Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

Beberapa Maklumbalas dan Penjelasannya.

Alhamdulillah, penulis telah menerima banyak maklumbalas dari para pembaca yang budiman berkenaan buku-buku penulis yang sebelumnya.[2] Maklumbalas tersebut wujud dalam berbagai bentuk dan antara yang amat penulis alu-alukan adalah yang bersifat menasihat demi untuk meningkatkan lagi mutu penulisan dan pertanyaan tentang sesuatu yang tidak difahami secara jelas. Di antara maklumbalas tersebut ada yang sangat baik lagi bermanfaat sehingga dirasakan ada baiknya jika dikongsi bersama dengan pembaca. Berikut dikemukakan 3 maklumbalas yang penulis maksudkan:

Maklumbalas Pertama:

Adakah perlu dan betul semakan semula kepada status hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi-wassalam yang dilakukan oleh tokoh-tokoh masa kini ? Tidakkah memadai jika kita merujuk kepada kitab hadis yang asal sahaja sekalipun ianya tidak dikenali sebagai al-Sahih, seperti Sunan Abu Daud, Sunan Tirmizi, Musnad Ahmad dan sebagainya ?

Penjelasan:

Dalam persoalan ini memang terdapat dua pendapat di kalangan ilmuan Islam:

Pendapat Pertama:

Memadai dengan merujuk kepada kitab hadis yang disusun oleh tokohnya yang asal kerana keilmuan mereka yang sangat tinggi mencukupi untuk kita. Semakan semula oleh tokoh masa kini adalah tidak perlu kerana mereka tidak memiliki sebarang kelebihan dari tokoh-tokoh yang terdahulu, sama ada dari sudut keilmuan mahupun dari sudut suasana jarak masa (tokoh terdahulu lebih hampir dengan sahabat yang meriwayatkan hadis).

Lebih dari itu, para ulama silam yang telah menyusun kitab-kitab hadis terdiri daripada imam mujtahid dalam bidang hadis manakala yang menyemaknya masa kini, paling tinggi hanyalah para shaikh dalam fakulti hadis sesebuah pusat pengajian.

Pendapat Kedua:

Memang memadai dengan merujuk kepada kitab hadis yang disusun oleh tokohnya yang asal, akan tetapi tidak ada salahnya jika disemak semula kitab-kitab tersebut kerana ilmu itu adalah sesuatu yang bersifat dinamik lagi tidak mengenal titik noktah, tidak terkecuali darinya ialah ilmu-ilmu hadis dalam Islam.

Dalam sejarah ilmu hadis, didapati para tokohnya sentiasa mendalami dan mengkajinya tanpa mengenal rehat atau puas, sehingga dari usaha mereka itu ilmu hadis menjadi bertambah kemas, mantap dan luas.

Antara bidang kajian mereka ialah dalam jurusan menyemak dan mengkaji darjat kesahihan sesuatu hadis. Sepanjang sejarah Islam tidak pernah tidak hadir seorang tokoh yang berkecimpung dalam jurusan ini, malah dalam setiap saat wujud paling minima seorang tokoh yang khas bertanggungjawab dalam jurusan ini. Justeru dalam dunia Islam dari kurun ke kurun, dari dekad ke dekad, dari tahun ke tahun, akan ditemui para tokoh yang menyemak darjat sesuatu hadis, menyaring dan memisahkan antara hadis yang memiliki isnad (jalur periwayatan) yang maqbul (diterima) dan mardud (ditolak), antara hadis yang asli matan (susunan teksnya) dan yang telah berubah, dan antara hadis yang benar-benar berasal dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam dan yang direka oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.

Kehadiran tokoh-tokoh ini pada setiap masa adalah merupakan salah satu cara Allah Azza wa Jalla memelihara sumber-sumber syari‘at-Nya di alam ini, kerana sebagaimana Allah sentiasa memelihara keaslian kitab al-Qur’an al-Karim (al-Hijr 15:09), Allah juga sentiasa memelihara penjelas bagi kitab tersebut, iaitu hadis-hadis Rasul-Nya Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam. Sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghadirkan di setiap saat para huffaz dan muffasir yang menguasai ayat-ayat al-Qur’an al-Karim, begitu juga Allah menghadirkan di setiap saat para huffaz dan muhaddith yang menguasai hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam.

