Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah

(Buku 5) 

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Perkara Ke-12 Yang Mencemari Kemurnian Tauhid:

Menjadikan Jamaah Sendiri Sebagai Agama.[1]

 

 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

وَلاَ تَكُونُوا مِنْ الْمُشْرِكِينَ (31) مِنْ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ

 

فَرِحُونَ (32).

 

Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. [al-Rum, ayat 31-32][2]

 

Ayat di atas melarang umat Islam daripada keyakinan atau tindakan yang memecah-belahkan agama. Sebelum melanjutkan penjelasan tentang pecah-belah bagaimana yang dimaksudkan, ingin saya jelaskan terlebih dahulu dua persoalan yang penting berkenaan ayat di atas, iaitu:

 

 

Pertama:

Adakah perbicaraan ayat di atas ditujukan kepada orang Islam atau orang musyrikin? Soalan ini dapat dirujuk jawapannya pada permulaan ayat 31, iaitu:

 

مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاَةَ وَلاَ تَكُونُوا مِنْ الْمُشْرِكِينَ.

 

Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan umatmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal soleh) serta bertaqwalah kamu kepada-Nya; dan kerjakanlah solat dengan betul sempurna; Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah. [al-Rum 30:31]

 

 

Dengan merujuk kepada keseluruhan ayat 31 surah al-Rum, dapat difahami bahawa perbicaraan ayat ditujukan kepada umat Islam, iaitu umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam yang rujuk kembali kepada Allah, bertaqwa kepada-Nya dan mendirikan solat kepada-Nya. Maka perkataan “kamu” pada lanjutan ayat “…dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah” merujuk kepada umat Islam dan bukannya orang musyrikin.

 

 

Kedua:

Jika di kalangan umat Islam ada yang berkeyakinan atau bertindak memecah-belahkan agama Islam dan menjadikan umatnya beberapa golongan, adakah mereka menjadi seumpama orang musyrikin atau benar-benar menjadi orang musyrikin? Sebagai jawapan bagi persoalan ini, bandingkan ayat 31-32 surah al-Rum di atas dengan ayat:

 

وَلاَ تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمْ الْبَيِّنَاتُ وَأُوْلَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ.

 

Dan janganlah kamu menjadi seumpama orang-orang yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. [Ali Imran 3:105]

 

 

Kedua-dua ayat (Ali Imran 105 & al-Rum 31-32) merujuk kepada keyakinan atau tindakan yang memecah-belahkan agama. Hanya ayat 105 surah Ali Imran bersifat mengumpamakan manakala ayat 31-32 bersifat menjadikan. Dalam susunan yang lain, ayat 105 surah Ali Imran melarang umat Islam daripada menjadi seumpama orang-orang musyrikin yang memecah-belahkan agama mereka. Ini diikuti dengan ayat 31-32 surah al-Rum, dimana jika umat Islam tetap memecah-belahkan agama Islam dan membentuk golongan-golongan tertentu, maka menjadilah mereka orang-orang musyrikin.

 

Secara lebih mendalam, kesemua ayat di atas melarang kita umat Islam daripada berkeyakinan atau bertindak untuk memecah-belahkan agama Islam dan membentuk golongan-golongan tertentu. Ia merupakan satu kesalahan yang besar, sehingga ke tahap Allah membebaskan Rasulullah daripada sebarang tanggungjawab atau urusan dalam pemecahan tersebut. Seolah-olah, mereka yang berpecah kepada beberapa golongan tidak lagi menjadi umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Firman Allah:

 

إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا لَسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا

 

يَفْعَلُونَ.

 

Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya). [al-An’aam 6:159]

 

 

Seterusnya penjelasan kita akan bertumpu kepada persoalan, pemecahan bagaimanakah yang menyebabkan umat Islam terkeluar dari golongan umat Muhammad dan menjadi orang-orang yang menyekutukan Allah (musyrikin)?

