Jawapan:[1]

Bagi menjawab soalan ini, marilah kita mengkaji beberapa hadis yang seolah-olah menunjukkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdoa secara berjemaah. Maksud doa secara jemaah ialah doa itu dipimpin atau diimami oleh seseorang sementara orang ramai mengangkat kedua tangan dan mengaminkannya.

 

Hadis # 1: Qunut Nazilah

Disunnahkan qunut nazilah bagi mendoakan keselamatan umat Islam yang dizalimi dan kehancuran ke atas musuh Islam yang menzalimi itu. Qunut nazilah dilaksanakan dalam solat-solat fardhu, baik berseorangan mahupun berjemaah, pada rakaat terakhir setelah iktidal sebelum turun sujud. Qunut nazilah dibaca hanya apabila perlu, dibaca secara kuat (jahr) dalam bahasa Arab oleh imam jika solat berjemaah dan diaminkan oleh makmum.

Terdapat banyak hadis yang menerangkan qunut nazilah oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, salah satu daripadanya adalah sebagaimana keterangan ‘Abdullah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma,

قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلَاةِ الصُّبْحِ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَهُ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah qunut selama sebulan, berturut-turut dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh pada akhir setiap solat, yakni (setelah membaca) “Sami Allahu liman hamidah” pada rakaat terakhir. Baginda mendoakan kehancuran ke atas perkampungan Bani Sulaim, Ri’li dan Zakwan, lalu diaminkan oleh para jemaah di belakangnya.[2]

Hadis # 2: Doa Khutbah Jumaat

عَنْ عُمَارَةَ بْنِ رُؤَيْبَةَ قَالَ: رَأَى بِشْرَ بْنَ مَرْوَانَ عَلَى الْمِنْبَرِ رَافِعًا يَدَيْهِ فَقَالَ قَبَّحَ اللَّهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ!

Daripada ‘Umarah bin Ru’aibah, dia berkata, “Aku melihat Bisyir bin Marwan (berdoa) di atas mimbar dengan mengangkat kedua tangannya.” Maka dia berkata, “Semoga Allah memburukkan kedua tangan itu!

لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ.

Demi sesunguhnya aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (apabila berdoa di atas mimbar) tidak menambah apa-apa setelah memberi isyarat dengan jarinya.” Lalu ‘Umarah mengisyaratkan dengan jari telunjuknya.”[3]

Dalam hadis di atas, seorang sahabat Rasulullah bernama ‘Umarah bin Ru’aibah radhiallahu 'anh menegur khatib yang berdoa di atas mimbar dengan mengangkat kedua tangannya. Perkara ini berlaku selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau menjelaskan bahawa Rasulullah apabila berdoa di atas mimbar ketika khutbah, tidak mengangkat kedua tangannya melainkan memberi isyarat dengan jari telunjuk sahaja.

Hadis ini walaupun berbicara tentang kedudukan tangan khatib, menunjukkan bahawa Rasulullah pernah berdoa apabila di atas mimbar ketika khutbah.

Penjelasan Tambahan: Hadis ini mengajar kita apabila khatib berdoa di atas mimbar ketika khutbah, tidak disunnahkan mengangkat kedua tangan, baik bagi khatib mahupun para jemaah. Demikian juga, tidak disunnahkan bagi para jemaah menyebut “amin” secara kuat apabila khatib berdoa. Hendaklah menyebut “amin” dalam diri sendiri atau tanpa mengeluarkan suara (sirr). Ini kerana ketika khatib berkhutbah, termasuk berdoa semasa khutbah, para jemaah hendaklah diam dan memberi perhatian sepenuhnya. Tentang ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا.

Sesiapa yang mengambil wudhu’ lalu memperbaguskan wudhu’nya, kemudian datang menghadiri solat Jumaat lalu mendengar khutbah serta diam (memberi perhatian sepenuhnya), diampunkan baginya (dosa-dosa) di antara Jumaat itu dan Jumaat akan datang serta ditambah tiga hari lagi. Sementara sesiapa yang bermain-main kerikil (ketika khutbah), maka dia telah melakukan perkara sia-sia (yang mengurangi pahala Jumaatnya).[4]

 

Hadis # 3: Solat Istisqa’

Apabila musim kemarau melanda, disunnahkan melaksanakan solat sunat Istisqa’. Solat ini dilaksanakan di tempat terbuka, sebanyak 2 rakaat dengan bacaan yang kuat (jahr) dan tidak didahului oleh azan mahupun iqamat. Pada rakaat pertama terdapat tujuh takbir sementara pada rakaat kedua terdapat lima takbir, seperti mana solat Hari Raya. Khutbah dan doa meminta hujan boleh dilakukan sebelum atau selepas solat Istisqa’. ‘A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan,

شَكَا النَّاسُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُحُوطَ الْمَطَرِ فَأَمَرَ بِمِنْبَرٍ فَوُضِعَ لَهُ فِي الْمُصَلَّى وَوَعَدَ النَّاسَ يَوْمًا يَخْرُجُونَ فِيهِ.

Orang ramai merungut kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai ketiadaan hujan. Maka baginda memerintahkan agar disiapkan sebuah mimbar dan diletakkan di tanah lapang (untuk dikerjakan solat secara berjemaah) dan ditetapkan kepada orang ramai satu hari untuk keluar bersama-sama (bagi mengerjakan solat berjemaah).

فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ بَدَا حَاجِبُ الشَّمْسِ فَقَعَدَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَكَبَّرَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَمِدَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ قَالَ:

Maka (pada hari yang telah dijanjikan) baginda keluar, saat itu matahari sudah mula kelihatan, lalu duduk di atas mimbar. Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bertakbir serta memuji Allah ‘Azza wa Jalla lalu bersabda:

إِنَّكُمْ شَكَوْتُمْ جَدْبَ دِيَارِكُمْ وَاسْتِئْخَارَ الْمَطَرِ عَنْ إِبَّانِ زَمَانِهِ عَنْكُمْ وَقَدْ أَمَرَكُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ تَدْعُوهُ وَوَعَدَكُمْ أَنْ يَسْتَجِيبَ لَكُمْ.

