Jawapan:

Sedekah adalah satu amal soleh yang amat penting dalam Islam. Sedekah tidak terhad kepada bantuan harta, tetapi luas merangkumi apa jua kelebihan yang dapat dihulurkan kepada orang lain. Orang yang memiliki kekuatan fizikal, dia menyedekahkannya dengan membantu orang lain dalam kerja berat. Orang yang memiliki kelebihan ilmu, dia menyedekahkannya dengan menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Orang yang memiliki kepakaran dalam bidang tertentu, dia menyedekahkannya dengan membimbing orang lain dalam bidang tersebut. Orang yang arif dalam adab berdoa, dia bersedekah dengan mendoakan orang lain. Bahkan orang yang memiliki dusun, dia bersedekah apabila membiarkan orang lain dan haiwan memetik serta memakan buah-buahannya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

كُلُّ سُلَامَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ، كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ.

Pada setiap hari yang matahari terbit padanya, setiap anggota tubuh badan manusia padanya ada tanggungjawab bersedekah.

تَعْدِلُ بَيْنَ الِاثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا، أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ.

Mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah, menolong seseorang menaiki kenderaan tunggangannya atau mengangkat barangnya ke atas tunggangannya adalah sedekah.

وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ خُطْوَةٍ تَمْشِيهَا إِلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ، وَتُمِيطُ الْأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ.

Berkata-kata yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang digerakkan untuk solat adalah sedekah dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah.[1]

Orang yang bersedekah, dia memperolehi keutamaan di mana malaikat mendoakan agar Allah mengganti semula apa yang dia sedekahkan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan keutamaan ini,

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلَانِ، فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللهُمَّ، أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الْآخَرُ: اللهُمَّ، أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا.

Tidak ada satu pagi pun yang dimulakan oleh seorang hamba (Allah) melainkan turun dua malaikat. Maka salah seorang daripada malaikat itu berdoa, “Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang dermawan” sementara malaikat yang lain berdoa, “Ya Allah, berilah kemusnahan kepada orang yang kedekut.”[2]

Sebahagian orang apabila bersedekah, dia berpesan kepada penerima sedekah agar mendoakannya. Ini adalah sikap yang tidak betul kerana mempengaruhi keikhlasan orang yang bersedekah. Bersedekah secara ikhlas bererti tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada penerima sedekah, meskipun sekadar doa mahupun ucapan terima kasih. Balasan yang diharapkan hanyalah daripada Allah 'Azza wa Jalla. Firman Allah dalam surah al-Insan tentang al-Abrar, yakni orang-orang yang lazim berbuat kebaikan,

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا.

Dan mereka memberikan makanan yang (mereka) sukai kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.

إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنْكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا.

(Sambil berkata dalam hati) Sesungguhnya Kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. [al-Insan 76:8-9]

Sebenarnya orang yang menerima sedekah, dialah yang mendoakan pemberi sedekah tanpa perlu diminta oleh pemberi sedekah. Ini sebagaimana orang yang menerima zakat, dia mendoakan pemberi zakat. Inilah etika yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala,

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ.

Ambillah sedekah (zakat) daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka, dan doakanlah mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [al-Taubah 9:103]

Demikianlah juga bagi penerima sedekah atau apa-apa lain kebaikan, hendaklah dia membalasnya. Jika tidak dapat membalas, maka doakanlah pemberi sedekah atau kebaikan itu. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan,

وَمَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ، فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ.

Dan sesiapa yang berbuat kebaikan kepada kalian, maka balaslah ia. Jika tidak memiliki apa-apa untuk dibalas, maka doakanlah baginya sehingga kalian melihat bahawa kalian telah membalas (kebaikan)nya.[3]

Jika penerima sedekah tidak mendoakan pemberi sedekah, mungkin kerana menyembunyikannya atau tidak tahu anjurannya, maka tidak mengapa kerana sudah ada doa malaikat, “Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang dermawan”.

Orang yang lazim bersedekah, dia memiliki keutamaan menggunakan amal sedekahnya itu untuk bertawassul dalam doanya. Misalnya dia berdoa, “Ya Allah, sekian lama aku menjadi sukarelawan di rumah kebajikan orang tua demi mengharapkan keredaan-Mu. Ya Allah, aku bertawassul dengan amal soleh itu agar Engkau mengeluarkan aku daripada masalah yang sedang aku hadapi sekarang ini.”

Atau, “Ya Allah, selama ini aku mengajar tuisyen secara percuma kepada anak-anak miskin demi Wajah-Mu. Ya Allah, aku bertawassul dengan amal soleh itu agar Engkau menyembuhkan ayahku yang sedang sakit ini.”

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1677/1009 (Kitab al-Zakat, Bab menjelaskan bahawa yang dinamakan sedekah ialah setiap jenis kebaikan).

[2]       Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1677/1009 (Kitab al-Zakat, Bab tentang orang yang dermawan dan orang yang kedekut).

[3]          Sahih: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1424/1672 (Kitab al-Zakat, Bab memberi kepada orang yang meminta dengan nama Allah).