Membongkar Aliran Islam Liberal

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Bahagian B:  

Aurat dan Pakaian Wanita:
Satu Analisa Ke Atas Artikel “Memahami Aurat Wanita” karangan Zainudin Idris.

 

 

Dalam sebuah hadisnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam bersabda:

“Wanita adalah aurat, apabila dia keluar maka syaitan menghias-hiaskannya (untuk menarik perhatian lelaki).”[1]

 

Hadis di atas memperjelaskan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 “Dan janganlah mereka (kaum wanita) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” [Surah al-Nur 24:31]

 

Antara hukum yang dapat diambil daripada hadis dan ayat di atas adalah pemutlakan wanita sebagai aurat yang dengan itu dia wajib melindungi dirinya daripada dilihat oleh orang lain. Hukum ini merupakan kesepakatan umat Islam dari dahulu hingga kini. Akan tetapi mereka berbeza pendapat apakah anggota yang dimaksudkan dengan firman Allah: “kecuali yang zahir daripadanya”. Sebahagian ilmuan berpendapat ia adalah muka dan telapak tangan. Sebahagian lagi berpendapat ia adalah muka, telapak tangan dan telapak kaki. Sebahagian lagi berpendapat ia adalah bentuk badan wanita di mana sekalipun telah berpakaian yang menutup seluruh tubuh, secara zahir dia tetap dapat dikenali sebagai seorang wanita. Maka pengenalan berdasarkan zahir bentuk badan adalah sesuatu yang tidak dapat dielak, lalu dia tidak dihukum kerananya. Walauapa pun antara tiga pendapat ini, wilayah perbezaan ini adalah amat kecil dan ia tidak mencemari kesepakatan umat tentang batas aurat dan pakaian para muslimah.

 

Pada bulan Febuari yang lepas umat Islam Malaysia dikejutkan oleh sebuah artikel berjudul Memahami Aurat Wanita yang dimuatkan dalam majalah al-Islam dan akhbar Mingguan Malaysia (15 Feb 2004). Artikel tersebut dipilih oleh Astora Jabat dan beliau mendakwa ia asalnya ditulis oleh seorang yang bernama Zainudin Idris. Artikel tersebut turut mendapat perhatian penulis. Ringkasnya ia mendakwa bahawa aurat yang wajib ditutup oleh kaum wanita mengikut syari‘at Islam hanyalah kemaluan depan dan belakangnya. Bahkan beliau menulis: “Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang.”

 

Sejauh mana kebenaran artikel tersebut? Penulis tertarik untuk mengkaji dan menganalisanya. Artikel ini – alhamdulillah – adalah hasil kajian dan analisa penulis sekadar mampu. Sebelum ini penulis telah mengarang artikel seumpama dalam bentuk yang lebih ringkas dan dihantar ke beberapa forum di internet. Artikel tersebut telah berkembang luas dengan beberapa tambahan daripada orang lain, alhamdulillah.

 

Dalam mengusahakan artikel ini, ingin ditekankan bahawa yang menjadi tumpuan penulis ialah dalil dan metode perbahasan Zainudin Idris dan bukan peribadi beliau. Pendek kata bukan siapa yang menulis tetapi apa yang ditulisnya. Oleh itu metode perbahasan penulis dalam artikel ini ialah:

  1. Mengemukakan (copy and paste) artikel Memahami Aurat Wanita oleh Zainudin Idris daripada laman Utusan Online bertarikh 15 Febuari 2004. Ini bertujuan memudahkan para pembaca yang tidak sempat membaca artikel tersebut sebelum ini. Kemudian penulis memberi nombor bagi setiap perenggan kerana analisa penulis ke atas artikel tersebut adalah berdasarkan perenggan demi perenggan.

  2. Menukil seperenggan demi seperenggan daripada artikel Memahami Aurat Wanita dengan setiap nukilan disebut nombor perenggannya. Misalnya: “Disebut dalam perenggan pertama.”

  3. Kemudian diikuti dengan analisa penulis, didahului dengan “Analisa.”

Walau pun penulis cuba untuk tidak mengkritik peribadi saudara Zainudin Idris, beberapa soalan tetap perlu difikirkan tentang siapakah “Zainudin Idris” pada asalnya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan persoalan ini menjadi penting:

  1. Siapakah Zainudin Idris? Identiti Zainudin Idris tidak dikenali dalam dunia penulisan berhubung dengan isu keagamaan di negara ini. Menurut Astora Jabat dalam ruangan E-Mail Pembaca bertarikh 22 Februari 2004, Zainudin Idris adalah seorang guru yang mempunyai sekolah pondok sendiri di Kelantan. Benarkah demikian kerana sehingga kini kita tidak mengetahui kewujudan sebuah sekolah pondok yang mana anak-anak muridnya hanya berpakaian menutup kemaluan depan dan belakang sahaja.

     

  2. Dalam ruangan Respons Pembaca edisi Al-Islam bulan April 2004, mukasurat 82, Astora Jabat telah meminta agar Zainudin Idris tampil kehadapan bagi membuktikan bahawa beliau adalah penulis asal artikel Memahami Aurat Wanita. Malah Astora sendiri mencadangkan agar Zainudin Idris mengemukakan gambar photonya atau membenarkan jurugambar Al Islam mengambil gambar beliau. Sehingga ke tarikh penulis (Hafiz Firdaus) mengarang artikel ini (15 Jun 2004), permintaan Astora Jabat di atas masih belum dikabulkan oleh Zainudin Idris. Semua ini mengarah kepada satu pertanyaan - Adakah “Zainudin Idris” benar-benar wujud?

     

  3. Dua soalan pertama di atas mengarah kepada soalan ketiga, iaitu wujudkah kemungkinan bahawa ”Zainudin Idris” hanyalah nama samaran (nama pena) manakala orang sebenar di belakang nama tersebut ialah Astora Jabat sendiri? Dalam pelbagai forum perbincangan di alam maya (internet), majoriti berpendapat bahawa orang sebenar di belakang nama “Zainudin Idris” ialah Astora Jabat. Pendapat ini didasarkan kepada pelbagai kesamaan dalam metode perbahasan antara Astora Jabat dan Zainudin Idris. Dikatakan strategi Astora menggunakan nama “Zainudin” adalah untuk mengalih tumpuan pembaca dan menyelamatkan dirinya daripada dikritik hasil daripada artikel-artikel yang bakal dikemukakan.

Tiga persoalan di atas penulis serahkan kepada para pembaca untuk dianalisa dan dicari jawapannya. Sepertimana yang disebut sebelum ini, tumpuan penulis di sini ialah menganalisa dalil dan metode perbahasan pengarang artikel Memahami Aurat Wanita tanpa mengambil kira sama ada ia ditulis oleh saudara Zainudin Idris atau siapa jua. Berikut dikemukakan artikel Memahami Aurat Wanita oleh saudara Zainudin Idris.

 

 

Memahami Aurat Wanita oleh Astora Jabat[2]

Berdasarkan maklum balas yang diterima, ramai pembaca tidak sempat membeli majalah Al Islam keluaran Februari kerana kehabisan di pasaran. Penulis menyiarkan dalam ruangan ini salah satu rencana yang dipercayai menjadi punca Al Islam mendapat sambutan luar biasa. Rencana bertajuk Rambut Wanita Bukan Aurat ditulis oleh Ustaz Zainudin Idris, pengikut Shah Waliyullah ad-Dihlawi (ulama reformis India).

