Soalan:

Saya telah melakukan kesalahan agama dan telah mencuba pelbagai cara untuk menjauhinya, sehinggakan saya pernah bernazar: “Jika saya lakukannya lagi saya akan murtad”. Akan tetapi saya masih mengulangi kerana ketagih. Saya ingin tahu, apakah status nazar atau sumpah saya tersebut?

Ezrine, Cheras, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Nazar ialah janji untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah atau melaksanakan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu nazar hanya dibolehkan dalam perkara-perkara yang selari dengan Islam, bukan yang bertentangannya. Apa-apa nazar yang bertentangan dengan Islam, maka penazarnya dilarang daripada melaksanakannya. Rasulullah bersabda:

Nazar itu ada dua: Nazar yang dilakukan kerana Allah, maka kafaratnya ialah melaksanakannya. Nazar yang dilakukan kerana syaitan, maka ia tidak dilaksanakan dan wajib ke atas orang yang bernazar kafarat sumpah.” [Hadis riwayat Ibn Jarud dan al-Baihaqi dan sanad hasan, rujuk al-Silsilah al-Shahihah, no: 479]

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda menyatakan: “Tidak ada nazar dalam kemaksiatan sementara kafaratnya adalah seperti kafarat sumpah.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3290] Dua hadis ini menjadi dalil kepada dua hukum.

Pertama: Tidak ada kafarat dalam apa yang bertentangan dengan Islam. Maka sesiapa yang pernah bernazar sesuatu yang bertentangan dengan Islam maka dia dilarang dari melaksanakannya. Kedua:  Memandangkan nazar adalah satu bentuk sumpah, maka orang yang bernazar dengan sesuatu yang bertentangan dengan Islam tetap diwajibkan membayar kafarat. Penazar tetap didenda dengan kafarat kerana dia telah bernazar dengan sesuatu yang menyelisihi tujuan nazar yang sebenar.

Kafarat nazar sama seperti kafarat sumpah iaitu salah satu dari berikut: memberi sepuluh orang miskin makanan dari kategori yang biasa diberikan kepada ahli keluarganya sendiri, atau memberikan pakaian kepada sepuluh orang miskin atau memerdekakan seorang hamba atau berpuasa selama tiga hari. [al-Maidah 5:89]

Sebelum berpisah, penting bagi orang yang ingin memperbaiki dirinya dari kesalahan agama meminta nasihat daripada orang yang pakar agar dia dapat dibimbing mengikut petunjuk syari’at. Bernazar bukanlah petunjuk agama, akan tetapi berdoa kepada Allah, mengenali Allah, mengubah kawan, mengubah persekitaran dan bertaubat merupakan petunjuk agama.