 

Bagi menjelaskan persoalan ini, saya akan menggunakan contoh fenomena “jamaah-jamaah” yang banyak wujud di kalangan umat Islam tanah air, khasnya di kalangan para penuntut pusat pengajian tinggi. “Jamaah-jamaah” ini merupakan istilah baru kepada “golongan-golongan” atau “puak-puak” yang dimaksudkan dalam ayat-ayat di atas. Sebelum menerangkan bagaimana kaitan jamaah-jamaah tersebut dengan ayat 31-32 surah al-Rum di atas, terlebih dahulu saya ingin menerangkan hukum kewujudan berbilang jamaah dalam Islam.

 

 

Hukum Berjamaah Dalam Islam.

Para ilmuan memiliki perbincangan yang mendalam tentang hukum jamaah-jamaah dalam Islam. Secara mudah perbincangan mereka berkesimpulan kepada dua pendapat:

 

  • Pendapat Pertama: Tidak boleh memiliki berbilang jamaah dalam Islam. Hanya satu jamaah yang dibolehkan dan jamaah itu ialah keseluruhan umat Islam itu sendiri. Ini berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an di atas dan banyak hadis-hadis yang melarang perpecahan. Lebih dari itu ia selari dengan maksud perkataan “jamaah”, iaitu persatuan yang lawannya adalah perpecahan. Berbilang jamaah adalah satu fenomena perpecahan yang menyalahi maksud perkataan “jamaah” itu sendiri. Fenomena ini tidak sahaja terbukti salah dari sudut perkataan, tetapi dari sudut apa yang berlaku di antara jamaah-jamaah dalam dunia Islam masa kini.

  • Pendapat Kedua: Dibolehkan berbilang jamaah selagi mana setiap jamaah hanya berperanan sebagai sarana untuk kebaikan Islam dan umatnya. Berbilang jamaah membolehkan gerakan dan usaha umat Islam berjalan dalam suasana yang terancang lagi tersusun, dengan setiap jamaah memberi tumpuan kepada bidang yang mereka miliki kemahiran di dalamnya. Namun jamaah yang berbilang hanyalah dari sudut sarana dan kemahiran manakala tujuan dan matlamat adalah untuk keseluruhan umat Islam itu sendiri. Justeru pada hakikatnya tidak ada perpecahan di antara jamaah yang berbilang-bilang.

 

Melalui risalah ini, saya tidak bermaksud untuk memberi tumpuan kepada menganalisa dan menguatkan salah satu dari dua pendapat di atas. Sebaliknya perkara yang ingin saya tumpukan adalah, jika seseorang itu memilih pendapat yang kedua, apakah adab-adab yang perlu diperhatikan agar peranannnya dalam sesuatu jamaah tidak menjerumuskan dirinya ke dalam keyakinan atau tindakan yang mencemari kemurnian tauhidnya sehingga tergolong dalam perbicaraan ayat 31-32 surah al-Rum? Dalam erti kata lain, apakah ciri-ciri ahli jamaah yang menjadikan jamaahnya sebagai agama?

 

 

Ciri-Ciri Ahli Jamaah Yang Menjadikan Jamaahnya Sebagai Agama.

Berikut ini disenaraikan tujuh contoh keyakinan atau tindakan para ahli jamaah yang menjadikan jamaahnya sebagai agama dan seterusnya memasukkan dirinya ke dalam perbincangan ayat 31-32 surah al-Rum di atas.

 

  1. Berkeyakinan bahawa jamaah yang dipimpin atau dianggotai adalah yang terbaik berbanding jamaah-jamaah yang lain.

  2. Tidak terkesan apabila Islam atau jamaah-jamaah lain dikritik, tetapi menjadi amat marah apabila jamaah sendiri dikritik, tanpa mengira sama ada kritikan tersebut adalah benar atau tidak.

  3. Acuh tak acuh apabila mendengar kes murtad di kalangan umat Islam, tetapi amat prihatin jika ada di kalangan ahli jamaah yang memohon untuk keluar daripada jamaah. Mereka digelar sebagai bughat (pembelot), mutasakitun (yang gugur) dan sebagainya.

