Penjelasannya:
Setiap kali
mengemukakan hujah, Syi‘ah akan menyenaraikan sejumlah sumber
rujukan Ahl al-Sunnah yang adakalanya mencapai belasan dan
puluhan buah. Penyenaraian ini dijadikan bukti bahawa hujah mereka
adalah benar lagi kuat di sisi sekian-sekian tokoh dan ilmuan Ahl
al-Sunnah yang menjadi pengarang rujukan tersebut.
Jawapan
Ahl al-Sunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Ketiga:
Strategi
Syi‘ah yang ketiga ini dijawab oleh Ahl al-Sunnah sebagai:
Kebenaran hujah tidak diukur dengan
jumlah rujukan tetapi hujah yang terkandung
di dalam rujukan itu sendiri.
Penjelasannya:
Terdapat sebuah
kata hikmah yang berpesan:
Yang penting
bukanlah siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan.
Demikian
jugalah dengan kes ini:
Yang penting
bukanlah nama rujukan tetapi hujah yang terkandung di dalam rujukan.
Sejauh
mana kesahihan kenyataan ini boleh dikaji sendiri oleh para pembaca.
Perhatikan bahawa sumber-sumber Syi‘ah lazimnya hanya
menyenaraikan sumber rujukan tetapi mereka tidak menukil dan
menterjemahkan hujah yang terkandung di dalam rujukan tersebut.
Lebih dari itu,
jika kita mengkaji sendiri rujukan-rujukan tersebut, akan didapati
bahawa hujah Syi‘ah memang wujud di dalamnya. Akan tetapi
kewujudan hujah Syi‘ah di sisi pengarang rujukan Ahl al-Sunnah
tersebut bukanlah untuk membenarkannya tetapi dalam rangka
menerangkan kelemahan dan kebatilannya.
Walaubagaimanapun penulis sedar bahawa tidak semua para pembaca yang
dapat mengkaji sendiri rujukan-rujukan tersebut. Untuk menyelesaikan
masalah ini penulis menggariskan dua panduan berikut yang dapat
dijadikan asas bagi menolak Strategi Asas Syi‘ah yang Ketiga
ini:
1. Seandainya
rujukan-rujukan tersebut benar-benar mengukuhkan hujah Syi‘ah,
pasti mereka (Syi‘ah) akan menukil dan menterjemahkannya
secara lengkap. Bukankah kata-kata seorang imam mujtahid atau tokoh
ilmuan adalah lebih baik lagi berkesan sebagai pendukong hujah ?
Tindakan para penulis Syi‘ah yang tidak menukil dan
menterjemahkannya menjadi bukti bahawa rujukan-rujukan tersebut
tidak membenar atau mengukuhkan hujah Syi‘ah.
2. Seandainya
rujukan-rujukan tersebut benar-benar membicara dan menetapkan
kedudukan khalifah kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya,
radhiallahu 'anhum, bagaimana mungkin dikatakan bahawa ia
adalah sumber rujukan Ahl al-Sunnah ? Ia sepatutnya
dikategorikan sebagai sumber rujukan Syi‘ah. Hakikatnya
rujukan-rujukan tersebut sememangnya termasuk dalam kategori Ahl
al-Sunnah. Namun sepertimana yang telah diterangkan di atas,
kewujudan hujah Syi‘ah di dalam rujukan Ahl al-Sunnah
ini bukanlah kerana membenarkannya tetapi dalam rangka menerangkan
kelemahan dan kebatilannya.
Berdasarkan dua
garis panduan ini, ketahuilah bahawa jumlah rujukan yang lazimnya
disenaraikan oleh Syi‘ah hanyalah solekan demi memberi
pengaruh yang palsu kepada para pembaca mereka. Para pembaca tak
perlu terpengaruh dengannya.
Sebelum beralih
kepada Strategi Asas Syi‘ah yang Keempat, penulis
ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi pengenalan ringkas
kepada bidang-bidang ilmu yang diwakili oleh rujukan-rujukan yang
lazimnya disenaraikan oleh Syi‘ah.
Ini kerana
setiap bidang ilmu memiliki manhaj atau metodologi perbahasan yang
berbeza. Apabila kita dapat mengenali dan membezakan antara
bidang-bidang ilmu ini, mudah untuk kita mengecam (mengenali)
strategi Syi‘ah yang “memperalatkannya” demi mempengaruhi
orang-orang awam dari kalangan Ahl al-Sunnah.
Bidang ilmu yang dimaksudkan oleh penulis terbahagi kepada empat:
1.
Tafsir.
2.
Hadis.
3.
Sejarah.
4.
Umum.
Berikut
diberikan pengenalan ringkas kepada metodologi perbahasan setiap
satu daripada bidang ilmu di atas dan kaitannya dengan strategi
Syi‘ah menyenaraikannya sebagai sumber hujah.
Pertama:
Bidang Tafsir.
Manhaj majoriti
pakar tafsir Ahl al-Sunnah ialah menghimpun pelbagai pendapat
yang ada berkenaan tafsiran sesebuah ayat. Pendapat ini berasal
daripada para sahabat, tabi‘in dan tokoh-tokoh selepas mereka.
Kemudian akan dibahas tafsiran manakah yang paling tepat berdasarkan
petunjuk ayat-ayat al-Qur’an yang lain, sunnah Rasulullah yang sahih,
kaedah bahasa Arab dan sebagainya.
