Soalan

Saya telah berkahwin dan pada sebelah malamnya saya bersama suami. Keesokan harinya saya mandi hadas pada pukul 8.00 pagi. Adakah puasa saya diterima jika saya berpuasa pada hari itu? Saya ingin penerangan yang lebih lanjut tentang waktu mandi hadas jika di bulan puasa. Terima kasih.

Was-was, Alor Setar.

 

Jawapan:

Boleh mandi hadas sesudah terbit fajar di bulan Ramadhan. Ia tidak membatal atau merosakkan puasa. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersetubuh dengan isterinya di malam Ramadhan dan hanya mandi hadas sesudah terbit fajar. [Shahih al-Bukhari, no: 1925]

Walaubagaimana pun hendaklah mandi hadas sebelum luput waktu Subuh agar dengan itu dapat melaksanakan sembahyang Subuh dalam waktunya. Jangan hanya berpuasa Ramadhan tetapi meninggalkan sembahyang fardhu kerana Rasulullah s.a.w. telah memberi amaran keras: “Sesiapa yang meninggalkan sembahyang Asar maka sia-sialah amalannya.” [Shahih al-Bukhari, no: 553] Hadis ini tidak ditujukan kepada sembahyang Asar sahaja tetapi meliputi semua sembahyang fardhu.

Terakhir, elakkan daripada menggunakan nama gelaran “was-was” untuk diri sendiri. Ia memberi kesan was-was kepada psikologi dan menjadi faktor menjemput syaitan untuk menambah was-was dalam diri anda.