  4. Tidak ambil peduli terhadap umat Islam yang tidak melaksanakan perintah larangan agama, tetapi amat memberi perhatian kepada ahli yang tidak melaksanakan perintah larangan jamaah. Kadangkala digunakan istilah Futur, iaitu orang yang awalnya bersemangat tetapi kemdiannya senyap atau lembik dalam aktiviti jamaahnya.

  5. Merasa gembira jika ahli jamaah adalah ramai dan sebaliknya merasa kecewa jika ahli jamaah adalah sedikit apabila dibanding dengan jamaah-jamaah lain. Oleh kerana itu didapati aktiviti berlumba-lumba untuk mengkader, iaitu mencari dan menarik “orang baru” ke dalam jamaah merupakan agenda utama ahli yang senior. Aktiviti ini begitu hebat sehingga setiap kali semester baru dibuka di pusat-pusat pengajian tinggi, saya menerima banyak emel dan sms yang bertanya: “Banyak jamaah yang sedang menarik saya, saya nak masuk yang mana?”

  6. Aktiviti hanya dibataskan kepada sesuatu yang berkaitan dengan jamaah. Seseorang ahli tidak akan menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh jamaah lain sekali pun dia memiliki kelapangan dan kemahiran dalam aktiviti yang dianjurkan oleh jamaah lain tersebut. Menyertai aktiviti jamaah lain dipandang sebagai mengkhianati jamaah sendiri.

 

Sikap ini adakalanya berlanjutan kepada pelbagai urusan sehingga ke tahap seseorang ahli jamaah hanya akan mencari calon pasangan hidup dari sesama ahli jamaah sahaja. Seterusnya ibubapa daripada sesuatu jamaah hanya mencalonkan anaknya kepada anak ibubapa daripada jamaah yang sama, sekali pun anak-anak mereka tidak menganggotai jamaah tersebut.

 

  1. Amir jamaah yang mengeluarkan perintah yang bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Juga bagi ahli yang mentaati amir yang mengeluarkan perintah sedemikian. Salah satu contoh yang biasa saya terima aduannya daripada para pelajar pusat pengajian tinggi adalah larangan yang dikeluarkan oleh amir jamaah kepada mereka untuk tidak menghadiri kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh penceramah yang tidak berasal dari jamaah yang sama. Sungguh ini adalah satu perintah yang menghalang seseorang dari jalan Allah, sebagaimana firman-Nya:

 

أَلاَ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ (18) الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا.

 

Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim! (Iaitu) orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong. [Hud 11:18-22]

 

 

Demikian tujuh contoh keyakinan atau tindakan yang lazim berlaku di kalangan segelintir amir atau ahli jamaah di kalangan jamaah-jamaah yang berbeza. Keyakinan atau tindakan seperti inilah yang dirujuk oleh ayat 31-32 surah al-Rum, dimana masing-masing para ahli jamaah memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa jamaah, dengan setiap jamaah merasa bangga dengan apa yang ada pada jamaah mereka.

 

Seterusnya apabila segala kebaikan, keprihatinan, ketaatan, kesetiaan, kesukaan, kecintaan, kemarahan, kekecewaan, kebencian dan sebagainya tidak lagi ditujukan kepada Allah tetapi kepada jamaah sendiri, maka terjadilah penyekutuan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Mudahnya, jamaah tersebut telah menjadi satu tandingan yang sama kedudukan, bahkan adakalanya lebih tinggi daripada Allah. Jamaah tersebut telah menjadi satu agama tersendiri yang menyaingi agama Allah, iaitu Islam. Di sinilah berlakukan penyekutuan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

 

Adakah Semua Jamaah Dan Ahlinya Musyrikin?

Tidak. Tujuh keyakinan atau tindakan yang saya senaraikan di atas hanyalah sebagai contoh. Sengaja saya mengemukakannya agar para ahli jamaah dapat berwaspada terhadapnya dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memelihara diri daripadanya. Saya yakin ramai yang menyertai jamaah memiliki matlamat yang betul, iaitu jamaah hanyalah sebagai saranan manakala matlamatnya adalah menghasilkan manfaat kepada Islam dan umatnya.

