Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Panduan Membicara Sejarah Para Sahabat

 Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

 

Panduan Kedua:      

Mengenali sikap para sahabat bahawa mereka bukanlah sekumpulan orang yang suka berperang.

 

Panduan kedua sebelum memulakan perbicaraan tentang sejarah para sahabat adalah mengenali sikap mereka, bahawa mereka bukanlah sekumpulan orang yang suka berperang sesama sendiri. Memang, mereka pada awalnya hidup berkabilah dan lazim bercakaran sesama mereka. Akan tetapi setelah Islam masuk ke dalam hati mereka, sifat saling bercakaran berubah menjadi saling bersatu dan bersaudara. Ini semua adalah nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka:

 

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. [Ali Imran 3:103]

 

 

Hasil daripada nikmat Allah ini, para sahabat bukan sahaja saling bersatu dan bersaudara, mereka juga berkasih sayang sesama mereka. Pada waktu yang sama mereka bersikap keras lagi tegas kepada orang-orang yang memusuhi Islam. Allah Subhanahu wa Ta‘ala bersaksi ke atas sikap yang mulia ini:

 

Nabi Muhammad ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). [al-Fath 48:29]

 

 

Berdasarkan sikap saling bersatu, bersaudara dan berkasih sayang, dapat kita sedari bahawa peperangan yang berlaku di antara mereka, yakni Perang Jamal dan Siffin, bukanlah sesuatu yang berlaku di atas pilihan dan kesukaan mereka. Namun ia berlaku di atas faktor-faktor yang tidak disengajai oleh mereka semua sehingga menyebabkan kekeliruan dalam melakukan takwil dan kesalahan dalam berijtihad. Hal ini sepertimana yang penulis terangkan dalam artikel-artikel sebelum ini. al-Imam Abu al-Hasan al-Asya’ari rahimahullah (324H) menegaskan:

 

“Adapun apa yang terjadi antara Ali, al-Zubar dan Aisyah radhiallahu 'anhum, maka ia tidak lain adalah takwil dan ijtihad. Ali adalah imam (pemimpin saat itu) manakala setiap daripada mereka adalah orang yang layak berijtihad. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah bersaksi bahawa mereka adalah ahli syurga dan (sebahagiannya) akan gugur syahid. Maka ini menunjukkan bahawa setiap daripada mereka adalah benar dalam ijtihad mereka. Demikianlah juga apa yang terjadi antara Ali dan Muawiyah radhiallahu 'anhuma, ia adalah takwil dan ijtihad.

 

Semua sahabat adalah imam dan terdiri daripada orang yang dipercayai, tanpa dicurigai agama (mereka). Demi sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah memuji mereka keseluruhannya serta menyuruh kita untuk menghormati, mengagung dan mencintai mereka sebagai satu bentuk ibadah. Hendaklah berlepas diri daripada setiap orang yang mencela seorang jua daripada mereka, radhiallahu 'anhum ajma‘in. [al-Ibanah ‘an Ushul al-Diyanah (Univ. Islam Madinah), ms. 224-225]

 

 

Lebih dari itu, sekalipun Perang Jamal dan Siffin benar-benar berlaku, jumlah sahabat yang terlibat dalamnya amatlah sedikit. Ini bukan sahaja disebabkan sikap mereka yang saling bersatu, bersaudara dan berkasih sayang, tetapi juga disebabkan peringatan yang diberikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada mereka sejak dari awal. Baginda pernah bersabda:

 

Akan terjadi fitnah. Duduk ketika itu adalah lebih baik daripada berdiri, berdiri ketika itu adalah lebih baik daripada berjalan dan berjalan ketika itu adalah lebih baik daripada berlari. Orang yang menyaksikannya (peristiwa fitnah) akan tertarik ke dalamnya. (Oleh itu) sesiapa yang mendapati tempat berlindung maka hendaklah dia berlindung di dalamnya. [Shahih Muslim – hadis no: 2886]

 

 

Berkenaan jumlah sahabat yang terlibat dalam Perang Jamal, al-Sya’bi rahimahullah (104H) menerangkan:

 

“Tidak ada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang turut serta dalam Perang Jamal kecuali Ali, Ammar, Thalhah dan al-Zubair. Jika dikatakan ada orang kelima, maka aku berdusta.” Adapun Perang Siffin, maka Muhammad bin Sirin rahimahullah (110H) menegaskan: “Api fitnah (Perang Siffin) membara sementara para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berjumlah puluhan ribu. Tidak sampai seratus orang yang terlibat di dalamnya, bahkan tidak sampai tiga puluh orang.” [Kedua-duanya diriwayatkan oleh Abu Bakar al-Khallal dalam Kitab al-Sunnah (Dar al-Rayah, Riyadh, 1410H), riwayat no: 729 & 728 dan sanad kedua-duanya dinilai sahih oleh peneliti kitab: Dr. ‘Athiyah al-Zaharani]

 

 

Berdasarkan Panduan Kedua ini, dapat dikenali sikap para sahabat radhiallahu 'anhum bahawa mereka bukanlah sekumpulan manusia yang suka berperang sesama mereka. Perang Jamal dan Perang Siffin benar-benar berlaku akan tetapi ia bukanlah di atas pilihan mereka. Lebih penting, yang terlibat secara tidak sengaja dalam kedua-dua peperangan tersebut hanya segelintir sahabat yang terkeliru dalam melakukan takwil dan ijtihad. Majoriti sahabat mengecualikan diri daripadanya.

 

Panduan Pertama dan Kedua di atas membentuk asas yang penting kepada setiap individu yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat dalam membicarakan sejarah para sahabat. Tanpa kedua-dua asas ini, seseorang itu akan cenderung kepada membicara sejarah para sahabat dengan pandangan yang negatif, sekaligus menjerumuskan dirinya untuk membuat kesalahan-kesalahan yang fatal.

 

 

 

Panduan Pertama

Panduan Ketiga

Panduan Keempat

Panduan Kelima dan penutup 

 

 

Kandungan