dikeluarkan oleh Muslim dalam kitab sahihnya no: 3004 sebagaimana yang telah disalin di atas (Hadis A). Lihat juga Musnad Ahmad – no: 11027.

[2] Daripada ‘Abd Allah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhuma, dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 7514 dengan lafaz yang sedikit berbeza dari jalan Zaid bin Aslam tanpa anaknya Abdurrahman, namun dalam sanad ini terdapat Isa bin Maimun al-Madani dan adalah beliau seorang yang daif. Lihat al-Kamil fi Dhu‘afa’ al-Rijal – perawi no: 1388.

[3] Dari ‘Abd Allah bin Amru radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir dalam Tarikh al-Damsyq, jld 62, ms 44-45 dengan lafaz yang juga sedikit berbeza dari jalan selain Zaid bin Aslam, tetapi tetap melalui Isa bin Maimun dan adalah beliau seorang yang daif.

            Ketiga-tiga jalan di atas adalah daif dan lafaznya juga sedikit berbeza antara satu sama lain. Tetapi tetap mengandungi satu persamaan, iaitu pertanyaan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada para sahabat yang sedang menulis hadis: “Tulisan bersama Kitab Allah ?” diikuti peringatan untuk menjaga ketulenan Kitab Allah, iaitu al-Qur‘anul Karim. Justeru penulis menilai hadis ini hasan li-ghairi atas dasar 2 jalan sanad di atas yang saling menguat antara satu sama lain.

[163]    Sanad Daif: Hadis dikeluarkan oleh Abu Daud, sanadnya daif kerana Muthalib tidak pernah bertemu dengan Zaid. Lihat Mustafa Azami – Hadis Nabawi dan Sejarah Kodifikasinya, ms 114-115 dan Nasr al-Din al-Albani - Daif Sunan Abu Daud – no: 3647.  (Kitab Ilmu, Bab Tentang menulis ilmu). Penulis tidak mengangkat hadis ini ke taraf hasan sekalipun maksudnya seolah-olah selari dengan hadis A & B. Ini adalah kerana hadis ini menerangkan sesuatu yang berlaku di zaman sahabat, selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Di zaman ini terdapat banyak riwayat-riwayat lain yang menerangkan aktiviti menulis hadis-hadis. Hadis-hadis A & B hanya ditujukan kepada zaman Rasulullah apabila kertas kekurangan dan para sahabat menulis hadis di atas lembaran yang sama dengan al-Qur‘an. Adapun di zaman pemerintahan Muawiyah sepertimana hadis D di atas, kertas telah banyak dan para sahabat tidak lagi menulis hadis di atas lembaran yang sama dengan al-Qur‘an.

[164]     Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 1355. (Kitab Hajj, Bab Kesucian Kota Mekah dan larangan serta tegahan memburu di dalamnya........).

 

 

 
:: laman utama :: hubungi