Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian II   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9:10:11:12:13

13 Bolehkah Solat-solat Fardhu Diqadha ?

Bab ini khusus membicarakan perihal mengqadha solat dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Ia bertujuan agar dapat memberikan kefahaman yang sebenar dari ajaran syari'at al-Qur'an dan as-Sunnah mengenai apakah itu qadha solat dan atas sebab-sebab apakah seseorang itu dibolehkan mengqadha solatnya. Bab ini dirasakan penting kerana ada segelintir yang membuat fatwa peribadi bahawa solat itu boleh diqadha sahaja jikalau berhadapan dengan sebarang bentuk kesukaran atau keuzuran tidak kira sekecil mana dua faktor penghalang tersebut. Lebih mengeruhkan suasana ialah perbuatan menangguhkan solat fardhu ke waktu yang lain dengan alasan ia boleh diqadha sahaja semata-mata kerana sibuk di gedung beli-belah atau khusyu' di stadium bolasepak.

Solat adalah satu perintah agama yang mempunyai pengkhususan tempoh perlaksanaannya. Ia mempunyai waktu-waktu yang telah sedia diatur dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala, iaitu melalui firmanNya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [Maksud surah an-Nisaa' 4 - 103]. Apabila perintah ibadah solat itu dilaksanakan dalam waktunya, ia digelar sebagai al-adaa' manakala apabila solat itu dilaksanakan di luar waktunya ia digelar sebagai al-qadha. Secara lebih mendalam, qadha didefinasikan sebagai - Melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas dari waktunya atau melakukan solat selepas dari waktunya yang telah ditetapkan.[1] 

Sebab-sebab Membolehkan Solat Diqadha.

Al-Qur'an dan as-Sunnah sememangnya ada mengajar kita tentang perihal menunaikan solat-solat fardhu di luar waktu yang ditetapkan. Akan tetapi kebolehan ini hanya atas beberapa sebab yang juga telah dijelaskan secara terperinci oleh kedua sumber syari'at tersebut, iaitu:

1.     Apabila seseorang itu tertidur sehingga luput waktu solatnya.

2.     Apabila seseorang itu terlupa sehingga luput waktu solatnya.

3.     Apabila tersilap kiraan waktu solat sehingga terluput waktu yang sebenarnya.

4.     Apabila seseorang itu berhadapan dengan situasi darurat sehingga terluput waktu solatnya.

Demikianlah sahaja empat faktor yang dibolehkan bagi seseorang itu tidak mendirikan solat-solatnya yang fardhu lalu kemudian diqadhakannya di lain waktu.[2] Tertidur dan terlupa adalah suasana yang dimaafkan bagi seseorang yang tidak solat di waktunya lalu diqadhakan dalam waktu yang lain apabila dia terjaga atau teringat, berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:

Barangsiapa lupa untuk solat atau tertidur, hendaklah dia menunaikan ia apabila teringat. Tidak ada hukuman selain dari itu.[3]

Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga telah bersabda dalam satu hadith yang lain: Sebenarnya tidak ada kecuaian dalam masa tidur, kecuaian hanya berlaku dalam masa sedar. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang terlupa solat atau tertidur hendaklah menunaikannya apabila dia teringat, kerana Allah Ta'ala telah berfirman: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku." [4]

Kedua-dua sebab di atas diberikan kemaafan oleh syari'at kerana ia adalah bentuk keuzuran manusia yang diluar kemampuannya. Akan tetapi kemaafan ini tidaklah diberikan kepada mereka yang sengaja lagi sedar bertujuan berbuat sedemikian. Contohnya orang yang sengaja tidur di akhir waktu solat padahal dia masih belum solat maka dia dipandang sebagai berdosa besar kerana sengaja mencari helah untuk tidak solat. Demikian juga hukum yang sama bagi orang yang sengaja menyibukkan dirinya dengan sesuatu yang sememangnya akan membawa kepada kelupaan seperti sengaja mengasyikkan diri dengan permainan sukan di akhir waktu solat sehingga tertinggal solatnya itu. Perbuatan sebegini membawa bebanan dosa yang amat besar ke atas orang itu dan dia selain wajib mengqadha solat tersebut, dituntut agar segera bertaubat dan memperbetulkan dirinya.