“Sesungguhnya kalian merungut sebab keringnya daerah kalian dan kelewatan hujan daripada musimnya yang lazim bagi kalian, sedangkan Allah ‘Azza wa Jalla telah memerintah kalian agar berdoa dan berjanji kepada kalian bahawa Dia akan memakbulkan kepada kalian.”

ثُمَّ قَالَ ((الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ)) لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ.

Kemudian baginda berdoa, “Segala puji bagi Allah, Rabb sekian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Raja pada Hari Pembalasan. (al-Fatihah 1:1-3) Tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan berbuat apa yang dikehendaki-Nya.

اللَّهُمَّ أَنْتَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْغَنِيُّ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ لَنَا قُوَّةً وَبَلَاغًا إِلَى حِينٍ.

Ya Allah, Engkaulah Allah, tiada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang Maha Kaya sementara kami amat memerlukan. Turunkanlah ke atas kami hujan dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu sumber kekuatan serta bekalan kehidupan bagi kami sehingga ke masanya (yang Engkau tentukan).”

ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَلَمْ يَزَلْ فِي الرَّفْعِ حَتَّى بَدَا بَيَاضُ إِبِطَيْهِ ثُمَّ حَوَّلَ إِلَى النَّاسِ ظَهْرَهُ وَقَلَبَ أَوْ حَوَّلَ رِدَاءَهُ وَهُوَ رَافِعٌ يَدَيْهِ.

Kemudian baginda mengangkat kedua tangannya dan berterusan mengangkatnya (kerana membaca doa itu berulang kali) sehingga kelihatan keputihan ketiaknya. Kemudian baginda berpusing membelakangi orang ramai (kerana menghadap kiblat) dan mengalih atau memusing selendangnya sementara tetap (berdoa) mengangkat kedua tangannya.

ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ وَنَزَلَ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ.

Kemudian baginda berpusing menghadap orang ramai dan turun dari mimbar dan solat dua rakaat.[5]

فَأَنْشَأَ اللَّهُ سَحَابَةً فَرَعَدَتْ وَبَرَقَتْ ثُمَّ أَمْطَرَتْ بِإِذْنِ اللَّهِ.

Maka Allah menjadikan awan mula berkumpul, diikuti dengan guruh dan petir, kemudian turunlah hujan dengan izin Allah.

فَلَمْ يَأْتِ مَسْجِدَهُ حَتَّى سَالَتْ السُّيُولُ فَلَمَّا رَأَى سُرْعَتَهُمْ إِلَى الْكِنِّ ضَحِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ فَقَالَ: أَشْهَدُ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنِّي عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ.

Baginda tidak kembali ke masjid sehinggalah air banyak mula mengalir (di jalan-jalan). Tatkala baginda melihat orang ramai berlumba-lumba mencari tempat berteduh, baginda shallallahu 'alaihi wasallam ketawa sehingga ternampak gigi gerahamnya. Maka baginda bersabda, “Aku bersaksi bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawasanya aku adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.”[6]

Berdoa meminta hujan boleh juga dilakukan tanpa solat sunat 2 rakaat. Anas bin Malik radhiallahu 'anh menceritakan,

أَصَابَتْ النَّاسَ سَنَةٌ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ قَامَ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ:

Pernah pada satu tahun pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, orang ramai pernah ditimpa musibah (kemarau panjang). Maka ketika Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sedang berkhutbah sempena solat Jumaat, seorang Arab Badwi berdiri lantas berkata,

يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكَ الْمَالُ وَجَاعَ الْعِيَالُ فَادْعُ اللَّهَ لَنَا!

Wahai Rasulullah, harta benda telah binasa sementara kaum keluarga kebuluran (kerana kemarau yang panjang). Maka berdoalah kepada Allah untuk kami!

فَرَفَعَ يَدَيْهِ وَمَا نَرَى فِي السَّمَاءِ قَزَعَةً.

Maka baginda mengangkat kedua tangannya (untuk berdoa). (Pada ketika itu) kami tidak melihat satu pun awan di langit.

فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا وَضَعَهَا حَتَّى ثَارَ السَّحَابُ أَمْثَالَ الْجِبَالِ. ثُمَّ لَمْ يَنْزِلْ عَنْ مِنْبَرِهِ حَتَّى رَأَيْتُ الْمَطَرَ يَتَحَادَرُ عَلَى لِحْيَتِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maka demi Allah yang nyawaku berada di Tangan-Nya, belumpun baginda menurunkan kedua tangannya (daripada berdoa) melainkan datang awan besar semisal gunung. Kemudian, belumpun baginda turun daripada mimbar melainkan aku melihat hujan turun membasahi janggut Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

فَمُطِرْنَا يَوْمَنَا ذَلِكَ وَمِنْ الْغَدِ وَبَعْدَ الْغَدِ وَالَّذِي يَلِيهِ حَتَّى الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى وَقَامَ ذَلِكَ الْأَعْرَابِيُّ أَوْ قَالَ غَيْرُهُ فَقَالَ:

Maka hujan turun ke atas kami hari demi hari sehinggalah hari Jumaat yang seterusnya. Maka (ketika Rasulullah sedang berkhutbah) berdirilah Arab Badwi itu atau orang lain lalu berkata,

يَا رَسُولَ اللَّهِ تَهَدَّمَ الْبِنَاءُ وَغَرِقَ الْمَالُ فَادْعُ اللَّهَ لَنَا.

