Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Pencerahan Dalam Persoalan Solat Sunat Qabliyah Jumaat

 Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

 

Bahagian Kedua:

Analisa Dan Pencerahan Ke Atas Hujah-Hujah “Viceroy”

 

 

Pertama:

Hujah Viceroy:

Di sini ku bentangkan beberapa hadis yang dijadikan dalil oleh para imam mazhab Syafie dalam mentsabitkan solat sunat qabliyyah jummat.

 

1) Hadis riwayat Imam Muslim yang ertinya : "Apabila seseorang dari kamu bersolat jumaat maka solatlah sebelumnya 4 rakaat dan selepasnya 4 rakat.

 

 

Analisa dan Pencerahan:

Nampaknya berlaku kekeliruan. Hadis di atas tidak terdapat di dalam Shahih Muslim. Di dalam Shahih Muslim, hanya terdapat hadis berikut:

 

Apabila seseorang kalian bersolat Jumaat, maka bersolatlah sesudahnya empat rakaat. [Shahih Muslim – hadis no: 667 (Kitab al-Jumu’ah, Bab solat sesudah Jumaat)]

 

 

 

Kedua:

Hujah Viceroy:

2) Hadis riwayat Imam Turmudzi : "Bahwa Ibn Mas'ud r.anhu bersolat sebelum Jumaat 4 rakaat dan selepasnya 4 rakaat".

 

Pencerahan:

Hadis ini boleh dirujuk dalam Sunan al-Tirmizi, dimana ia merupakan penjelasan al-Imam al-Tirmizi rahimahullah kepada hadis no: 481 (Kitab al-Jumuah, Bab berkenaan solat sebelum Jumaat dan sesudahnya):

 

Diriwayatkan daripada ‘Abd Allah bin Mas‘ud bahawa beliau bersolat sebelum Jumaat empat rakaat dan selepas Jumaat empat rakaat.

 

 

Hadis ini memang masyhur dijadikan hujah, termasuk oleh al-Imam al-Nawawi di dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 3, ms. 349. Akan tetapi yang benar, solat yang dilaksanakan oleh Ibn Mas‘ud bukanlah solat sunat qabliyah Jumaat tetapi solat sunat mutlak sebelum Jumaat. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi yang saya nukil sebelum ini. al-Hafiz Abu Syamah turut menjelaskan:

 

Menurut saya, solat sunat empat rakaat yang sebelum solat Jumaat yang seperti yang didirikan oleh Ibn Mas‘ud adalah semata-mata solat sunat (mutlak) yang biasa beliau laksanakan sehingga imam datang. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Dengan demikian, maka atas dasar apakah anda menyakini bahawa solat sunat yang didirikan oleh Ibn Mas‘ud adalah solat sunat qabliyah Jumaat? [al-Baits al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, ms. 223]

 

 

 

 

Ketiga:

Hujah Viceroy:

3) Hadis riwayat Imam Ibn Hibban, dari Abdullah ibn Zubair r.anhu secara marfu' : Tiada suatu solat melainkan mengiringinya 2 rakaat".

 

Pencerahan:

Hadis ini terdapat di dalam Shahih Ibn Hibban – hadis no: 2455 (Kitab al-Solat, Bab solat Nawafil) sebagaimana berikut:

 

Tidak ada solat fardhu melainkan ia didahului oleh dua rakaat.

 

 

Berkata penyemak – Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth: “Isnadnya kuat.” Sepertimana kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang saya nukil sebelum ini, hadis ‘Abd Allah bin al-Zubair ini turut menjadi dalil yang masyhur bagi mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat. Akan tetapi hal ini telah ditolak oleh al-Hafiz al-‘Iraqi:

 

Juga yang dijadikan dalil adalah apa yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban di dalam Shahihnya dan al-Daruquthni di dalam Sunannya dan selain mereka berdua daripada ‘Abd Allah bin al-Zubair, beliau berkata, bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Tidak ada solat fardhu melainkan ia didahului oleh dua rakaat” dan hadis ini ditujukan kepada solat Jumaat dan selainnya. Akan tetapi ini adalah pendalilan yang lemah disebabkan ia adalah satu keumuman yang menerima pengkhususan padahal telah disebut sebelum ini apa yang nyata daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka tidak melakukan sedemikian (yakni bersolat dua rakaat qabliyah Jumaat). [Tharh al-Tsarib, jld. 3, ms. 43]

