Berdakwah Melalui Penulisan Efektif

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Bahagian Ketiga:
Langkah-Langkah Semasa Menulis

 

Baiklah, sekarang anda sudah sedia untuk menulis. Apabila anda hendak menulis seboleh mungkin pastikan tiada apa-apa agenda lain di fikiran anda. Jika anda memiliki sesuatu tugasan lain seperti membayar bil, membawa anak-anak ke taman atau menservis kereta, lakukan semua itu terlebih dahulu. Habiskan semua agenda sehingga apabila anda duduk di hadapan komputer, tiada apa-apa di fikiran anda kecuali menulis. Pada waktu yang sama, senyapkan talifon bimbit dan beritahu ahli keluarga bahawa anda tidak mahu diganggu.

 

 

"Jangan hanya syok menulis.

Pastikan pembaca anda faham mesej yang cuba

anda sampaikan melalui penulisan yang efektif"

 

Seterusnya, jangan meletakkan sasaran (target) yang terlalu tinggi untuk jumlah penulisan yang hendak anda capai dalam sehari. Jika anda meletakkan sasaran yang terlalu tinggi, anda akan menjadi resah jika ia tidak dapat anda capai. Keresahan ini akan mengganggu ketenangan fikiran anda dan akhirnya anda tidak dapat menulis langsung.

 

Saya sendiri meletakkan sasaran menulis satu buku dalam setahun. Penulisan itu saya usahakan secara bertahap-tahap. Adakalanya dalam sehari saya dapat menulis satu bab, adakalanya satu mukasurat dan adakalanya hanya dua tiga perenggan. Bahkan adakalanya dalam seminggu saya tidak sempat menulis apa-apa langsung. Justeru yang penting di sini ialah menulis secara bertahap-tahap dan meletakkan sasaran waktu yang munasabah untuk menyiapkannya.

 

Saya tidak mengetahui apa-apa petua khusus dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih untuk diamalkan pada saat hendak menulis. Apa yang saya amalkan hanya membaca Isti‘azah, iaitu menyebut A‘uzubillahi minash syaitan nirrajim dan Basmalah, iaitu menyebut Bismillahi Rahmani Rahim. Hikmah di sebalik membacanya telah saya jelaskan dalam buku 7 Tipu Daya Syaitan Ke Atas Umat Islam terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

 

Dalam bahagian ketiga ini, saya akan memberi tumpuan kepada format tulisan, iaitu:

 

  1. Penulisan yang efektif.

  2. Format notakaki.

  3. Kesilapan tatabahasa yang lazim.

 

3.1   Penulisan Yang Efektif.

Para pakar komunikasi menyatakan bahawa dalam sesuatu komunikasi, enam puluh peratus daripada mesej tersampai melalui gaya badan (body language), tiga puluh peratus daripada mesej tersampai melalui nada suara dan tujuh peratus daripada mesej tersampai melalui perkataan. Apabila kita menulis, kita hanya menyampaikan mesej melalui perkataan dan ini adalah metod komunikasi yang paling tidak efektif. Namun ini tidak akan menjadi faktor penghalang. Kita akan terus menulis, hanya format penulisan akan kita ubah dari penulisan semata-mata kepada “penulisan yang efektif” (efective writing).  Berikut dijelaskan tentang apa yang saya maksudkan sebagai penulisan yang efektif:

 

3.1.1    Elakkan ayat yang terlalu panjang atau terlalu pendek.

Ayat yang panjang akan menyukarkan kefahaman dan mungkin melarikan fokus pembaca. Pada waktu yang sama elakkan ayat yang pendek kerana ia mengganggu kelancaran membaca. Panjang yang optimum ketika menulis di atas kertas saiz A4 ialah satu hingga dua baris. Jangan melebihi tiga baris.

 

3.1.2    Guna ayat yang pendek untuk fakta penting.

Pengecualian dari poin 3.1.1 di atas ialah, gunakan ayat yang pendek untuk menekankan fakta yang penting. Ayat yang pendek memiliki peranan seumpama gaya badan dan nada suara yang tegas. Setelah ditekankan fakta tersebut, gunakan ayat yang lebih panjang (maksimum tiga baris) untuk menjelaskan maksud poin tersebut.