Dalam
menghimpunkan pelbagai pendapat ini, pasti sahaja di antaranya
adalah pendapat Syi‘ah sendiri. Namun perlu dibezakan bahawa
pengemukaan pendapat Syi‘ah di dalam rujukan tafsir Ahl
al-Sunnah bukanlah kerana membenarkannya tetapi dalam rangka
menerangkan kelemahan dan kebatilannya.
Akan tetapi
kewujudan pendapat Syi‘ah dalam rujukan-rujukan tafsir Ahl
al-Sunnah dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penulis Syi‘ah.
Mereka menyenaraikan rujukan-rujukan tafsir Ahl al-Sunnah ini
seolah-olah ia membenarkan hujah mereka.
Atas dasar ini
penulis menasihatkan para pembaca sekalian agar tidak mengambil
berat akan rujukan-rujukan tafsir Ahl al-Sunnah yang
disenaraikan oleh para penulis Syi‘ah. Rujukan-rujukan ini
tidak sedikitpun membenarkan hujah Syi‘ah, malah sebaliknya
ia menerangkan kesalahan dan kelemahan hujah mereka itu.
Bidang
Ilmu
Kedua:
Bidang Hadis.
Setiap hadis
terdiri daripada dua unsur penting yang tidak boleh dipisahkan:
Pertama adalah sanad dan kedua adalah matan.
Ini adalah
dasar yang amat penting dalam perbahasan hadis sehingga adalah wajar
jika penulis menyarankan kepada para pembaca sekalian untuk
menghafalnya.
Sanad adalah
rangkaian perawi yang meriwayatkan hadis tersebut sehinggalah ia
dibukukan secara formal manakala matan adalah maksud hadis atau
petunjuk hukum yang terkandung dalam teks hadis. Di bawah adalah
satu contoh hadis yang masyhur daripada kitab Shahih al-Bukhari:
حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ قَالَ
حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ
الأَنْصَارِيُّ قَالَ أَخْبَرَنِي مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ
التَّيْمِيُّ أَنَّهُ سَمِعَ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ
يَقُولُ سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى
الْمِنْبَرِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يَقُولُ:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا
نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى
امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.
Bahagian
pertama hadis, bermula daripada
حدثنا الحميدي
(dihadiskan
kepada kami oleh al-Humaidi)
sehinggalah kepada
سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول
(aku
mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda)
mewakili sanad hadis. Bahagian kedua hadis, bermula daripada
إنما الأعمال بالنيات...
(Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat…) hingga
akhir adalah matan hadis.
Berikut
diberikan penjelasan yang lebih mendalam tentang sanad dan matan
serta kaitannya dengan strategi penghujahan Syi‘ah
terhadapnya.
Sanad Hadis
Apabila
menjadikan sesebuah hadis sebagai hujah, Syi‘ah hanya
menyenaraikan rujukan-rujukan kitab hadis tanpa memberi perhatian
kepada sanadnya, apatah lagi membahas darjat kekuatan sanad tersebut.
Ini adalah satu strategi yang tertolak kerana tanpa membahas
kedudukan sanad, kita tidak akan dapat mengetahui darjat sesebuah
hadis sama ada ia adalah sahih atau tidak untuk dijadikan dalil dan
hujah. Perlu diingatkan bahawa persoalan khalifah adalah persoalan
iktikad yang tidak boleh diperhujahkan melainkan berdasarkan
hadis-hadis yang sahih sahaja.
Yang
dimaksudkan sebagai hadis sahih ialah hadis yang:
1. Memiliki
sanad yang bersambungan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam,
2. Perawi
yang membentuk sanad tersebut terdiri daripada mereka (a) bertaqwa,
(b) memelihara maruah dan (c) tidak melakukan kesalahan seperti
maksiat dan bid‘ah (‘Adl); kemudiannya (d) berkemampuan untuk
memelihara dan menyampaikan hadis yang mereka terima secara benar
pada bila-bila sahaja diminta untuk berbuat demikian (Dhabith).
3. Seterusnya
hadis tersebut dari sudut sanad dan matan hendaklah terhindar
daripada apa-apa kecacatan (‘illah) yang tersembunyi dan
4. Bersih
daripada sebarang pertentangan dan/atau keganjilan (syaz)
jika dibanding dengan al-Qur’an dan hadis-hadis lain yang sahih.
Para pembaca
dapat memerhatikan sendiri dalam sumber-sumber rujukan Syi‘ah
bahawa mereka, apabila mengemukakan sesebuah hadis sebagai dalil
atau rujukan, tidak membahas kedudukan dan darjat sanadnya.
Sikap sebegini menjadikan
hadis-hadis tersebut yang dikemukakan sebagai dalil atau hujah oleh
Syi‘ah dalam persoalan kekhalifahan tidak memiliki apa-apa
nilai langsung. Ini kerana, sepertimana yang telah disebut di atas,
persoalan khalifah adalah persoalan iktikad yang tidak boleh
diperhujahkan melainkan berdasarkan hadis-hadis jelas terbukti sahih.
Sebagai ganti
kepada perbahasan darjat sanad, Syi‘ah menyenaraikan pelbagai
sumber rujukan hadis Ahl al-Sunnah sebagai bukti kesahihan
hadis. Ini adalah strategi yang tertolak juga kerana barometer
pengukur diterima atau tidak sebuah hadis ialah kedudukan sanad dan
matan, bukan jumlah rujukan. Diulangi:
Diterima atau tidak sesebuah hadis diukur berdasarkan kedudukan
sanad dan matannya, bukan jumlah rujukan
Lebih dari itu,
perlu diketahui bahawa setiap tokoh hadis memiliki manhaj tersendiri
dalam “mengeluarkan”
hadis di dalam kitabnya.