Seandainya contoh-contoh di atas benar-benar berlaku, saya yakin ia hanya tindakan segelintir ahli yang fanatik. Fenomena ini tidak terbatas kepada jamaah-jamaah di kalangan para pelajar pusat pengajian tinggi Malaysia, tetapi berlaku juga di negara-negara umat Islam yang lain. Ia juga berlaku di timur tengah sebagaimana yang disentuh oleh Syaikh Muhammad Sa‘id Ramadhan al-Buti. Ketika membicarakan tanggungjawab dakwah dan jihad di kalangan umat Islam, beliau berkata:

 

Sesungguhnya dakwah yang difahami dan diterapkan oleh majoriti kelompok (jamaah) Islam sekarang ini tidak lebih dari aktiviti sekitar anggota kelompok (jamaah) masing-masing.

 

…Jika anda perhatikan secara saksama, nescaya anda akan menyaksikan dinding pemisah yang tinggi yang memisahkan antara kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) yang melancarkan aktiviti gerakan seperti yang kami kemukakan sebelumnya. Pada dasarnya di antara mereka itu tidak terjadi proses dakwah, diskusi atau tukar fikiran. Justeru anda menyaksikan sebaliknya, iaitu muncul pelbagai macam kelompok dengan pelbagai macam aliran dan pemikiran yang merosak. Kemudian masing-masing kelompok (jamaah) berusaha mencari pengaruh, berlumba-lumba mendatangi perkampungan untuk menyebarluaskan pemikiran dan aliran mereka…

 

Semua ini terjadi pada saat para pemerhati Islam atau kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam sedang memberi tumpuan kepada kegiatan gerakan mereka yang khusus di kalangan mereka. Sehingga dengan demikian itu mereka sudah merasa senang dan puas hati, dimana dengan aktiviti gerakan itu mereka sudah merasa (seolah) berperanan sebagai seorang da’i (untuk kebaikan Islam dan umatnya).

 

Dengan penghuraian di atas, penulis tidaklah bermaksud merendahkan aktiviti kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam, …… tetapi yang penulis maksudkan adalah bahawa aktiviti gerakan ini merupakan satu hal sedangkan dakwah ke jalan Allah merupakan satu hal lain dimana masing-masing istilah tidak dapat disamakan.

 

Meski pun aktiviti yang dilakukan oleh kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) tersebut adalah baik dan bermanfaat, namun demikian mereka tidak memainkan peranan yang diwajibkan, iaitu mengajak manusia ke jalan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

…Layak untuk kami kemukakan di sini, bahawa masyarakat Islam, sekali pun kaya dengan pelbagai aktiviti gerakan kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam, namun sebenarnya sungguh miskin dalam aktiviti dalam bidang dakwah. Sejauh yang kami saksikan dari beberapa medan dakwah ke jalan Allah dan pengenalan Islam di beberapa tempat, kegiatan tersebut tidak lepas dari keadaan atau tindakan yang bersifat memenuhi kepentingan peribadi dan bukan untuk memenuhi kepentingan yang lebih besar atau memberi solusi (dalam menghadapi cabaran-cabaran Islam dan umatnya).[3]

 

 

 

Beberapa Poin Tambahan Tentang Jamaah-Jamaah Dalam Islam.

Pada kesempatan ini, ingin saya menggariskan beberapa poin tambahan berkenaan jamaah-jamaah dalam Islam:

 

Pertama:

Menyertai jamaah hanyalah salah satu pilihan (option) untuk seseorang berusaha demi kebaikan Islam dan umatnya. Berjamaah bukanlah satu-satunya pilihan. Jika seseorang itu merasakan dia dapat membawa manfaat yang lebih kepada Islam dan umatnya tanpa menyertai jamaah, maka dipersilakan. Secara zahir dia kelihatan berseorangan, tetapi pada hakikatnya dia tetap berjamaah, iaitu berjamaah dengan keseluruhan umat Islam.