 

 

 

Keempat:

Hujah Viceroy:

4) Syeikh Sulaiman al-Kurdi (pengarang Hasyiah 'ala Manhajil Qawim Ibn Hajar Haitami) : "Aku melihat dalam Syarah Misykat (kitab Misykat al-Masabiih) oleh Imam Mulla 'Ali Qari apa yang dinyatakannya bahwa telah datang suatu hadis dengan suatu sanad yang jayyid (baik) sebagaimana diakui oleh Ima 'Iraqi bahwa Nabi s.a.w bersolat sebelum Jumaat 4 rakaat.

 

Pencerahan:

Kitab al-Imam Mulla ‘Ali al-Qari rahimahullah (1014H) yang dimaksudkan ialah Mirqat al-Mafatih Syarh Miskat al-Mashabih (tahqiq: Shiddiq Hasan Jamil; Dar al-Fikr, Beirut, 1994) dan kata-kata beliau boleh dirujuk dalam jld. 3, ms. 246:

 

“Dan sungguh telah datang dengan sanad yang baik (jayyid) sebagaimana kata al-Hafiz al-‘Iraqi, bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersolat sebelum Jumaat empat rakaat.”

 

 

Walaubagaimanapun, apabila dirujuk kepada kitab al-Hafiz al-‘Iraqi yang berjudul Tharh al-Tsarib, jld. 3, ms. 41, di dapati kata-kata beliau ialah:

 

 “…Hadis Sunan Ibn Majah bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersolat sebelum Jumaat empat rakaat, dan isnadnya adalah amat lemah (dha‘if jiddan).”

 

 

Di sini berlaku dua kemungkinan:

1.      Berlaku kesilapan oleh al-Imam Mulla ‘Ali al-Qari ketika menukil kata-kata al-Hafiz al-‘Iraqi.

2.      al-Imam Mulla ‘Ali al-Qari sebenarnya merujuk kepada hadis yang lain yang dinilai oleh al-Hafiz al-‘Iraqi di tempat yang lain.

 

Apapun, seandainya benar hadis tersebut memiliki sanad yang baik, ia bukanlah dalil bagi mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat kerana apa yang dilakukan oleh baginda termasuk solat sunat mutlak sebelum solat Jumaat. Ini sebagaimana yang dilakukan juga oleh para sahabat baginda, sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Abu Syamah dan al-Hafiz al-‘Iraqi sebelum ini.

 

 

Kelima:

Hujah Viceroy:

5) dalam Sunan al-Turmudzi dinyatakan bahwa Ibn Umar memanjangkan solatnya sebelum Jumaat dan bersolat selepasnya 2 rakaat di rumahnya dan menceritakan bahwa Nabi s.a.w berbuat sedemikian juga.

 

6) Berkata Al-Mubarakfuri dalam kitabnya Awnul Ma'bud bahwa Imam Nawawi berkata dalam kitabnya Al-Khulasah bahwa hadis dia tas (no 5) adalah sahih atas syarat Imam Bukhori dan Muslim. Imam Iraqi juga menyatakan dalam Syarah Turmudzi bahwa isnadnya sahih.

 

Pencerahan:

Hadis Ibn ‘Umar yang dimaksudkan, maka ia diriwayatkan oleh Nafi’:

 

Adalah Ibn ‘Umar beliau memanjangkan solatnya sebelum Jumaat dan beliau bersolat sesudahnya dua rakaat di rumahnya dan beliau menceritakan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan sedemikian.

 

Adapun menyandarkan hadis ini kepada Sunan al-Tirmizi, maka ia adalah satu kekeliruan kerana hadis ini tidak ditemui dalam Sunan al-Tirmizi. Yang benar ia terdapat di dalam Sunan Abu Daud – hadis no: 953 (Kitab al-Solat, Bab solat sesudah Jumaat).

