Soalan:

Saya tinggal di rumah pangsa yang kebanyakan penghuninya ialah orang Cina. Mereka sering membawa anjing mereka dengan menggunakan lif. Di sini saya ingin bertanya adakah hukumnya jika saya turut menggunakan lif yang sama? Adakah saya perlu menyamak tangan sata setiap kali menggunakan lif?

 

Fza Dala, Cheras, Kuala Lumpur.

 

Jawapan:

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali." [Shahih al-Bukhari, no: 172]. Hadis ini menjadi dalil berkenaan proses samak atau sertu. Dalam hadis yang lain turut diterangkan bahawa hendaklah salah satu dari basuhan itu menggunakan tanah. Akan tetapi perhatikan bahawa hadis di atas ditujukan kepada bekas makanan atau minuman yang telah digunakan oleh anjing. Ertinya, jika sesebuah bekas telah digunakan oleh anjing untuk makan atau minum dan kita ingin menggunakan bekas yang sama untuk makan dan minum, hendaklah ia disamak terlebih dahulu. Adapun sentuhan anjing secara umum, maka kita tidak dituntut untuk menyamak. Pada zaman Rasulullah SAW, anjing biasa digunakan untuk menjaga binatang ternakan, ladang tanaman dan memburu. Para pemilik dan penjaga anjing-anjing tersebut tidak disuruh oleh Rasulullah SAW untuk menyamak diri mereka.

Oleh itu boleh menggunakan lif-lif tersebut, bahkan boleh menaiki lid bersama anjing-anjing tersebut. Anda tidak perlu menyamak diri anda sendiri.