 

Kedua:

Berjamaah memiliki beberapa kelebihan sebagaimana bersendirian juga memiliki beberapa kelebihan. Saya memiliki beberapa rakan yang dahulunya amat aktif dalam jamaah. Bahkan di kalangan mereka ada yang menjawat kedudukan yang amat tinggi seperti amir dan timbalan amir. Namun kini mereka keluar dari jamaah tersebut dan menjadi seorang yang “bersendirian”. Akan tetapi dengan bersendirian, mereka mendapat beberapa kelebihan, seperti perasaan bersama keseluruhan umat Islam, pandangan luas di luar kotak (able to think out of the box) dan wawasan yang jauh lagi matang.

 

Ketiga:

Nak sertai jamaah yang mana?” Demikian soalan yang lazim saya terima daripada para pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Jawapan saya: “Tak perlu sertai mana-mana jamaah buat masa ini. Sebaliknya berikan tumpuan kepada jurusan yang sedang dipelajari manakala waktu selebihnya ditumpukan untuk mendalami agama Islam secara ilmiah.

 

Terdapat tiga alasan mengapa saya menjawab sedemikian:

  1. Berjamaah lazimnya hanya “hangat-hangat tahi ayam” ketika di pusat pengajian tinggi. Ramai yang bersemangat dalam jamaah masing-masing ketika di pusat pengajian tinggi, kemudiannya luntur hingga hampir ke nilai sifar setelah tamat pengajian. Maka memberi tumpuan kepada jurusan yang sedang diambil adalah lebih utama kerana ia memberi manfaat kepada Islam dan umatnya dalam jangka masa yang panjang. Ingat! Islam dan umatnya sangat memerlukan profesional muslim dalam pelbagai bidang dan lapangan.

  2. Ramai yang ingin menyertai jamaah tanpa ilmu. Lalu mereka tidak tahu jamaah mana yang hendak disertai, apa yang hendak dilakukan dalam jamaah dan bagaimana adab berjamaah.

 

Oleh sebab itu saya menekankan agar dituntut ilmu agama secara ilmiah terlebih dahulu. Dengan bekalan ilmu, mudah bagi seseorang untuk memilih sama ada untuk menyertai jamaah atau tidak. Selanjutnya jika dia memilih untuk menyertai jamaah, dia dapat memilih jamaah yang secocok dengan kemahirannya serta tahu apa yang bermanfaat untuk dilakukannya kepada Islam dan umat melalui jamaah tersebut.

 

Paling penting, dia tahu adab-adab berjamaah sehingga terpelihara daripada termasuk dalam perbincangan ayat 31-32 surah al-Rum.

 

  1. Antara sebab seseorang itu ingin menyertai sesuatu jamaah adalah kerana ingin belajar tentang Islam dan ingin melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada Islam dan umatnya. Akan tetapi hakikat yang ditemui setelah menyertai sesuatu jamaah bukanlah seperti yang diharapkan.

 

Keinginan untuk belajar tentang Islam berubah menjadi kursus-kursus (tamrin) tentang jamaah, menghafal silibus jamaah, dibasuh untuk tetap setia kepada jamaah (Wala! Wala!) dan diterapkan keyakinan untuk mengunggulkan jamaah sendiri ke atas jamaah-jamaah lain. Pelajaran tentang Islam sekali-sekala memang ada, iaitu melalui usrah-usrah yang dipimpin oleh naqib atau naqibah yang, maaf kata, ilmu tentang jenis-jenis air pun masih belum tentu betul.

 

Melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada Islam dan umatnya? Ya! Sebut saja aktiviti menampal poster, mengkader ahli baru, mundar mandir secara sirr (rahsia) untuk menghadiri mesyuarat serta tamrin (padahal seluruh warga kampus mengetahuinya) dan saling mengintip antara jamaah.

 

Demikian hakikat yang berlaku antara jamaah-jamaah, sehingga para tukang kebun dan penyapu lantai yang bekerja di pusat-pusat pengajian tinggi tertanya-tanya sesama mereka: “Betul ke jamaah-jamaah itu dipimpin dan dianggotai oleh para pelajar peringkat diploma, sarjana dan yang lebih tinggi?

 

Berhenti, fikir dan renung! Apakah peranan anda di pusat pengajian tinggi? Adakah anda kuli yang diperhambakan atau anda mahasiswa dan mahasiswi yang bakal membawa manfaat kepada Islam dan umatnya? Saya pasti jawapannya bukanlah yang pertama. Maka berfikir dan bertindaklah sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi. Tidak perlu terburu-buru menyertai mana-mana jamaah. Jika anda ingin menyertai sesuatu jamaah, kaji dan analisa terlebih dahulu jamaah-jamaah yang ada, kemudian sertailah jamaah yang menghargai kedudukan anda.

 

Ada pun keinginan untuk belajar tentang Islam, belajarlah dengan sesiapa jua yang mampu menyampaikan Islam secara ilmiah dan benar, tanpa mengira dia dari jamaah apa dan mana.

 

 

Keempat:

Sesuatu jamaah hanya akan dapat menghasilkan manfaat yang maksimum kepada Islam dan umatnya jika ahli-ahli jamaah saling memberi pandangan dan teguran. Ide-ide yang cemerlang amat perlu agar jamaah dapat bergerak cemerlang dalam mencapai matlamat dan tujuannya. Teguran adalah penting agar kesilapan atau kekurangan jamaah serta para ahlinya dapat diperbetulkan. Tidak ada jamaah yang maksum.

 

Sikap saling memberi pandangan dan teguran hendaklah berlaku secara terbuka antara orang atasan jamaah dan ahli-ahli bawahannya. Tidak patut sesuatu pandangan atau teguran ditolak oleh orang atasan semata-mata kerana yang menyampaikannya adalah orang bawahan atau wanita.

 

Seandainya sesuatu pandangan atau teguran ditolak oleh orang atasan dengan alasan yang tidak munasabah, ahli-ahli bawahan tidak perlu membodohkan diri untuk tetap berada dalam jamaah tersebut. Ingat! Tujuan anda dalam jamaah adalah untuk manfaat Islam dan umatnya, bukan mencari keredhaan orang-orang atasan jamaah tersebut. Tidak sepatutnya ahli jamaah yang cerdas memenjarakan ide-ide mereka yang cemerlang dan teguran-teguran yang benar semata-mata kerana orang yang diberi janji taat setia (bai‘ah) tidak memiliki ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang.

 

Kelima:

Fenomena berbilang jamaah hanya akan dapat menghasilkan manfaat yang maksimum kepada Islam dan umatnya jika mereka saling bekerja sama. Tidak sepatutnya setiap jamaah mahu pun ahlinya duduk dalam kepompong tersendiri sahaja. Sebaliknya dinding kepompong hendaklah dirobohkan dan usaha dimulakan agar setiap jamaah dapat berbincang, bertukar pandangan dan bekerja sama antara satu sama lain.

 

Keenam:

Saya mendapat maklumbalas bahawa ada segelintir jamaah yang menggunakan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepentingan berjamaah untuk menarik ahli-ahli baru, memaksa ahli-ahli tersebut agar tetap setia dalam jamaah dan mendakwa jamaahnya sahajalah yang benar. Antara hadis yang dimaksudkan adalah:

 

أَلاَ إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ اِفْتَرَقُوْا عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً، وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى

 

ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ: ثنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِيْ النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِيْ الْجَنَّةِ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ.

 

Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah.[4]

 

 

ثَلاَثَةٌ لاَ يُسْأَلُ عَنْهُمْ: رَجُلٌ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ، وَعَصَى إِمَامَهُ وَمَاتَ عَاصِيًا....

 

Tiga orang, jangan engkau bertanya tentang mereka: (1) seseorang yang memisahkan dirinya dari jamaah dan menderhakai imamnya dan mati dalam keadaan menderhaka…[5]

 

 

فَإِنَّ يَدَ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْتَكِضُ.