Ya Rasulullah, bangunan telah roboh dan harta benda telah hanyut (kerana hujan yang berterusan), maka berdoalah kepada Allah bagi kami.

فَرَفَعَ يَدَيْهِ فَقَالَ: اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا

Maka Rasulullah mengangkat kedua tangannya dan berdoa, “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekeliling kami dan bukannya di atas kami.”

فَمَا يُشِيرُ بِيَدِهِ إِلَى نَاحِيَةٍ مِنْ السَّحَابِ إِلَّا انْفَرَجَتْ وَصَارَتْ الْمَدِينَةُ مِثْلَ الْجَوْبَةِ وَسَالَ الْوَادِي قَنَاةُ شَهْرًا وَلَمْ يَجِئْ أَحَدٌ مِنْ نَاحِيَةٍ إِلَّا حَدَّثَ بِالْجَوْدِ.

Maka belumpun baginda menunjukkan dengan tangannya ke arah sekumpulan awan melainkan awan itu beredar. Sementara itu kota Madinah bertukar menjadi seperti danau dan lembah yang mengalir airnya selama sebulan. Tidaklah datang seseorang dari mana-mana arah (ke kota Madinah) melainkan akan bercerita tentang peristiwa hujan lebat itu.[7]

 

 

Hadis # 4: Perang Badar

Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh menceritakan,

لَمَّا كَانَ يَوْمُ بَدْرٍ نَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْمُشْرِكِينَ وَهُمْ أَلْفٌ وَأَصْحَابُهُ ثَلَاثُ مِائَةٍ وَتِسْعَةَ عَشَرَ رَجُلًا.

Pada hari terjadinya Perang Badar, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat kepada tentera musyrikin dan mereka berjumlah seribu orang sementara para sahabatnya berjumlah tiga ratus sembilan belas orang.

فَاسْتَقْبَلَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِبْلَةَ ثُمَّ مَدَّ يَدَيْهِ فَجَعَلَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ.

Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam beralih menghadap kiblat, kemudian menadah kedua tangannya bagi merayu kepada Tuhan-nya,

اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ لَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ.

“Ya Allah, laksanakanlah bagiku apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, berilah apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika musnah pasukan umat Islam ini, nescaya tidak ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini.”

فَمَا زَالَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ مَادًّا يَدَيْهِ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ حَتَّى سَقَطَ رِدَاؤُهُ عَنْ مَنْكِبَيْهِ. فَأَتَاهُ أَبُو بَكْرٍ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ فَأَلْقَاهُ عَلَى مَنْكِبَيْهِ.

Demikianlah baginda berterusan merayu kepada Tuhan-nya sambil menadah kedua tangannya dengan menghadap kiblat sehingga terjatuh selendang baginda dari bahunya. Maka Abu Bakar datang mengambil selendang baginda itu dan meletakkannya semula di atas bahu baginda.

ثُمَّ الْتَزَمَهُ مِنْ وَرَائِهِ وَقَالَ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ فَإِنَّهُ سَيُنْجِزُ لَكَ مَا وَعَدَكَ.

Kemudian Abu Bakar yang sentiasa mengikuti belakang Rasulullah berkata, “Wahai Nabi Allah, kiranya sudah cukuplah munajat anda kepada Allah kerana Dia pasti akan melaksanakan apa yang dijanjikan-Nya kepada anda.”

فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ((إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنْ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ)).

Maka Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan ayat, (ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, maka diperkenankan bagimu (dengan firman-Nya), “Sesungguhnya Aku akan membantu kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”. (al-Anfaal 8:09).[8]

 

Hadis # 5: Di Arafah

Usamah bin Zaid radhiallahu 'anh berkata,

كُنْتُ رَدِيفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَاتٍ فَرَفَعَ يَدَيْهِ يَدْعُو فَمَالَتْ بِهِ نَاقَتُهُ فَسَقَطَ خِطَامُهَا فَتَنَاوَلَ الْخِطَامَ بِإِحْدَى يَدَيْهِ وَهُوَ رَافِعٌ يَدَهُ الْأُخْرَى.

Aku pernah membonceng (di belakang) Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di Arafah, baginda mengangkat kedua tangan dan berdoa. Kemudian untanya condong ke sebelah dan tali kekangnya jatuh, maka baginda mengambil tali kekang itu dengan salah satu tangannya sedang tangannya yang lain masih terangkat (berdoa).[9]

 

Hadis # 6: Melontar di Jamrah Pertama dan Kedua

Daripada Salim bin ‘Abdullah, bahawa (ayahnya) ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma,

كَانَ يَرْمِي الْجَمْرَةَ الدُّنْيَا بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ ثُمَّ يُكَبِّرُ عَلَى إِثْرِ كُلِّ حَصَاةٍ ثُمَّ يَتَقَدَّمُ فَيُسْهِلُ فَيَقُومُ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ قِيَامًا طَوِيلًا فَيَدْعُو وَيَرْفَعُ يَدَيْهِ.

Melontar di Jamrah al-Dunya dengan tujuh kerikil kemudian dia bertakbir setelah setiap lontaran, kemudian dia maju sehingga sampai ke permukaan yang datar. Maka dia berdiri menghadap kiblat dengan agak lama, lalu berdoa dengan mengangkat kedua tangannya.

ثُمَّ يَرْمِي الْجَمْرَةَ الْوُسْطَى كَذَلِكَ فَيَأْخُذُ ذَاتَ الشِّمَالِ فَيُسْهِلُ وَيَقُومُ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ قِيَامًا طَوِيلًا فَيَدْعُو وَيَرْفَعُ يَدَيْهِ.

Kemudian dia melontar Jamrah al-Wustho seperti itu juga, dia mengambil jalan sebelah kiri ke dataran yang rata. Maka dia berdiri menghadap qiblat dengan agak lama, lalu berdoa dengan mengangkat kedua tangannya.

ثُمَّ يَرْمِي الْجَمْرَةَ ذَاتَ الْعَقَبَةِ مِنْ بَطْنِ الْوَادِي وَلَا يَقِفُ عِنْدَهَا.

Kemudian dia melontar di Jamrah al-‘Aqabah dari dasar lembah dan dia tidak berhenti di situ.

وَيَقُولُ: هَكَذَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُ.

(Setelah melakukan semua itu) dia berkata, “Beginilah aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukannya.”

Hadis # 7: Gerhana Matahari atau Bulan

‘Abdurrahman bin Samurah radhiallahu 'anh berkata,

بَيْنَمَا أَنَا أَرْمِي بِأَسْهُمِي فِي حَيَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ انْكَسَفَتْ الشَّمْسُ فَنَبَذْتُهُنَّ وَقُلْتُ لَأَنْظُرَنَّ إِلَى مَا يَحْدُثُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي انْكِسَافِ الشَّمْسِ الْيَوْمَ.

Aku pernah sedang bermain melontar anak panah pada masa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila (tiba-tiba) berlaku gerhana matahari. Lalu aku lemparkan semua alat permainanku dan berkata, “Aku akan melihat apakah yang dilakukan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila berlaku gerhana matahari pada hari itu.”

فَانْتَهَيْتُ إِلَيْهِ وَهُوَ رَافِعٌ يَدَيْهِ يَدْعُو وَيُكَبِّرُ وَيَحْمَدُ وَيُهَلِّلُ حَتَّى جُلِّيَ عَنْ الشَّمْسِ فَقَرَأَ سُورَتَيْنِ وَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ.

Maka setelah aku sampai ke tempat baginda, aku dapati baginda sedang mengangkat kedua tangannya berdoa dan melakukan takbir (mengucapkan Allahu Akbar), tahmid (mengucapkan Alhamdulillah) dan tahlil (mengucapkan La ilaha illallah) sehingga matahari terang kembali. Kemudian baginda membaca dua surah (al-Qur’an dalam solat sunat) dua rakaat.[10]

 

Doa Nabi Musa dan Harun

Selain contoh-contoh di atas yang dipraktikkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ada satu lagi contoh yang dipraktikkan oleh Nabi Musa ‘alaihis salam. Ia disebut dalam al-Qur’an sebagai berikut,

وَقَالَ مُوسَى رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَنْ سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّى يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ. قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا.

Dan Nabi Musa berkata (dengan berdoa), “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya telah menyesatkan mereka daripada jalan-Mu. Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka, supaya dengan itu mereka tidak akan beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua.” [Yunus 10:88-89]

Dalam ayat di atas, hanya Nabi Musa seorang yang berdoa, akan tetapi pada akhirnya Allah memakbulkan doa mereka berdua. Ibn Katsir rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini mengemukakan pandangan sejumlah tokoh bahawa apabila Nabi Musa berdoa, Harun telah mengaminkannya. Oleh kerana itulah dikatakan doa mereka berdua padahal yang membaca doa hanya seorang.

Kajian Dan Penelitian

Demikianlah beberapa hadis yang menjadi contoh bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam seolah-olah pernah berdoa secara berjemaah. Marilah kita mengkaji dan meneliti contoh-contoh tersebut.

Pertama

Hukum asal dalam berdoa ialah secara perlahan dan tersembunyi. Sesiapa yang secara sengaja menyalahi hukum ini, dia dianggap melampaui batas sehingga tidak disukai oleh Allah. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ.

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan secara perlahan lagi tersembunyi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. [al-A’raaf 7:55]

Malah orang yang sengaja menyalahi hukum asal ini dianggap melakukan kerosakan di bumi. Sambungan firman Allah di atas,

وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا...

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya… [al-A’raaf 7:56]

Maksud ayat-ayat Allah ini telah dijelaskan dalam bab sebelum ini.

Kedua

Berdasarkan hadis-hadis # 1 hingga # 7 di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam beberapa suasana pernah berdoa di khalayak ramai, yakni tidak secara tersembunyi. Ada kalanya baginda berdoa secara kuat (jahr) sehingga dapat didengar lafaz doanya oleh para sahabat dan ada kalanya baginda berdoa secara perlahan (sirr).

Apa yang baginda lakukan itu adalah selari dengan peranannya sebagai penjelas al-Qur’an, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman,

وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اخْتَلَفُوا فِيهِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ.

Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menjelaskan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. [al-Nahl 16:64]

Maksud menjelaskan al-Qur’an ialah memperinci, membatas dan mengecualikan sesuatu ayat al-Qur’an. Maka perbuatan Rasulullah berdoa di khalayak ramai adalah satu pengecualian ke atas ayat 55 surah al-A’raaf.

Ketiga

Maksud doa secara jemaah ialah doa itu dipimpin atau diimami oleh seseorang sementara orang ramai mengangkat kedua tangan dan mengaminkannya. Di sisi generasi Salaf, yakni generasi awal umat Islam, konsep berjemaah dalam ibadah hanya berlaku dalam solat. Makmum mengikuti setiap perbuatan imam daripada Takbiratul Ihram hinggalah ke Salam. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا صَلَّى قَائِمًا فَصَلُّوا قِيَامًا فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا صَلَّى قَائِمًا فَصَلُّوا قِيَامًا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ.

Sesungguhnya dijadikan imam hanyalah untuk diikuti. Maka jika imam berdiri untuk solat maka kalian berdirilah untuk solat, apabila imam rukuk maka kalian rukuklah, apabila imam mengangkat kepada (dari rukuk) maka kaliah angkatlah kepala, apabila imam membaca “Sami’ Allahu liman hamidah” maka kalian jawablah “Rabbana wa lakal hamdu”, apabila imam solat secara berdiri maka kalian solatlah secara berdiri dan apabila imam solat secara duduk (kerana uzur) maka kalian solatlah secara uzur, semua (hendaklah mengikuti imam).[11]

Adapun sebelum, selepas atau selain ibadah solat, tidak disyari’atkan untuk berjemaah, yakni makmum mengikuti imam atau dipimpin oleh seseorang. Oleh kerana itu jika diteliti hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdoa di khalayak ramai, para sahabat radhiallahu 'anhum hanya mengaminkan doa qunut nazilah. Ini kerana doa qunut nazilah berlaku di dalam solat, dibaca oleh Rasulullah sebagai imam dan diaminkan oleh para sahabat sebagai makmum.

Keempat

Jika diteliti hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdoa di khalayak ramai, baik secara kuat (jahr) mahupun perlahan (sirr), akan didapati baginda tidak menyuruh para sahabat mengikuti dengan mengangkat kedua tangan dan mengaminkannya. Demikian juga, kita dapati para sahabat tidak turut mengangkat kedua tangan dan mengaminkannya. Semua ini berlaku walaupun dalam suasana terdesak seperti Perang Badar atau kemarau panjang.

Hendaklah diketahui bahawa hadis-hadis tersebut diriwayatkan dengan sangat mendalam lagi terperinci sehingga perbuatan yang kecil seperti mengalihkan selendang, mengangkat selendang yang jatuh dan mencapai tali kekang haiwan turut diceritakan. Seandainya para sahabat turut serta berdoa bersama Rasulullah dengan mengangkat kedua tangan dan mengaminkan, nescaya ia akan diceritakan dan ditonjolkan dalam hadis-hadis tersebut.

Kemudian wujud pula kisah dalam al-Qur’an di mana Nabi Musa berdoa secara berseorangan. Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menceritakan bahawa Harun turut serta mengangkat kedua tangan dan mengaminkannya. Namun pada akhirnya Allah menerangkan bahawa Dia mengabulkan doa mereka berdua, meskipun yang berdoa hanya seorang.

Semua ini menjadi hujah bagi pihak yang berpandangan, apabila imam atau orang ‘alim berdoa di khalayak ramai, tidak disunnahkan bagi orang ramai mengangkat kedua tangan dan mengaminkannya. Memadailah imam atau orang ‘alim itu berdoa dengan lafaz jama’ (plural), Allah mengetahui bahawa dia berdoa bagi pihak dirinya dan orang ramai yang turut hadir saat itu.

Penulis mencenderungi pandangan ini.

Kelima

Sebahagian pihak lagi berpandangan, dibolehkan bagi orang ramai mengaminkan doa apabila imam atau orang ‘alim berdoa di khalayak ramai. Hujah mereka ialah keumuman sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

مَا حَسَدَتْكُمْ الْيَهُودُ عَلَى شَيْءٍ مَا حَسَدَتْكُمْ عَلَى السَّلَامِ وَالتَّأْمِينِ.

Tidaklah kaum Yahudi dengki kepada kalian (umat Islam) dalam sesuatu urusan seperti mana mereka dengki kepada kalian dalam urusan (saling) mengucapkan salam dan amin.[12]

Selain itu mereka juga berhujah dengan pandangan beberapa tokoh bahawa Harun telah mengaminkan doa Nabi Musa sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibn Katsir ketika mentafsirkan ayat 88-89 surah Yunus.

Keenam

Kesimpulannya, dibolehkan berdoa di khalayak ramai dengan lafaz jama’ (plural) baik secara kuat (jahr) mahupun perlahan (sirr) selagi mana ia tidak dijadikan satu kelaziman. Ini kerana hukum asal berdoa ialah secara perlahan lagi tersembunyi. Dibimbangi melazimkan doa di khalayak ramai secara kuat akan masuk dalam kategori melampaui batas dan kerosakan di bumi yang telah diperingatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat 55-56 surah al-A’raaf.

Dengan itu penulis ingin mengajak para pembaca yang budiman sekalian menyemak semula kelaziman amalan masyarakat yang membaca doa secara berjemaah setelah setiap solat fardhu berjemaah dan dalam majlis-majlis. Bahkan kelaziman itu sudah menjadi satu kemestian sehingga jika ada solat berjemaah atau majlis yang tidak diisi dengan doa berjemaah, masyarakat akan menganggap ia satu kecacatan.

Penjelasan Tambahan

Sebelum beralih ke soal jawab seterusnya, ingin dikemukakan beberapa riwayat yang kerap dijadikan dalil dalam persoalan doa berjemaah, namun dalam sanad atau matannya (teks hadis) terdapat perbincangan. Berikut dikemukakan riwayat-riwayat tersebut beserta penjelasan tentang darjatnya.

Riwayat # 1

‘Abdullah Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata,

قَلَّمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُومُ مِنْ مَجْلِسٍ حَتَّى يَدْعُوَ بِهَؤُلَاءِ الدَّعَوَاتِ لِأَصْحَابِهِ:

Jarang-jarang Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bangun (beredar) dari satu majlis melainkan baginda mendoakan para sahabat dengan doa-doa ini,

اللَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِنْ خَشْيَتِكَ مَا يَحُولُ بَيْنَنَا وَبَيْنَ مَعَاصِيكَ وَمِنْ طَاعَتِكَ مَا تُبَلِّغُنَا بِهِ جَنَّتَكَ وَمِنْ الْيَقِينِ مَا تُهَوِّنُ بِهِ عَلَيْنَا مُصِيبَاتِ الدُّنْيَا...

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami sebahagian daripada sifat takut kepada Engkau, apa yang dapat menghalangi kami daripada bermaksiat kepada Engkau. Dan (sebahagian daripada sifat) taat kepada Engkau, apa yang dengannya dapat menyampaikan kami kepada syurga Engkau, Dan (sebahagian daripada sifat) yakin (kepada Rahmat Engkau), apa yang dengannya dapat meringankan ke atas kami musibah di dunia (ini)…

Ini merupakan sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, Hadis ini hasan gharib. Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3424/3502. Ia juga dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3809 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab menghitung tasbih dengan tangan).

Perkataan ‘Abdullah ibn ‘Umar dalam hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah lazim membaca doa di akhir majlis. Akan tetapi hadis di atas yang darjatnya hasan tidak dapat digunakan bagi mengecualikan keumuman firman Allah dalam ayat 55-56 surah al-A’raaf yang darjatnya tentu sahih. Ini kerana jika sesuatu dalil hendak digunakan bagi mengecualikan dalil lain yang bersifat umum, hendaklah kedua-duanya berada pada tahap kekuatan yang sama. Justeru jika hendak dikecualikan dalil al-Qur’an yang tentunya bertaraf sahih, hendaklah digunakan dalil hadis yang bertaraf sahih, bukannya yang lebih rendah seperti bertaraf hasan.

 

Riwayat # 2

Diriwayatkan sebuah hadis bahawa,

لَا يَجْتَمِعُ مَلَأٌ فَيَدْعُو بَعْضُهُمْ وَيُؤَمِّنُ بَعْضُهُمْ إِلَّا أَجَابهُمُ اللهُ.

Tidaklah berhimpun satu kaum, lalu sebahagian mereka berdoa dan sebahagian lagi mengaminkannya melainkan Allah memakbulkan bagi mereka.

Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no.: 5478 dan al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 4, ms. 21, hadis no.: 3536. Ia dinilai dha’if (lemah) oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah, hadis no.: 5968.

Meskipun al-Hataimi berkata dalam al-Majma’ al-Zawa’id, hadis no.: 17347 bahawa “para perawi hadis ini adalah perawi yang sahih kecuali Ibn Lahi’ah, hadisnya adalah hasan”, penilaian beliau tidak mengambil kira kebersambungan sanad tersebut. al-Albani menjelaskan bahawa sanad hadis tersebut terputus (munqathi’).

 

Riwayat # 3

Diriwayatkan sebuah hadis bahawa,

مَا رَفَعَ قَوْمٌ أَكُفَّهُمْ إِلَى الله تَعَالَى يَسْأَلُونَهُ شَيْئاً إِلاَّ كانَ حَقّاً عَلَى الله أَنْ يَضَعَ في أَيْدِيهِمُ الَّذِي سَأَلُوا.

Tidaklah satu kaum mengangkat tapak kedua tangan mereka (berdoa) kepada Allah Ta’ala meminta sesuatu melainkan menjadi hak Allah memperkenankan apa yang mereka minta.

Hadis ini dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 6, ms. 312, hadis no.: 6142 dan ia dinilai dha’if (lemah) oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah, hadis no.: 5948.

Meskipun al-Hataimi berkata dalam al-Majma’ al-Zawa’id, hadis no.: 17341 bahawa “para perawi hadis ini adalah perawi yang sahih”, penilaian beliau tidak termasuk guru yang al-Thabarani mengambil hadis ini daripadanya. Guru tersebut, yang bernama Ya’qub bin Mujahid al-Misri, tidak termasuk dalam senarai guru-guru al-Thabarani yang dinilai sahih hadis-hadisnya.

 

 

Riwayat # 4

Diriwayatkan sebuah hadis bahawa,

أن رجلا جاء زيد بن ثابت فسأله عن شيء فقال له زيد: عليك أبا هريرة. فإني بينما أنا وأبو هريرة وفلان في المسجد ذات يوم ندعو الله ونذكر ربنا.

Bahawa seorang lelaki mendatangi Zaid bin Tsabit menanyakan beliau sesuatu. Maka Zaid berkata kepadanya, “Kamu bertanyalah kepada Abu Hurairah.” Sesungguhnya pada saat itu aku, Abu Hurairah dan lelaki yang bertanya itu sedang berada di masjid pada satu hari, kami sedang berdoa kepada Allah dan berzikir mengingati tuhan kami.

خرج علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم حتى جلس إلينا فسكتنا. فقال: عودوا للذي كنتم فيه.

(Kemudian) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar (dari rumahnya) ke arah kami sehingga duduk bersama kami, maka kami terus terdiam. Baginda bersabda, “Teruskan apa yang kalian sedang lakukan.”

قال زيد: فدعوت أنا وصاحبي قبل أبي هريرة وجعل رسول الله صلى الله عليه وسلم يؤمن على دعائنا.

Zaid berkata, “Maka aku dan sahabatku (lelaki yang datang bertanya tadi) berdoa tanpa Abu Hurairah sementara Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengaminkan doa kami.

ثم دعا أبو هريرة فقال: اللهم إني أسألك مثل ما سألك صاحباي هذان وأسألك علما لا ينسى.

Kemudian Abu Hurairah pula berdoa, “Ya Allah, aku memohon kepada Engkau seperti apa yang dipohon oleh dua sahabat aku ini dan aku memohon kepada Engkau ilmu yang tidak dilupai.”

فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: آمين فقال: يا رسول الله ونحن نسأل الله علما لا ينسى! فقال: سبقكم بها الغلام الدوسي.

Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab, “Amin.” Zaid berkata, “Wahai Rasulullah, kami juga ingin memohon kepada Allah ilmu yang tidak dilupai!” Rasulullah menjawab, “Kalian telah didahului oleh anak muda daripada suku Daus (yakni Abu Hurairah).”

Hadis ini dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam al-Sunan al-Kabir, hadis no.: 5839, al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no.: 6158 dan al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath, hadis no.: 1228. Ia dinilai dha’if (lemah) oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah, hadis no.: 3848.

 

Riwayat # 5

Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh berkata,

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَقِيَ الْمِنْبَرَ فَلَمَّا رَقِيَ الدَّرَجَةَ الأُولَى قَالَ: آمِينْ، ثُمَّ رَقِيَ الثَّانِيَةَ فَقَالَ: آمِينْ، ثُمَّ رَقِيَ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: آمِينْ.

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menaiki mimbar. Maka tatkala menaiki anak tangga pertama baginda mengucapkan, “Amin”. Kemudian baginda menaiki anak tangga kedua dan mengucapkan, “Amin”. Kemudian baginda menaiki anak tangga ketiga dan mengucapkan, “Amin”.

فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ سَمِعْنَاكَ تَقُولُ آمِينَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ؟

Maka para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, (kenapakah) kami mendengar kamu mengatakan “Amin” tiga kali?”

قَالَ: لَمَّا رَقِيتَ الدَّرَجَةَ الأُولَى جَاءَنِي جِبْرِيلُ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ. فَقُلْتُ: آمِينْ.

Rasulullah menjawab, tatkala aku menaiki anak tangga pertama, Jibrail shallallahu 'alaihi wasallam datang kepada aku dan berkata, “Celakalah hamba yang menemui bulan Ramadhan dan keluar daripadanya sementara tidak diberikan keampunan kepadanya (kerana masih melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan).” Maka aku berkata, “Amin.”

ثُمَّ قَالَ: شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاَهُ الْجَنَّةَ. فَقُلْتُ: آمِينْ.

Kemudian (Jibrail) berkata (tatkala aku menaiki anak tangga kedua), “Celakalah hamba yang menemui ibu dan bapanya atau salah seorang daripada mereka berdua, lalu dia tidak memasuki syurga (kerana menderhaki mereka).” Maka aku berkata, “Amin.”

ثُمَّ قَالَ: شَقِيَ عَبْدٌ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ. فَقُلْتُ: آمِينْ.

Kemudian (Jibrail) berkata (tatkala aku menaiki anak tangga ketiga), “Celakalah hamba yang disebut namamu di sisinya lalu dia tidak berselawat ke atas kamu.” Maka aku berkata, “Amin.”[13]

Di atas adalah hadis sahih yang dijadikan dalil oleh sebahagian pihak bagi membolehkan doa berjemaah. Kata mereka, malaikat Jibrail berdoa dan Rasulullah mengaminkannya.

Namun jika diteliti hadis di atas, perhatikan bahawa malaikat Jibrail ‘alaihis salam tidak berdoa tetapi membuat kenyataan. Malaikat Jibrail tidak berdoa umpama, “Ya Allah, celakakanlah hamba yang….”, tetapi membuat kenyataan, “Celakalah hamba yang…”

Sebaliknya yang berdoa ialah Rasulullah seorang, yakni apabila baginda menyebut “Amin”. Ini kerana sebutan “Amin” adalah satu rangkap doa yang ringkas, bermaksud “Perkenankanlah”. Ringkasnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdoa agar kenyataan yang dibuat oleh malaikat Jibrail menjadi benar.

Penjelasan Tambahan

Berdasarkan hadis sahih di atas, disunnahkan bagi sesiapa yang mendengar ucapan atau kenyataan yang bagus lagi selari dengan syari’at Islam untuk menyebut “Amin”, agar dengan itu Allah akan menjadikan ucapan atau kenyataan itu sebagai sesuatu yang benar-benar berlaku.

 

Riwayat # 6

Diriwayatkan sebuah hadis bahawa,

أَتَى رَجُلٌ أَعْرَابِيٌّ مِنْ أَهْلِ الْبَدْوِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكَتْ الْمَاشِيَةُ هَلَكَ الْعِيَالُ هَلَكَ النَّاسُ!

Seorang lelaki Arab Badwi datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada hari Jumaat dan berkata, “Wahai Rasulullah, telah rosak haiwan ternakan, kaum keluarga dan orang ramai (kerana kemarau yang panjang)!”

فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَيْهِ يَدْعُو وَرَفَعَ النَّاسُ أَيْدِيَهُمْ مَعَهُ يَدْعُونَ.

Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengangkat kedua tangannya berdoa dan orang ramai turut mengangkat kedua tangan mereka bersama baginda, sama-sama berdoa.

قَالَ فَمَا خَرَجْنَا مِنْ الْمَسْجِدِ حَتَّى مُطِرْنَا فَمَا زِلْنَا نُمْطَرُ حَتَّى كَانَتْ الْجُمُعَةُ الْأُخْرَى.

Anas bin Malik berkata, maka tidaklah kami keluar dari masjid melainkan hujan turun ke atas kami dan tidaklah hujan itu berhenti sehinggalah hari Jumaat yang seterusnya.

فَأَتَى الرَّجُلُ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ بَشِقَ الْمُسَافِرُ وَمُنِعَ الطَّرِيقُ.

Maka datanglah seorang lelaki kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, orang-orang dalam perjalanan (ke Madinah) berpatah balik sementara jalan-jalan (di Madinah) terhalang (kerana hujan lebat atau banjir).”

Hadis ini dikemukakan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya[14] sebagai penjelas kepada bab “Orang ramai mengangkat kedua tangan mereka bersama imam dalam al-Istisqa’.”[15] Hadis ini perlu dikaji dari dua sudut:

  • Sudut sanad: Sanad hadis ini dikemukakan oleh al-Bukhari dengan lafaz “قَالَ (telah berkata)”, menunjukkan ia tidak menepati syarat sahih di sisi al-Bukhari. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 3, ms. 469 dan Taghliq al-Ta’liq, jld. 2, ms. 392 telah mengemukakan sanad penuh lagi bersambung bagi riwayat ini tetapi mendiamkan darjatnya, apakah sahih atau tidak?
  • Sudut matan: Hadis ini menyendiri berbanding hadis-hadis lain yang semisal (doa Istisqa’ di atas mimbar, ketika sedang khutbah Jumaat) yang dikeluarkan oleh para imam hadis dalam kitab masing-masing. Malah al-Bukhari sendiri mengemukakan hadis tersebut dalam kitab Shahihnya dengan kesahihan yang menepati syaratnya, tanpa lafaz “…dan orang ramai turut mengangkat kedua tangan mereka bersama baginda, sama-sama berdoa.” [16]

Jika dalam pengkajian seseorang dia dapati hadis ini dapat dijadikan dalil dan boleh diamalkan, maka ia hanyalah untuk doa Istisqa’ sebagaimana bab yang diberikan oleh al-Bukhari, “Orang ramai mengangkat kedua tangan mereka bersama Imam dalam al-Istisqa’.” Adapun doa-doa lain, tidak boleh diqiyaskan kepada doa Istisqa’ kerana doa adalah ibadah dan qiyas tidak boleh dipakai bagi membuat cara ibadah yang baru.


 

 

[1]          Pembaca yang melompat terus ke soal jawab ini diminta menyemak dengan teliti soal jawab Apakah Syarat-Syarat Ketika Berdoa?

[2]           Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1231. Sementara Syu’aib al-Arna’uth menilai sanadnya sahih dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 1443 (Kitab al-Sholat, Bab qunut dalam solat-solat).

[3]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1443/874 (Kitab al-Jumu’ah, Bab meringankan solat dan khutbah).

[4]       Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1419/857 (Kitab al-Jumu’ah, Bab keutamaan orang yang mendengar dan diam ketika khutbah).

[5]       Dalam hadis lain yang lebih kuat, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam solat dua rakaat terlebih dahulu, kemudian barulah berdoa. Sila rujuk Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 510/556 (Kitab al-Jumu’ah ‘an Rasulullah, Bab apa yang berkenaan Solat Istisqa’).

[6]          Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan beliau berkata, hadis ini gharib dan sanadnya jayyid (bagus). Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 992 sementara Syu’aib al-Arna’uth turut menilai sanadnya sebagai hasan dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.:1173 (Kitab al-Solat, Bab mengangkat kedua tangan ketika solat Istisqa’).

            Meskipun hadis ini darjatnya hasan, dalam bab ini terdapat banyak hadis lain yang sahih darjatnya. Hadis ini menjadi pilihan kerana ia mengandungi lafaz doa yang dibaca oleh Rasulullah.

[7]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 881/933 (Kitab al-Jumu’ah, Bab al-Istisqa’ ketika khutbah Jumaat).

[8]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 3309/1763 (Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab perutusan bantuan malaikat dalam Perang Badar dan keizinan mengambil rampasan perang).

[9]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam Sunannya dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no.: 2961/3011 (Kitab Manasik al-Haj, Bab mengangkat kedua tangan apabila berdoa di Arafah).

[10]         Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1519/913 (Kitab al-Kusuf, Bab seruan kepada solat gerhana dengan “al-Solatu Jamiah!”)

[11]         Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 648/689 (Kitab al-Adzan, Bab dijadikan imam hanya untuk diikuti).

[12]         Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan berkata al-Bushiri dalam Misbah al-Zujajah fi Zawa’id Ibn Majah, hadis no.: 316, “Sanadnya sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 846/856 (Kitab Iqamatu al-Solat wa al-Sunnah fi ha, Bab menguatkan bacaan amin).

[13]         Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, hadis no.: 644 dan ia dinilai shahih li ghairihi oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad, hadis no.: 501 (Bab orang yang disebut nama Nabi di sisinya lalu tidak berselawat ke atasnya).

Juga dikeluarkan oleh Ibn Hibban dengan lafaz yang sedikit berbeza dalam Shahihnya dan ia dinilai shahih li ghairihi oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam al-Ihsan fi Taqrib Shahih Ibn Hibban, hadis no.: 409 (Kitab al-Birr wa al-Ihsan, Bab hak ibu dan bapa).

[14]         Ia disebut sebagai hadis muallaq dan kebanyakan para peneliti (muhaqqiq) kitab Shahih al-Bukhari tidak memberikan nombor kepada hadis-hadis muallaq.

[15]        بَاب رَفْعِ النَّاسِ أَيْدِيَهُمْ مَعَ الْإِمَامِ فِي الِاسْتِسْقَاءِ

al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah ketika mensyarahkan tajuk ini berkata, ia menjadi hujah yang membantah mereka yang berkata memadai imam doa berseorangan.

Saya berkata, mungkin yang benar adalah sebaliknya. Yakni apabila al-Bukhari meletak tajuk ini namun hanya disusuli oleh hadis muallaq yang tidak menepati syarat sahihnya. Seolah-olah al-Bukhari ingin menunjukkan bahawa tidak ada hadis sahih dalam persoalan ini sehingga yang benar adalah orang ramai tidak mengangkat tangan bersama imam dalam doa meminta hujan. Ini terbukti melalui hadis-hadis doa meminta hujan yang dikemukakan oleh al-Bukhari dalam kitab Shahihnya yang menepati syarat shahihnya, semuanya tidak menerangkan bahawa orang ramai mengangkat tangan bersama imam ketika berdoa.

[16]         Hadis yang lengkap sudah dikemukakan dalam soal-jawab ini. Sila rujuk Shahih al-Bukhari, hadis no.: 881/933 (Kitab al-Jumu’ah, Bab al-Istisqa’ ketika khutbah Jumaat).