Hukum dan Adab Berjamaah Dalam Islam

Hafiz Firdaus Abdullah

 

Bab 2

Tujuh  Perosak Ilmu[1]

 

 

Ilmu adalah satu energy yang tidak diukur melalui jumlah sijil kelulusan atau pangkat, tetapi diukur melalui sikap orang yang memilikinya. Semakin banyak ilmu seseorang, semakin berhikmah sikap tuan empunya. Ilmu itu menjadi energy yang mengemudi gerak hati, arah pandangan, sumber pendengaran, bahan pertuturan dan tingkahlaku fizikalnya. Akan tetapi jika ilmu menjadi rosak, ia seumpama energy yang tidak bermanfaat untuk manusia. Ilmu yang rosak akan mengarah kepada hati, pandangan, pendengaran, pertuturan dan tingkahlaku yang dilarang oleh agama.

Justeru dalam rangka berinteraksi dengan ilmu, kita perlu waspada terhadap unsur-unsur yang boleh merosakkan ilmu. Jika unsur-unsur atau perosak-perosak tersebut tidak ditangani, dibimbangi ilmu akan membawa tuan empunya kepada kedudukan yang tidak sepatutnya, iaitu lebih rendah daripada orang yang tidak berilmu. Sudah tentu ini adalah satu kedudukan yang dibenci oleh semua orang yang berakal.

Dalam risalah ini, saya akan mengupas tujuh perosak ilmu. Unsur-unsur yang boleh merosakkan ilmu tidak terhad kepada tujuh sahaja, hanya di antara semua perosak tersebut, saya memilih tujuh yang paling lazim berlaku dan paling berkesan dalam merosakkan ilmu. Ia dimulai dengan sikap “tinggi diri”.

 

Perosak # 1: Tinggi Diri.

Apabila berinteraksi dengan ilmu, amat mudah bagi seseorang merasa tinggi diri, iaitu merasakan dirinya lebih baik, lebih hebat, lebih bijak dan lebih tajam berbanding orang lain. Perasaan ini mudah timbul kerana secara umumnya masyarakat kurang berinteraksi dengan ilmu. Masyarakat lebih selesa mengikuti apa yang telah dipelajari zaman persekolahan dan menggantung diri kepada apa yang telah selesa dipegang sejak sekian lama.

Suasana masyarakat seumpama “mesin photocopy” ini menyebabkan orang yang menuntut ilmu akan dengan mudah mendapati dirinya lebih berilmu daripada orang lain. Perbezaan inilah yang seterusnya menyebabkan orang yang berilmu merasakan dirinya lebih tinggi daripada orang lain. Sikap tinggi diri berlaku melalui beberapa cara:

  1. Ujub, iaitu sikap seseorang terhadap dirinya sendiri. Dia merasakan dirinya satu keajaiban sehingga perlu disanjung oleh orang lain. Jika tidak ada orang lain yang menyanjung, memadailah dia menyanjung dirinya sendiri. Antara ciri lazim orang ujub ialah cepat marah apabila kedudukan atau pandangannya tidak dihargai.

  2. Sombong, iaitu sikap seseorang apabila berinteraksi kepada orang lain. Dia merasakan hanya dirinya yang layak berbicara dengan kebenaran manakala orang lain semuanya salah. Ciri lazim orang sombong ialah suka mengkritik pandangan orang lain dan suka memotong percakapan orang lain.

  3. Angkuh, iaitu sikap seseorang apabila menerima interaksi daripada orang lain. Dia merasakan apa yang dibicara atau ditegur oleh orang lain adalah salah semuanya. Jika ditegur sepatah kata, dia membantah dengan seratus perkataan yang lemah lagi batil.

  4. Dengki, iaitu sikap membenci kebaikan, kehebatan, kebijaksanaan dan ketajaman yang ada pada orang lain. Dia merasakan semua itu hanya milik dirinya dan apabila mendapati ia dimiliki oleh orang lain, dia membenci dan memusuhi orang itu.

  5. Debat, iaitu sikap suka menyanggahi pandangan orang lain. Ini dilakukan agar pandangan dirinya sentiasa tinggi manakala pandangan orang lain sentiasa rendah.

