Jawapan:

Dibolehkan mengirim doa kepada orang yang melaksanakan haji dan umrah berdasarkan kisah berikut daripada Shofwan bin ‘Abdullah bin Shofwan di mana beliau merupakan suami kepada anak perempuan Abu Darda radhiallahu 'anh,

فَأَتَاهَا، فَوَجَدَ أُمَّ الدَّرْدَاءِ وَلَمْ يَجِدْ أَبَا الدَّرْدَاءِ، فَقَالَتْ لَهُ:

Beliau datang (ke rumah) lalu mendapati Ummu Darda’ sementara Abu Darda’ tiada (di rumah). Ummu Darda’ berkata kepadanya,

تُرِيدُ الْحَجَّ، الْعَامَ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَتْ: فَادْعُ اللَّهَ لَنَا بِخَيْرٍ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ:

“Kamu akan pergi haji tahun ini?” Shofwan menjawab, “Ya.” Ummu Darda’ berkata, “Doakanlah kepada Allah kebaikan bagi kami, kerana sesungguhnya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda,

إِنَّ دَعْوَةُ الْمَرْءِ مُسْتَجَابَةٌ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ يُؤَمِّنُ عَلَى دُعَائِهِ كُلَّمَا دَعَا لَهُ بِخَيْرٍ قَالَ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلِهِ.

Sesungguhnya doa seseorang untuk saudara (seagama)nya yang tidak hadir bersamanya adalah mustajab. (Ini kerana) di sisi kepala orang yang berdoa terdapat malaikat yang mengaminkan doanya. Setiap kali dia mendoakan kebaikan saudaranya, malaikat itu akan berdoa, “Amin dan bagimu yang semisal”.”

قَالَ: ثُمَّ خَرَجْتُ إِلَى السُّوقِ فَلَقِيتُ أَبَا الدَّرْدَاءِ، فَحَدَّثَنِي عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِثْلِ ذَلِكَ.

Shofwan berkata, “Kemudian aku keluar ke pasar dan aku bertemu Abu Darda’. Dia menyampaikan kepadaku hadis yang semisal itu daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.” [1]

Walau bagaimanapun sebelum mengirim doa, hendaklah diperhatikan adab-adab meminta didoakan oleh orang lain sebagaimana yang dijelaskan dalam soalan Bolehkah Meminta Orang Lain Mendoakan Saya?

Selain itu janganlah memberat-beratkan orang yang melaksanakan haji atau umrah dengan pelbagai kiriman doa. Biarlah mereka beribadah dengan tenang dan lapang. Perhatikan bagaimana Ummu Darda’ mengirim doa, tetapi tidak memberatkan dengan pelbagai permintaan. Beliau hanya berpesan, “Doakanlah kepada Allah kebaikan bagi kami.”

Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menyediakan pelbagai suasana bagi memakbulkan doa orang yang berada di lokasi masing-masing, bahkan di bilik tidur sendiri. Oleh itu bersikap rajinlah untuk berdoa sendiri.

Penjelasan Tambahan

Terdapat sebuah riwayat yang lazim dikemukakan dalam bab mengirim doa kepada orang yang pergi ke melaksanakan haji atau umrah. Riwayat tersebut dikemukakan sebegitu lazim seolah-olah ia adalah sahih, padahal yang benar darjatnya adalah lemah (dha’if). Riwayat yang dimaksudkan adalah daripada ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh bahawa dia berkata

اسْتَأْذَنْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْعُمْرَةِ فَأَذِنَ لِي وَقَالَ: لَا تَنْسَنَا يَا أُخَيَّ مِنْ دُعَائِكَ.

Aku meminta izin daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bagi melakukan umrah. Maka baginda mengizinkan aku dan berpesan, “Wahai saudaraku, janganlah melupakan kami dalam doa-doa kamu.”

فَقَالَ كَلِمَةً مَا يَسُرُّنِي أَنَّ لِي بِهَا الدُّنْيَا.

(Umar sangat teruja dengan pesanan itu lalu berkata), “Rasulullah telah mengatakan sesuatu yang amat menggembirakan aku berbanding kegembiraan mendapat dunia ini.”[2]

Selain itu antara kiriman yang memberatkan orang-orang yang melaksanakan haji atau umrah adalah “kirim salam kepada Nabi”. Kiriman ini adalah tidak perlu kerana sudah cukup seseorang itu berselawat kepada Rasulullah di mana jua dia berada kerana ada malaikat yang ditugaskan khas menyampaikan selawat tersebut kepada baginda. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً فِي الْأَرْضِ سَيَّاحِينَ يُبَلِّغُونِي مِنْ أُمَّتِي السَّلَامَ.

Sesungguhnya Allah memiliki malaikat di bumi yang senantiasa berkeliling bagi menyampaikan kepadaku salam daripada umatku.[3]

 

[1]           Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 2886/2895 (Kitab al-Manasik, Bab keutamaan doa orang yang pergi haji).

[2]          Dha’if: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Dha’if Sunan Abu Daud, hadis no.: 1280/1498 (Kitab al-Solat, Bab doa). Ia juga dinilai dha’if oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 1498.

[3]          Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 3666.