 

 

Kemudian berlaku kekeliruan lagi. al-Mubarakfuri tidak mengarang kitab Awnul Ma’bud dan Awnul Ma’bud tidak dikarang oleh al-Mubarakfuri. Yang benar, al-Imam al-Mubarakfuri mengarang kitab Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmizi manakala ‘Awn al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud dikarang oleh al-Imam Abi al-Thayyib Muhammad Syams al-Haq al-‘Azhim al-Abadi.

 

Adapun yang nukilan yang dikemukakan oleh Viceroy, maka ia adalah daripada kitab ‘Awn al-Ma’bud. Sayang sekali, beliau tidak menukil secara penuh perbincangan al-Imam Syams al-Haq dalam bab ini. Saya menyambung kata-kata al-Imam Syams al-Haq selepas beliau menerangkan kesahihan hadis tersebut:

 

Adapun yang dimaksudkan dalam perkataan Ibn ‘Umar “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan sedemikian”, maka yang nyata adalah apa yang dikatakan oleh al-Syaikh Abu Syamah bahawa ia merujuk kepada tindakan (Ibn ‘Umar) bersolat dua rakaat sesudah Jumaat di rumahnya.

 

Dan berkata al-Hafiz (Ibn Hajar al-‘Asqalani): al-Nawawi berhujah dengan hadis Ibn ‘Umar untuk mensabitkan (solat) sunat sebelum Jumaat dan beliau mengulas bahawa ucapan “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan sedemikian” ditujukan kepada perkataan “beliau bersolat sesudahnya dua rakaat di rumahnya” dan ini ditunjuki oleh riwayat al-Laits daripada Nafi’ daripada ‘Abd Allah (ibn ‘Umar) yang dikeluarkan oleh (al-Imam Muslim): “Bahawa beliau apabila bersolat Jumaat, beliau meninggalkan masjid dan bersolat dua rakaat di rumahnya. Kemudian beliau berkata, adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan yang sedemikian.”

 

Adapun perkataannya “Adalah Ibn ‘Umar beliau memanjangkan solatnya sebelum Jumaat”, maka jika yang dimaksudkan adalah sesudah masuknya waktu (Jumaat) maka tidaklah ia sah daripada Rasulullah disebabkan baginda shallallahu 'alaihi wasallam keluar (rumah) apabila tergelincirnya matahari lalu baginda sibuk dengan khutbah, kemudian (sibuk) dengan solat Jumaat.

 

Jika yang dimaksudkan adalah sebelum masuknya waktu (solat Jumaat) maka yang sedemikian adalah solat sunat mutlak dan bukannya solat ratibah (qabliyah Jumaat). Maka hadis tersebut bukanlah hujah untuk mensunatkan solat sebelum Jumaat (qabliyah Jumaat). Bahkan ia adalah anjuran kepada solat sunat mutlak (sebelum masuknya waktu Jumaat). [‘Awn al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud (tahqiq: Shiddiq Hasan Jamil; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1995), jld. 3, ms. 356]

 

Demikian penjelasan al-Imam Syams al-Haq. Hadis Ibn ‘Umar memang disahihkan oleh al-Imam al-Nawawi akan tetapi hujah yang diambil daripadanya oleh beliau, menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, adalah tidak benar. Yang benar, solat panjang yang didirikan oleh Ibn ‘Umar sebelum solat Jumaat adalah solat sunat mutlak, bukan solat sunat qabliyah Jumaat. Perkataan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang dinukil oleh al-Imam Syams al-Haq boleh dirujuk dalam Fath al-Bari, jld. 3, ms. 95.

 

Jelas bahawa Viceroy hanya menukil daripada kitab ‘Awn al-Ma’bud apa yang selari dengan pendapatnya dan meninggalkan apa yang menyelisihi pendapatnya, lalu kemudian mendakwa itulah pendapat dalam Mazhab al-Syafi’e.

 

Demikian analisa dan pencerahan ke atas dalil dan hujah yang dikemukakan oleh “Viceroy” sebagai mewakili para imam Mazhab al-Syafi’e yang mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat. Dalil dan hujah tersebut tidak saya tolak melainkan berdasarkan penolakan para imam Mazhab al-Syafi’e jua, yakni mereka yang menafikan kesabitan solat sunat qabliyah Jumaat.

 

 

 

Pengenalan

Bahagian Pertama

Bahagian Ketiga: Kesimpulan

 

 

 

Kandungan