 

3.1.3    Perenggankan tulisan anda.

Perenggan memiliki peranan penting untuk memudahkan kefahaman pembaca. Perenggan yang baru bererti perbincangan yang baru sekali pun dalam bab yang sama. Perenggan juga membolehkan pembaca berehat seketika. Justeru pastikan tulisan anda memiliki perenggan. Jangan tulis melebihi tujuh barisan tanpa dipisahkan oleh perenggan.

 

3.1.4    Elakkan penjelasan yang sia-sia.

Fokus pembaca akan juga lari jika penulis memasukkan penjelasan yang berjela-jela, yang sia-sia. Ketika menulis, terus kepada mesej yang anda ingin sampaikan. Jika dirasakan mesej tersebut agak sukar difaham oleh pembaca, sertakan sedikit penjelasan. Akan tetapi elakkan penjelasan yang berjela-jela kerana ia akan kembali menyukarkan kefahaman pembaca.

 

 

 "Pelbagaikan pilihan kata dan susunan ayat

 untuk memenarikkan tulisan anda"

 

 

Demikian juga, elakkan penjelasan yang berulang-ulang kerana ia akan membosankan pembaca. Jika ada poin penting yang anda rasa perlu diulangi, lakukannya dengan susunan ayat dan pilihan perkataan yang berbeza.

 

3.1.5    Guna format numbering dan bullets.

Jika mesej yang ingin anda sampaikan memiliki beberapa poin di dalamnya, guna format numbering dan bullets. Jika poin tersebut agak panjang atau memiliki beberapa poin kecil di dalamnya, gunakan pecahan-pecahan kecil dalam bab tersebut. Perhatikan semula bahagian 1 dan 2 risalah ini, saya banyak menggunakan format numbering, bullets dan pecahan kecil.

 

3.1.6    Jangan terlalu kerap menggunakan koma.

Jika anda, terlalu kerap, menggunakan koma, ia akan, mengganggu kelancaran membaca. Ini akan, menyebabkan, tulisan anda menjadi, tidak efektif. Gunakan koma hanya apabila anda benar-benar memerlukannya.

 

3.1.7    Jangan letak “space” secara sia-sia.

Jangan letak ruang kosong atau “  space  ” sebelum noktah  ,  koma  ,  koma bertitik  ,   tanda seru , kurungan dan sebagainya .    Jangan tekan “ space ” dua kali di antara ayat .    Sesetengah pusat pengajian tinggi menggunakan format ini dalam syarat penulisan tesis mereka . Pada saya semua ini hanya sia-sia, menyukarkan proses aturhuruf (layout) dan menjatuhkan kadar efektif penulisan anda.

 

3.1.8    Jarakkan barisan.

Bagi meningkatkan kadar efektif tulisan anda, jarakkan barisan kepada 1.5 line spacing. Cuba bincang dengan penerbit agar buku anda diterbitkan dengan format 1.5 line spacing. Elakkan dari menggunakan single line spacing kerana ia mengurangkan kadar efektif penulisan dan elakkan dari menggunakan double line spacing kerana ia mengurangkan pokok di alam tercinta ini.

 

3.1.9    Elakkan saiz font yang terlalu kecil.

Font yang terlalu besar atau terlalu kecil memiliki pengaruh dalam menentukan kadar efektif penulisan anda. Pilih saiz yang sesuai dan bincang dengan penerbit bahawa anda mahukan buku anda diterbitkann dengan saiz tersebut.

 

Perhatikan perenggan di atas yang menggunakan single line spacing dan saiz font yang kecil Bandingkan ia dengan perenggan ini yang menggunakan 1.5 line spacing dan saiz font yang sederhana. Dapatkah anda mengesan perbezaannya?