Orang yang tinggi diri akan mengalami masalah “dataran ilmu”. Ilmunya pada awal berkembang naik sehinggalah dia merasa tinggi diri. Pada tahap ini ilmunya mula mendatar kerana perasaan tinggi yang ada pada dirinya menyebabkan dia merasa tidak perlu untuk menambahkan ilmu. Setelah beberapa ketika, ilmunya mula menurun kerana perasaan tinggi diri menyebabkan dia enggan mengulangkaji sehingga apa yang diketahui sebelum itu hilang daripada dirinya. Semua ini akhirnya merosakkan ilmu yang dimilikinya satu masa dahulu.

Ketahuilah bahawa ilmu adalah seumpama air. Air tidak mengalir ke tempat yang lebih tinggi. Jika digunakan pam sekali pun, air yang dipam naik tetap akan mencari jalan untuk turun dari tempat yang tinggi itu. Sebaliknya air sentiasa mengalir ke tempat yang rendah. Ia berkumpul di situ dan memberikan manfaat kepada tumbuh-tumbuhan dan sekian makhluk.

Oleh itu dalam rangka berinteraksi dengan ilmu, elakkan sikap tinggi diri kerana ia akan merosakkan ilmu sebagaimana air yang enggan mengalir ke tempat yang tinggi. Sebaliknya hendaklah bersikap rendah diri (tawadhu’ atau humble) kerana ilmu akan sentiasa mengalir kepada orang yang rendah diri sehingga dapat memberi manfaat kepada orang lain.

 

 

Perosak # 2: Taasub.

Apabila berinteraksi dengan ilmu, manusia terbahagi kepada tiga kategori:

  • Kategori Pertama ialah mereka yang menjadikan semua sumber ilmu sebagai rujukan tanpa membezakan yang benar dan salah. Tanpa pembezaan tersebut, ilmu yang mereka miliki bercampur aduk antara yang bermanfaat dan mudarat. Pemilik ilmu itu sendiri kelihatan sering tidak berpendirian, bahkan kerap kali menyelisihi dirinya sendiri.

     

  • Kategori Kedua ialah mereka yang membataskan sumber ilmu kepada satu atau dua rujukan sahaja. Apa sahaja yang berasal dari sumber itu mereka terima bulat-bulat dan merasa selesa dengannya. Apa yang berasal dari selain sumber itu mereka tolak mentah-mentah dan merasakan ia satu cabaran yang bakal menggoyang keselesaan yang dialami selama ini. Maka ilmu yang berasal dari sumber lain itu perlu dibantah dan diruntuhkan semampu boleh.

     

  • Kategori Ketiga ialah mereka yang berada di pertengahan antara Kategori Pertama dan Kategori Kedua di atas. Ilmu dari pelbagai sumber dirujuk dengan tapisan diambil yang benar dan ditolak yang salah. Tapisan itu pula tidak bersifat tetap, sebaliknya sentiasa diperbaharui kerana apa yang benar pada awalnya mungkin terbukti salah pada kemudiannya manakala apa yang salah pada hari ini mungkin ternyata benar pada hari esoknya.

Sikap yang benar berada pada Kategori Ketiga manakala sikap yang salah berada pada Kategori Pertama dan Kategori Kedua. Kesalalahan pada Kategori Kedua lebih lazim berlaku kepada orang-orang yang berinteraksi dengan ilmu. Kesalahan inilah yang disebut sebagai taasub atau fanatik.

Taasub amat merugikan kerana ia menghalang ilmu yang benar dan memelihara ilmu yang salah. Ini kerana adakalanya di luar sana terdapat ilmu yang benar tetapi ia terhalang semata-mata disebabkan sikap taasub yang enggan menjengoknya. Pada waktu sama dalam sumber seseorang terdapat ilmu yang salah tetapi ia terpelihara semata-mata disebabkan sikap taasub yang enggan membetulkannya.

Ketahuilah bahawa sikap taasub ialah satu perosak ilmu yang boleh menyerang sesiapa jua. Hakikat ini ingin saya warnakan kerana kerap ditemui satu individu menuduh individu lain sebagai taasub padahal penuduh tidak jauh berbeza daripada yang dituduh. Saya kerap membaca Ahmad menuduh Jamal sebagai taasub kepada Mazhab al-Syafi’e padahal Ahmad juga taasub kepada Mazhab al-Albani. Saya lazim mendengar Sakinah menuduh Aishah taasub kepada pandangan syaikh tariqatnya padahal Sakinah juga terikat kepada pandangan Syaikh Yusuf al-Qaradhawi.