 

Beliau menghasilkan rencana itu pada 10 Februari 1989 sebagai jawapan kepada kawan-kawannya yang keliru mengenai aurat wanita. Bagaimanapun, kerana ruang yang terbatas, penulis tidak dapat menyiarkan sepenuhnya rencana bahagian pertama itu. Berikut disiarkan rencana Ustaz Zainudin itu.

 

[1]        Pertikaian mengenai hukum aurat dan pakaian wanita sebenarnya telah lama berlaku di kalangan umat Islam. Setiap golongan bermati-matian dengan pegangan masing-masing tanpa menganalisis secara teliti sumber asal al-Quran, sunah dan ijmak para ulama. Selain itu mereka tidak merenungi tentang apakah hikmat yang terkandung dalam risalah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam yang begitu umum dengan kitab suci al-Quran yang amat berhikmat lagi maha agung. Al-Quran diturunkan bukan untuk orang Arab sahaja malah untuk manusia sejagat.

 

[2]        Perkataan aurat menjadi sebutan biasa di kalangan orang kita dengan pengertian anggota-anggota yang diharamkan melihatnya sama ada lelaki dengan perempuan atau perempuan dengan perempuan atau lelaki dengan lelaki. Asal perkataan `aurat' daripada bahasa Arab yang bermaksud `keaiban' atau setiap sesuatu bahagian anggota yang ditutup oleh manusia secara mengejut dan malu.

 

[3]        Imam Waliyullah memberi takrif aurat di dalam kitab Hujjatullah al-Balighah pada halaman 688, jilid 2; beliau berkata:

 

[4]        “Ketahuilah bahawa menutup aurat, saya maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai mengikut adat umat yang sederhana hidupnya seperti yang terdapat pada bangsa Quraisy pada masa itu, ia termasuk di dalam pokok (asas) tamadun yang diakui di sisi setiap golongan yang dinamakan manusia, dan ia di antara perkara yang membezakan manusia daripada sekalian pelbagai jenis haiwan. Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah kemaluan, ari-ari dan bahagian anggota yang mengiringinya termasuk pangkal kedua-dua paha dikira yang paling jelas dari segi agama bahawa ia termasuk ke dalam bahagian aurat.

 

[5]        Tidaklah perlu mendapatkan dalil lagi mengenai perkara itu. Persabdaan Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam menunjukkan, apabila seseorang kamu mengahwini amahnya maka janganlah ia lihat pada auratnya. Riwayat yang lain pula Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: Maka janganlah lihat kepada anggota yang di bawah pusat dan di atas lutut.

 

[6]        Nabi s.a.w bersabda lagi: Tidakkah engkau tahu bahawa paha itu aurat? Asal hukum menutup aurat di dalam syarak difaham daripada firman Allah taala di dalam surah al-A'raf, ayat 26. Allah berfirman: Wahai anak Adam sesungguhnya Kami turunkan pakaian yang menutup kemaluan kamu dan pakaian menutup seluruh tubuh dan pakaian takwa (sederhana) itu lebih baik.

 

[7]        Pada ayat ini Allah mendedahkan kepada kita tiga jenis pakaian manusia, sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran. Pertama yang menutup dua kemaluan seperti pakaian Adam dan Hawa, sebagaimana Allah berfirman: Mulailah mereka berdua menutup atas mereka dengan dua daun syurga. (surah al-A'raf, ayat 22

 

[8]        Kedua, pakaian yang menutup seluruh tubuh seperti burung. Ini adalah pakaian berhias-hias. Ketiga, yang berasaskan kesederhanaan, kecergasan dan keadilan itu adalah lebih baik (libasataqwa).

 

[9]        Sebenarnya para imam Islam telah pun menetapkan aurat yang wajib ditutup dan yang tidak wajib ditutup. Imam as-Syafii sebagai contoh mengikut adat resam Arab dan perasaan mereka yang mana kaum perempuannya suka menutup seluruh badan dan kaum lelakinya menutup sekadar tiga per empat badan. Imam Hanafi mengikut adat Ajam (Parsi) yang resamnya tidak jauh dengan Arab. Akan tetapi Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii menetapkan aurat mengikut adat resam orang-orang di sebelah Eropah. Dia membenarkan kaum lelaki menutup dua kemaluan sahaja dan begitu juga dengan kaum wanitanya. Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang.

 

[10]      Imam Abu Bakar al-Jassas di dalam kitab Ahkamul Quran, jilid 3, halaman tiga berkata: “Sesungguhnya telah bersetuju ummah bahawa apa yang ditunjukkan oleh ayat (al-Quran) adalah mesti menutup aurat.”

 

[11]      Kemudian beliau mengemukakan beberapa hadis yang sahih daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam dan athar para sahabat untuk menerangkan maksud aurat sebagaimana yang terdapat pada ayat 26 daripada surah al-A'raf di atas pada halaman 30, jilid tiga, beliau berkata:

 

[12]      “Telah datang beberapa athar daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam berhubung dengan masalah ini (menutup aurat) di antaranya hadis Bahzun bin Hakim yang diriwayatkan daripada bapanya dan diriwayatkan pula daripada neneknya, beliau berkata: “Aku bertanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam aurat kami apakah yang kami gunakan dan apa yang kami tinggalkan? Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: Hendaklah engkau peliharakan aurat engkau kecuali isterimu atau perempuan yang kamu miliki. Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Jika kami berseorangan?”

 

[13]      Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah lebih patut dimalukan kepada-Nya.”

 

[14]      Dalam riwayat Abu Said al-Khudri daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam baginda bersabda: “Tidak harus seseorang lelaki yang memandang aurat seorang lelaki yang lain dan tidak harus seseorang wanita memandang aurat wanita yang lain.”

 

[15]      Pada hadis yang lain baginda bersabda: “Dilaknat mereka yang melihat kemaluan saudaranya.”

 

[16]      Allah berfirman dalam surah an-Nur, ayat 30: Suruhlah kepada orang mukmin hendaklah mereka rendahkan pandangan mereka dan mengawal kemaluan mereka; itu lebih baik untuk mereka; sesungguhnya Allah amat mengetahui apa yang mereka buat.

 

[17]      Pada ayat 31 firman-Nya: Suruhlah para mukminat rendahkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka melainkan apa yang zahir daripadanya.

 

[18]      Ibnu al-Arabi berkata dalam al-Futuhat al-Makkiah jilid 1, halaman 521 pada bahagian `pada menyatakan batas aurat: “Sebahagian ulama mengatakan bahawa aurat lelaki itu hanyalah dua kemaluannya sahaja (qubul dan dubur). Manakala sebahagian ulama pula mengatakan aurat lelaki itu dari pusat ke lutut. Di sisi kami (Ibnu al-Arabi) hanyalah dua kemaluannya sahaja yang dikira aurat yang hakiki, iaitu anggota-anggota manusia yang dicaci, dibenci dan dianggap buruk melihatnya. Dua kemaluan itu adalah tempat kepada apa yang kami sebutkan itu adalah menepati hukum haram, anggota-anggota selain daripada dua kemaluan itu dari pusat ke atas dan dari lutut ke bawah adalah menepati hukum syubhat yang sepatutnya berjaga-jaga kerana berternak di sempadan kawasan larangan itu hampir-hampir termasuk ke dalamnya.”

 

[19]      Pada bahagian `Batas aurat perempuan' pula beliau berkata: “Sebahagian ulama mengatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Ada pula ulama yang mengatakan demikian dengan tambahan tapak kakinya tidak termasuk aurat.

 

[20]      Ada yang mengatakan perempuan keseluruhannya aurat.