Termasuk dalam kategori orang yang tertidur, melalui kaedah qiyas, ialah orang yang pitam atau pengsan. Maka bagi mereka dimaafkan solat yang tertinggal itu akan tetapi apabila sedar semula wajib diqadha bilangan solat yang tertinggal. Akan tetapi dimaafkan secara terus orang yang diserang penyakit gila atau koma, di mana kedua ini adalah sejenis keuzuran yang berpanjangan dan orang yang menghadapi suasana ini diangkat darinya sebarang kewajipan agama, seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Orang yang menghadapi kondisi ini tidak perlu mengqadha solat yang tertinggal selama tempoh dia sedang gila atau koma. Walaubagaimanapun perlu dibezakan antara gila kerana penyakit atau gila kerana mabuk; di mana gila kerana mabuk adalah perbuatan sengaja manusia itu sendiri dan dia tetap diwajibkan mengqadha semula solat yang tertinggal apabila waras kembali.[5]

Kategori ketiga yang membolehkan solat diqadha ialah apabila seseorang itu  tersilap dalam kiraan waktu solatnya. Contohnya ialah apabila seseorang yang bermusafir ke negara lain lalu tersilap dalam menentukan zon waktu negara tersebut, kemudian dengan itu disangkanya bahawa waktu solat itu masih hadir padahal sudah luput maka bagi dia tiada kesalahan kecuali tetap menunaikan solat tersebut secara qadha. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Maksud surah al-Ahzab 33 - 05] dan juga sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Sesungguhnya Allah telah memaafkan kerana aku, kesilapan dan kelupaan dari umat aku serta apa yang mereka lakukan kerana dipaksa.[6]

Kategori keempat yang membolehkan solat fardhu ditunda dari waktunya yang asal ialah dalam suasana darurat. Darurat ialah satu kondisi yang melibatkan keselamatan nyawa dan anggota seseorang itu atau orang-orang di bawah amanahnya (Life and Death situation). Dari sudut syari'ah ianya didefinasikan sebagai - Darurat itu ialah datangnya keadaan bahaya atau kesulitan yang amat berat kepada diri manusia, yang membuatkan dirinya kuatir akan terjadinya kerosakan atau sesuatu yang menyakiti jiwa, anggota badan kehormatan, akal harta dan yang bertalian dengannya.  

Ketika ini boleh atau tidak harus mengerjakan yang diharamkan atau meninggalkan yang diwajibkan atau menunda waktu perlaksanaan guna bagi menghindari kemudaratan yang diperkira dapat menimpa dirinya selama tidak keluar dari syarat-syarat yang ditentukan syara'. [7]

Dalil yang membolehkan suasana darurat sebagai faktor membolehkan penundaan kewajipan solat dari waktunya ialah peristiwa yang berlaku di ketika Perang Khandak, di mana Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan para muslimin sekalian sedang berada di kegentingan peperangan mempertahankan Kota Madinah dari serangan musuh sehingga tidak berkesempatan untuk mendirikan solat Asar. Maka apabila serang musuh yang bertubi-tubi itu reda di waktu Maghrib, barulah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam serta orang ramai berkesempatan untuk menunaikan solat Asar mereka, diikuti dengan solat Maghrib.

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menceritakan: Di ketika Perang Khandak Umar al-Khattab menyumpah-marah kaum kafir Quraish di ketika matahari sudah terbenam lalu berkata: Ya Rasulullah ! Saya tidak sempat mendirikan solat Asar dan matahari sudahpun turun ! Nabi sallallahu-alaihi-wasallam berkata: Demi Allah ! Aku juga belum solat ! Dengan itu kami turun ke Buthan (perigi air - P) dan Nabi berwudhu' dan kami juga berwudhu' dan kemudian kami mendirikan solat Asar setelah matahari terbenam diikuti dengan solat Maghrib.[8]

Maka dari hadith dan peristiwa di atas para ahli fiqh bersepakat menyatakan bahawa kondisi yang membolehkan seseorang itu menundakan solatnya ke waktu yang lain apabila dia berada dalam keadaan sedar ialah kondisi darurat sahaja. Diulangi bahawa darurat itu ialah suasana yang membahayakan nyawa seseorang itu atau mana-mana anggota tubuh badannya. Adapun keuzuran atau apa-apa halangan lain yang tidak membahayakan nyawa dan anggota maka ia tidaklah membawa kepada kelonggaran hukum mengqadhakan solat, sepertimana yang akan dihuraikan di bawah nanti.

Tertib Mengqadha Solat.