Keragaman manhaj ini menyebabkan tidak semua kitab atau sumber
rujukan hadis Ahl al-Sunnah dapat digunakan sebagai bukti
kesahihan hadis. Merujuk kepada kitab-kitab hadis yang lazim
disenaraikan sebagai bukti oleh Syi‘ah, ia secara umum dapat
dibahagikan kepada lima manhaj:
Manhaj pertama:
Menggunakan
syarat yang ketat dalam menilai sanad sesuatu hadis (tasyaddud).
Berdasarkan syarat yang ketat ini mereka hanya mengeluarkan
hadis-hadis yang sahih sahaja di dalam kitab mereka.
Manhaj kedua:
Menggunakan
syarat yang longgar (tasahul) dalam menilai sanad sesuatu
hadis, disebut juga sebagai bermudah-mudahan dalam menilai sanad
hadis. Berdasarkan syarat ini mereka mengeluarkan hadis-hadis yang
sahih, hasan dan dha‘if di dalam kitab mereka.
Manhaj ketiga:
Menggunakan
syarat yang dipertengahan antara ketat dan longgar (tawassuth)
dalam menilai sanad hadis. Antara manhaj mereka ialah menggunakan
syarat yang ketat terhadap hadis-hadis yang membicarakan akidah
dan hukum manakala bagi hadis-hadis selainnya mereka menggunakan
syarat yang longgar.
Manhaj keempat:
Mengeluarkan
hadis di dalam kitab mereka sebagaimana yang telah dikeluarkan
oleh para ahli hadis terdahulu berdasarkan manhaj 1, 2 dan 3 di
atas. Kemudian disemak semula hadis-hadis tersebut dan diterangkan
darjatnya yang sebenar berdasarkan penilaian yang lebih luas dan
mendalam.
Manhaj kelima:
Mengeluarkan
hadis di dalam kitab mereka sebagaimana yang telah dikeluarkan
oleh para ahli hadis berdasarkan manhaj 1, 2 dan 3 di atas. Akan
tetapi tidak disemak semula darjat hadis yang terkandung di dalam
kitab-kitab tersebut. Hadis-hadis dinukil sebagaimana sedia ada
tanpa komentar lanjut tentang darjatnya. Hal in berlaku sama ada
kerana tidak memiliki kemampuan atau kesempatan atau manhaj untuk
menyemak darjat hadis tersebut.
Sebagai
contoh kepada 5 manhaj yang saling berbeza di atas,
sebuah hadis yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah mungkin diberi
sumber rujukan seperti berikut:
Hadis ini
diriwayatkan oleh al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir,
al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus, al-Zamakhsyari di
dalam al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq al-Tanzil, al-Haitsami
di dalam Majma’ al-Zawa‘id, al-Suyuthi di dalam al-Durr
al-Mantsur dan al-Jami’ al-Shagheir, Ibn Hajar di dalam
al-Shawa‘iq dan al-Hindi di dalam Kanz al-‘Ummal.
Secara zahirnya
kelihatan hadis tersebut memiliki kedudukan yang kukuh kerana banyak
sumber rujukannya sehingga boleh diterima sebagai sumber penghujahan.
Akan tetapi jika diteliti secara mendalam:
-
Kitab
al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq al-Tanzil oleh al-Zamakhsyari
rahimahullah (538H) sebenarnya ialah kitab tafsir al-Qur’an.
Di dalamnya terdapat hadis-hadis yang digunakan untuk penafsiran
ayat al-Qur’an. Hadis-hadis dikemukakan berdasarkan manhaj ke 5,
iaitu dengan menukil hadis yang asalnya dikeluarkan oleh al-Thabarani
tanpa menyemak darjatnya. Ini kerana al-Zamakhsyari bukan seorang
ahli hadis. Hadis-hadis yang dinukil oleh al-Zamakhsyari telahpun
disemak darjatnya oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah
(852H) akan tetapi setakat ini penulis belum menemui mana-mana
tokoh Syi‘ah yang mahu mengemukakan hasil penilaian
tersebut dalam penghujahan mereka.
-
Kitab
al-Durr al-Mantsur oleh al-Suyuthi rahimahullah
(911H) juga ialah sebuah kitab tafsir al-Qur’an dengan menukil
hadis yang asalnya dikeluarkan oleh al-Thabarani. Secara lebih
terperinci, manhaj al-Suyuthi menyusun kitab ini ialah menukil
semua hadis-hadis daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam yang menafsir dan/atau membicarakan sesebuah ayat.
Kebanyakan daripada hadis-hadis ini diterangkan juga darjatnya
oleh al-Suyuthi. Beliau juga menukil atsar-atsar sahabat dan
tabi‘in yang menafsir dan/atau membicarakan ayat tersebut
tanpa menilai darjatnya. Kitab ini merupakan rujukan masyhur di
sisi Syi‘ah akan tetapi daripada sekian ribu riwayat,
mereka hanya menukil belasan buah yang menyebelahi hujah mereka
sambil mendiamkan penilaian darjatnya oleh al-Suyuthi.
-
Kitab
al-Jami’ al-Shagheir oleh al-Suyuthi rahimahullah
(911H) ialah kitab hadis yang disusun berdasarkan manhaj ke 4
dengan menukil hadis yang asalnya dikeluarkan oleh al-Thabarani.
