Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 19

Sebelum ini (Contoh ke 3 – 17) kita telah membahas cara-cara menghilangkan percanggahan antara dua hadis melalui kaedah al-Jam‘u, iaitu menghimpunkan hadis-hadis bercanggah tersebut dan memahaminya secara bersama. Akan tetapi adakalanya wujud dua hadis yang bercanggah yang tidak boleh dihilangkan percanggahannya melalui kaedah al-Jam‘u kerana tidak terdapat petunjuk dan jalan untuk memahaminya secara bersama. Maka dalam kes-kes terpencil seperti ini, hendaklah seseorang itu menempuhi kaedah yang dikenali sebagai al-Tarjih.

Dari segi bahasa, al-Tarjih bermaksud mengunggulkan sesuatu dengan lebih condong padanya dan memenangkannya. Dari segi syari‘at, al-Tarjih bererti Pengunggulan seorang mujtahid terhadap salah satu dari dua dalil yang saling bercanggah berdasarkan sesuatu yang dapat mengunggulkannya agar dalil tersebut dapat diamalkan.[238]

              Seterusnya akan dikemukakan 2 contoh hadis yang dihilangkan percanggahannya melalui kaedah tarjih, dimulai dengan hadis status wudhu’ apabila menyentuh kemaluan:

Hadis A: Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesiapa yang menyentuh zakarnya maka berwudhulah ia.[239]

Hadis B: Berkata Talaq bin ‘Ali radiallahu ‘anhu:

Telah datang seorang lelaki dari pendalaman (Arab Badwi) lalu dia bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

Wahai Nabi Allah, bagaimana pandanganmu tentang seseorang yang menyentuh kemaluannya setelah dia berwudhu ? Nabi menjawab: Bukankah kemaluan itu tidak lain hanyalah sekerat (sebahagian) dari daging orang itu ?[240]

Dalam satu riwayat lain: Tidak perlu (kerana) sesungguhnya ia hanyalah sebahagian daripada tubuh badan engkau.[241]

Hadis A dan B nampaknya saling bercanggah. Hadis A mewajibkan wudhu bagi sesiapa yang menyentuh kemaluannya, manakala hadis B tidak mewajibkan wudhu. Antara dua hadis ini mustahil diamalkan kedua-duanya kerana tidak terdapat petunjuk yang mengarah kepada yang sedemikian. Maka dengan itu kita beralih ke kaedah tarjih.

            Salah satu dari kaedah tarjih adalah, apabila bertembung dua buah hadis, yang pertama menetapkan hukum larangan (atau mengharamkan) manakala yang kedua menetapkan hukum kebolehan (atau menghalalkan), maka hendaklah diunggulkan hadis yang melarang di atas hadis yang membolehkan. Ini adalah kerana mengunggulkan hadis larangan adalah lebih mendekati sikap berhati-hati dan merupakan pilihan yang lebih selamat sebagaimana pesan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam

             Sesungguhnya yang halal itu adalah jelas dan sesungguhnya yang haram itu adalah jelas dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran (musytabihat), yang tidak diketahui tentangnya oleh kebanyakan manusia.

Maka sesiapa yang memelihara dirinya dari segala yang samar, maka dia sebenarnya memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa menjerumuskan diri dalam perkara yang kesamaran, maka dia sebenarnya menjerumuskan diri dalam sesuatu yang haram.

Sepertimana seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) masuk ke dalamnya (kawasan larangan tersebut).

Ketahuilah bahawa bagi setiap raja ada kawasan larangannya. Ketahuilah demi sesungguhnya larangan Allah adalah apa yang diharamkan-Nya.

Ketahuilah bahawa di dalam badan manusia ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh badan tersebut dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh badan tersebut. Ketahuilah bahawa (daging tersebut) adalah hati.[242]

             Maka antara dua hadis yang bercanggah di atas, hendaklah diunggulkan Hadis A di atas Hadis B sebagai pilhan berhati-hati dan selamat. Yakni batal wudhu’ seseorang apabila dia menyentuh kemaluannya.

 Adapun hukum tidak batal wudhu’ sebagaimana dalam Hadis B, kemungkinan besar ia adalah penjelasan khusus Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada pertanyaan seorang Arab Badwi dan jawapan Rasulullah tidak lain sekadar memberi kemudahan kepadanya. Mungkin Arab Badwi tersebut baru memeluk Islam dan baginda Rasulullah tidak mahu memberatkannya dengan hukum-hukum yang baru dan asing baginya. Inilah yang dimaksudkan sebagai hikmah dan kebijaksanaan pendidikan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Pasti sahaja beberapa ketika selepas itu, apabila diperhatikan Arab Badwi tersebut telah mula selesa dan terbuka kepada hukum-hukum Islam, akan dijelaskan kepadanya hukum yang sebenar, iaitu batal wudhu apabila menyentuh kemaluan.[243]

Merujuk kepada contoh yang sama juga, terdapat sebuah lagi kaedah tarjih, iaitu apabila bertembungnya antara dua buah hadis, maka hendaklah diunggulkan hadis yang selari hukumnya dengan dalil-dalil lain di atas hadis yang bersendirian dari dalil-dalil tersebut. Yang dimaksudkan dengan dalil-dalil yang lain adalah al-Qur’an, al-Sunnah, ijma’, amalan majoriti sahabat dan sebagainya.