Solat-solat yang terluput dari waktunya wajib didirikan semula secepat mungkin apabila teringat dan sedar dari kondisi terdahulu kecuali ada sebab tulen yang menghalang seperti terikat dengan suasana cuaca buruk, amanah berat dan tanggung-jawab yang tidak dapat ditangguhkan. Solat yang tertunda juga wajib diqadha secara berturut dan bergiliran, tidak dengan pilihan yang rambang. Maksudnya ialah orang yang tertidur sehingga luput solat Asarnya dan kemudian terjaga di waktu solat Maghrib maka bagi dia ialah menunaikan solat Asar dahulu kemudian diikuti oleh solat Maghrib. Demikian juga kaedahnya bagi orang yang tertinggal beberapa solat sekali-gus, dia wajib mengqadhakan solatnya itu mengikut giliran dan turutan kemudian barulah mendirikan solatnya yang hadir. Kewajipan ini didasarkan kepada hadith di atas mengenai peristiwa Perang Khandak di mana Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila terhalang solat Asarnya sehingga masuk waktu Maghrib, beliau mengqadha solat Asar itu terlebih dahulu kemudian baru diikuti oleh solat Maghrib.

 Walaubagaimanapun kewajipan ini, berdasarkan ijtihad para fuqaha[9], dilonggarkan dalam beberapa suasana, iaitu -

1.     Apabila waktu solat yang hadir hampir berakhir maka diharuskan mendirikan solat yang hadir dahulu kemudian diikuti oleh solat yang hendak diqadha.

2.     Apabila sedang solat lalu tiba-tiba baru teringat akan solat yang tertinggal maka dibolehkan meneruskan solat itu sehingga akhir kemudian disusuli dengan solat yang perlu diqadha itu.

3.     Apabila solat yang perlu diqadha itu melebihi solat sehari, iaitu melebih 5 waktu maka dilonggarkan kewajipan mengqadhanya mengikut turutan akan tetapi tetap wajib diqadhakannya secepat mungkin.

Disini perlu diperbetulkan perbuatan sesetengah yang memilih-milih secara rambang tentang bilakah dia akan mengqadha solat yang tertinggal dan mengikut suka hati solat apa yang hendak diqadhakan dahulu. Sumber-sumber nas jelas menerangkan bahawa solat adalah ibadah tunggak seorang muslim dan apabila tertinggal ia wajib diqadha secepat mungkin menurut turutan dan gilirannya. Adapun memilih-milih sesuka hati bilakah akan diqadha solat yang tertinggal dipandang sebagai satu perbuatan meremahkan solat dan mempermainkan tanggung-jawabnya terhadap Allah Azza waJalla dan orang sebegini dituntut agar segara bertaubat dan memperbetulkan perbuatannya itu.

Keuzuran yang Menghalang Solat.

Uzur ialah keadaan bukan kebiasaan yang sukar, sempit, sulit dan susah yang dihadapi oleh seseorang sehingga menyebabkan dia terhalang daripada dapat menyempurnakan keseluruhan tuntutan syari'at Islam. Keuzuran itu adalah berat tetapi tidak sehingga ke tahap mendatangkan kebinasaan jiwa atau anggota. Dalam ertikata lain uzur ialah kesusahan yang satu tingkat di bawah darurat.[10]  Keuzuran dalam konteks perlaksanaan solat ialah suasana-suasana sukar, sulit dan susah yang menghalang seseorang itu daripada dapat mendirikan solatnya secara sempurna lagi tepat. Apabila berhadapan dengan suasana sebegini, syari'at Islam memberikan beberapa kelonggaran hukum kepada orang yang dibebani dengan keuzuran itu tetapi syari'at tidak mengangkat kewajipan solat dari orang tersebut, lelaki mahupun wanita.

Contohnya orang yang menghadapi kesukaran mencari arah qiblat dibolehkan bersolat ke arah yang dijangkanya paling tepat, orang yang sakit dibolehkan solat secara duduk atau baring dan orang yang solat dalam kenderaan juga dibolehkan solat di atas kerusi duduk asalnya jikalau bimbangkan keselamatan diri. Kesemua ini tergolong dalam kelonggaran hukum yang diberikan oleh as-Syari'at tetapi mereka semua tetap diwajibkan mendirikan solat tersebut dalam waktunya yang ditetapkan. Apabila seseorang itu benar-benar menghadapi suasana keuzuran seperti ini dan tiada pilihan lain untuk dia, maka solat yang didirikannya itu sekalipun tidak sempurna syarat-syarat dan rukun-rukunnya, ia tetap dikira sah dan tidak wajib diqadha semula apabila suasana kembali normal. Hanya sebahagian dari ulama'-ulama' Mazhab Shafie yang menyarankan supaya solat tersebut diqadha semula atas dasar hati-hati dan mengambil pilihan yang lebih selamat.