 

[21]      Ada pun mazhab kami (Ibnu al-Arabi), aurat pada perempuan hanyalah dua kemaluannya sebagaimana Allah berfirman: Mulailah mereka menutup atas kedua mereka dengan daun dari syurga. (Al-A'raf, ayat 22). Allah menyamakan di antara Adam dan Hawa pada menutup aurat keduanya (iaitu dua kemaluan). Jika perempuan diarah menutup adalah mazhab kami, tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan itu adalah undang-undang syarak yang berkehendakkan menutup dan tidaklah pasti menutup sesuatu itu kerana ia aurat.

 

[22]      Dengan huraian itu jelaslah bahawa walaupun segala nas, pendapat para ulama muhaqqiqin boleh dikatakan telah ittifak (bersepakat) dan ijmak mengakui bahawa aurat sebenar yang dikehendaki oleh Allah supaya manusia menutupnya itu hanyalah dua kemaluan (qubul dan dubur) sahaja sama ada pada kaum lelaki atau perempuan tanpa sebarang perbezaan kerana menutup dua kemaluan itu adalah suatu sifat yang membezakan di antara manusia dan haiwan sebagaimana berlalu keterangan Hujjatul Islam Shah Waliyullah ad-Dihlawi, termasuklah anggota-anggota yang berhampiran dengannya seperti kedua-dua batang paha dan buah kemaluan lelaki serta ari-ari. Semuanya dikira termasuk ke dalam bahagian aurat. Akan tetapi di akhir huraiannya, Shah Waliyullah menegaskan bahawa semua hadis yang menerangkan masalah aurat dan meletakkan batasan-batasannya adalah berlawanan. Ini bererti keterangan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam itu tidak sama dalam masalah ini.

 

[23]      Mengikut pendapat Shah Waliyullah semua hadis itu sahih (jelas), maka semuanya boleh dijadikan panduan.

 

[24]      Pengertian aurat ini memang dimaklumi di kalangan umat Arab zaman silam. Al-Quran dan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam tidak memberi makna yang jelas atau keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Dengan sebab itu perkhilafan (beza) pendapat di kalangan para ulama Islam tidak timbul sama sekali, tetapi apa yang berlaku adalah sebagaimana yang kita semua saksikan pada hari ini. Punca perbahasan mengenai masalah aurat ini hanya timbul daripada kefahaman yang semata-mata diambil daripada hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam yang keterangannya berlawanan dan juga pendapat para ahli tafsir yang memberi keterangan di bawah ayat-ayat yang tidak sarih (jelas). Kerana sebab itulah Imam Ibnu Rusyd rahimahullah taala telah memberi penjelasan dalam Bidayatul Mujtahid, jilid 1; halaman 114: “Para ulama keseluruhannya telah ittifak (sepakat) mengatakan bahawa menutup aurat itu suatu kewajipan yang mutlak, tetapi mereka berselisih faham tentang penutupan itu adakah ia merupakan suatu syarat yang terkandung di dalam beberapa syarat bagi sah sembahyang ataupun tidak.

 

[25]      Demikian pula mereka berlainan faham tentang batas-batas aurat pada lelaki dan perempuan, tetapi yang ternyata di dalam mazhab Imam Malik bahawa menutup aurat itu termasuk di dalam bahagian amalan sunat di dalam sembahyang sahaja. Di dalam mazhab Abu Hanifah dan as-Syafii menutup aurat itu sebahagian amalan fardu di dalam sembahyang. Sebab perselisihan mereka di dalam menentukan perkara itu ialah kerana hadis-hadis dan athar sahabat yang menjadi tunjang kepada masalah itu didapati saling bercanggah kenyataannya serta para sahabat telah berbeza dalam memahami maksud firman Allah (al-A'raf, ayat 31):

 

[26]      Wahai anak-anak Adam pakailah perhiasan kamu pada setiap kali ke masjid. Adakah suruhan Allah dengan menggunakan perhiasan itu menunjukkan suruhan wajib atau sunat jua.

 

[27]      Apakah yang dimaksudkan dengan perhiasan (az-ninah) itu? Imam Assudi mengatakan maksud perhiasan pada ayat itu ialah pakaian yang menutup aurat. Riwayat daripada Abu Hanifah, beliau berkata: Aurat terbahagi kepada dua bahagian, aurat mughallazah (aurat berat) dan aurat mukhaffah (aurat ringan).

 

[28]      Aurat mughallazah itu adalah qubul dan dubur dan aurat mukhaffah, iaitu anggota-anggota selain daripada apa yang telah disebut ia daripada aurat.''

 

Akhir sekali penulis ingin terangkan di sini bahawa rencana bahagian kedua akan disiarkan dalam majalah Al Islam keluaran Mac yang akan berada di pasaran esok.

 

 

Analisa Ke Atas Artikel “Memahami Aurat Wanita” karangan Zainudin Idris.

 

Disebut dalam perenggan pertama:

Pertikaian mengenai hukum aurat dan pakaian wanita sebenarnya telah lama berlaku di kalangan umat Islam. Setiap golongan bermati-matian dengan pegangan masing-masing tanpa menganalisis secara teliti sumber asal al-Quran, sunah dan ijmak para ulama. Selain itu mereka tidak merenungi tentang apakah hikmat yang terkandung dalam risalah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam yang begitu umum dengan kitab suci al-Quran yang amat berhikmat lagi maha agung. Al-Quran diturunkan bukan untuk orang Arab sahaja malah untuk manusia sejagat.

 

Analisa:

Sejauh kajian penulis, yang wujud bukanlah pertikaian sehingga ke tahap bermati-matian akan tetapi sekadar perbezaan pendapat di mana setiap tokoh yang cenderung kepada satu pendapat bersikap toleran terhadap pendapat yang lain. Ini kerana wilayah perbezaan tersebut tidak besar sehingga melibatkan hukum pokok agama tetapi kecil sekadar melibatkan tahap batasan aurat. Mereka semua bersepakat bahawa tubuh badan wanita adalah aurat yang wajib ditutup. Mereka hanya berselisih terhadap tiga anggota iaitu muka, telapak tangan dan telapak kaki – adakah ia wajib ditutup juga. Perbezaan ini disebut juga oleh saudara Zainudin ketika menukil pendapat Ibn ‘Arabi dalam dalam artikel asal beliau, perenggan ke 19 dan 20:

“Sebahagian ulama mengatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Ada pula ulama yang mengatakan demikian dengan tambahan tapak kakinya tidak termasuk aurat. Ada yang mengatakan perempuan keseluruhannya aurat.”

 

Setiap tokoh yang cenderung kepada salah satu daripada tiga pendapat ini memiliki dalil dan hujah sebagaimana yang tercatit di dalam kitab-kitab fiqh mereka. Penulis tidak akan menyalinnya di sini kerana ia akan mengambil ruang yang besar. Namun yang penting ketiga-tiga pendapat ini memiliki dasarnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah dan ia bukanlah semata-mata “pegangan masing-masing tanpa menganalisis secara teliti sumber asal al-Quran, sunah dan ijmak para ulama” sebagaimana dakwa saudara Zainudin.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 3 dan 4:

Imam Waliyullah memberi takrif aurat di dalam kitab Hujjatullah al-Balighah pada halaman 688, jilid 2; beliau berkata:

“Ketahuilah bahawa menutup aurat, saya maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai mengikut adat umat yang sederhana hidupnya seperti yang terdapat pada bangsa Quraisy pada masa itu, ia termasuk di dalam pokok (asas) tamadun yang diakui di sisi setiap golongan yang dinamakan manusia, dan ia di antara perkara yang membezakan manusia daripada sekalian pelbagai jenis haiwan. Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah kemaluan, ari-ari dan bahagian anggota yang mengiringinya termasuk pangkal kedua-dua paha dikira yang paling jelas dari segi agama bahawa ia termasuk ke dalam bahagian aurat.”