Antara kelebihan menyemak semula sesebuah kitab hadis yang disusun oleh pengarang asalnya adalah:

[1]        Penyusunnya yang asal sedia mengetahui kelemahan isnad hadis yang dikeluarkannya, akan tetapi kelemahan tersebut diterangkan dalam kitabnya yang lain. Maka tugas penyemak adalah untuk menghimpunkan keterangan dari dua kitab yang berbeza.

[2]        Penyusunnya yang asal sedia mengetahui kelemahan isnad hadis yang dikeluarkannya dan kelemahan tersebut telah diterangkannya dalam kitab yang sama tetapi ia mungkin tidak diketahui atau difahami oleh orang yang bukan pakar dalam bidang hadis. Maka tugas penyemak adalah untuk menerangkan semula kelemahan tersebut dengan bahasa yang mudah difahami.

[3]        Penyusun yang asal tidak mengetahui adanya kelemahan dalam isnad yang dikeluarkannya. Sekadar yang dikajinya, isnad tersebut adalah terselamat dari sebarang kecacatan. Akan tetapi semakan semula oleh pengkaji terkemudian mendapati wujudnya kelemahan. Hal ini boleh berlaku kerana seseorang tokoh di zaman awal hanya akan menilai sesebuah isnad berdasarkan pengetahuan yang dimilikinya. Berbeza pula dengan tokoh masa kini, dia akan menilai sesebuah isnad berdasarkan himpunan pengetahuan yang diambilnya dari hasil usaha semua tokoh-tokoh terdahulu.

Jika seseorang tokoh di zaman awal Islam terpaksa bermusafir keseluruh dunia Islam untuk mencari sesebuah hadis dan mengkaji biografi perawi-perawi yang menyampaikan hadis tersebut, tokoh terkemudian pula hanya perlu duduk di perpustakaan untuk melakukan perkara yang sama.

[4]        Adakalanya penyusun yang asal sedia mengetahui kelemahan sesebuah isnad dan ini telah diterangkannya. Akan tetapi semakan semula oleh tokoh terkemudian mendapati hadis tersebut memiliki beberapa penguat, sama ada dari sudut isnad mahupun maksudnya, sehingga hadis yang pada awalnya memiliki taraf yang daif dapat diangkat ke taraf hasan atau sahih. Hal ini banyak berlaku dan inilah sebenarnya salah satu manfaat yang dapat kita ambil dari semakan tokoh-tokoh masa kini.

Antara contoh yang dapat penulis berikan ialah hadis tentang aurat wanita, khususnya dalam bab memakai tudung. A‘isyah radiallahu ‘anha menceritakan bahawa Asma’ binti Abu Bakar radiallahu ‘anhuma pernah mengunjungi Rasulullah sallallahu ‘alaihi-wasallam dengan pakaian yang agak nipis. Lalu Rasulullah berpaling darinya seraya bersabda:

Wahai Asma’ , sesungguhnya wanita apabila telah baligh, tidak boleh terlihat daripadanya kecuali ini dan ini: baginda mengisyaratkan wajah dan kedua tangannya, selepas pergelangan tangan.

Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Daud dalam kitabnya Sunan Abu Daud, jld 4, ms 521, no: 3945. Berkata Abu Daud: Hadis ini mursal, Khalid bin Duraik belum pernah menemui A’isyah radiallahu ‘anha. Dalamnya juga terdapat Sa‘id bin Basyir Abu Aburrahaman al-Bashari, tamu Damsyik, maula Bani Nashr, tidak seorang yang membincangkannya.

Dalam hadis terdapat dua kelemahan, pertama kerana Khalid bin Duraik tidak pernah menemui A’isyah radiallahu ‘anha. Kedua Sa‘id bin Basyir adalah seorang perawi yang daif.[3] Hadis ini juga dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Syu‘aib al-Iman, jld 6, ms 165, no: 7796 dan Sunan al-Kubra, jld 7, ms 138, no 13496 melalui jalan yang sama.