             Maka bagi percanggahan antara hadis A dan B di atas, Hadis A dapat diunggulkan kerana ia selari dengan sebuah hadis lain yang memiliki petunjuk hukum yang sama yang khas ditujukan kepada para wanita, iaitu:

Sesiapa yang menyentuh farajnya hendaklah dia berwudhu.[244]

 

 

===========================

[238]        Muhammad Wafaa – Metode Tarjih, ms 179-188.

[239]       Sahih: Hadis daripada Busrah binti Shafwan radiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq, Ibn Abi Syaibah, Abu Daud, Ibn Hibban dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud – no: 181. (Kitab Taharah, Bab Wudhu kerana menyentuh zakar).

[240]       Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Baihaqi dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud – no: 182. (Kitab Taharah, Bab Kemudahan dalam hal sedemikian (yakni dalam bab menyentuh zakar).

[241]        Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban – no: 1121. Kata Syu‘aib al-Arna’uth, sanadnya kuat.

[242]        Sahih: Hadis daripada Nu’man bin Basyir radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Hadis 40 Imam Nawawi, hadis no: 06.

[243]        Para ahli fiqh telah menempuhi beberapa jalan lain dalam menghilangkan percanggahan antara Hadis A dan B di atas:

Pertama:

                Berdasarkan kaedah tarjih bahawa apabila bertembung antara dua hadis yang kedua-duanya sahih, yang pertamanya memiliki sejumlah jalan periwayatan atau penguat manakala yang kedua memiliki jalan periwayatan yang kurang atau tiada penguat, maka hendaklah diunggulkan hadis yang memiliki jalan periwayatan yang lebih banyak atau penguat kerana ia jelas lebih kukuh dan teguh. Di antara dua hadis di atas, Hadis A memiliki penguat dan disahihkan oleh lebih ramai para ahli hadis berbanding Hadis B. [Subul al-Salam, jld 1, ms 174-178]

Kedua:

                Berdasarkan kaedah tarjih bahawa apabila bertembung dua hadis, yang pertamanya menetapkan hukum asal (bara‘ah asliyah) manakala yang keduanya menggugurkan hukum asal tersebut, maka hendaklah diunggulkan hadis yang menetapkan hukum asal di atas yang menggugurkannya kerana asal segala perkara adalah harus di sisi syari‘at. Namun dalam kaedah tarjih ini ada pendapat kedua, bahawa hendaklah diunggulkan hadis yang menggugurkan di atas hadis yang menetapkan hukum asal kerana yang menggugurkan itu berperanan memberi ketentuan hukum yang baru dari yang asalnya. Bagi kedua-dua kaedah tarjih di atas, yang dimaksudkan dengan hadis yang menetapkan hukum asal ialah Hadis B manakala yang menggugurkannya ialah Hadis A. [Muhammad Wafaa – Metode Tarjih, ms 249-252]

Ketiga:

    Berdasarkan kaedah nasikh dan mansukh, bahawa Hadis B telah dimansuhkan oleh sebuah riwayat dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu yang bermaksud: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Apabila seseorang dari kamu membawa tangannya ke zakarnya tanpa halangan (kain atau penutup) maka wajiblah atasnya wudhu. Oleh kerana Abu Hurairah seorang sahabat yang junior yang memeluk Islam kira-kira 4 tahun sebelum Nabi wafat, maka dikatakan hadis Abu Hurairah ini sebagai yang terbaru, memansuhkan hadis terawal daripada Talaq bin ‘Ali (Hadis B). Malang sekali pendapat ini terpaksa ditolak kerana hadis Abu Hurairah tersebut adalah daif sepertimana nilai Ahmad Muhammad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 8385. Lebih dari Abu Hurairah juga menyebut hadis ini dengan lafaz ‘an Nabi yang bererti daripada Nabi dan tidak pula dengan lafaz Sami’tu Nabi qala....... yang bererti Aku mendengar Nabi bersabda....... menunjukkan ada kemugkinan beliau mendengarnya daripada Nabi atau daripada mana-mana sahabat senior yang lain. Manakala jika beliau menyebut Aku mendengar Nabi bersabda...... berkemungkinan besar bererti secara pasti dia mendengarnya daripada Nabi secara terus, bukan perantaraan lain-lain sahabat. Oleh itu penulis tidak cenderung kepada kaedah ketiga ini bagi menghilangkan percanggahan antara Hadis A dan B di atas.

[244]     Sahih: Maksud hadis daripada Umm Habibah radiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh al-Taylisi, Ahmad dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Irwa al-Ghaleel – no: 117.

 

 
:: laman utama