Soalan

Dalam Dara.com edisi Julai 2007, soalan kedua berkenaan kesukaran khusyuk dalam solat, saya pernah terbaca sebuah hadis yang menerangkan ada satu syaitan yang kerjanya khusus mengganggu kekhusyukan solat. Adakah hadis tersebut sahih dan kenapakah ia tidak dikemukakan sebagai jawapan?

Jawapan:

Ya, hadis tersebut sahih. Ia adalah seperti berikut. Seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Abi al-‘Ash mengadu kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan al-Qur’anku, dan ia selalu mengelirukan aku.” Maka Rasulullah menjawab: “Itulah syaitan yang disebut sebagai Khanzab, maka apabila merasai gangguannya, mohonlah perlindungan Allah darinya dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali.” ‘Utsman bin al-‘Ash kemudian berkata: “Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku.” [Shahih Muslim, no: 2203]

Hadis sahih ini merujuk kepada kes gangguan kekhusyukan solat yang serius. Saya tidak mengemukakannya sebagai jawapan kerana menganggap kes yang dihadapi oleh orang yang bertanya belum lagi serius. Apabila menerima sesuatu soalan, kita mulai dengan penjelasan pada tahap yang ringan. Jika ia tidak mencukupi, barulah kita tambah dengan sesuatu yang lebih mendalam. Ia seperti doktor yang memberi ubat kepada pesakit. Pada mulanya dicuba dengan ubat yang rendah powernya. Jika masih tidak menyembuhkan, diubah kepada ubat yang lebih tinggi powernya. Apa pun, terima kasih kerana sudi bertanya.