Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Pendirian Yazid Di Sebalik Pembunuhan Husain

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Sepertimana ayahnya – Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu 'anh, Yazid bin Muawiyah rahimahullah juga terkenal dengan pelbagai keburukan, hasil daripada kisah-kisah sejarah versi Syi‘ah. Antara keburukan yang paling menonjol ialah kononnya Yazid telah memerintah orang-orang bawahannya untuk membunuh Husain bin Ali radhiallahu 'anh. Dalam artikel ini insya-Allah kita akan meneliti sejauh manakah kebenaran kisah tersebut.

 

 

Husain menerima surat daripada Kufah.

Setelah Yazid dibai‘ah menjadi khalifah umat Islam, Husain menerima beberapa surat daripada penduduk Iraq, khasnya dari bandar Kufah. Surat-surat tersebut menjemput Husain ke Kufah, kononnya orang-orang di sana ingin membai‘ah beliau sebagai khalifah. Sebahagian riwayat menambah bahawa setelah dibai‘ah, mereka akan bersama Husain untuk memerangi dan menjatuhkan pemerintahan Yazid.

 

Walaubagaimanapun tokoh-tokoh yang utama pada saat itu daripada kalangan sahabat dan selainnya seperti Muhammad bin Hanafiyah, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Ja’far, Abdullah bin Umar, Abu Sa‘id al-Khudri dan termasuklah Yazid, semuanya menasihati Husain agar tidak mengendahkan jemputan tersebut. Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah menerangkan hal ini:

 

“Adapun orang yang merasa kasihan terhadap pemergian Husain adalah semua pencintanya, kerabatnya, para penasihatnya dan orang-orang yang berpegang kepada sunnah-sunnah Islam. Mereka semua mencegah Husain untuk pergi dan mengingatkan beliau tentang akibatnya (yang buruk).” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 237]

 

 

Sebab utama mereka menghalang pemergian Husain adalah kerana yang menulis surat-surat tersebut ialah orang-orang Syi‘ah dan para pemberontak yang sebelum itu terlibat dalam pembunuhan Usman ibn Affan radhiallahu 'anh. Mereka adalah orang-orang yang suka menimbulkan fitnah dan jemputan mereka kepada Husain hanya bertujuan menimbulkan fitnah yang baru ke atas ahli keluarga Rasulullah secara khusus dan umat Islam secara umum.

 

Penerangan Syaikh Muhib al-Din al-Khatib sekali lagi menjadi rujukan:

 

“Orang yang pertama menulis surat kepada Husain ialah para guru Syi‘ah sebagaimana yang diriwayatkan oleh para ahli sejarah, (di antara penulis tersebut ialah) Lut bin Yahya, Salman bin Sordi, Musyab bin Najbah, Rafaah bin Syadad, Hubaib bin Mudhahir dan mereka mengirim surat mereka bersama Abdullah bin Saba’, al-Hamadani dan Abdullah bin Wa’il.” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 236]

 

 

Namun Husain enggan mendengar nasihat tersebut. Beliau mengumpulkan ahli keluarganya dan memulakan perjalanannya ke Kufah. Sebahagian orang yang ada mengejar Husain sehingga ke pertengahan jalan ke Kufah untuk menasihati beliau, tetapi beliau tetap tidak mahu mengubah pendiriannya. Para ahli sejarah tidak dapat memastikan kenapa Husain tetap berpegang kepada pendiriannya untuk ke Kufah sekalipun semua isyarat-isyarat pada ketika itu mengarahkan beliau agar tetap di Madinah. Pemergiannya itulah yang akhirnya menyebabkan beliau dan sebahagian ahli keluarganya terbunuh.

 

Setelah mengkaji semua data-data sejarah dan penjelasan para penelitinya, seorang ahli sejarah: Syaikh Darwazah menerangkan hakikat ini dengan penuh rendah diri:

 

“Kami bersaksi kepada Allah bahawa kami tidak menulis apa yang kami tulis (tentang pemergian Husain) kerana mengikuti hawa nafsu dan benci kepada Husain dan keluarganya. Kami sungguh menaruh perhatian yang sangat tinggi dan rasa cinta kepada mereka termasuk silsilah dan keturunan (mereka kepada) keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia. Akan tetapi kami sebagaimana ahli sejarah yang lain tidak mampu mengungkap selain itu, ……di sini aku utamakan dua pendapat, iaitu pendapat imam yang agung – Ibn Taimiyyah dan ahli sejarah yang sekali gus seorang peneliti – Syaikh Muhammad al-Khudhari.