 

Analisa:

Daripada kata-kata di atas, kelihatan bahawa aurat manusia yang diwajibkan oleh syari‘at untuk ditutup ialah kemaluan depan dan belakang. Benarkah yang sedemikian merupakan pendapat Imam Waliyullah? Rujukan penulis kepada kitab Hujjah Allah al-Balighah karangan Imam Syah Waliy Allah ibn ‘Abd al-Rahman al-Dahlawi (seterusnya disebut dengan singkatan Imam al-Dahlawi) membuahkan hasil yang berlainan.

 

Daripada penjelasan Imam al-Dahlawi yang sepanjang 3 mukasurat, saudara Zainudin hanya mengambil satu perenggan yang letaknya di separuh kedua. Agaknya apa kata Imam al-Dahlawi di separuh pertama? Di sini penulis tidak akan menterjemah ke semuanya kerana ia amat panjang. Akan tetapi penulis akan kemukakan poin-poin penting daripada perkataan Imam al-Dahlawi.

 

Imam al-Dahlawi memulakan perbahasannya tentang aurat wanita dengan menjelaskan bahawa apabila seorang lelaki memandang kepada aurat wanita, ia akan menimbulkan syahwat yang akhirnya membawa kepada perkara-perkara maksiat. Atas dasar ini maka syari‘at Islam menggariskan beberapa cara untuk menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada syahwat dan kemaksiatan ini. Antara cara tersebut adalah:

  1. Tempat wanita adalah di rumah. Mereka hanya keluar apabila terdapat keperluan yang mendesak. Dalilnya ialah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam yang bermaksud: “Seorang wanita adalah aurat, maka apabila dia keluar daripada rumahnya syaitan akan menghias-hiaskannya.” Juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu” [surah al-Ahzab 33:33]

     

  2. Wanita memakai jilbab (tudung) dan tidak menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami dan mahramnya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Nur 24 ayat 31. Rukhsah (kelonggaran) diberikan kepada (a) wajah sebagai bentuk pengenalan dan (b) tangan kerana ia banyak membuat kerja. Selain itu rukhsah juga diberi kepada wanita tua yang sudah tiada daya tarikan.

     

  3. Tidak boleh berdua-duan (khalwat).

     

  4. Tidak boleh memandang aurat sesama jantina. Lelaki tak boleh pandang aurat lelaki, wanita tak boleh pandang aurat wanita.

     

  5. Tidak boleh sesama jantina tidur satu “pakaian”, yakni tidur satu selimut bersama-sama. Poin ke 4 & 5 ini untuk mengelakkan kemaksiatan sesama jantina seperti gay & lesbian.[3]

 

Demikian ringkasan daripada keterangan Imam al-Dahlawi. Jelas daripada keterangan beliau bahawa aurat wanita bukanlah kemaluan depan belakang sahaja tetapi semua anggota tubuh badan kecuali muka dan tangan. Sekarang tibalah kita ke perenggan yang dinukil dan diterjemahkan oleh saudara Zainudin. Perhatian kita ditumpukan kepada satu ayat yang diterjemah oleh Zainudin sebagai: “Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah kemaluan………”

 

Sengaja atau tidak, saudara Zainudin telah meninggalkan huruf “waw” sebelum perkataan “dua kemaluan”. Terjemahan harfiah daripada teks Arab yang sebenar ialah: “Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut dan dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang) dan dua buah kemaluan…”

 

Sekalipun kita biasa menterjemah huruf “waw” sebagai “dan”, yang benar di dalam ilmu bahasa Arab huruf “waw” memiliki 5 peranan. Peranan huruf “waw” di dalam ayat di atas adalah untuk memberi tumpuan atau penekanan (emphasis) sehingga terjemahannya dalam bahasa kita adalah: “Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, khasnya dua kemaluan manusia…..”

 

Ini seumpama firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

 “Sesiapa memusuhi Allah dan memusuhi Malaikat-malaikat-Nya dan Rasul-rasul-Nya, (waw) khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.” [al-Baqarah 2:98]

 

Jika diperhatikan ayat di atas, Allah menggunakan kata dan untuk malaikat Jibril dan Mikail. Kenapakah demikian padahal Allah Subhanahu wa Ta'ala telahpun menyebut makhluk malaikat-malaikat-Nya sebelum itu? Sebabnya adalah kerana Allah ingin memberi penekanan kepada dua orang malaikat yang khusus di antara semua malaikat, iaitu Jibrail dan Mikail.

 

Justeru daripada kajian kita ke atas keseluruhan penjelasan Imam Waliyullah al-Dahlawi, jelas bahawa bagi beliau aurat wanita adalah sesuatu yang boleh membuka jalan ke arah kemaksiatan lagi mendedahkan aib kepada orang ramai. Oleh itu aurat tersebut wajib ditutup, mewakili seluruh tubuh badan wanita kecuali muka dan telapak tangan. Jauh sekali daripada pendapat Imam Waliyullah al-Dahlawi bahawa aurat wanita yang wajib ditutup hanya kemaluan depan dan belakangnya.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 6:

Asal hukum menutup aurat di dalam syarak difaham daripada firman Allah taala di dalam surah al-A'raf, ayat 26. Allah berfirman: Wahai anak Adam sesungguhnya Kami turunkan pakaian yang menutup kemaluan kamu dan pakaian menutup seluruh tubuh dan pakaian takwa (sederhana) itu lebih baik.

 

Analisa:

Memang benar bahawa ayat yang membentuk asas dalam hukum menutup aurat ialah ayat 26 surah al-A’raaf. Akan tetapi merupakan tindakan yang salah untuk menjadikan ayat 26 surah al-A’raaf sebagai dalil menentukan aurat dan pakaian untuk para wanita. Ini kerana ayat 26 surah al-A’raaf hanya membentuk asas hukum secara umum manakala perinciannya perlu dirujuk kepada ayat-ayat yang lain dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam. Untuk kesempatan ini penulis akan kemukakan dua ayat al-Qur’an yang memperincikan keumuman ayat 26 surah al-A’raaf di atas.

 

Ayat pertama ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [surah al-Ahzab 33:59]

 

Ayat kedua ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” [surah al-Nur 24:31]

 

Ayat pertama menyuruh Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam memerintah para isteri baginda dan semua perempuan beriman untuk melabuhkan pakaian sehingga menutup seluruh tubuh badan. Ayat kedua pula memerintahkan agar kain tudung yang sedia dipakai di kepala dilabuhkan ke hadapan agar menutup belahan leher dan dada. Kedua-dua ayat ini memperincikan aurat dan cara pakaian yang dikehendaki oleh syari‘at Islam untuk menutup aurat tersebut. Penulis merasa aneh mengapa saudara Zainudin tidak mengemukakan kedua-dua ayat ini untuk menepati tajuk artikelnya Memahami Aurat Wanita.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 9:

Sebenarnya para imam Islam telah pun menetapkan aurat yang wajib ditutup dan yang tidak wajib ditutup. Imam as-Syafii sebagai contoh mengikut adat resam Arab dan perasaan mereka yang mana kaum perempuannya suka menutup seluruh badan dan kaum lelakinya menutup sekadar tiga per empat badan. Imam Hanafi mengikut adat Ajam (Parsi) yang resamnya tidak jauh dengan Arab.

