Dalam pengajian kita sering mengulangkaji sesuatu subjek agar ingatan kembali jelas dan peperiksaan dapat dilalui dengan cemerlang. Apa kata pada ruangan kali ini kita melakukan satu ulangkaji, ulangkaji terhadap satu subjek yang kita belajar semasa zaman tadika atau fasa awal sekolah rendah. Kita mengulangkaji agar amalan kita sentiasa jelas dan kita lulus dalam peperiksaan di hari akhirat kelak. Subjek itu ialah wudhu’, yakni cara-cara mengambil wudhu’. Bagi ulangkaji ini, saya akan gunakan hadis berikut yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 164: wuduk_kaki.jpg

          “Bahawasanya Utsman bin ‘Affan meminta dibawakan sebuah bekas air untuk dia berwudhu. Lalu dia menuangkan air itu ke telapak tangannya dan mencuci kedua-duanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas air itu (untuk menciduk air untuk dia) berkumur-kumur sambil memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar. Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya hingga siku tiga kali. Kemudian dia mengusap kepalanya dan membasuh kedua-dua kakinya tiga kali.

 

          Kemudian dia berkata: “Aku melihat Nabi SAW berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini lalu dia solat dua rakaat tanpa menyibukkan dirinya dalam melakukan dua rakaat itu, maka Allah akan mengampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.”Berdasarkan hadis di atas dapat kita ambil beberapa pelajaran penting berkenaan amalan wudhu’, iaitu:

Pertama:

          Bekas air yang digunakan untuk berwudhu’ hanyalah bersaiz kecil. Dalam sebuah hadis lain diterangkan bahawa Rasulullah SAW lazimnya berwudhu’ sebanyak satu “mud” air. [Shahih al-Bukhari, no: 201] Satu “mud” air ialah air yang dapat ditakung dengan kedua-dua telapak tangan orang lelaki bersaiz sederhana yang diletakkan bersama. Ia menyamai kuantiti air sebuah botol air mineral bersaiz kecil (600-700ml).

          Para ilmuan menyatakan satu “mud” bukanlah batas maksima penggunaan air wudhu’, tetapi menunjukkan sifat hemah penggunaan air oleh Rasulullah SAW. Jumlah ini hendaklah sama-sama kita renungi dalam suasana berwudhu’ masa kini yang menggunakan air paip yang mengalir deras, di mana jumlahnya jauh lebih banyak dari satu “mud”.

 

Kedua:

          Setelah membasuh kedua-dua telapak tangan, tangan kanan dimasukkan ke dalam bekas air untuk menciduk air bagi basuhan seterusnya. Nampaknya telah berlaku percampuran air, di antara air yang tersisa di telapak tangan setelah pembasuhan dan air yang berada di dalam bekas. Ini merupakan salah satu dari sekian banyak bukti bahawa syarat air mustakmal tidak berasal dari sunnah Rasulullah SAW. Air mustakmal bererti air yang telah digunakan untuk membasuh sesuatu anggota wudhu’, di mana ia tidak boleh digunakan semula oleh orang yang berwudhu. Syarat air mustakmal yang masyhur diajar hanya merupakan syarat yang dibuat-buat. Ia menyukarkan amalan wudhu’, membazirkan air dan tidak memiliki dalil kukuh dalam agama.

 

Ketiga:

          Para ilmuan berbeza pendapat hukum memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar ketika wudhu’, apakah ia sunat atau wajib? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah kita memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar kerana ia merupakan sunnah yang mulia lagi menghasilkan pahala. Tidak ketinggalan, ia adalah praktik yang dapat membersihkan rongga hidung kita.

 

Keempat:

          Membasuh anggota wudhu’ sebanyak tiga kali merupakan jumlah maksimum. Jika dirujuk kepada hadis-hadis sahih yang lain, diterangkan bahawa Rasulullah SAW pernah membasuh anggota wudhu’ sekali, dua kali dan tiga kali. Semuanya bergantung kepada kadar penyebaran air dan pembasuhan. Jika anggota wudhu’ dapat disebarkan air ke atasnya dan dibasuh dengan lengkap, maka sekali sudah mencukupi. Tidak semestinya ia dilengkapkan kepada tiga kali. Jangan melebihi tiga kali kerana ia hanyalah was-was bisikan syaitan dan kezaliman ke atas diri sendiri. Rasulullah SAW mengingatkan: “Inilah wudhu’, sesiapa yang menambahnya maka dia berbuat keburukan, melampaui batas dan zalim”. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 422]

 

Kelima:

          Semua anggota wudhu dibasuh sekali atau dua kali atau tiga kali kecuali kepala, ia diusap hanya sekali. Para ilmuan sekali lagi berbeza pendapat, apakah kepala diusap keseluruhannya atau cukup sebahagian atau cukup minimum tiga helai rambut? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah mengusap keseluruhan kepala kerana itulah amalan Rasulullah SAW. Cara mengusap ialah menggunakan ruang di antara ibu jari dan jari telunjuk, basahkannya dan usap kepala dari hadapan ke belakang, dari belakang ke hadapan semula.

           Ketahuilah bahawa telinga termasuk sebahagian dari kepala, maka setelah mengusap dari belakang ke hadapan, kedua-dua jari tangan kanan dan kiri terus mengusap telinga kanan dan kiri. Tidak perlu menciduk air atau membasahkan tangan semula.

          Bagi para muslimat yang memakai tudung dan memiliki kesukaran untuk membuka dan memakainya kembali, Islam memberi kemudahan untuk mereka mengusap di atas tudung sahaja. Mereka tidak perlu membukanya untuk mengusap rambut sepertimana di atas. [Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 1, ms. 238-239]

 

Keenam:

          Selesai berwudhu sebagaimana Rasulullah berwudhu’, dianjurkan mendirikan solat sunat dua rakaat. Solat ini memiliki ganjaran yang besar kerana ia menghapuskan semua dosa-dosa yang telah lalu. Selain itu Rasulullah SAW juga pernah mendengar bunyi kasut tukang azannya – Bilal – di dalam syurga, lalu ditanya kepada Bilal apakah amalan khusus yang dilakukannya? Bilal menerangkan bahawa beliau mendirikan solat sunat selepas wudhu’ hampir setiap kali selepas berwudhu’. [Shahih al-Bukhari, no: 1149]