 

(Berkata Ibn Taimiyyah): “Sesungguhnya pemergian Husain tidak menambah kebaikan baik untuk agama mahupun dunia. Adalah pemergiannya dan terbunuhnya termasuk kerosakan dan ini tidak akan terjadi jika beliau tetap di negerinya (Madinah). Tujuan beliau yang ingin mendapatkan kebaikan dan mencegah kejahatan (tidak membuahkan hasil) kecuali menambahkan kejahatan. Ini kerana pemergiannya itulah yang menyebabkan beliau terbunuh, malah mengurangi kebaikan itu sendiri. Terbunuhnya Husain mengharuskan sebab bagi lahirnya beberapa fitnah yang baru.”

 

(Berkata Syaikh al-Khudhari): “Kesimpulannya bahawa Husain dalam pemergiannya adalah satu kesalahan besar yang menyebabkan umat berada dalam bencana perpecahan dan perbezaan serta runtuhnya tiang yang berlanjutan sehingga sekarang.” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 243-244]

 

 

Adakah Yazid bertanggungjawab di sebalik pembunuhan Husain?

Apabila Yazid menerima khabar bahawa Husain dan ahli keluarganya tetap memulakan perjalanan ke Kufah, beliau menyuruh gabenornya di Basrah, Ubaidullah bin Ziyad, untuk ke Kufah dan memerhatikan gerakan Husain dan kebangkitan orang-orang Kufah. Yazid memberi arahan khusus kepada Ubaidullah bin Ziyad untuk hanya memerhatikan Husain dan tidak bertindak melainkan jika Husain yang bertindak terlebih dahulu. Akan tetapi dalam suasana yang tegang antara orang-orang Kufah yang ingin menimbulkan fitnah, pergerakan Husain ke Kufah dan sikap Ubaidullah bin Ziyad yang gelojoh, Husain dan sebahagian ahli keluarganya akhirnya terbunuh di sebuah tempat yang bernama Karbala.

 

Sejarah versi Syi‘ah pantas menuduh Yazid sebagai pembunuh Husain. Mereka mendakwa Yazid telah memberi arahan khusus kepada Ubaidullah bin Ziyad untuk terus memerangi dan membunuh Husain. Malah kononnya Yazid memberi arahan lanjut agar kepala Husain dipenggal dan dibawa ke istananya di Syam sebagai bukti pembunuhan. Setelah itu kononnya kepala Husain dihantar ke Mesir.

 

Semua ini adalah tidak benar. Syaikh Darwazah menerangkan:

 

“Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa di sana tidak ada sesuatu (bukti) yang menunjukkan peristiwa pembunuhan Husain memiliki hubungkait dengan Yazid. Yazid tidak memerintah untuk memerangi Husain, apalagi membunuhnya. Segala perintah adalah sekadar untuk mewaspadainya (Husain) dan tidak menyerang kecuali jika Husain menyerang (terlebih dahulu).” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 242]

 

 

Adapun kisah kepala Husain dibawa kepada Yazid di Syam, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menerangkan kisah yang sebenar:

 

“Adapun Husain radhiallahu 'anh, maka beliau terbunuh di Karbala berhampiran (sungai) Furat. Jasadnya dikebumikan di tempat terbunuhnya dan kepalanya dibawa ke hadapan Ubadullah bin Ziyad di Kufah. Demikianlah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya dan daripada para imam yang lain.

 

Adapun kisah dibawanya (kepala Husain) ke Syam kepada Yazid, maka sesungguhnya yang sedemikian diriwayatkan secara terputus (sanadnya) dan tidaklah ia sabit barang sedikit jua. Bahkan dalam riwayat-riwayat tersebut kelihatan sesuatu yang menunjukkan kedustaan yang direka-cipta, kerana di dalamnya disebut bahawa Yazid kononnya telah menusuk gigi taring (Husain) dengan besi dan bahawa sebahagian sahabat yang hadir (pada saat itu) seperti Anas bin Malik dan Abi Barzah telah mengingkari yang sedemikian.

 

Ini adalah satu kerancauan. Sesungguhnya yang menusuk dengan besi adalah Ubaidullah bin Ziyad. Demikian yang tercatit di dalam kitab-kitab sahih dan musnad. Mereka meletakkan nama Ubaidullah bin Ziyad di tempat Yazid. Tanpa diragui, sesungguhnya Ubaidullah telah memerintah agar Husain dibunuh dan dibawa kepala Husain kepada hadapannya. Kemudian sesudah itu (Ubaidullah) bin Ziyad dibunuh disebabkan apa yang dia lakukan.

 

Malah yang lebih jelas (tentang kedustaan kisah kepala Husain dibawa kepada Yazid) ialah para sahabat yang disebut-sebutkan hadir bersama seperti Anas bin Malik dan Abi Barzah, mereka sebenarnya tidak berada di Syam melainkan berada di Iraq pada ketika itu. Sesungguhnya kejahilan para pendusta tersebut dalam mencipta kisah ini dengan sendirinya membongkar kedustaan mereka.

