Soalan
Saya musykil dengan denda yang dikenakan jika seseorang perempuan yang tidak menggantikan puasa pada tahun yang sama sehingga kehadiran bulan Ramadhan yang seterusnya. Apakah denda yang patut dikenakan ke atas perempuan yang tidak sempat menggantikan puasanya?
 
Nabila,
Nilai, Negeri Sembilan.
 
Jawapan:
Sebahagian tokoh terdahulu ada yang meletakkan hukum fidyah bagi mereka yang tidak menghabiskan puasa qadhanya apabila masuk bulan Ramadhan yang baru. Ada juga yang meletakkan hukum fidyah berganda, iaitu jumlah fidyah berganda dengan jumlah bilangan tahun puasa qadha itu ditangguhkan. Semua ini mereka lakukan untuk mendisiplinkan orang ramai agar tidak leka dari mengqadha puasa.


Akan tetapi pendapat yang lebih kuat ialah tidak ada fidyah bagi mereka yang tidak sempat menghabiskan puasa qadhanya apabila masuk bulan Ramadhan yang baru. Ini kerana untuk orang yang memiliki hutang puasa, Allah s.w.t. hanya mewajibkan qadha tanpa mewajibkan fidyah, apatah lagi fidyah yang berganda. Firman Allah: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia qadha) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”. [Maksud surah al-Baqarah, ayat 185]