As-Syari'at tidak membenarkan sama sekali umat Islam menangguhkan solatnya ke  waktu lain atas alasan akan mengqadhanya kerana apa-apa sebab sekalipun kecuali darurat, iaitu satu suasana yang melibatkan ancaman bahaya ke atas nyawa atau anggota, samada kepada dirinya atau atas tanggungannya. Contoh orang yang berada dalam suasana darurat ialah perajurit yang berada di medan peperangan sengit, seorang bidan yang sedang menguruskan kelahiran anak di waktu yang sempit seperti di pagi subuh, seorang doktor yang sedang menjalankan pembedahan genting dan seorang juruterbang pesawat yang menghadapi suasana kecemasan. Apabila bersemuka dengan kondisi sebegini atau yang seumpama, seseorang itu dibolehkan untuk menunda solatnya ke waktu lain dengan cara mengqadhanya.

Akan tetapi, sekalipun berhadapan dengan suasana darurat lagi membahayakan, seseorang itu dituntut agar mencari alternatif lain untuk tetap bersolat, seperti mencari bidan lain sebagai pengganti, bergilir-gilir di medan pertempuran dan sebagainya. Selain itu suasana bahaya yang dihadapi adalah suasana yang benar-benar kritikal lagi merbahaya, bukan sekadar takut-takut atau risau-risau. Ini mengingatkan kepada perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabatnya yang tetap bersolat apabila berada hampir di sempadan peperangan. Mereka solat secara berjamaah dengan sekelompok bersolat manakala sekelompok lagi bersiap sedia menghadapi musuh.[11]

Daripada keterangan-keterangan di atas, ingin dinyalakan perhatian kepada para pembaca sekalian bahawa solat-solat yang fardhu 5 kali sehari ialah satu perintah wajib agama yang tidak boleh ditinggalkan sama-sekali kecuali atas beberapa suasana yang dikecualikan oleh agama. Suasana itu ialah tertidur, terpitam, terpengsan, terlupa, tersilap, gila, koma dan suasana darurat. Selain dari suasana-suasana di atas seseorang itu tetap diwajibkan melaksanakan solat-solat fardhunya. Sekalipun berhadapan dengan apa jua kesukaran, kesempitan, kesulitan atau kesusahan, dia tetap wajib melaksanakan solat-solat fardhunya dalam waktu yang ditetapkan. Tidak boleh menundanya ke waktu terkemudian atas alasan akan mengqadhanya. Syari'at Islam tidak pernah memberikan kemaafan untuk tidak bersolat dalam suasana kesusahan tetapi ia memberikan berbagai kelonggaran hukum dan kaedah pilihan bagi setiap orang untuk tetap mendirikan solat, dan hukum yang diperlonggarkan itu adalah selari dengan kadar kesulitan yang dihadapi oleh setiap individu dalam setiap masa yang tertentu. Ini semua dilakukan supaya umat tetap berkebolehan untuk melaksanakan solat-solat fardhunya dalam masa yang ditetapkan.

Oleh itu perlu dijelaskan bahawa perbuatan sebahagian kecil yang pantas mengambil jalan mudah untuk mengqadha sahaja solat apabila bersemuka dengan apa-apa kesulitan adalah perbuatan yang menyalahi ajaran Islam dan roh tuntutan as-solat itu sendiri. Perbuatan sebegini perlu dihentikan serta-merta dan dijadikan daya keinsafan agar tetap mendirikan solat dalam waktunya sekalipun berhadapan dengan apa jua kesukaran. Berbagai kelonggaran hukum telah diberikan oleh syari'at Islam, oleh itu tuntutlah ilmu agar dapat mengenal pasti apakah kelonggaran itu dan supaya ia dapat diamal-guna oleh diri empunya apabila suasana dan kondisi menjemput.

