“Kami bukan emosi! Kami marah kerana agama. Bukankah kita sepatutnya menjadi marah apabila ada orang menyindir Islam seumpama video Fitna?” Mungkin ini agaknya bisikan hati sebahagian pembaca terhadap tulisan saya dalam edisi yang lepas, berjudul “Islam Bukan Agama Emosi” (Dara.com, Jun 2008).

         Bisikan ini sebahagiannya benar dan sebahagian lagi tidak. Kita memang boleh, malah patut marah kerana agama. Marah itu sendiri terbahagi kepada dua jenis, marah kerana faktor peribadi dan marah kerana faktor agama. Pembahagian ini diambil daripada keterangan Aisyah r.a.: “Baginda (Rasulullah s.a.w.) tidak pernah merasa dendam kerana disakiti (hatinya) lalu membalas kepada orang yang menyakitinya kecuali jika hal itu merupakan pelanggaran terhadap larangan Allah (di mana) Rasulullah s.a.w. akan membalas kerana Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata.” [Shahih Muslim, no: 2328]

 

Marah Kerana Faktor Agama.            

           Berdasarkan hadis di atas, kita patut marah apabila agama Islam yang suci ini disindir dan dinodai oleh orang lain. Akan tetapi di sebalik kemarahan tersebut, hendaklah kita pastikan ia membawa kesan yang positif kepada Islam dan umatnya. Jangan pula kemarahan kita turut menyebabkan kesan yang negatif. 

          Satu ketika yang lalu terdapat dua orang bersaudara dari kalangan Bani Israil, salah seorang daripadanya lazim berbuat dosa manakala yang lain bersungguh-sungguh dalam beribadah. Saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah sering memandang saudaranya yang lain berbuat dosa, lalu dia berkata: “Berhentilah!”.

          Pada satu hari dia mendapati saudaranya masih melakukan dosa lalu dia berkata: “Berhentilah!” Namun saudaranya menjawab: “Biarkan aku! Demi Tuhanku! Apakah engkau diutus untuk mengawasi aku?” Lalu saudara (yang bersungguh-sungguh dalam ibadah) berkata: “Demi Allah! Allah tidak akan mengampunkan engkau atau Allah tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga.”

         Maka (beberapa ketika kemudian) ruh kedua-duanya dicabut dan mereka dihadapkan kepada (Allah) Tuhan sekalian alam. Lalu (Allah) bertanya kepada saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah: “Apakah engkau mengetahui tentang Aku atau apakah engkau berkuasa atas apa yang berada di tangan-Ku?”
Dan (Allah) berkata kepada saudara yang lazim berbuat dosa: “Pergilah masuk ke syurga dengan Rahmat-Ku.” Dan (Allah) berkata kepada (saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah): “Bawalah orang ini ke neraka.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4901]

          Dalam hadis sahih di atas, saudara yang bersungguh-sungguh dalam beribadah marah kepada saudaranya yang asyik melakukan kemaksiatan. Dia marah kerana agama. Akan tetapi kemarahannya itu menyebabkan dia mengeluarkan kata-kata yang sebenarnya merupakan hak Allah. Kemarahannya itu akhirnya membawa kesan yang negatif kepada dirinya sendiri.

          Ketika Nabi Musa a.s. pergi ke bukit Thur untuk mendapat kepingan-kepingan Taurat, dia mewakilkan saudaranya Harun untuk menjaga kaumnya. Akan tetapi dalam tempoh tersebut kaumnya telah membuat sebuah patung anak lembu yang mereka sembah sebagai tuhan selain Allah. Tatkala Nabi Musa kembali dan melihatkan apa yang berlaku, dia menjadi amat marah, lantas memarahi Harun. Harun menjawab, sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Qur’an:

          “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka menyembah patung anak lembu itu). Oleh itu janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (kemarahan kamu) terhadapku dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.” [Surah al-A’raaf, ayat 150]

          Dalam ayat di atas, Nabi Musa marah kepada Harun kerana menyangka Harun tidak melakukan apa-apa untuk mencegah kaumnya daripada menyembah patung anak lembu. Nabi Musa marah kerana agama. Akan tetapi Harun, di samping membela dirinya, turut memperingatkan Nabi Musa bahawa kemarahannya itu akan menggembirakan lagi kaumnya yang berbuat salah itu. Jika kemarahan itu diteruskan, ia akan membawa kesan negatif kepada dakwah mereka berdua terhadap kaum Bani Israil.

          Demikian dua contoh daripada dua kisah benar tentang bagaimana marah kerana agama boleh membawa kesan yang negatif jika ia tidak dilancarkan dengan betul. Pengajaran penting yang ingin saya sampaikan adalah, semata-mata marah kerana agama tidak mencukupi. Hendaklah kemarahan itu kita terjemahkan kepada sesuatu yang memberi kesan positif kepada agama dan umat.

 

Marah Kerana Faktor Peribadi.

          Kadangkala kita marah kerana faktor peribadi. Kita marah kerana pendapat kita tidak diterima, kedudukan kita tidak dihormati dan kerana barang kita dicuri atau dirosakkan. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengalami suasana seumpama di atas yang boleh menyebabkan baginda marah. Akan tetapi sebagaimana yang diterangkan oleh isteri baginda: “(Rasulullah s.a.w.) tidak pernah merasa dendam kerana disakiti (hatinya) lalu membalas kepada orang yang menyakitinya.”

          Ada hikmah mengapa Rasulullah s.a.w. bertindak sedemikian. Baginda ingin mengajar kita bahawa marah kerana faktor peribadi adalah sesuatu yang tercela kerana ia lazim timbul kerana perasaan tinggi diri yang ada dalam diri seseorang. Tidaklah seseorang itu akan marah jika pendapatnya tidak diterima melainkan sejak awal dia merasakan pendapatnya sahajalah yang terbaik. Tidaklah seseorang itu akan marah jika kedudukannya tidak dihormati melainkan sejak dini dia merasa ujub dengan kedudukannya itu. Tidaklah seseorang itu akan marah jika barangnya dicuri melainkan sejak saat pertama dia merasakan semua itu adalah miliknya dan bukan sesuatu yang dipinjamkan oleh Allah kepadanya.

          Antara cara terbaik untuk mencegah marah kerana faktor peribadi ialah melazimkan diri dengan sikap memaafkan dan rendah diri. Jangan pula kita menyangka kedua-dua sikap ini akan menjadikan kita orang yang lemah dan kalah. Rasulullah s.a.w. berjanji: “Tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat kemaafannya melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang bersifat rendah diri kerana Allah melainkan Allah menaikkan darjatnya.” [Shahih Muslim, no: 2588]