Secara lebih terperinci, manhaj al-Suyuthi menyusun kitab ini
ialah menghimpun hadis-hadis yang dikeluarkan oleh para ahli hadis
sebelumnya lalu disusun mengikut tertib urutan huruf. Kemudian
diterangkan darjat kekuatan bagi setiap hadis tersebut. Setakat
ini penulis belum menemui penerangan darjat hadis oleh al-Suyuthi
dikemukakan oleh Syi‘ah.
-
Kitab
al-Shawa‘iq oleh Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah
(973H),
tajuk lengkapnya ialah al-Shawa‘iq al-Muhriqah ‘ala Ahl al-Rafadh
wa al-Dhalal wa al-Zandaqah yang bermaksud Petir-petir yang
menyambar ke atas orang-orang (Syi‘ah) al-Rafidhah dan yang sesat
dan yang zindik. Ia sebenarnya adalah sebuah kitab yang
dikarang khas oleh Ibn Hajar al-Haitami bagi menjawab dan menolak
hujah-hujah yang dikemukakan oleh Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah.
Akan tetapi Syi‘ah telah menggunakan kitab ini – tanpa
menyalin judulnya yang lengkap – sebagai salah satu strategi
menguatkan hadis penghujahan mereka, seolah-olah Ibn Hajar al-Haitami
dan kitabnya ini menyebelahi mereka. Padahal yang benar Ibn Hajar
al-Haitami hanya menukil hadis yang asalnya dikeluarkan oleh al-Thabarani
lalu kemudian membahas darjatnya dan menerangkan maksudnya yang
sebenar, jauh daripada maksud yang diselewengkan oleh Syi‘ah.
Daripada contoh
analisa di atas, dapat dikenal pasti bahawa hadis yang dijadikan
hujah pada asalnya hanya bersumber dari 1 rujukan, iaitu al-Muj’am
al-Kabir oleh al-Thabarani. Lain-lain rujukan hanya menukil
daripada 1 rujukan yang sama ini. Oleh itu banyaknya sumber rujukan
bukanlah merupakan hujah kerana semuanya hanya berasal dari satu
rujukan.
Dengan itu juga
untuk menyemak darjat hadis tersebut, kajian hanya perlu ditumpukan
kepada kitab al-Muj’am al-Kabir sahaja. Darjat hadis juga
boleh disemak dengan merujuk kepada penilaian al-Haitsami, Ibn Hajar
al-‘Asqalani dan al-Suyuthi di dalam kitab mereka masing-masing
sebagaimana yang terdapat di dalam senarai rujukan di atas.
Para tokoh
Syi‘ah yang membuat kajian hadis sedia mengetahui hakikat ini
kerana untuk menyebut setiap rujukan bagi sesebuah hadis, mereka
terlebih dahulu perlu memegang dan mengkaji rujukan tersebut dengan
sendirinya. Akan tetapi mereka berdiam diri sahaja kerana
sememangnya menjadi strategi mereka untuk mempengaruhi para pembaca
dengan menyenarai sumber rujukan yang banyak sebagai bukti kesahihan
hadis.
Oleh itu
penulis menyarankan kepada para pembaca sekalian untuk tidak
menerima apa-apa hadis yang dikemukakan sebagai dalil atau hujah
oleh Syi‘ah melainkan ia disertai dengan perbahasan yang
mendalam tentang darjat kekuatan sanadnya. Jika tidak ada perbahasan
sanad yang dikemukakan, para pembaca tak perlu mengendahkan hadis
tersebut.
Matan Hadis
Unsur kedua
dalam sesebuah hadis ialah matannya. Selain kedudukan sanad, hadis
yang sahih juga disyaratkan oleh matan yang bersih daripada sebarang
pertentangan, keganjilan dan keanehan apabila dibandingkan dengan
al-Qur’an dan lain-lain hadis yang sahih.
Selain itu,
matan hadis juga memainkan peranan yang penting kerana ia adalah
inti yang darinya diambil sesuatu kefahaman atau hukum. Kepentingan
ini menyebabkan para tokoh Ahl al-Sunnah telah mengarang
pelbagai kitab syarahan hadis yang berjilid-jilid tebalnya. Peranan
kitab-kitab syarahan hadis ini adalah seumpama peranan kitab-kitab
tafsir yang menjelaskan maksud ayat-ayat al-Qur’an. Antara kitab
syarahan hadis yang masyhur ialah Fath al-Bari bi Syarh Shahih
al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani, Syarh Shahih Muslim
oleh al-Nawawi (676H), Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi
oleh al-Mubarakfuri (1353H), Faidh al-Qadir Syarh al-Jami al-Shagheir
oleh al-Munawi (1031H) dan lain-lain lagi. Para tokoh yang adil lagi
luas ilmunya ini mensyarahkan sesebuah hadis dengan merujuk kepada
keseluruhan petunjuk al-Qur’an dan sunnah Rasulullah, juga
kaedah bahasa Arab, penjelasan para sahabat, tabi‘in dan
tokoh-tokoh selepas mereka.
Di sini para
pembaca sekalian sekali lagi dapat memerhatikan sikap para penulis
Syi‘ah yang apabila mengemukakan sesebuah hadis sebagai dalil,
mereka tidak akan menukil syarahannya daripada sumber-sumber di atas.