 

3.1.8    Guna font berbeza untuk nukilan.

Kebanyakan format penulisan menggunakan saiz font yang lebih kecil bagi sesuatu nukilan. Format ini mengurangi kadar efektif penulisan. Saya cadangkan guna saiz font yang sama, tetapi jenis font yang berbeza. Pada waktu yang sama dicadangkan agar margin kiri atau kiri dan kanan dikecilkan. Ini lebih efektif untuk para pembaca membezakan antara perkataan penulis dan nukilan perkataan orang lain. Sila rujuk ke 3.1.9 untuk contoh nukilan yang saya maksudkan.

 

3.1.9    Elakkan singkatan perkataan.

Ketika menulis, elakkan dari menggunakan singkatan perkataan seperti s.w.t (Subhanahu wa Ta'ala), s.a.w. (shallallahu 'alaihi wasallam), r.d.h. (radhiallahu 'anh) dan rah. (rahimahullah). Elakkan juga dari menggunakan simbol-simbol yang mewakili singkatan tersebut. Imam al-Nawawi rahimahullah menerangkan dalam Muqaddimah Syarh Shahih Muslimnya (edisi terjemahan terbitan Mustaqim, Jakarta, 1423H), ms. 104:

 

Apabila penulis hadis Rasulullah menjumpai lafaz Allah, maka hendaklah dia meletakkan kalimah yang bermakna penghormatan untuk-Nya, seperti ‘Azza wa Jalla, Ta'ala, Subhanahu wa Ta'ala, Tabaraka wa Ta’ala, Jalla Zikruhu, Tabaraka Ismuhu, Jallat ‘Azhamatuhu dan bentuk kalimah pujian yang lain. Begitu juga ketika penulis menjumpai lafaz Nabi, maka hendaklah dia meletak kalimah shallallahu 'alaihi wasallam secara lengkap, bukan ditulis dengan singkatan atau rumus-rumus tertentu.

 

 

"Singkatan atau simbol s.w.t dan s.a.w.

mengisyaratkan penulis yang tidak hormat

kepada Allah dan Rasulullah"

 

Begitu juga jika dia menemukan nama salah seorang sahabat Rasulullah, maka dia sangat dianjurkan meletak kalimah radhiallahu 'anh. Jika nama yang dijumpai ialah dua orang sahabat, maka hendaklah penulis meletak kalimah radhiallahu 'anhuma. Sedangkan apabila penulis menjumpai nama salah seorang ulama’ atau tokoh yang shalih, maka hendaklah dia meletak kalimah radhiallahu 'anh atau rahimahullah.

 

 

3.1.10 Penggunaan bold, italic dan underline.

  • Gunakan tulisan yang lebih hitam (bold) untuk bab dan pecahan bab.

  • Gunakan italic untuk apa-apa perkataan yang bukan dari bahasa Melayu. Sebagai contoh, perkataan “air” dalam bahasa Melayu bermaksud sejenis cecair, tetapi dalam bahasa Inggeris bermaksud udara. Penggunaan italic memberi isyarat kepada pembaca bahawa perkataan tersebut hendaklah difahami dalam bahasanya yang asal.

Bagi menulis istilah-istilah bahasa Arab, anda memiliki pilihan untuk menggunakan kaedah transliterasi. Melalui kaedah ini, sesuatu istilah ditaip bersama tanda panjang atau titik di atas atau bawah hurufnya. Saya tidak cenderung dengan kaedah ini kerana:

  1. Anda perlu meletakkan usaha tambahan bagi menggunakan kaedah ini, iaitu untuk menaip titik dan baris serta memastikan ia adalah tepat. Suatu penulisan artikel yang boleh disiapkan dalam masa tiga jam akan memerlukan satu jam tambahan semata-mata kerana transliterasi.

  2. Manfaatnya untuk pembaca awam adalah minimum kerana kebanyakan mereka tidak faham apa maksud titik dan baris tersebut. Maka di sini timbul persoalan sekadar mana kaedah tranliterasi membantu kadar efektif penulisan anda.

  3. Kaedah tranliterasi tidak membolehkan penggunaan font yang berbeza-beza dalam penulisan anda sebagaimana yang dicadangkan dalam 3.1.8.

