Soalan.

Saya ada masalah dalam mengerjakan solat. Saya tidak dapat memberi tumpuan pada bacaan surah yang dibaca. Minda saya sering melayang jauh mengenangkan kisah-kisah lalu dan apa yang akan terjadi di masa depan. Tolonglah saya supaya dapat khusyuk solat.

 

Penjelasan:

Khusyuk dalam solat adalah satu tuntutan yang penting. Allah s.w.t. berfirman (maksudnya): “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mukminun, ayat 1-2] Akan tetapi kita adalah manusia dan bukannya robot sehingga memelihara kekhusyukan seratus peratus dalam solat adalah hampir mustahil. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak selalu khusyuk dalam solatnya.

Dalam hadis-hadis yang sahih diterangkan bahawa Rasulullah pernah memendekkan bacaan solat ketika mendengar tangisan bayi, agar ibunya dapat segera mengurusi bayinya. Rasulullah juga pernah bergegas bangun sebaik sahaja selesai solat kerana ketika solat, baginda teringat kepingan logam berharga yang tersimpan di rumah yang masih belum disedekahkan.

Para sahabat pernah mengucapkan salam ketika Rasulullah sedang solat dan baginda menjawabnya. Namun pada ketika yang lain baginda tidak pula menjawabnya. Apabila ditanya kenapa, baginda menjawab: “Dalam solat terdapat kesibukan”. Contoh-contoh di atas menunjukkan Rasulullah s.a.w. juga tidak selalu khusyuk dalam solatnya. Saya mengemukakan contoh-contoh di atas bukan untuk membuktikan kekurangan solat Rasulullah, tetapi bagi menerangkan bahawa adalah sesuatu yang normal jika seseorang itu tidak khusyuk dalam solatnya. Ini adalah penting kerana ramai yang diserangi sindrom “terlalu khusyuk memikirkan bagaimana nak khusyuk hingga akhirnya tidak khusyuk langsung.”

Terdapat banyak petua untuk khusyuk dalam solat. Petua saya: Adalah lumrah untuk tidak khusyuk, maka jangan merasa sedih, was was atau gusar. Jika kekhusyukan lari ketika solat, maka tariklah ia. Beberapa ketika kemudian ia pasti akan lari semula, maka tariklah ia kembali. Petua saya memang aneh berbanding yang lain, tetapi ia memiliki dasar dari sunnah Rasulullah s.a.w.