Sebaliknya mereka hanya memberi syarahan sendiri yang tidak terlepas
daripada pelbagai penyelewengan seperti:
1. Mengkhususkan
hadis yang pada asalnya bersifat umum.
2. Menjadikan
sebab kelahiran hadis sebagai faktor yang mengkhususkan keumuman
hadis.
3. Tidak
mensyarahkan hadis berdasarkan petunjuk keseluruhan al-Qur’an
dan al-Sunnah.
4. Mengabaikan
kaedah-kaedah bahasa Arab dalam mensyarahkan hadis tersebut.
5. Mengabaikan
penjelasan para sahabat dan tabi‘in tentang maksud sebenar
hadis tersebut.
Poin kelima di
atas adalah penting kerana para sahabat adalah generasi yang paling
memahami hadis-hadis Rasulullah. Ini kerana mereka hadir sama untuk
memerhatikan sebab musabab kelahiran hadis tersebut. Demikian juga
para tabi‘in kerana mereka menimba ilmu secara terus daripada
para sahabat.
Di sini penulis
yakin bahawa para pembaca sekalian telah atau akan menemui strategi
Syi‘ah yang mendakwa sekian-sekian hadis yang mereka jadikan
dalil kekhalifahan ‘Ali dan Ahl al-Baitnya telah diriwayatkan
oleh puluhan sahabat dan ratusan tabi‘in. Jika kenyataan ini
adalah benar, kita bertanya: Kenapakah puluhan sahabat dan ratusan
tabi‘in yang meriwayatkan hadis tersebut tidak memahaminya
sebagai dalil yang menetapkan hak khalifah kepada ‘Ali dan Ahl
al-Baitnya sebagaimana yang difahami oleh Syi‘ah ?
Adakah mereka hanya meriwayatkannya tanpa memahaminya ?
Jawapannya
pasti tidak. Yang benar puluhan sahabat dan ratusan tabi‘in
yang meriwayatkan hadis tersebut turut memahami maksudnya,
hanya pemahaman mereka berlainan daripada pemahaman Syi‘ah.
Di sisi mereka (para sahabat dan tabi‘in), hadis tersebut
bukanlah dalil yang membicara urusan kekhalifahan, jauh sekali
daripada menetapkan hak kekhalifahan kepada ‘Ali dan Ahl al-Baitnya.
Justeru
pemahaman manakah yang harus kita ambil, pemahaman puluhan sahabat
dan ratusan tabi‘in atau pemahaman Syi‘ah ?
Sudah pasti tanpa ragu yang diambil adalah pemahaman para sahabat
dan tabi‘in.
Sebenarnya kita
Ahl al-Sunnah mengalu-alukan strategi para penulis Syi‘ah
yang, apabila mengemukakan sesebuah hadis sebagai hujah, bekerja
keras mencari dan menghitung nama-nama para sahabat dan tabi‘in
yang meriwayatkannya. Lebih banyak nama yang ditemui, lebih baik.
Ini kerana dengan penemuan nama-nama sahabat dan tabi‘in yang
meriwayatkan hadis tersebut, pemahaman mereka menjadi dalil yang
membatalkan pemahaman Syi‘ah.
Sebagai
kesimpulan kepada
perbahasan bidang ilmu hadis ini, penulis menyarankan kepada para
pembaca sekalian agar tidak terpengaruh dengan strategi Syi‘ah
yang menggunakan jumlah perawi dan rujukan kitab hadis Ahl al-Sunnah
sebagai bukti kebenaran hujah. Perhatian hanya perlu diberikan
apabila hadis-hadis tersebut memenuhi dua syarat berikut:
1. Dikemukakan
bukti bahawa hadis tersebut adalah sahih berdasarkan penilaian ahli
hadis yang diiktiraf oleh para tokoh Ahl al-Sunnah.
2. Maksud
hadis diterangkan berdasarkan rujukan kepada kitab syarahan hadis
Ahl al-Sunnah.
Jika dua syarat
ini dipenuhi, tidak akan ditemui sebuah hadis jua yang menetapkan
hak khalifah kepada ‘Ali dan Ahl al-Baitnya. Tidak ada hadis
yang memiliki sanad yang sahih dengan maksud (matan) yang secara
jelas menetapkan hak kekhalifahan kepada ‘Ali dan Ahl al-Baitnya.
Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak
pernah menetapkan hak kekhalifahan kepada ‘Ali dan Ahl al-Baitnya.
Hakikat ini disedari oleh Syi‘ah, maka kerana itulah kita
tidak akan menemui mereka memenuhi dua syarat di atas apabila
mengemukakan apa-apa hadis sebagai dalil atau hujah.
Bidang
Ilmu
Ketiga:
Bidang Sejarah
Disiplin Ahl
al-Sunnah dalam bidang sejarah adalah sepertimana dalam bidang
hadis di mana apa-apa peristiwa yang melibatkan persoalan hukum,
peristiwa fitnah dan peribadi sahabat tidak boleh dijadikan hujah
melainkan disemak terlebih dahulu darjat sanadnya dan dikaji konteks
kejadiannya. Ditekankan semula:
Tidak boleh
menerima peristiwa sejarah yang melibatkan persoalan hukum,
peristiwa fitnah dan peribadi sahabat melainkan disemak terlebih
dahulu darjat sanadnya dan dikaji konteks kejadiannya
Perkara penting
kedua yang perlu diketahui adalah, di kalangan para sejarahwan
Ahl al-Sunnah, tidak ada di antara mereka yang hidup di zaman
berlakunya peristiwa-peristiwa besar seperti kewafatan Rasulullah,
perlantikan Abu Bakar, pembunuhan ‘Utsman, Perang Jamal, Perang
Siffin, Pembunuhan ‘Ali dan sebagainya. Mereka tidak hadir untuk
mencatit peristiwa-peristiwa di atas. Mereka hanya mengambil
riwayat-riwayat yang sedia ada dengan kaedah sanad sepertimana dalam
ilmu hadis.
Akan tetapi
terdapat dua ciri yang membentuk manhaj para sejarahwan Ahl al-Sunnah
yang berbeza dengan manhaj Ahl al-Hadis:
1. Para
sejarahwan mengambil dan mengemukakan apa sahaja riwayat yang mereka
temui tanpa membezakan antara yang sahih atau tidak.
2. Para
sejarahwan mementingkan kesinambungan perjalanan cerita, bukan
kesahihan cerita. Maksudnya: Umpamakan sebuah peristiwa yang diawali
dan diakhiri dengan sanad yang sahih. Namun bagi ahli sejarah,
mereka perlu mencari sesuatu untuk memenuhi cerita yang duduknya di
antara yang awal dan akhir supaya secara keseluruhannya ia akan
berterusan tanpa terputus-putus. Atas keperluan ini ahli sejarah
akan mengambil apa jua riwayat yang mereka terima dan memasukkannya
antara yang awal dan akhir.
Kedua-dua
manhaj ini akhirnya menyebabkan di dalam kitab-kitab sejarah Ahl
al-Sunnah terdapat banyak kisah yang sangat dha‘if, maudhu’,
tokok tambah (exaggerate) dan tiada asal-usulnya. Pada waktu
yang sama seringkali ditemui riwayat yang berulang-ulang,
sebahagiannya bertentangan dengan sebahagian yang lain. Salah ‘Abd
al-Fattah al-Khalidi menulis:
Para ahli
sejarah Islam telah menulis himpunan riwayat yang banyak
dalam penulisan mereka. Mereka mencampurkan antara yang sahih dengan
yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan antara yang sahih
dari yang sebaliknya. Mereka juga tidak mengkaji darjat (takhrij)
riwayat-riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan
perawi-perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan riwayat-riwayat
tersebut secara bersanad. Mereka menyebut rawi-rawi bagi setiap
sanad. Sepertimana mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu,
pelbagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan
antara satu sama lain. Ini bukan bererti kehendak mereka ingin
berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya tetapi yang menjadi
tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang
menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap yang sampai kepada
mereka sama ada riwayat itu benar atau dusta, betul atau salah.
Lebih dari itu
merupakan suatu kebiasaan bagi para periwayat sejarah, penyampainya
dan pencatitnya untuk memberi tumpuan kepada peristiwa yang
berbentuk negatif daripada yang positif seperti perselisihan,
pertelingkahan dan perpecahan. Tumpuan ini menyebabkan di dalam
kitab-kitab sejarah terhimpun peristiwa-peristiwa yang berbentuk
negatif dalam jumlah yang banyak.
Seandainya
peristiwa-peristiwa ini dihimpun semuanya dan dianggap sahih, pasti
Islam tidak akan sampai kepada kita hari ini. Bahkan ia telah musnah
beberapa dekad selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam akibat perselisihan, pertelingkahan dan perpecahan yang
amat banyak tersebut. Yang benar peristiwa-peristiwa yang berbentuk
negatif tersebut hanyalah khabar yang disampaikan oleh para perawi
yang tidak ‘Adl dan
Dhabith
tetapi oleh mereka yang suka menokok tambah dan
berdusta.
Kelemahan-kelemahan kitab sejarah Ahl al-Sunnah ini
dimanfaatkan sepenuhnya oleh Syi‘ah di mana mereka akan
mencari di dalamnya peristiwa-peristiwa yang berbentuk tipu daya,
derhaka, khianat, zalim dan fitnah yang kononnya dilakukan oleh
generasi awal Ahl al-Sunnah ke atas ‘Ali, Fathimah, Hasan,
Husain dan lain-lain generasi Ahl al-Bait.
Tidak
ketinggalan, mereka juga akan mencari apa-apa kisah yang
mengkhabarkan perselisihan, pertelingkahan dan perpecahan untuk
dijadikan bukti bahawa generasi awal Ahl al-Sunnah sebenarnya
berada di dalam keadaan yang hiruk pikuk lagi berpecahan, kecuali
segelintir yang taat setia dan bersatu kepada ‘Ali dan kepimpinan
Ahl al-Baitnya. Pendek kata apa sahaja peristiwa yang berbentuk
negatif daripada generasi awal Ahl al-Sunnah akan mereka
kemukakan untuk dijadikan hujah tanpa mengkaji sanadnya mahupun
membandingkannya dengan peristiwa-peristiwa lain yang berbentuk
positif.
Oleh itu para
pembaca sekalian perlu berhati-hati dengan peristiwa-peristiwa
sejarah yang dikemukakan oleh Syi‘ah. Bahkan termasuk
peristiwa-peristiwa yang tercatit dalam buku-buku sejarah yang biasa
ditemui di pasaran dan buku teks sekolah. Apa-apa peristiwa sejarah
yang melibatkan persoalan hukum, peristiwa fitnah dan peribadi
sahabat tidak boleh diterima begitu sahaja atau dijadikan hujah
melainkan dipenuhi dua syarat berikut:
1.