 

Oleh itu apabila berinteraksi dengan ilmu:

  1. Amalkan sikap yang dinamik kerana ilmu tidak mengenal titik noktah. Sentiasa menapis antara yang benar dan salah serta ketahuilah hasil tapisan hari ini mungkin berbeza pada hari esok.

  2. Berhenti menuduh orang lain taasub. Sebaliknya sentiasa mengukur diri sendiri sama ada diserang perosak taasub atau tidak.

  3. Saling menasihati antara satu sama lain agar berwaspada dari perosak taasub.

  4. Taasub hanya dibolehkan terhadap sumber rujukan ilmu yang sabit, iaitu al-Qur’an, al-Sunnah yang sahih dan ijma’.

 

Perosak # 3: Zalim.

Kadangkala orang dalam Kategori Kedua cuba menjengok ilmu dari sumber yang berada di luar sempadan keselesaannya. Ini adalah satu permulaan yang baik, akan tetapi sayang sekali yang menjengok telah dijangkiti dengan sikap taasub yang kronik sehingga dia berlaku zalim. Apabila menjengok, dia tidak menilai sumber yang lain itu secara adil sebaliknya bersikap zalim dengan mencari-cari apa yang salah sahaja. Seterusnya apa yang salah ditimbulkan manakala apa yang benar ditenggelamkan.

Kezaliman adalah salah satu perosak yang menyerang banyak ilmuan. Atas kezaliman ini, ramai yang secara mudah menilai ilmu dari sumber lain sebagai salah. Mereka tidak menilai benar atau salah, manfaat atau mudarat, positif atau negatif secara adil, sebaliknya bersikap zalim dengan hanya mencari-cari kesalahan, kemudaratan dan ciri-ciri yang negatif. Akhirnya mereka tidak mendapat apa-apa ilmu yang baru dan hanya berpuas hati dengan ilmu lama yang dimiliki.

Lawan dari sikap zalim ialah adil. Ilmuan yang adil sedar bahawa kesempurnaan hanya milik Allah manakala manusia sentiasa bercampur-aduk, bersilih-ganti antara benar dan salah, betul dan silap. Justeru apabila menilai sumber ilmu yang lain, hendaklah bersikap adil. Ilmu yang betul diambil dan dimanfaatkan manakala ilmu yang salah dikenal pasti dan dijauhkan.

Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan keutamaan sikap adil:

 

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْ‌ۚ

 

 ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

 

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [al-Maidah 5:08]

 

 

Perosak # 4: Tidak Menguasai Perbezaan Pendapat.

Menyentuh tentang perbezaan pendapat, orang yang memiliki ilmu terbahagi kepada tiga kubu:

  • Kubu Pertama ialah mereka yang menafikan kewujudan perbezaan pendapat. Bagi mereka pendapat yang benar hanya satu dan manusia seluruhnya perlu berpegang kepada pendapat yang satu itu.

  • Kubu Kedua ialah mereka yang mengakui kewujudan perbezaan pendapat. Bagi mereka semua pendapat adalah benar dan manusia bebas mengikuti mana-mana pendapat yang disukainya.

  • Kubu Ketiga ialah mereka yang menyatakan perbezaan pendapat terbahagi kepada dua kategori:

  1. Perbezaan pendapat yang dibolehkan di mana bagi setiap pendapat terdapat dalil dan hujah yang kuat (proof and argument).

  2. Perbezaan pendapat yang dilarang di mana bagi setiap pendapat tidak terdapat dalil dan hujah yang kuat.

Kemenangan terletak pada Kubu Ketiga yang sebenarnya berada di pertengahan antara Kubu Pertama dan Kubu Kedua. Perbezaan pendapat adalah sesuatu yang benar-benar wujud dan ia tidak dapat disifarkan. Walaubagaimana pun ini tidaklah bererti setiap perbezaan pendapat dibolehkan kerana di antaranya ada yang didasari kepada dalil serta hujah dan ada yang didasari kepada mitos dan kebiasaan.

Justeru apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat, langkah yang pertama ialah membezakan sama ada ia adalah pendapat-pendapat yang dibolehkan atau dilarang. Bagi perbezaan yang dibolehkan, langkah seterusnya ialah meraikan pendapat-pendapat itu dengan berpegang dan mengamalkannya secara keseluruhan. Bagi perbezaan yang dilarang, langkah seterusnya ialah membetulkan dengan nasihat dan teguran yang hikmah.