Kedaifan hadis ini sebagaimana terang Abu Daud menyebabkan sesetengah pihak, terutamanya di kalangan modernis menolak kewajipan memakai tudung bagi wanita Islam.

Akan tetapi semakan lanjut mendapati hadis ini memiliki beberapa penguat yang lain. Pertama, hadis yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, no: 13497, al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath, jld 6, ms 169, no: 8394 dan Mu’jam al-Kabir, jld 24, ms 142, no: 378  melalui jalan isnad yang lain dengan maksud yang sedikit berbeza, iaitu ketika menunjuk ke tangannya, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menarik lengan baju sehingga tidak ternampak kecuali jari-jari tangan.

Berkata al-Baihaqi selepas mengemukakan riwayat kedua ini: Isnadnya daif. Kedaifan isnad tersebut disebabkan oleh dua perawi, sebagaimana yang diterangkan oleh Mahmud Hasan Ismail, penyemak Mu’jam al-Ausath, iaitu:

[1]        Ibn Luhai‘ah: Dia jujur tetapi terdapat campur aduk dalam riwayat yang disampaikannya.

[2]        ‘Iyadh bin ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahim: Dia longgar, yakni tidak mantap dalam meriwayatkan hadis.

Penguat yang ini juga memiliki kelemahan di dalam isnadnya namun ia tidaklah memudaratkan, malah dapat dikuatkan persamaan maksud hadis yang terdapat melalui jalan pertama yang dikeluarkan oleh Abu Daud.

Penguat kedua merujuk kepada keterangan dan pendapat beberapa sahabat radiallahu-anhum, iaitu Ibn ‘Abbas dan Ibn Umar, juga dari para tabi‘in seperti Atha’ bin Abi Rabah dan Sa‘id bin Jubair di mana mereka semua menerangkan kewajipan memakai tudung sebagai salah satu dari aurat seseorang muslimah. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, jld 7, ms 137.

Justeru dari beberapa penguat yang penulis sebutkan di atas, hadis kewajipan memakai tudung bagi para muslimah yang pada awalnya dianggap daif akhirnya dapat diangkat ke taraf hasan sehingga dapat dijadikan sumber rujukan hukum.

Memadailah dengan satu contoh ini. Ada beberapa contoh lain yang boleh dikaji oleh para pembaca dalam buku ini, insya-Allah

Demikian antara empat kelebihan dan manfaat semakan semula hadis-hadis yang dilakukan oleh tokoh-tokoh terkemudian. Kelebihan dan manfaat yang diperolehi ini sebenarnya lahir dari usaha para tokoh yang awal jua. Para penyemak terkemudian tidak akan dapat mencapai apa-apa jika para tokoh yang awal tidak menyusun kitab-kitab mereka dalam pelbagai jurusan hadis. Pendek kata, usaha para penyemak terkemudian sebenarnya adalah lanjutan usaha para tokoh sebelum mereka.

Jika kita fahami perkara ini secara mendalam, tiada perbezaan yang ketara antara pendapat pertama dan kedua di atas. Yang terpenting dalam hal ini adalah, hendaklah tokoh terkemudian yang melakukan semakan tersebut merupakan seorang yang pakar lagi huffaz dalam bidang hadis. Jika syarat ini dipenuhi, maka tidak akan timbul persoalan betul atau tidak semakan hadisnya. Paling maksimum persoalannya akan berkisar pada tepat atau tidak semakannya, insya-Allah.

 

 

 

===========================

[2]     Bagi yang berminat dengan lain-lain buku penulis, sila lawat laman web penerbit: http://www.jahabersa.com.my dan cari (search) nama penulis: Hafiz Firdaus.

[3]         Bagi biografi beliau, lihat antara lain Ibn ‘Adiy – al-Kamil fi Dhu‘afa’ al-Rijal, jld 4, ms 412.

 

 
:: laman utama