18- al-Mufti (orang yang
mengeluarkan fatwa)
dan al-Mustafti (orang yang meminta fatwa)
Definisi
Al-Mufti
ialah orang yang memberitahu tentang hukum Syara'.
Al-Mustafti
(orang yang meminta fatwa) ialah orang yang bertanya tentang hukum Syara'.
Syarat-syarat fatwa
Terdapat beberapa syarat yang membolehkan
fatwa, antaranya ialah:
-
Al-Mufti
mestilah mengetahui hukum samada secara yakin atau zhan rajih
(sangkaan yang kuat). Jika tidak dia mestilah tawaqquf (tangguhkan).
-
Dia mestilah mendapat gambaran menyeluruh tentang sesuatu soalan
supaya dapat menghukum kerana menghukum sesuatu perkara itu cabang daripada
memahami gambarannya.
Sekiranya sukar untuknya memahami kata-kata
al-mustafti (orang yang
meminta fatwa), hendaklah dia meminta penjelasan. Sekiranya soalan al-mustafti (orang yang meminta fatwa) memerlukan perincian, hendaklah
dia bertanya tentang perincian itu atau terus memperincikan dalam
jawapannya.
Sebagai contoh, apabila ditanya tentang seorang yang meninggal dan mempunyai
anak perempuan, saudara lelaki dan bapa saudara sebelah bapa yang seibu
seayah; hendaklah dia bertanya tentang saudara lelaki itu adakah yang seibu
atau tidak. Dia boleh juga terus memperincikan dalam jawapan dengan berkata,
“Sekiranya saudara lelaki itu seibu maka dia tidak dapat apa-apa dan selepas
anak perempuan mengambil bahagiannya, bapa saudara sebelah bapa dapat yang
selebihnya. Sekiranya saudara lelaki itu bukan seibu maka selepas anak
perempuan mengambil bahagiannya, saudara lelaki dapat yang selebihnya dan
bapa saudara sebelah bapa tidak dapat apa-apa.”
-
Dia mestilah berfikiran tenang supaya dapat memahami gambaran masalah
itu dan dapat menyesuaikannya dengan dalil-dalil Syara'. Dia tidak
dibenarkan berfatwa semasa berfikiran kusut samada disebabkan marah, sedih,
bosan dan lain-lain.
Terdapat juga beberapa syarat yang
mewajibkan fatwa, antaranya ialah:
-
Apa yang ditanyakan itu sudah
berlaku. Sekiranya belum berlaku lagi tidak wajib dia berfatwa kecuali
sekiranya tujuan al-mustafti ialah untuk menimba ilmu. Di sini, dia
tidak boleh menyembunyikan ilmu sebaliknya dia mestilah menjawab soalan itu
bila-bila masa sahaja ditanya.
-
Al-Mufti
tidak dapat mengesan bahawa tujuan al-mustafti (orang yang meminta
fatwa) ialah berdegil, mencari kelonggaran, melaga-lagakan pendapat-pandapat
ulama atau apa sahaja tujuan yang buruk. Sekiranya dia dapat kesan perkara
ini, tidak wajib dia berfatwa.
-
Fatwa itu tidak mendatangkan kefasadan yang lebih besar. Sekiranya
mendatangkan kefasadan yang lebih besar, wajib dihentikan fatwa demi untuk
menolak kefasadan besar menggunakan kefasadan kecil.
Perkara yang dituntut daripada seorang al-mustafti (orang yang
meminta fatwa)
1- Tujuannya mestilah mencari kebenaran untuk diamalkan dan bukannya
mencari kelonggaran atau mematikan hujah mufti atau apa sahaja tujuan buruk
lain.
2- Dia tidak oleh meminta fatwa kecuali daripada orang yang dianggapnya
berkeahlian untuk berfatwa. Hendaklah dia memilih mufti yang paling berilmu
lagi paling warak. Ada pendapat yang mewajibkan perkara ini.
Kandungan