Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 9

            Hadis A:            

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Solat berjamaah lebih afdal dari solat bersendirian sebanyak 27 darjat.[129]

Hadis B:

            Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam:

Solat berjamaah lebih afdal dari solat bersendirian sebanyak 25 darjat.[130]

Dua hadis di atas nampaknya menerangkan tahap keutamaan yang saling berbeza bagi satu amalan yang sama, iaitu solat berjamaah. Kenapakah wujud perbezaan ini ?

Sebenarnya jika dikaji kedua-dua hadis di atas, akan didapati ia membicarakan keutamaan berdasarkan ukuran darjat dan bukannya kuantiti ganjaran, jenis balasan atau imbangan. Perkataan darjat lazimnya digunakan bagi menunjukkan sesuatu yang berubah-ubah tahapnya bergantung kepada suasana dan keadaan. Dan inilah yang sebenarnya dimaksudkan antara dua hadis di atas.

Solat berjamaah sekalipun merupakan satu amalan yang sama, ia boleh berlaku di dalam suasana dan keadaan yang berbeza seperti:

[1] 27 darjat adalah bagi solat jamaah yang jauh manakala 25 darjat adalah bagi solat jamaah yang dekat dengan lokasi seseorang.

[2] 27 darjat adalah bagi solat berjamaah di masjid manakala 25 darjat adalah bagi solat jamaah di tempat lain seperti surau pejabat, padang dan sebagainya.

[3] 27 darjat adalah bagi orang yang tiba awal di masjid dan bersiap sedia untuk solat berjamaah manakala 25 darjat adalah bagi mereka yang sebaliknya.

[4] 27 darjat bagi jumlah jamaah yang ramai manakala 25 darjat adalah bagi jumlah yang sedikit.

[5] 27 darjat adalah bagi solat jamaah Subuh dan Isyak manakala 25 darjat adalah bagi selainnya.

[6] 27 darjat adalah bagi solat jamaah yang bacaannya dinyaringkan manakala 25 darjat adalah bagi solat jamaah yang diperlahankan bacaannya oleh imam.

[7] 27 darjat adalah bagi solat jamaah yang dipimpin oleh imam yang berilmu lagi baik bacaannya manakala 25 darjat adalah bagi jamaah yang dipimpin oleh selainnya.[131]

 

===========================

[129]        Sahih: Hadis daripada ‘Abd Allah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 645 (Kitab Adzan, Bab Keutamaan Solat Jamaah).


[130]        Sahih: Hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri radiallahu anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 646.

[131]         Lebih lanjut lihat Fath al-Bari, jld 2, ms 346-348.

 
:: al-Firdaus.com ::