Soalan

Apakah Islam membolehkan kita mogok lapar sebagai tanda bantahan ke atas sesuatu kezaliman?

Noralina, Ipoh, Perak

Jawapan:

Jika ada satu pihak telah menzalimi kita, maka janganlah pula kita turut sama menambah kezaliman ke atas diri sendiri. Mogok lapar sebenarnya adalah satu aksi yang menzalimi diri sendiri. Bahkan jika ia benar-benar dilakukan, boleh memberi mudarat kesihatan yang berpanjangan. Aksi seperti ini tidak Islamik kerana Allah s.w.t. telah berfirman: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” [al-Baqarah, ayat 195]

Seandainya seseorang itu dizalimi, carilah alternatif lain yang selari dengan syari’at Islam untuk keluar dari kezaliman itu dan kemudian berusaha menukar kezaliman kepada keadilan. Umat Islam pada zaman awal telah dizalimi dengan dahsyat di Mekah. Mereka tidak mogok lapar, sebaliknya mencari alternatif lain seperti berhijrah ke Habsyah dan Madinah. Apabila sudah memperoleh kekuatan, mereka mengambil alih Mekah namun tetap memaafkan warga Mekah yang pada satu masa lalu pernah menzalimi mereka.