|
Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqhal-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin |
|
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Pendahuluan Penterjemah
Segala puji hanya bagi Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan pengampunanNya. Kita juga berlindung dengan Allah dari segala kekejian jiwa kita dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiada sesiapapun yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Saya naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa dan tiada sekutu bagiNya. Saya juga naik saksi bahawa Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya.
Seterusnya;
Sesungguhnya di dalam apa sahaja ilmu, perkara yang amat penting bagi orang yang ingin mempelajarinya ialah mengkaji dasar-dasarnya yang dapat membantu pemahaman ilmu tersebut. Pengajian dasar-dasar sesuatu ilmu akan menjadikan pengkaji itu seorang yang mempunyai tapak yang kuat dalam memahami ilmu itu. Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada Allah Ta'ala kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya menterjemah sebuah buku Ushul al-Fiqh yang berjudul al-Ushul min 'Ilm al-Ushul yang dikarang oleh al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin rahimahullah, seorang cendekiawan terbilang di abad ini. Semoga usaha ini dapat menyumbang kepada kemantapan ilmu fiqh itu sendiri.
Di kesempatan ini juga, ingin saya mengucapkan jutaan terima kasih dan Jazakumullahu khairan kathiran kepada ibubapa saya yang telah mendorong saya dan menyokong saya dari awal lagi ke arah pengajian agama Islam, isteri saya yang sentiasa meniup semangat saya, semua ustaz-ustaz, saudara-mara dan rakan-rakan yang telah menolong saya dalam menjayakan penterjemahan ini.
Saya juga mengalu-alukan sebarang teguran dan pembetulan daripada para pembaca yang budiman. Sudah tentulah usaha manusia yang kerdil ini tidak lari dari kesilapan dan kelemahan di sana sini. Sudilah menghantar komen anda ke e-mail saya (fadlan_2@yahoo.com) atau e-mail Saudara Hafiz Firdaus (hafizfirdaus@yahoo.com) yang sudi meluangkan masanya untuk menyunting penterjemahan ini, Jazahullahu khairan jazilan.
Akhir kata, saya memohon agar Allah Ta'ala memberi manfaat buku ini kepada sesiapa yang membacanya dan juga kepada saya di dunia dan di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Berkuasa dan Maha Pemberi Rahmat.
Penterjemah: Fadlan bin Mohd. Othman. Jamadi al-Awal 1425 / Julai 2004. Kuala Lumpur.[1]
[1] Ustaz Fadlan ada membuat kelas-kelas pengajian yang mengupas dan mensyarahkan buku ini. Para pembaca boleh menghubungi beliau melalui e-mel untuk maklumat lanjut. (penyunting) |