Kerosakan berlaku apabila orang yang memiliki ilmu tidak menguasai perbezaan pendapat. Mereka yang bertahan di Kubu Pertama hanya mempertahankan satu ilmu padahal di luar tembok terdapat pelbagai ilmu lain yang dapat membantu mereka. Mereka yang bertahan di Kubu Kedua sering keliru antara kawan dan lawan kerana di dalam tembok yang sama terdapat ilmu yang manfaat dan mudarat.

 

 

Perosak # 5: Tidak Mengamalkan Ilmu.

Orang yang memiliki ilmu terbahagi kepada tiga martabat:

  1. Memiliki ilmu tetapi tidak mengamalkannya. Ini adalah martabat yang tercela.

  2. Memiliki ilmu dan mengamalkannya. Ini adalah martabat yang baik.

  3. Memiliki ilmu, mengamalkannya dan menegakkan kebenaran dengannya. Ini adalah martabat yang terpuji.

Ilmu bukan sesuatu yang sekadar dihafal atau sebagai alat untuk memperoleh sijil demi kenaikan pangkat dan gaji. Ilmu ialah suatu energy yang digunakan untuk mengemudi tuan empunya ke arah insan yang cemerlang. Ilmu tanpa amalan tidak lebih seumpama burung Kakak Tua yang menghafal beberapa ayat lalu mengulanginya tanpa mengamalkannya. Sikap seperti ini amat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ

 

ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ

 

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. [al-Saff 61:2-3]

Tidak mengamalkan ilmu akan menyebabkan ilmu yang dihafal sebelum itu hilang dari ingatan. Ini kerana untuk memelihara ilmu, pemiliknya hendaklah sentiasa mengulangkaji dengan cara mengamalkannya. Tanpa amalan, ilmu akan rosak dan hilang.

 

 

Perosak # 6: Kedekut.

Sikap kedekut tidak sahaja berkaitan dengan harta tetapi merangkumi juga ilmu. Kedekut ilmu berlaku melalui beberapa cara:

  1. Enggan menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Contoh yang lazim berlaku ialah enggan membukukan kertas tesis, sebaliknya hanya menayangkannya dalam almari perhiasan di rumah.

  2. Mengenakan bayaran yang tinggi sebagai syarat menyampaikan ilmu. Saya pernah dikhabarkan oleh sumber yang terpercaya bahawa sesetengah penceramah celebrity mengenakan syarat tiket penerbangan kelas pertama, hotel lima bintang, kenderaan mewah, makan minum yang ditanggung sepenuhnya serta bayaran RM3000.00 semata-mata untuk memenuhi jemputan kuliah satu jam. Apabila ditanya kenapa mengenakan syarat yang begitu tinggi, mereka menjawab: “Jika artis boleh kenapa penceramah tidak boleh?”

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi amaran kepada orang yang memiliki ilmu tetapi kedekut:

مَنْ كَتَمَ عِلْمًا ألْجَمَهُ الله يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ.

 

Sesiapa yang menyembunyikan satu ilmu maka Allah akan mengikatnya dengan tali dari api neraka pada Hari Kiamat kelak. [Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, hadis no: 121]

Ilmu adalah seumpama harta. Ia adalah milik Allah dan kita hanya berperanan mengurusinya. Jika kita mensedekahkannya, Allah akan membalas dengan tambahan yang berlipat ganda di dunia dan akhirat. Jika kita kedekut, Allah akan membalas dengan kerugian yang ditimpa kerugian di dunia dan akhirat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

مَثَلُ الَّذِيْ يَتَعَّلَمُ الْعِلْمَ ثُمَّ لاَ يُحَدِّثُ بِهِ كَمَثَلِ الَّذِيْ يَكْنِزُ الْكَنْزَ فَلاَ يُنْفِقُ مِنْهُ.

 

Perumpamaan orang yang belajar ilmu kemudian tidak menyampaikannya adalah seperti orang yang menyimpan kekayaan kemudian tidak membelanjakannya.[2]

Jika kita menganalisa para ilmuan, akan didapati orang yang kedekut ilmu semakin hari semakin berkurang ilmu mereka. Ini kerana sikap kedekut itu bertahap-tahap merosakkan ilmu yang mereka miliki pada awalnya. Berbeza dengan orang yang bekerja keras mensedekahkan ilmu. Semakin hari ilmu mereka semakin bertambah kerana sikap bersedekah itu menggandakan ilmu mereka dengan gandaan yang besar.

 

 

Perosak # 7: Murah Hati.