 

Analisa:

Di atas adalah satu kenyataan yang aneh lagi amat jauh daripada kebenaran. Para imam mazhab – semoga Allah merahmati mereka semua – tidak membicara apa-apa persoalan agama kecuali menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sebagai dalil dan hujah.[4]

 

Demikianlah halnya dalam menetapkan batas aurat wanita yang wajib ditutup. Mereka tidak berhukum berdasarkan adat sesuatu masyarakat tetapi berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam. Para pembaca dijemput memerhatikan semula ayat-ayat di atas. Kedua-dua ayat 59 surah al-Ahzab dan ayat 31 surah al-Nur ditujukan kepada perempuan-perempuan yang beriman. Ia tidak ditujukan kepada perempuan daripada sesuatu bangsa atau suku kaum tertentu. Kedua-dua ayat ini membatalkan pendapat Zainudin yang mendakwa para imam mazhab menetapkan kewajipan aurat perempuan berdasarkan adat bangsa tertentu.

 

Kedua-dua ayat ini juga membatalkan pendapat kebanyakan para modernis dan aktivis wanita masa kini yang turut mendakwa bahawa memakai tudung untuk menutup aurat (menutup kepala, rambut dan dilabuhkan sehingga ke bawah dada) adalah ikutan adat masyarakat Arab semata-mata. Kedua-dua ayat di atas ditujukan kepada para wanita yang beriman dan sikap mereka terhadap kedua-dua ayat di atas bukanlah mencipta pelbagai dalih untuk menolaknya tetapi menerimanya dengan hanya berkata “Kami dengar dan kami taat”. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

 “Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat; dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” [surah al-Nur 24:51]

 

 

Disebut dalam perenggan ke 9:

Akan tetapi Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii menetapkan aurat mengikut adat resam orang-orang di sebelah Eropah. Dia membenarkan kaum lelaki menutup dua kemaluan sahaja dan begitu juga dengan kaum wanitanya. Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang.

 

Analisa:

Ini jelas adalah satu fitnah ke atas Imam Malik rahimahullah (179H). Setakat ini penulis tidak menemui mana-mana kitab fiqh Mazhab Maliki yang muktabar yang menerangkan sedemikian. Kita minta saudara Zainudin mengemukakan bukti yang jelas daripada mana-mana kitab fiqh yang muktabar dalam Mazhab Maliki untuk membenarkan dakwaannya itu. Sementara menunggu, para pembaca sekalian boleh mempertimbangkan beberapa poin di bawah ini:

  1. Manhaj fiqh Imam Malik ialah al-Qur’an, al-Sunnah dan amalan agama penduduk Madinah. Imam Malik tidak pernah menjadikan adat orang Eropah sebagai manhaj fiqhnya.[5]

  2. Sepanjang hayatnya Imam Malik tidak pernah keluar dari Kota Madinah kecuali apabila hendak menunaikan amalan haji dan umrah.

  3. Di zaman Imam Malik orang Eropah juga tidak pernah menjejak kaki di atas bumi Madinah kerana ia termasuk tanah haram yang dilarang ke atas orang bukan Islam. Berdasarkan poin kedua dan ketiga ini, bagaimana mungkin dikatakan beliau mengikut adat Eropah? Perlu diingatkan bahawa pada zaman Imam Malik tidak ada media cetak, elektronik dan internet yang boleh menghubungkan beliau dengan budaya Eropah.

  4. Lebih terserlah, orang Eropah sendiri sama ada kaum lelaki atau perempuan kira-kira 1200 tahun, iaitu pada zaman Imam Malik, tidak berpakaian dengan hanya menutup kemaluan depan dan belakang sahaja.

Setelah membuat fitnah ke atas Imam Malik, saudara Zainudin seterusnya berkata: “Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang.”

 

Daripada kata-kata di atas, tidak ragu lagi bahawa aurat wanita yang patut ditutup mengikut saudara Zainudin hanyalah kemaluan depan dan belakang sahaja. Ini tidak berbeza dengan kaum pendalaman Afrika yang hanya memakai cawat. Dengan artikelnya yang berjudul Memahami Aurat Wanita, inilah aurat dan cara berpakaian yang cuba difahamkan oleh saudara Zainudin ke atas umat Islam. Kita berkata, jika saudara Zainudin ingin bercawat ke sana ke sini maka dipersilakan. Akan tetapi janganlah cuba membenarkannya di atas nama “Syari‘at Islam”.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 10:

Imam Abu Bakar al-Jassas di dalam kitab Ahkamul Quran, jilid 3, halaman tiga berkata:Sesungguhnya telah bersetuju ummah bahawa apa yang ditunjukkan oleh ayat (al-Quran) adalah mesti menutup aurat.”

 

Analisa:

Di atas hanyalah nukilan sepatah daripada perkataan Imam Abu Bakar Ahmad bin ‘Ali al-Razi al-Jashshash rahimahullah (370H) daripada kitabnya yang masyhur Ahkam al-Qur’an. Seterusnya daripada perenggan 11 hingga 16, saudara Zainudin menukil sebahagian hujah-hujah Imam al-Jashshash tentang aurat lelaki. Manakala dalam perenggan ke 17 saudara Zainudin menukil sebahagian daripada ayat 31 surah al-Nur. Penulis merasa hairan, kenapakah dalam sebuah artikel yang memiliki judul Memahami Aurat Wanita, saudara Zainudin tidak menukil hujah-hujah Imam al-Jashshash tentang aurat dan pakaian wanita?

 

Tak mengapa, berikut penulis salin beberapa hujah beliau ketika menafsirkan ayat 31 surah al-Nur. Terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, berkata Imam al-Jashshash rahimahullah:

“Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Mujahid dan ‘Atha’ tentang firman-Nya: “kecuali yang zahir daripadanya”, (mereka) berkata: “Apa yang ada (kelihatan) pada muka dan telapak tangan, warna telapak tangan dan celak mata.” Diriwayatkan yang seumpama daripada Ibn ‘Umar, demikian juga daripada Anas. Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas (beliau berkata): “Ia adalah telapak tangan, muka dan cincin.” Manakala A’isyah berkata: “Perhiasan zahir adalah gelang dan cincin yang tidak bermata.” Berkata Abu ‘Ubaidah: “Cincin tak bermata (dan) cincin.” Berkata al-Hasan: “Mukanya dan apa yang nampak dari pakaiannya.” Berkata Sa‘id bin al-Musayyib: “Mukanya dan apa yang nampak darinya.” Diriwayatkan oleh Abu al-Ahwash daripada ‘Abd Allah, beliau berkata: “Perhiasan itu ada dua, (pertama ialah) perhiasan batin yang tidak dilihat kecuali oleh suami – iaitu rantai, gelang dan cincin. (Kedua ialah) perhiasan zahir – iaitu pakaian.” Berkata Ibrahim: “Perhiasan zahir ialah pakaian.” ”[6]

 

Daripada penafsiran para sahabat dan tokoh generasi Salaf yang dinukil oleh Imam al-Jashshash, dapat kita ketahui bahawa perhiasan zahir seorang wanita yang tidak wajib untuk ditutupi ialah muka dan dua telapak tangannya serta alat-alat hias yang ada pada muka dan dua telapak tangan seperti celak dan cincin. Selain itu ada juga yang berpendapat bahawa perhiasan zahir seorang wanita adalah pakaiannya. Yang penting semua tafsiran ini menunjukkan bahawa seluruh tubuh badan wanita adalah aurat yang perlu ditutupi dengan pakaian kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Ini sebagaimana yang dirumuskan oleh Imam al-Jashshash: “Ini menjadi dalil bahawa wajah dan dua telapak tangan wanita bukanlah aurat.”