 

Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jamaah dan sesungguhnya Syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jamaah.[6]

 

 

 

Penggunaan hadis-hadis di atas dan lain-lain yang semakna dengannya atas tujuan menarik ahli-ahli baru, memaksa ahli-ahli tersebut agar tetap setia dalam jamaah dan mendakwa jamaahnya sahajalah yang benar adalah satu kesalahan yang besar. Ini kerana al-Jamaah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah keseluruhan umat Islam. Dalam erti kata lain, hadis-hadis di atas menerangkan kepentingan untuk umat Islam bersatu (berjamaah) dan jika ada khalifah yang hak, hendaklah kita bersatu (berjamaah) dengan khalifah tersebut.[7]

 

Hadis-hadis di atas tidak bermaksud jamaah-jamaah tertentu dengan amir-amirnya. Sesiapa yang menggunakan hadis-hadis di atas dan lain-lain yang semakna dengannya atas tujuan jamaahnya yang tersendiri, sungguh dia termasuk dalam kategori orang yang berdusta atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadis yang sudah dihafal dan diketahui oleh semua orang, Rasulullah bersabda, maksudnya:

 

“Jangan berdusta atas (nama)ku kerana sesungguhnya sesiapa yang berdusta atas (nama)ku, maka dia akan memasuki neraka.”[8]

 

 

Terdapat empat kategori orang yang berdusta atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

  1. Orang yang mencipta sesuatu hadis lalu dia menyandarkannya kepada Rasulullah.

  2. Orang yang menyampaikan sesuatu hadis tanpa dia sendiri mengetahui sama ada ia sahih atau tidak berasal daripada Rasulullah.

  3. Orang yang mengatakan “Hadis ini sahih, Hadis itu dha’if” dan sebagainya padahal dia sendiri tidak tahu menilai darjat hadis tersebut atau mengetahuinya daripada penilaian mana-mana ahli hadis yang muktabar.

  4. Orang yang menyampaikan sesuatu hadis lalu ditarik maknanya jauh daripada makna asal yang ingin disampaikan oleh Rasulullah.

 

Orang-orang yang menggunakan hadis-hadis di atas dan lain-lain yang semakna dengannya atas tujuan jamaahnya yang tersendiri termasuk dalam kategori keempat di atas. Harapnya jamaah-jamaah Islam tidak terbabit dalam penggunaan hadis-hadis berkenaan kepentingan berjamaah untuk tujuan jamaahnya sendiri. Ada pun maklumbalas yang saya terima, harap ia adalah kes terpencil dan kesilapan tersebut akan segera diperbetulkan.

 

Demikian enam poin tambahan yang ingin saya sampaikan dalam kesempatan ini. Akhir kata, berjamaah atau tidak, dan jamaah yang mana, ia terpulang kepada penilaian setiap individu. Yang penting, jika anda memilih untuk menyertai mana-mana jamaah, pastikan anda memiliki adab, matlamat dan prioriti yang betul. Jika tulisan saya di atas menyesakkan dada, renungilah. Adakah saya yang menyesakkan dada anda atau anda yang selama ini menyesakkan dada sendiri?

 


 

[1] Risalah ini merupakan sambungan dari buku saya 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid, terbitan Jahabersa, Johor Bahru. Dalam buku ini saya menyenaraikan 11 keyakinan dan/atau perbuatan yang lazim berlaku di kalangan umat Islam tanah air yang dapat membawa kepada kesalahan syirik.

[2] Ini adalah terjemahan yang lebih tepat yang saya ambil daripada al-Qur’an Dan Terjemahannya, terbitan Yayasan Penyelenggara Penterjemah & Penafsir al-Qur’an, Indonesia. 

[3] Nukilan berpisah dari buku al-Jihad fi al-Islam: Kaifa Nafhamuhu wa Kaifa Numarisuhu? (edisi terjemahan oleh M. Abdul Ghofar atas judul Fiqh Jihad: Upaya Mewujudkan Darul Islam Antara Konsep Dan Pelaksanaan; Pustaka an-Nabaa’, Jakarta, 2001), ms. 33-34 dengan  beberapa suntingan bahasa.

[4] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud, lihat Sunan Abu Daud – no: 442). Rujuk Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no: 203.

[5] Sahih: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh Ibn Hibban ia disahihkan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 4559.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 4557; demikian juga oleh al-Albani dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir, hadis no: 3621.

[7] Penjelasan lanjut tentang hadis-hadis tersebut boleh dirujuk d bahagian akhir buku saya Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[8]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan, hadis no: 1.

 

 

 

 

Indeks