Lawan kepada kedekut ialah murah hati, iaitu terlalu mudah dalam menyampaikan ilmu. Menyampaikan ilmu adalah terpuji selagi mana ia berdasarkan dalil dan hujah yang sahih. Menyampaikan ilmu menjadi tercela, sekali gus menjadi unsur perosak, jika ia disampaikan tanpa dalil dan hujah yang sahih. Sikap terakhir inilah yang saya maksudkan sebagai “murah hati” terhadap ilmu. Murah hati berlaku melalui beberapa cara:

  1. Menyatakan hukum halal dan haram atau selainnya seperti wajib, sunat, harus, makruh dan haram tanpa memiliki dalil dan hujah di sebaliknya.

  2. Menyampaikan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tanpa mengetahui sumber dan darjat kekuatannya.

  3. Mengemukakan petua itu dan ini padahal ia hanyalah rekaan dirinya semata-mata.

Seorang ilmuan hendaklah menyampaikan sekadar apa yang diketahuinya. Apabila dia menyampaikan sesuatu ilmu berkenaan Islam padahal dia tidak mengetahui sama ada ilmu itu benar atau tidak, dia sebenarnya memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak diketahuinya. Ini adalah kesalahan yang lebih berat daripada syirik. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

قُلۡ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّىَ ٱلۡفَوَٲحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡہَا وَمَا بَطَنَ وَٱلۡإِثۡمَ وَٱلۡبَغۡىَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ

 

وَأَن تُشۡرِكُواْ بِٱللَّهِ مَا لَمۡ يُنَزِّلۡ بِهِۦ سُلۡطَـٰنً۬ا وَأَن تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ

 

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa serta perbuatan menceroboh tanpa alasan yang benar; dan kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedangkan Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” [al-A’raaf 7:33]

 

Dalam ayat di atas Allah menerangkan perkara-perkara yang diharamkan-Nya dalam empat tingkatan:

  • Tingkatan Pertama: “…perbuatan-perbuatan yang keji sama ada yang nyata atau yang tersembunyi…”.

  • Tingkatan Kedua: “…dan perbuatan dosa serta perbuatan menceroboh tanpa alasan yang benar…”.

  • Tingkatan Ketiga: “…kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedangkan Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya)…”.

  • Tingkatan Keempat: “…kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.”

Ilmu sepatutnya menjadi sesuatu yang bermanfaat bagi tuan empunya. Menyampaikan ilmu sepatutnya menggandakan ilmu seseorang dengan gandaan yang besar. Akan tetapi menyampaikan ilmu tanpa kepastian benar atau salah menjadi perosak yang memudaratkan tuan empunya dan mengakibatkan kerugian yang besar di dunia serta azab yang berat di akhirat.

Justeru dalam rangka menyampaikan ilmu, hendaklah berada di pertengahan antara kedekut dan murah hati. Sikap pertengahan yang saya maksudkan ialah berhati-hati. Sampaikan apa yang diketahui, diamkan apa yang tidak diketahui dan tangguhkan apa yang belum pasti. Inilah sikap para ilmuan yang menjadi rujukan umat Islam sejak dari zaman awal, maka warisilah ia dengan bangga dan yakin. Bersikap diam atau berkata “Saya tidak tahu” bukanlah tanda orang yang jahil, sebaliknya adalah tanda orang yang berilmu dan ilmu yang benar.

 

Demikian tujuh perosak ilmu yang perlu saya dan para pembaca sekalian berwaspada darinya. Kadangkala salah satu atau lebih dari perosak ini menyelinap masuk dalam diri seseorang tanpa disedari. Oleh itu marilah kita saling nasihat menasihati agar kita semua sentiasa terhindar darinya. Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis sahih daripada Tamim bin al-Dari radhiallahu 'anh, beliau menyatakan:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟

 

قَالَ: لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ.

 

Bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Agama adalah nasihat.”

Kami (para sahabat) bertanya: “Kepada siapa?”

(Nabi menjawab): “Kepada Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, para imam umat Islam dan keseluruhan umat Islam.”

 


 

[1] Risalah ini saya tulis sebagai kertas kerja sempena seminar The Professional Mukmin Generation: Synergy of Faith, Knowledge and Action anjuran Islamic Medical Association of Malaysia – Czech Republic Student Chapter. Ia diadakan di Cerny Most Mosque, Praque, Czech Republic pada 22 March 2008.

[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, hadis no: 122