 

Terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, Imam al-Jashshash rahimahullah berkata:

“Dikatakan bahawa yang dimaksudkan adalah baju al-Dar‘u (sejenis baju umpama baju kurung Melayu) yang memiliki belahan di bahagian lehernya. Apabila wanita memakai al-Dar‘u, ia mendedahkan dada dan leher. Maka Allah memerintah mereka untuk menutupnya dengan firman-Nya: “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka” (maksudnya hendaklah kain tudung kepala yang dipakai dilabuhkan ke depan agar menutup belahan dada dan leher). Di sini terdapat dalil bahawa dada wanita dan lehernya adalah aurat yang tidak boleh dilihat oleh orang lain.”[7]

 

Daripada nukilan di atas dapat diambil hukum bahawa dada dan leher wanita termasuk aurat yang wajib ditutupi. Lebih tepat, seluruh tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan telapak tangannya. Demikian rumusan daripada penjelasan Imam al-Jashshash yang tidak dinukil oleh saudara Zainudin.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 19 hingga 21:

Pada bahagian `Batas aurat perempuan' pula beliau berkata: “Sebahagian ulama mengatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Ada pula ulama yang mengatakan demikian dengan tambahan tapak kakinya tidak termasuk aurat. Ada yang mengatakan perempuan keseluruhannya aurat.

 

Ada pun mazhab kami (Ibnu al-Arabi), aurat pada perempuan hanyalah dua kemaluannya sebagaimana Allah berfirman: Mulailah mereka menutup atas kedua mereka dengan daun dari syurga. (Al-A'raf, ayat 22). Allah menyamakan di antara Adam dan Hawa pada menutup aurat keduanya (iaitu dua kemaluan). Jika perempuan diarah menutup adalah mazhab kami, tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan itu adalah undang-undang syarak yang berkehendakkan menutup dan tidaklah pasti menutup sesuatu itu kerana ia aurat.

 

Analisa:

Di atas adalah nukilan daripada kitab Futuhat al-Makkiyyah karangan Ibn ‘Arabi rahimahullah (638H).  Yang sepatutnya menjadi perhatian kita adalah pendapat jumhur ulama’ berkenaan aurat wanita sebagaimana yang dinukil sendiri oleh Ibn ‘Arabi pada perenggan pertama. Sekalipun wujud perbezaan pendapat, perbezaannya adalah amat kecil. Ringkasnya pendapat jumhur terbahagi kepada tiga:

  1. Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan telapak tangan.

  2. Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka, telapak tangan dan telapak kaki.

  3. Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat.

Adapun pendapat Ibn ‘Arabi bahawa aurat wanita hanyalah dua kemaluannya, itu adalah ijtihad beliau. Walaubagaimanapun ini tidaklah bererti Ibn ‘Arabi membolehkan kaum wanita bercawat sahaja. Perhatikan pada ayat terakhir di mana Ibn ‘Arabi tetap akur kepada pakaian yang menutup tubuh badan wanita sebagai salah satu tuntutan syari‘at. 

 

Jika ditinjau dengan lebih mendalam, sebenarnya tidak wujud perbezaan tentang batas pakaian yang minimum untuk kaum wanita Islam antara jumhur ulama’ dan Ibn ‘Arabi. Yang wujud hanyalah perbezaan dalam menilai “sebab” kenapa wanita patut menutup tubuh badan mereka. Jumhur ulama’ berpendapat sebabnya adalah kerana tubuh badan wanita adalah aurat. Ibn ‘Arabi pula berpendapat sebabnya adalah kerana tuntutan syari‘at. Justeru sekali lagi ditekankan, perbezaan yang wujud hanya dalam penilaian “sebab” dan bukan “batas” tubuh badan yang patut ditutup. Hal ini dapat dibuktikan secara praktikal juga. Di serata dunia terdapat ramai umat Islam yang cenderung kepada mengikut pendapat dan ijtihad mazhab tasawuf Ibn ‘Arabi. Akan tetapi kita tidak dapati seorang jua daripada mereka yang bercawat sahaja, sebaliknya mereka berpakaian menutup tubuh badan mereka sebagaimana juga umat Islam yang lain.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 22:

Dengan huraian itu jelaslah bahawa walaupun segala nas, pendapat para ulama muhaqqiqin boleh dikatakan telah ittifak (bersepakat) dan ijmak mengakui bahawa aurat sebenar yang dikehendaki oleh Allah supaya manusia menutupnya itu hanyalah dua kemaluan (qubul dan dubur) sahaja sama ada pada kaum lelaki atau perempuan……

 

Analisa:

Secara zahir kelihatan di atas adalah kesimpulan saudara Zainudin. Ringkasnya beliau mendakwa para ulama telah bersepakat bahawa aurat yang wajib ditutup di sisi syari‘at Islam adalah dua kemaluan sahaja. Sejauh manakah kebenaran kesimpulan ini? Mari kita menilainya dari beberapa sudut:

  1. Sehingga kini nukilan-nukilan daripada kitab para ulama yang dikemukakan oleh saudara Zainudin tidak ada yang dilakukan secara benar. Wujud jenayah ilmiah dalam bentuk nukilan yang tidak lengkap atau terjemahan yang diselewengkan. Maka bagaimana mungkin saudara Zainudin berkata “dengan huraian itu jelaslah bahawa……” padahal tidak ada apa-apa nukilan dan huraian yang benar mahupun jelas daripada beliau.

  2. Dakwaan ijma’ hanyalah daripada saudara Zainudin semata-mata. Rujukan-rujukan yang dikemukakan olehnya tidak ada yang menyebut ijma’ dalam bab ini.

  3. Mustahil wujud satu ijma’ di sisi para ilmuan lalu ijma’ tersebut tidak pernah diamalkan oleh umat. Seandainya para ilmuan bersepakat bahawa aurat yang wajib ditutup hanyalah dua kemaluan, pasti di mana-mana sahaja dari dulu sehingga sekarang kita dapat perhatikan umat Islam hanya bercawat dalam urusan harian mereka. Bercawat tidak pernah menjadi bentuk pakaian umat Islam. Hakikat ini tidak lain menunjukkan bahawa ijma’ yang didakwa oleh saudara Zainudin tidak pernah wujud melainkan igauan beliau semata-mata.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 24:

Pengertian aurat ini memang dimaklumi di kalangan umat Arab zaman silam. Al-Quran dan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam tidak memberi makna yang jelas atau keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Dengan sebab itu perkhilafan (beza) pendapat di kalangan para ulama Islam tidak timbul sama sekali, tetapi apa yang berlaku adalah sebagaimana yang kita semua saksikan pada hari ini. Punca perbahasan mengenai masalah aurat ini hanya timbul daripada kefahaman yang semata-mata diambil daripada hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam yang keterangannya berlawanan dan juga pendapat para ahli tafsir yang memberi keterangan di bawah ayat-ayat yang tidak sarih (jelas).

 

Analisa:

Kata-kata saudara Zainudin di atas dapat kita analisa sepertimana berikut:

  1. Sememangnya benar bahawa perkataan “aurat” sudah sedia maklum di kalangan umat Arab zaman silam. Maka atas kefahaman tentang pengertian sebenar perkataan “aurat”, mereka semua berpakaian menutup tubuh badan dengan sempurna kecuali muka, telapak tangan dan telapak kaki. Ini sekali gus membatalkan dakwaan saudara Zainudin bahawa aurat yang wajib ditutup hanya kemaluan depan dan belakang.