  • Gunakan underline untuk menarik perhatian pembaca kepada apa-apa maklumat yang penting dalam tulisan anda. Akan tetapi jika anda sudah menggunakan kaedah penulisan ayat yang pendek untuk fakta yang penting (3.1.2), underline tidak lagi diperlukan.

 

3.1.11 Elakkan tanda seru, huruf besar dan kata-kata kesombongan.

Dalam etika penulisan, tanda seru mengisyaratkan penulis yang tidak dapat mengawal emosi manakala huruf besar mengisyaratkan penulis yang tidak dapat mengawal kemarahannya. Menggunakan istilah-istilah yang sukar secara berlebih-lebihan mengisyaratkan penulis yang ingin menunjuk-nunjuk kehebatan dirinya. Sementara kata-kata atau susunan ayat yang bersifat sombong, ujub dan “perasan” menyebabkan pembaca mencampakkan tulisan anda ke bakul sampah.

 

Elakkan semua ini. Seorang penulis hendaklah sentiasa bertenang, lapang dada dan rendah diri. Walaubagaimana pun jangan terlalu merendahkan diri kerana ia mengsiyaratkan penulis yang tidak memiliki keyakinan diri dan tidak yakin dengan apa yang ditulisnya. Kadangkala penulisan yang tegas amat diperlukan bagi menekankan fakta yang penting.

 

Demikian sebelas cadangan bagaimana mengefektifkan tulisan anda. Berikut dikemukakan satu contoh penulisan yang tidak efektif. Dalam contoh ini, penulisnya cuba membuat pembukaan atau pengenalan kepada bab berkenaan solat sunat witir. Dia menulisnya seperti berikut:

 

Pada masa kini , sekali pun oleh orang-orang yang berjambang dan berjubah , mereka semua tak kira para-para ustaz , ustazah , imam , khatib , penceramah , pendakwah , pensyarah jurusan agama , pemikir agama , mufti dan sebagainya dan sebagainya telah meremehkan amalan solat sunat witir pada waktu malam padahal solat sunat witir hukumnya SUNAT MUAKKADAH sebagaimana yang sedia dimaklumi oleh hadis-hadis sahih yang amat banyak jumlahnya dalam kitab-kitab hadis sahih , sunan dan musnad !!!    Sekalipun hanya satu rakaat sahaja , satu rakaat sahaja , bukan dua , bukan tiga , bukan empat ; umat Islam masa kini telah meremehkan solat sunat witir padahal Rasulullah saw tidak pernah meremehkannya bahkan pernah MENGQADHANYA pada siang hari apabila meninggalkannya pada malam hari sepertimana yang diriwayatkan isteri baginda A’isyah dalam hadis sahih riwayat Imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim yang tidak diragukan lagi kesahihannya , tidak lain tidak bukan tidak syak menunjukkan betapa penting , tinggi , besar , utama dan mulianya solat witir itu !!!   Aduhai wahai para pembaca !!!   Aduhai wahai umat Islam akhir zaman !!!   Aduhai manusia yang hanya sibuk siang malam mengejar dunia !!!   Berwitirlah kalian !!!   Solat sunat witir boleh kalian kerjakan dengan satu rakaat sahaja atau tiga rakaat dengan sekali salam atau tiga rakaat dengan dua kali salam. Saya biasa buat witir lima hingga sembilan rakaat tetapi apa perlu saya cerita cara-cara witir lima rakaat , tujuh rakaat dan sembilan rakaat kerana jika yang satu rakaat pun tak buat, apa guna saya cerita yang lima rakaat atau lebih ???

 

 

Penulisan di atas dapat ditingkatkan kadar efektifnya seperti berikut:

 

Di antara solat sunat yang memiliki keutamaan yang tinggi ialah solat sunat witir. Ia adalah solat sunat yang dilaksanakan pada waktu malam dengan jumlah rakaat yang ganjil. Dari sudut hukum, ia adalah sunat muakkadah. Ini kerana terdapat banyak hadis sahih yang menganjurkannya, termasuklah sebuah hadis yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengqadhanya pada siang hari kerana tertidur pada malam sebelumnya.