Disemak darjat sanadnya.
2.
Dikaji konteks kejadiannya.
Bidang
Ilmu
Keempat:
Umum.
Bentuk rujukan
terakhir yang lazim disenaraikan oleh Syi‘ah ialah
kitab-kitab yang dikarang khas merujuk kepada perihal Ahl al-Bait.
Kitab-kitab ini didakwa oleh Syi‘ah sebagai hasil karangan
tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah. Akan tetapi pada analisa penulis
hanya sebahagian daripadanya yang merupakan karya tokoh Ahl al-Sunnah
yang tulen. Mereka menyusun kitab tersebut secara ikhlas dan jujur
bagi menerangkan keutamaan serta kemuliaan ‘Ali, Fathimah, Hasan dan
Husain dengan menghimpun hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam berkenaan mereka berempat.
Manakala dalam
sebahagian karya yang lain, wujud “cebisan” dan “serpihan” yang
mengisyaratkan bahawa pengarangnya adalah seorang Syi‘ah
tetapi dia berpura-pura (taqiyyah) sebagai seorang Ahl al-Sunnah.
Penulis tidak
akan membahas biografi tokoh-tokoh ini sama ada Ahl al-Sunnah
atau Syi‘ah kerana ia akan memerlukan perbahasan yang luas
lagi mendalam. Sebaliknya penulis akan memberi perhatian kepada
manhaj para tokoh ini dalam menyusun kitab mereka. Ini kerana, sama
ada Ahl al-Sunnah atau Syi‘ah, yang penting adalah
manhaj mereka dalam mengemukakan hujah.
Manhaj para
tokoh ini dalam menyusun kitab-kitab ini boleh dibahagikan kepada
dua kategori:
Kategori Pertama:
Mengeluarkan
hadis-hadis berkaitan Ahl
al-Bait dengan sanad yang lengkap. Akan tetapi sumber-sumber
dalam kategori ini yang lazim dijadikan rujukan oleh Syi‘ah
memiliki beberapa kekurangan di dalamnya, antaranya:
1. Pengarangnya
menggunakan syarat yang longgar (tasahul) dalam menyemak
sanad yang dikeluarkan sehingga terhimpun di dalam kitab mereka
hadis-hadis yang sahih, hasan dan dha‘if.
Hal ini mungkin
disengajakan kerana sememangnya menjadi manhaj sebahagian besar para
tokoh untuk mengenakan syarat yang longgar (tasahul) terhadap
hadis-hadis fadha’il (keutamaan). Walaubagaimanapun Syi‘ah
telah menggunakan hadis-hadis ini untuk membahas persoalan
kekhalifahan. Ini adalah tindakan yang salah kerana persoalan
kekhalifahan adalah urusan iktikad yang hanya boleh bersandar kepada
hadis yang jelas-jelas sahih sanadnya.
2. Jalan-jalan
periwayatan yang dikeluarkan, kebanyakannya berpangkal
kepada jalan yang sama sepertimana yang dikeluarkan oleh para ahli
hadis yang lain seperti Ahmad (241H), al-Tirmizi (279H), al-Nasa’i
(303H), al-Thabari (360H), al-Hakim (405H), al-Wahidi (468H) dan
lain-lain lagi. Oleh itu rujukan kepada kitab-kitab ini tidaklah
menghasilkan sesuatu yang baru ataupun sebagai penguat kepada
riwayat yang lain. Ingat: Diterima atau tidak sesebuah hadis diukur
berdasarkan kedudukan sanad dan matannya, bukan jumlah rujukan.
3. Selain
daripada poin pertama dan kedua di atas, dalam beberapa kes
pengarangnya mengeluarkan hadis dengan sanad yang terdiri daripada
perawi yang amat berat kecacatannya atau yang dikenali sengaja
berdusta. Kemungkinan besar kecacatan atau sifat dusta perawi
tersebut tidak sampai kepada pengetahuan pengarang.
4. Dalam
beberapa kes yang lain pula pengarang mengeluarkan hadis dengan
sanad yang terdiri daripada para perawi yang tidak ditemui status
al-Jarh wa al-Ta’dil mereka.
5. Lebih
memberatkan, pengarangnya sendiri tidak menerangkan darjat kekuatan
hadis yang dikeluarkannya sehingga terpaksa ditinggalkan riwayat
seumpama poin keempat di atas.
Terdapat 3 buah
kitab yang masyhur digunakan oleh Syi‘ah sebagai rujukan
dalam Kategori Pertama ini:
1. Manaqib
al-Imam ‘Ali bin Abi Thalib
susunan Abu Muhammad ‘Ali bin Muhammad, terkenal dengan gelaran Ibn
al-Maghazali (ابن
المغازلي).
Dalam sebuah riwayat beliau dilaporkan meninggal dunia pada tahun
336H manakala dalam sebuah riwayat yang lain: 356H.
2. Maqtal
al-Husain (مقتل
الحسين)
karya Abu al-Muayyid al-Mawaffiq (أبو
المؤيد الموفق)
bin Ahmad, terkenal dengan gelaran al-Khawarizmi (الخوارزمي).
Meninggal dunia pada tahun 568H. Kitab Maqtal al-Husain yang
ditulis oleh al-Khawarizmi terdiri daripada dua bahagian. Bahagian
pertama (jld. 1) menghimpun hadis-hadis tentang keutamaan Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam, diikuti dengan riwayat-riwayat
tentang keutamaan Khadijah isteri Rasulullah, 'Ali, Fathimah, Hasan
dan Husain radhiallahu 'anhum. Bahagian kedua pula (jld. 2)
menghimpun riwayat-riwayat sejarah tentang peristiwa pembunhan
Husain bin ‘Ali. Hadis-hadis dan riwayat-riwayat ini sebahagiannya
memiliki sanad manakala sebahagian lagi tanpa sanad.
3. Syawahid
al-Tanzil li Qaw‘id al-Tafdhil fi al-Ayat al-Nazilah fi Ahl al-Bait
Shalawatullahi wa Salamuhu‘alaihi
karya al-Hafiz ‘Ubaid Allah bin ‘Abd Allah bin Ahmad bin Muhammad,
juga dikenali sebagai al-Hakim al-Haskani rahimahullah.
Beliau meninggal dunia sekitar kurun ke 5 hijrah. Dalam kitabnya di
atas al-Hakim al-Haskani mengeluarkan hadis-hadis dan atsar para
sahabat serta tabi‘in berkenaan ayat-ayat al-Qur’an yang
diturunkan kepada Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum.
Kategori Kedua
Menghimpun
hadis-hadis berkaitan Ahl al-Bait daripada rujukan-rujukan
ahli hadis sebelum mereka seperti Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi
dan sebagainya. Hadis-hadis yang dihimpun ini adalah tanpa sanad
mahupun perbahasan darjat kekuatannya. Di sini mereka memilih
Manhaj Kelima dalam menyusun kitab mereka, iaitu:
Mengeluarkan
hadis di dalam kitab mereka sebagaimana yang telah dikeluarkan oleh
para ahli hadis berdasarkan manhaj 1, 2 dan 3 di atas. Akan tetapi
tidak disemak semula darjat hadis yang terkandung di dalam
kitab-kitab tersebut. Hadis-hadis dinukil sebagaimana sedia ada
tanpa komentar lanjut tentang darjatnya. Hal in berlaku sama ada
kerana tidak memiliki kemampuan atau kesempatan atau manhaj untuk
menyemak darjat hadis tersebut.
Di sini para
pembaca sekalian perlu berwaspada dengan strategi Syi‘ah yang
menyenaraikan rujukan-rujukan dalam kategori kedua ini sebagai bukti
kesahihan hadis atau kebenaran hujah. Padahal yang benar
pengarangnya bukanlah seorang ahli hadis. Mereka hanya “menukil”
hadis-hadis tanpa sanad, apatah lagi untuk membezakan antara yang
sahih atau tidak.
Berikut disalin
beberapa rujukan dalam Kategori Kedua yang masyhur
disenaraikan sebagai sumber rujukan oleh Syi‘ah:
1. Tazkirah
al-Khawwash (الخواص)
oleh Syams al-Din Yusuf bin Farghali (654H), cucu kepada Ibn al-Jauzi
(597H).
2. Mathalib
al-Su’ul fi Manaqib A-li al-Rasul
(مطالب
السؤول في مناقب آل الرسول)
oleh Kamal al-Din Muhammad bin Thalhah bin Muhammad, masyhur
dikenali sebagai Ibn Thalhah (652H).
3. al-Riyadh
al-Nadhirah fi Manaqib al-‘Asyrah
oleh Ahmad bin ‘Abd Allah, masyhur dengan gelaran Muhib al-Din al-Thabari
(694H).
4. Zakhair
al-Uqba fi Manaqib Zawi al-Qurba
juga oleh Muhib al-Din al-Thabari (694H).
5. al-Fushul
al-Muhimmah fi Ma’refah Ahwal al-Aimmah ‘alaihi salam
oleh Nur al-Din ‘Ali bin Muhammad bin Ahmad, terkenal dengan gelaran
Ibn al-Shabagh (855H).
6. Yanabi’
al-Mawaddah oleh Sulaiman
bin Ibrahim al-Qunduzi (1294H).
7. Nur
al-Abshar fi Manaqib A-li Bait al-Nabi al-Mukhtar
oleh Mu’min bin Hasan bin Mu’min al-Syablanji (الشبلنجي).
8. Fadha’il
al-Khamsah min al-Shahhah al-Sittah
oleh al-Husaini al-Fairuz Abadi.
9. al-Ithaf
bi Hubb al-Asyraf oleh
‘Abd Allah bin Muhammad al-Syabrawi.
Demikianlah
pengenalan ringkas kepada
bidang-bidang ilmu yang diwakili oleh rujukan-rujukan yang lazimnya
disenaraikan oleh Syi‘ah. Ringkasnya setiap bidang ilmu
memiliki manhaj penyusunan kitab yang tersendiri. Strategi Syi‘ah
menyenaraikan jumlah rujukan Ahl al-Sunnah sebagai bukti
kebenaran hujah adalah strategi yang dibatalkan oleh rujukan-rujukan
itu sendiri. Yang benar kebenaran hujah tidak diukur dengan jumlah
rujukan tetapi hujah yang terkandung di dalam rujukan itu sendiri.
Strategi
mudah kepada para pembaca:
-
Seandainya
rujukan-rujukan tersebut benar-benar membicara dan menetapkan
kedudukan khalifah kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya,
radhiallahu 'anhum, bagaimana mungkin dikatakan bahawa ia
adalah sumber rujukan Ahl al-Sunnah ? Ia sepatutnya
dikategorikan sebagai sumber rujukan Syi‘ah.
Asas Keempat