Soalan:
Perbuatan mencukur kening adalah dilarang. Akan tetapi saya lihat sekarang, mencukur kening sudah menjadi kebiasaan. Saya semakin keliru apabila perempuan yang bertudung pun ramai yang cukur kening. Boleh tak ustaz jelaskan lebih lanjut hukum bagi mereka yang gemar cukur kening ini?
Siti Salbiah, Dungun, Terengganu.

Jawapan:
Mencukur kening memang dilarang sebagaimana hadis berikut: “Rasulullah SAW melaknat wanita-wanita yang membuat tatoo dan meminta ditatoo, wanita-wanita yang mencukur bulu muka (yakni kening) dan meminta dicukur bulu muka, yang merenggangkan gigi kerana kecantikan, mengubah ciptaan Allah”. [Shahih al-Bukhari, no: 4886]
Adapun tindak tanduk wanita bertudung untuk mencukur kening, maka ia bukanlah hujah dalam agama. Wanita bertudung lebih baik dari wanita belum bertudung, namun diri mereka – sedikit atau ramai – bukanlah hujah dalam agama. Islam tidak menjadi amalan orang ramai sebagai hujah sebagaimana firman Allah SWT:
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” [Surah al-An’aam, ayat 116]