     

  2. Dalam ayat pertama saudara Zainudin mendakwa pengertian aurat sudah dimaklumi oleh umat Arab. Akan tetapi dalam ayat kedua saudara Zainudin mendakwa al-Qur’an dan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wassalam tidak memberi makna yang jelas berkenaan dengan aurat. Di sini kita bertanya, bukankah al-Qur’an dan hadis itu pada asalnya berbahasa Arab dan diturunkan dalam persekitaran masyarakat Arab? Lalu bagaimana mungkin di satu sudut mereka sedia memakluminya padahal dalam sudut yang lain mereka berpendapat ianya tidak jelas? Nampaknya kenyataan saudara Zainudin ini saling membatal antara satu sama lain.

     

    Yang benar masyarakat Arab memahami batas-batas aurat sebagaimana yang digariskan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Atas sebab itulah mereka berpakaian menutup tubuh badan dengan sempurna kecuali muka, telapak tangan dan telapak kaki.

     

  3. Tidak ada orang yang akan mendakwa dalil al-Qur’an bersifat tidak jelas manakala al-Hadis bersifat saling berlawanan melainkan kerana kejahilan dirinya sendiri dalam menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kedua-dua sumber mulia di atas. al-Qur’an memiliki disiplin ilmu tafsir yang tersendiri, demikian juga bagi al-Hadis. Seandainya terdapat perlawanan antara dalil-dalil ini, maka terdapat disiplin ilmu yang khas bagi menyelesaikan perlawanan tersebut.[8]

 

 

Disebut dalam perenggan ke 24 dan 25:

Kerana sebab itulah Imam Ibnu Rusyd rahimahullah taala telah memberi penjelasan dalam Bidayatul Mujtahid, jilid 1; halaman 114: “Para ulama keseluruhannya telah ittifak (sepakat) mengatakan bahawa menutup aurat itu suatu kewajipan yang mutlak, tetapi mereka berselisih faham tentang penutupan itu adakah ia merupakan suatu syarat yang terkandung di dalam beberapa syarat bagi sah sembahyang ataupun tidak.

Demikian pula mereka berlainan faham tentang batas-batas aurat pada lelaki dan perempuan, tetapi yang ternyata di dalam mazhab Imam Malik bahawa menutup aurat itu termasuk di dalam bahagian amalan sunat di dalam sembahyang sahaja. Di dalam mazhab Abu Hanifah dan as-Syafii menutup aurat itu sebahagian amalan fardu di dalam sembahyang…….”

 

Analisa:

Nukilan di atas akan penulis analisa dalam dua bahagian:

 

Pertama:

Perkataan sebenar Imam Ibn Rusyd rahimahullah (595H) adalah seperti berikut:

“Bersepakat para ilmuan bahawa menutup aurat adalah fardhu secara mutlak. Dan mereka berbeza pendapat sama ada ia adalah salah satu syarat daripada syarat-syarat sah solat atau tidak. Dan demikian juga mereka berbeza pendapat tentang batas aurat bagi seorang lelaki dan wanita. Dan yang zahir di dalam Mazhab Malik bahawasanya ia adalah daripada sunan solat manakala (di dalam mazhab) Abu Hanifah dan al-Syafi‘iy ia adalah daripada kefardhuan solat.”[9]

 

Perhatikan bahawa saudara Zainudin telah menterjemah perkataan “daripada sunan solat” sebagai “bahagian amalan sunat di dalam sembahyang sahaja.” Menterjemah istilah sunan sebagai “amalan sunat” adalah satu kesalahan yang amat fatal di sisi saudara Zainudin. Ini kerana setiap satu di antara mazhab fiqh yang empat memiliki pendefinisian yang tertentu bagi sesebuah istilah. Justeru tidak boleh mendefinisi sesebuah istilah melainkan merujuk kepada ahli-ahli dalam mazhab itu sendiri.

 

Adapun yang dimaksudkan dengan “sunan solat”, ia adalah sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Baji rahimahullah (474H), salah seorang mujtahid Mazhab Maliki. Beliau berkata:

“Maka adapun berkenaan pakaian (solat) maka sesungguhnya baginya terdapat dua jumlah, jumlah yang fardhu dan jumlah yang utama. Maka adapun yang fardhu bagi seorang lelaki maka ia adalah apa yang menutupi aurat dan tidak wujud perbezaan pendapat tentang kefardhuannya. Akan tetapi para sahabat kami berbeza pendapat tentang tafsir yang sedemikian. Berkata al-Qadhi Abu al-Faraj, ia adalah salah satu fardhu daripada kefardhuan solat dan ini adalah juga pendapat Abu Hanifah dan al-Shafie. Dan berkata al-Qadhi Abi Ishaq sesungguhnya ia adalah daripada sunan solat, dan ini adalah juga merupakan pendapat Ibn Bukair dan al-Syaikh Abu Bakr. Adapun faedah perbezaan pendapat ini, bahawasanya jika kami berkata sesungguhnya ia adalah daripada kefardhuan solat maka solat akan batal dengan ketiadaan penutup aurat manakala jika kami berkata ia bukanlah daripada kefardhuan solat (ertinya ia adalah sunan) maka berdosa orang yang meninggalkan penutup aurat akan tetapi tidaklah batal solatnya.”[10]

 

Daripada keterangan Imam al-Baji di atas, dapat kita ringkaskan bahawa terdapat dua pendapat di kalangan ahli fiqh Mazhab Maliki tentang hukum menutup aurat dan kaitannya dengan syarat sah solat. Yang pertama berpendapat ia adalah fardhu, sesiapa yang tidak menutup aurat maka batal solatnya. Yang kedua berpendapat ia adalah sunan, sesiapa yang tidak menutup aurat maka tidaklah batal solatnya tetapi dia berdosa besar.

 

Ini jauh berbeza dengan istilah sunat yang sedia kita fahami, bahawa jika buat dapat pahala, tak buat tak dosa. Seolah-olah menutup aurat dalam solat menghasilkan pahala manakala tak menutup aurat tidak mengakibatkan dosa apatah lagi membatalkan solat. Padahal yang dimaksudkan dalam Mazhab Maliki dengan istilah sunan ialah solat tetap sah jika tidak menutup aurat, namun ia akan mengakibatkan dosa.

 

Selain itu perlu juga diperincikan bahawa tidak menutup aurat yang dimaksudkan dengan istilah sunan adalah untuk jangka waktu yang singkat lagi tidak disengajakan. Jika seseorang itu mampu untuk menutup aurat namun dia sengaja enggan maka solatnya tidak sah. Mujtahid Mazhab Maliki, Imam al-Haththabi rahimahullah (954H) berkata:

“(Jika) Imam jatuh penutup auratnya ketika rukuk lalu dia menarik semula selepas mengangkat kepala (daripada posisi rukuk), berkata Ibn al-Qasim daripada Musa: Tidak apa-apa ke atasnya (yakni solatnya tidak batal) jika dia menarik semula. Akan tetapi jika dia tidak menarik semula maka perlu diulangi solat dalam waktunya kerana pada asalnya menutup aurat adalah daripada sunan solat.”[11]

 

Demikianlah maksud sebenar istilah sunan dan kaitannya dengan hukum menutup aurat sebagai syarat sah solat bagi Mazhab Maliki. Ia bukanlah “amalan sunat” sebagaimana yang diterjemahkan oleh saudara Zainudin.

 

Kedua:

Sekali lagi kita merasa hairan dengan sikap saudara Zainudin. Dengan sebuah artikel yang bertujuan membahas aurat wanita – malah juga dengan judul Memahami Aurat Wanita – kenapakah beliau tidak menukil keterangan Imam Ibn Rusyd tentang aurat wanita? Yang dinukil hanyalah muqaddimah Imam Ibn Rusyd berkenaan aurat manakala perinciannya ditinggalkan oleh saudara Zainudin. Di dalam kitab yang sama, Bidayah al-Mujtahid, jld. 2, ms. 185 (hanya selang dua mukasurat daripada yang dinukil oleh saudara Zainudin), terdapat sebuah bab khas yang memperincikan aurat wanita, iaitu Fasal Ketiga, Bab Masalah Ketiga……di mana berkata Imam Ibn Rusyd:

“Ia adalah berkenaan batas aurat wanita, maka kebanyakan ilmuan berpendapat bahawa keseluruhan badannya adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan. Dan Abu Hanifah berpendapat kaki bukanlah aurat. Dan Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman dan Ahmad (bin Hanbal) berpendapat seluruhnya adalah aurat.

 

Sebab perbezaan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Ta‘ala (yang bermaksud): Dan janganlah mereka (kaum wanita) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. [Surah al-Nur 24:31] – apakah pengecualian yang dimaksudkan merujuk kepada anggota tertentu atau anggota yang sememangnya tidak dapat dilindungi? (maksud pendapat yang kedua: sekalipun berpakaian sepenuhnya, mereka tetap dapat dikenali sebagai seorang wanita disebabkan zahir bentuk badan mereka)

 

Mereka yang berpendapat bahawa pengecualian tersebut bermaksud anggota yang sememangnya tidak dapat dilindungi ketika bergerak berkata seluruh badannya adalah aurat termasuk bahagian belakang. Mereka berhujah dengan keumuman firman Allah Ta’ala: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). [surah al-Ahzab 33:59]

 

Mereka yang berpendapat bahawa pengecualian tersebut bermaksud anggota yang secara kebiasaan (sebab tugas harian) tidak ditutup – yaitu muka dan dua telapak tangan – berkata bahawa dua anggota ini tidak termasuk aurat. Pendapat ini mereka perhujahkan bahawasanya wanita tidak menutupi mukanya (ketika melakukan ibadah) haji.”[12]

 

Demikian penerangan Imam Ibn Rusyd yang tidak dinukil oleh saudara Zainudin. Daripada penerangan di atas dapat kita rumuskan beberapa poin penting:

  1. Tubuh badan wanita adalah aurat yang perlu ditutupi.

  2. Wujud perbezaan pendapat tentang muka dan telapak tangan – adakah ia wajib ditutup atau tidak. Masing-masing pihak memiliki hujah tersendiri dalam perbezaan ini. Ia bukanlah “Setiap golongan bermati-matian dengan pegangan masing-masing tanpa menganalisis secara teliti sumber asal al-Quran, sunah dan ijmak para ulama” sebagaimana dakwa saudara Zainudin di bahagian awal artikel beliau.

  3. Wilayah perbezaan pendapat amatlah kecil dan ia tidak mencemari kesepakatan bahawa tubuh badan wanita adalah aurat yang perlu ditutupi.

 

 

Hasil analisa:

Alhamdulillah daripada analisa ke atas hujah-hujah saudara Zainudin, penulis mendapati pendapat beliau bahawa aurat wanita hanyalah kemaluan depan dan belakang adalah pendapat yang salah. Pendapat yang benar berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Hadis serta hujah para ilmuan adalah bahawa seluruh tubuh badan wanita adalah aurat dengan pengecualian terhadap muka, telapak tangan dan telapak kaki. Ke atas tiga anggota ini wujud perbezaan pendapat sama ada ia termasuk aurat yang wajib ditutupi atau tidak. Namun wilayah perbezaan ini adalah amat kecil dan kita bersikap toleran lagi saling hormat menghormati terhadapnya.

 

Pada waktu yang sama penulis mendapati terdapat tiga metode perbahasan saudara Zainudin yang perlu diberi perhatian:

Pertama:

Saudara Zainudin gemar menggunakan susunan ayat yang bersifat memberi pengaruh yang palsu kepada para pembaca. Antara susunan ayat yang penulis maksudkan adalah “Pertikaian mengenai hukum aurat…”, “Setiap golongan bermati-matian…”, “para ulama muhaqqiqin…”, “telah ittifak (bersepakat)…”, “hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam yang keterangannya berlawanan…” dan “ayat-ayat yang tidak sarih (jelas).” Susunan ayat-ayat di atas tidak lain hanya bertujuan mempengaruhi minda pembaca (word power) padahal hakikat yang sebenar adalah jauh berbeza.

 

Kedua:

Saudara Zainudin tidak segan-segan membuat fitnah ke atas para tokoh ilmuan Islam, semoga Allah merahmati mereka. Dakwaan kononnya “Setiap golongan bermati-matian dengan pegangan masing-masing tanpa menganalisis secara teliti sumber asal al-Quran, sunah dan ijmak para ulama” adalah satu fitnah yang mengisyaratkan para tokoh umat Islam tidak memiliki manhaj ilmiah dalam mengeluarkan hukum. Padahal yang benar saudara Zainudin sendiri yang tidak menganalisa secara teliti asas al-Quran, sunnah dan ijma’ para ulama dalam menyusun artikelnya Memahami Aurat Wanita.

 

Demikian juga dakwaan bahawa para imam mazhab yang empat – semoga Allah merahmati mereka – telah mengeluarkan hukum aurat berdasarkan adat resam masyarakat tertentu. Ia adalah satu fitnah yang tidak mungkin dilakukan kecuali oleh para orientalis dan mereka yang memusuhi Islam.

 

Ketiga:

Saudara Zainudin juga telah melakukan beberapa jenayah ilmiah ke atas kitab-kitab yang beliau nukil sebagai hujah. Jenayah ini wujud dalam bentuk terjemahan yang diselewengkan atau nukilan separa-separa yang tidak mencerminkan pendapat sebenar tokoh yang dinukilnya.

 

Penulis berharap saudara Zainudin atau lebih tepat – siapa jua pengarang asal artikel Memahami Aurat Wanita – dapat memperbetulkan dirinya daripada tiga metode perbahasan di atas. Pada waktu yang sama penulis menasihati para pembaca sekalian agar berwaspada terhadap tiga metode perbahasan di atas seandainya ia berulang dalam artikel-artikel saudara Zainudin yang lain atau daripada mana-mana penulis yang seumpama.


 

 

 

 


[1]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1173 (Kitab al-Radha’, Bab ke-18).

[2]  Mingguan Malaysia, 15 Febuari 2004, daripada www.utusan.com.my

[3]  Hujjah Allah al-Balighah (Dar al-Ma’rifah, Beirut, 1997) jld. 2, ms. 219-222.

[4]  Rujuk buku penulis Pedoman-pedoman Bermazhab Dalam Islam (edisi baru) (Jahabersa, Johor Bahru, 2004), ms. 55-59.

[5]  Rujuk The Origins of Islamic Law: The Qur’an, The Muwattha’ and Madinan ‘Amal oleh Yasin Dutton (Curzon Press, Surrey 1999).

[6]  Ahkam al-Qur’an (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut), jld. 3, ms. 408.

[7]  Ahkam al-Qur’an, jld. 3, ms. 409.

[8]  Lebih lanjut rujuk buku penulis Kaedah Memahami Hadis-Hadis yang Saling Bercanggah (Jahabersa, Johor Bahru, 2002).

[9]  Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 2, ms. 182.

[10]  al-Muntaqa Syarh al-Muwattha’ (Dar al-Kitab al-Islami, Beirut tp.thn.), jld. 1, ms. 247.

[11]  Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Syaikh Khalil (Dar al-Fikr, Beirut, 1398H), jld. 1, ms. 498.

[12]  Bidayah al-Mujtahid, jld. 2, ms. 185.

 

 

kandungan