Sebenarnya jikalau kita benar-benar merenungi halangan atau keuzuran yang melintas dihadapan kita dalam usaha melaksanakan perintah Allah Azza waJalla, ianya tidaklah sebesar mana atau sesukar mana. Lumrah manusia ialah apabila sahaja dia berhadapan dengan sesuatu yang lain dari kebiasaan, berbagai bukit dan gunung tiba-tiba sahaja muncul merintanginya. Padahal bukit dan gunung itu tidak lain hanyalah imaginasinya sendiri. Dalam suasana mendirikan ibadah, kita selalu menghadapi berbagai rintangan yang semuanya hanyalah imaginasi kita sendiri dan juga bisikan-bisikan syaitan iblis di celah-celah nafsu diri. Ini semua mudah sahaja ditepis jikalau kita yakin akan kehadiran Allah Subhanahu waTa'ala yang sentiasa akan menolong kita dalam apa jua masalah atau kesukaran. Allah Subhanahu waTa'ala menjanjikan hal ini dengan firmanNya: Oleh itu ingatilah Aku, (nescaya) Aku akan mengingati kamu. [Maksud surah al-Baqarah 02 - 152]

Allah Subhanahu waTa'ala juga menjanjikan kesenangan dan kemudahan kepada orang yang bertawakkal kepadaNya dalam rangka tujuan dia beramal ibadah kepadaNya, dengan firmanNya:  Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya disisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. [Maksud surah al-Baqarah 02 - 112]

Begitu juga kemudahan yang Allah Azza waJalla janjikan kepada orang-orang yang bertaqwa kepadaNya dan benar-benar berusaha memelihara ketaqwaannya, melalui firmanNya yang bermaksud:  Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi pengingatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).  [Maksud Surah at-Talaaq: 65 - 02]

Daripada janji-janji Allah Azza waJalla ini berkeyakinanlah bahawa apa sahaja kesukaran atau keuzuran yang kita hadapi dalam usaha untuk menunaikan ibadah solat, tentu sahaja akan dipermudahkan oleh Allah apabila kita benar bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Sebaliknya jikalau kita banyak berdalih atau beralasan atau berkeberatan, maka dengan tersangat pantas akan tibalah syaitan iblis dan kuncu-kuncunya menolong dan membantu kita agar tidak bersolat atau dibisikkan sahaja kepada kita untuk menangguhnya ke waktu yang lain. Oleh itu tetapkanlah pendirian hati bahawa kita akan bersolat tidak kira apa atau bagaimana rintangannya, nescaya apa yang kita cita-citakan itu mudah tercapai dengan pertolongan dan petunjuk Allah Subhanahu waTa'ala.

Solat Hormati Waktu.

Seperkara lain yang perlu ditegakkan di sini ialah berkenaan pendapat sesetengah di tanah air yang mengharuskan seseorang itu bersolat dalam suasana kesukaran atau kesulitan dengan cara solat hormati masa atau solat mengingati waktu ; iaitu seseorang itu hanyalah dituntut bersolat fardhu secara ala kadar dalam waktunya yang hadir tetapi solatnya itu hanya akan menjadi sah apabila dia mengqadhanya kembali di lain masa apabila hilang kesukaran tersebut. Contohnya bagi seseorang yang tidak dapat menghadap qiblat dalam pesawat terbang, dia dianjurkan untuk melaksanakan solat secara hormati waktu kemudian apabila telah tiba di destinasi atau pulang ke rumah dia dituntut mengqadha kembali solat tersebut. Solat yang pertama itu hanyalah dikira sebagai sementara manakala solat yang sebenar ialah apabila dia mengqadhanya di kemudian masa.

Dalam kajian serta analisa penulis, teori ini atau apa jua yang seumpama tidak ditemui mana-mana dalilnya samada secara langsung atau tidak langsung (qiyas) daripada sumber-sumber nas samada al-Qur'an mahupun as-Sunnah atau dari mana-mana kitab fiqh muktabar dahulu dan sekarang. Ia juga bertentangan dengan keseluruhan tuntutan syari'at yang mewajibkan seseorang itu tetap mendirikan solat fardhunya dalam apa jua suasana dan kondisi kecuali darurat yang melibatkan keselamatan nyawa anggota badan. Memberikan alternatif mengqadha solat dengan sewenang-wenangnya adalah satu ajaran yang bercanggah dengan syari'at dan akhirnya hanya akan menjemput kepada perbuatan meremeh-remehkan agama itu sendiri apatah lagi ibadah solat yang merupakan tiang utama agama Islam.