 

Adapun kisah dibawa (kepala Husain) ke Mesir, maka ia adalah batil menurut kesepakatan orang ramai. Para ilmuan seluruhnya juga bersepakat bahawa apa yang disebut-sebut sebagai lokasi kepala Husain di Kaherah, Mesir (dikenali sebagai Masyhad al-Husain) adalah sebenarnya batil, di dalamnya tidak terdapat kepala Husain mahupun apa-apa jua daripada bahagian kepala Husain.

 

Pendapat yang kuat di kalangan ahli ilmu berkenaan lokasi kepala Husain bin Ali radhiallahu 'anhuma ialah seperti apa yang disebut oleh al-Zubair bin Bakr dalam kitabnya Ansab Quraisy dimana al-Zubair bin Bakr adalah daripada orang yang paling berpengetahuan lagi dipercayai dalam masalah ini. Beliau menyebut bahawasanya kepala (Husain) dibawa ke Madinah al-Nubuwwah dan dikebumikan di sana dan inilah pendapat yang munasabah. Sebabnya, di sana (Madinah) letaknya kubur saudaranya Hasan, pakcik ayahnya – al-Abbas, anak Ali dan lain-lain daripada ahli keluarganya.” [Majmu al-Fatawa, (Dar al-Wafa’, Kaherah, 2001), jld 4, ms. 507-509]

 

 

Berdasarkan penjelasan di atas, jelas bahawa Yazid tidak memerintahkan pembunuhan Husain dan tidak pula meminta agar kepala Husain dibawa kepalanya di Syam. Bahkan tercatit di dalam kitab-kitab sejarah bahawa beliau menjadi amat sedih apabila mendengar Husain telah dibunuh oleh Ubaidullah bin Yazid. Beliau juga diriwayatkan telah memberi perlindungan kepada ahli keluarga Husain yang terselamat sehinggalah mereka kembali ke Madinah.

 

 

Siapakah pembunuh sebenar Husain?

Jawapan kepada persoalan ini boleh dirujuk kepada hadis berikut yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rahimahullah (256H) di dalam Shahihnya – hadis no: 5994 dimana Abdul Rahman bin Abi Na’m menerangkan:

 

“Aku melihat (Abdullah) Ibn Umar ditanya oleh seorang lelaki berkenaan hukum darah lalat. Ibn Umar bertanya: “Kamu berasal dari mana?” Lelaki itu menjawab:

“Aku daripada orang-orang Iraq.”

Lalu Ibn Umar berkata: “Lihatlah orang ini, dia bertanya kepada aku berkenaan darah lalat padahal mereka (orang-orang Iraq) membunuh cucu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Aku mendengar Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Mereka berdua (Hasan dan Husain) adalah penyejuk hatiku di dunia”.

 

 

Terdapat beberapa sebab kenapa seorang sahabat yang alim yang hidup sezaman dengan Husain bin Ali berkata sedemikian:

1.      Orang yang menjemput Husain dari Madinah ke Kufah adalah orang-orang Iraq.

2. Orang-orang Iraq kononnya ingin membai‘ah Husain dan memulakan gerakan bagi menjatuhkan pemerintahan Yazid. Ini menyebabkan Yazid terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memerhati tindakan Husain yang seterusnya. Seandainya Husain bergerak ke satu tempat tanpa tujuan politik, pasti Yazid tidak perlu memerhati beliau.

3.      Orang-orang Iraq berura-ura untuk memulakan gerakan menjatuhkan gabenor pemerintahan Yazid di Kufah dan bandar-bandar di sekitarnya. Hal ini menyebabkan Ubaidullah bin Ziyad secara gelojoh mengambil tindakan ketenteraan.

4.      Orang-orang Iraq yang pada asalnya ingin membai‘ah Husain dan menjadikan beliau khalifah terus melarikan diri apabila melihat kemaraan tentera Ubaidullah bin Ziyad. Maka secara tiba-tiba tinggallah Husain serta ahli keluarganya terperangkap di hadapan tentera Ubaidullah bin Ziyad yang besar jumlahnya.

 

Justeru sekalipun yang membunuh Husain ialah tentera dibawah arahan Ubaidullah bin Ziyad, faktor sebenar yang menyebabkan Husain terbunuh ialah orang-orang Iraq itu sendiri.

 

Timbul soalan seterusnya, kenapakah orang-orang Iraq yang pada asalnya ingin membai‘ah Husain dan menjadikan beliau khalifah terus melarikan diri tanpa membela Husain? Jawapannya adalah mudah, mereka pada asalnya tidak memiliki apa-apa keinginan untuk menjadikan Husain sebagai khalifah. Tujuan mereka hanyalah untuk menimbulkan fitnah yang baru, yakni dengan melagakan Husain dengan pemerintahan Yazid. Perkara lain yang menarik untuk diperhatikan adalah, penduduk Iraq pada ketika itu kebanyakan mereka adalah orang-orang Syi‘ah.

 

 

 

 

Kandungan