 

Cara mudah untuk menjinak-jinakkan diri dengan solat sunat witir ialah melaksanakannya seperti berikut:

1.        Satu rakaat yang diakhiri dengan tasyahud dan salam.

2.       Tiga rakaat, sama ada:

a) Tiga rakaat terus tanpa duduk tasyahud dan salam pada rakaat kedua. Tasyahud dan salam hanya dilakukan pada rakaat ketiga.

b) Dua rakaat diakhiri dengan tasyahud dan salam. Diikuti dengan satu rakaat diakhiri dengan tasyahud dan salam.

Berikut dikemukakan hadis-hadis tentang keutamaan solat sunat witir dan pelaksanaannya dalam bentuk satu atau tiga rakaat.

 

 

3.2       Format Notakaki.

Sebagaimana yang saya jelaskan sebelum ini, menulis buku agama bukanlah seumpama menulis novel cinta. Anda perlu memberikan rujukan kepada dalil dan hujah yang dikemukakan. Di sinilah letaknya peranan notakaki. Secara lebih terperinci, notakaki memiliki peranan:

 

  1. Menyatakan sumber rujukan.

  2. Memberi apa-apa maklumat tambahan seperti biografi ulama’ yang disebut namanya di ruang utama dan maksud sesuatu istilah yang digunakan di ruang utama.

  3. Mensyarah sesuatu poin di ruang utama. Peranan ini lebih sesuai untuk buku yang ditulis dengan tahap kesukaran yang tinggi (rujuk 2.4.3)

Selain dari peranan ketiga di atas, cuba gunakan format notakaki yang tidak terlalu pendek dan tidak terlalu panjang. Jangan terlalu pendek kerana pembaca tidak akan faham apa yang anda nyatakan, tidak terlalu panjang kerana ia akan mengganggu kelancaran pembacaan. Berikut dikemukakan beberapa cadangan tentang format notakaki:

 

3.2.1    Kemukakan maklumat lengkap rujukan hanya pada kali yang pertama.

Anda hanya perlu mengemukakan maklumat yang lengkap tentang rujukan anda pada kali yang pertama. Pada notakaki seterusnya, anda boleh meringkaskannya.

 

  • Sebagai contoh, pada kali pertama anda mengemukakan rujukan, anda menulis:

al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani – Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq ‘Abdul ‘Aziz bin Baz; Beirut, 1995, Dar al-Fikr), jld. 6, hlm. 352. Rujukan ini seterusnya akan diringkaskan kepada Fath al-Bari sahaja.

 

Setelah itu apabila anda menggunakan rujukan yang sama, anda hanya perlu nyatakan di notakaki:

 

Fath al-Bari, jld. 6, hlm. 355.

 

  • Contoh lain apabila pertama kali mengemukakan rujukan:

Ibn Jarir al-Thabari - Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Qur’an (edisi cdrom Maktabah Syamilah versi 2), juz. 4, ms. 56. Rujukan ini seterusnya akan diringkaskan kepada Tafsir al-Thabari sahaja.

 

Setelah itu apabila anda menggunakan rujukan yang sama, anda hanya perlu nyatakan di notakaki:

 

Tafsir al-Thabari, juz. 4, ms. 59.

 

  • Contoh lain apabila pertama kali mengemukakan rujukan:

Diriwayatkan oleh Imam Muhammad bin ‘Isa bin Surah al-Tirmizi dalam kitab al-Jami’nya (tahqiq: Ahmad Syakir; Dar al-Hadith, Kaherah, 1999), hadis no: 32 (Kitab al-Thaharah, Bab Ma ja-a fi al-wudhu’ marratan marratan). Rujukan ini seterusnya akan diringkaskan sebagai Sunan al-Tirmizi sahaja.

 

Setelah itu apabila anda menggunakan rujukan yang sama, anda hanya perlu nyatakan di notakaki:

 

Sunan al-Tirmizi, hadis no: 33 (Kitab al-Thaharah, Bab Ma ja-a fi al-wudhu’ marratan marratan).

 

Bagi rujukan sumber hadis, amat penting untuk anda menyatakan nama kitab (contoh: Kitab al-Thaharah) dan babnya (contoh: Bab Ma ja-a fi al-wudhu’ marratan marratan) kerana penomboran hadis sering kali berbeza antara muhaqqiq yang berbeza sekali pun terhadap kitab hadis yang sama.

 

3.2.2    Permudahkan notakaki anda.

Metod penulisan yang efektif perlu juga diaplikasi pada notakaki. Berikut beberapa cadangan:

 

3.2.2.1 Guna italic untuk nama kitab.

Bagi memudahkan pembaca mengenal judul kitab, gunakan tulisan italic.

 

3.2.2.2 Letakkan maklumat penerbit dalam kurungan.

Bagi mengelakkan kekeliruan, letakkan maklumat penerbitan dalam kurungan.

 

3.2.2.3 Guna singkatan untuk jilid dan mukasurat.

Sebagai pengecualian dari cadangan 3.1.9, gunakan singkatan untuk jilid, juzuk, halaman dan mukasurat. Dengan singkatan ini, jilid = jld., juzuk = juz., halaman = hlm. dan mukasurat = ms..

 

3.2.2.4 Guna format alamat untuk tertib rujukan.

Apabila anda menyatakan rujukan, dicadangkan guna format seumpama menulis alamat di atas sampul surat. Anda mulakan dengan nama orang diikuti dengan nama syarikat, nama bangunan, nama jalan, nama bandar dan diakhiri dengan poskod.

 

Maka apabila menyatakan rujukan di notakaki, mulakan dengan nama pengarang diikuti dengan judul kitab, nama penerbit, bandar lokasi penerbit, tahun penerbitan dan diakhiri dengan rujukan mukasurat.

 

 

 "Susun tertib rujukan notakaki anda

 umpama menulis alamat di atas sampul surat"

 

 

Sebagai contoh, perhatikan notakaki berikut:

Abi al-Hasan Khalid Mahmud al-Ribath, Beirut, 1998, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Tuhfatul Akhyar bi Tartib Syarh Musykil al-Atsar, juzuk 3, halaman 412.

 

Notakaki yang sama diolah semula berdasarkan cadangan 3.2.2.1 hingga 3.2.2.4:

Abi al-Hasan Khalid Mahmud al-Ribath - Tuhfatul Akhyar bi Tartib Syarh Musykil al-Atsar (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1998), juz. 3, hlm. 412.

 

 

3.2.3    Elakkan penggunaan ibid, loc cit, op cit, idem dan sebagainya.

Kapten, betul ke kita dianjurkan tidur mengiring di sebelah kanan?” bunyi sebuah pesanan ringkas (sms) daripada orang yang tidak saya kenali.

Apa rujukan anda?” saya membalas kembali.

Kitab ibid, hlm. 35” jawab orang itu.

Ibid bukan nama kitab.”

Oh! Ya ke? Selama ini saya sangkakan ia nama kitab.Kitab yang amat masyhur kerana banyak pengarang yang menggunakannya. Habis, macam mana saya nak tahu nama kitabnya?

Rujuk pada nama kitab yang sebelumnya.

Kitab sebelumnya ialah op cit

 

Percaya atau tidak, ramai pembaca yang menyangkakan ibid, loc cit, op cit, idem dan sebagainya ialah nama kitab. Ia mengelirukan mereka dan sedikit jua tidak membantu mereka untuk mengenali sesuatu rujukan yang digunakan oleh penulis. Justeru jangan menggunakan singkatan-singkatan ini, sebaliknya gunalah format sebagaimana yang saya cadangkan di atas (3.2.1).

 

 3.2.4   Seragamkan format notakaki anda.

Tidak ada format yang baku bagi anda menyusun notakaki. Apa yang saya kemukakan di atas hanya sekadar cadangan. Bagaimana jua format yang anda pilih, yang penting pastikan ia digunakan secara seragam dalam keseluruhan buku anda. Notakaki yang beragam mengisyaratkan penulis yang tidak kemas, tidak tajam dan tidak berdisiplin. Seterusnya ia juga mengisyaratkan hasil kajian yang tidak kemas, tidak tajam dan tidak berdisiplin.

 

Sebelum berpindah kepada poin seterusnya, ingin saya tambah dua perkara berkenaan notakaki:

  1. Notakaki bukanlah satu-satunya kaedah untuk menyatakan rujukan. Anda boleh juga menyatakannya dalam kurungan di ruangan utama sebagaimana yang saya gunakan dalam risalah ini (lihat 3.1.9).

  2. Apabila menggunakan kaedah notakaki (footnote), pastikan penerbit anda tidak mengubahkanya menjadi nota di hujung bab atau nota di akhir buku (endnote). Kaedah endnote dipilih oleh kebanyakan penerbit kerana ia memudahkan proses aturhuruf (layout), sekali gus menjimatkan kos mereka. Walaubagaimana pun ia amat menyusahkan pembaca dan menegatifkan kadar efektif penulisan anda.

 

 "Kemaskan nota-kaki anda kerana ia

isyarat awal kepada pembaca

tentang metod kajian anda"

 

 

3.3       Kesilapan Tatabahasa Yang Lazim.

Seorang penulis hendaklah memerhatikan tatabahasa (grammar) yang digunakannya. Antara kesilapan tatabahasa yang lazim berlaku adalah:

3.3.1    “Dari” dan “Daripada”.

“Dari” digunakan untuk tempat, jarak dan masa. Contoh: Ahmad berasal dari Ipoh.

“Daripada” digunakan untuk makhluk dan perbandingan. Contoh: Saya pinjam buku ini daripada Umar.

 

3.3.2    “Ialah” dan “Adalah”.

“Ialah” digunakan untuk orang dan benda. Contoh: Pemenang pertanding itu ialah Sakinah.

“Adalah” digunakan untuk keadaan, sifat dan perkara subjektif. Contoh: Kelebihan Sakinah dalam pertandingan tersebut adalah kepantasannya berfikir.

 

3.3.3    “Di dalam” dan “Dalam”.

“Di dalam” digunakan untuk tempat. Contoh: Kereta itu tersekat di dalam lubang.

“Dalam” digunakan untuk jarak, tempoh. Contoh: Kereta yang tersekat itu dijangka akan dapat dikeluarkan dalam masa setengah jam.

 

3.3.4    “Dia” dan “Ia”.

“Dia” digunakan untuk manusia. Contoh: Ketika dia mengambil kotak itu, Ahmad menemui seliparnya yang hilang sejak sekian lama di dalamnya.

“Ia” digunakan untuk selain manusia. Contoh: Namun Ahmad tidak memerlukan lagi selipar itu. Ia dibiarkan dalam kotak tersebut.

 

3.3.5    “Di” dan “Pada”.

“Di” digunakan untuk tempat. Contoh: Jamal dilahirkan di Kuching.

“Pada” digunakan untuk masa. Contoh: Jamal dilahirkan pada pukul lapan pagi.

 

3.3.6    “Di” jarak atau rapat.

“Di” dijarakkan apabila merujuk kepada tempat. Contoh: Kedua-dua kucing itu berlumba di padang permainan kanak-kanak.

 

“Di” dirapatkan apabila merujuk kepada perbuatan. Contoh: Kemudian kedua-dua kucing itu diambil semula oleh tuannya.

 

3.3.7    Jangan mulakan ayat dengan kata sendi.

Jangan mulakan ayat dengan kata sendi seperti “tetapi”, “dan”, “serta”, “untuk”, “seperti”, “kecuali” dan lain-lain.

·         Contoh: Tetapi persoalan ini memerlukan semakan semula.

·         Betulkan ia menjadi: Walaubagaimana pun persoalan ini memerlukan semakan semula.

 

  

 "Buat satu carta ringkas berkenaan format notakaki

 dan tatabahasa, kemudian tampal berhampiran

 skrin komputer anda"

 

 

 

 

 kandungan