 Seandainya solat hormati waktu itu wujud sudah tentu baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam akan mengajarnya kepada para sahabat di ketika menghadapi suasana kegentingan peperangan tetapi yang jelas mereka semua tetap mendirikan solat fardhu selengkap mungkin tanpa mengqadhanya di lain masa. Apakah bandingannya solat berhadapan dengan senjata musuh dengan solat di dalam kenderaan yang serba selesa lagi berhawa dingin ? Sudah tentu tiada bandingan dan sudah tentu tiada alasan untuk kita mengamalkan teori solat hormati waktu dan mengqadhanya pula di lain masa. Akhir kata nasihat penulis kepada para pembaca budiman sekalian ialah tetapkanlah keazaman dan kesungguhan diri untuk tetap melaksanakan solat fardhu sesempurna mungkin tidak kira apajua kesukaran yang ditempohi dan janganlah difikir-fikirkan teori solat hormati waktu itu atau apa jua yang seumpama.

 

Kesimpulan

1.     Apabila seseorang itu tertinggal solat dari waktunya atas sebab-sebab yang di luar kawalan atau kesedarannya, maka dia tidak dihukum apa-apa kecuali wajib mendirikan semula solat tersebut apabila sahaja teringat. Boleh juga menangguhkan solat sehingga ke waktu lain apabila seseorang itu menghadapi suasana darurat yang membahayakan kehidupan. Mendirikan solat di luar waktunya digelar sebagai mengqadha solat.

2.     Solat-solat yang tertinggal hendaklah didirikan semula secara qadha mengikut tertib dan turutannya.

3.     Apabila seseorang itu menghadapi kesulitan atau kesukaran untuk menyempurnakan solatnya secara lengkap mengikut setiap hukum dan rukunnya, dia tetap diwajibkan mendirikan solat tersebut pada waktunya. Syari'at Islam memberi pelbagai kelonggaran hukum bagi kes seperti ini tetapi ia tidak mengangkat kewajipan solat tersebut daripada dilaksanakan tetap pada waktunya.

4.     Tidak wujud sebarang dalil atau penerangan dari al-Qur'an atau as-Sunnah mengenai kaedah solat hormati masa atau apa-apa yang seumpama.


 

[1]              Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/144.

[2]              Sesetengah pendapat lain menambah dua lagi kategori bagi orang yang wajib qadha solat, iaitu orang Islam yang murtad kemudian kembali semula memeluk Islam dan kedua, orang Islam yang melalaikan solat lalu kemudian bertaubat di hari tuanya, maka dia wajib mengqadha semua solat-solat fardhu yang tertinggal sejak akil baligh sehingga hari dia bertaubat. Kedua-dua pendapat ini tidak mempunyai dalil kuat untuk menyokongnya dan lemah pula jikalau dibanding dengan dalil-dalil yang lain.

[3]              Maksud hadith dari Anas bin Malik radiallahu-anhu, riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Misykat al-Masabih, 3/181/046.

[4]              Maksud hadith dari Qatadah radiallahu-anhu riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih, 3/181/047.

[5]              Huraian yang lengkap, lihat Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/145-151 dan Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzhibil Arba'ah, 2/248-253.

[6]              Maksud hadith dari Abu Dzarr al-Ghaifiri dan Abdullah ibnu Abbas, diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim, at-Thabrani dan ad-Daruquthni; dinilai sebagai hadith hasan oleh Imam an-Nawawi sebagaimana dinyatakan oleh Imam as-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Nazha'ir, ms 166.

[7]              Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Nazhariyah al-Dlarurah al-Syari'ah, ms 72

[8]              Maksud hadith dari Sahih Bukhari 1/ 570 dan 2/560.

[9]              Huraian yang lengkap, lihat Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/154-159 dan Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzhibil Arba'ah, 2/253-256.

[10]            Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Nazhariyah al-Dlarurah al-Syari'ah, ms 268.

[11]            Ini digelar Solat Khauf dan ia disyari'atkan dengan turunnya ayat 102 dari surah an-Nisaa' selepas peristiwa Perang Khandak. Terdapat perbincangan yang mendalam di kalangan ahli-ahli ilmuan samada pengsyari'atan solat Khauf ini membatalkan kebolehan untuk tidak bersolat dalam suasana darurat. Pendapat yang terpilih ialah pendapat yang dipertengahan iaitu seharusnya bersolat secara solat Khauf dikala peperangan akan tetapi apabila suasana menjadi tersangat genting maka dibolehkan menangguh solat itu atas dasar darurat. Ini lebih mendekati kebenaran memandangkan setiap pasukan atau individu itu mempunyai tahap keutuhan diri yang berbeza-beza antara satu sama lain. Lihat dan kaji seterusnya dalam bab ini serta berbagai kaedah melaksanakan solat Khauf  dalam mana-mana kitab fiqh muktabar.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan