Soalan:

Sudah menjadi kebiasaan selepas mengambil wuduk saya akan mengelap air wuduk di badan dengan tuala. Adakah ia menjadi kesalahan?

Riana, Gombak, Selangor.

 

Jawapan:

Rasulullah pernah mandi wajib, lalu apabila isterinya menghulurkan kain untuk mengelap badan, baginda menolaknya. [Shahih al-Bukhari, no: 258] Perbuatan Rasulullah ini menimbulkan satu perbincangan, apakah disunnahkan mengelap badan selepas mandi wajib atau berwudhu’?

Ada yang berpendapat makruh berdasarkan zahir hadis tersebut. Ada yang berpendapat boleh, sebab perbuatan isteri Rasulullah menghulurkan kain menunjukkan ia satu perbuatan yang menjadi kebiasaan, namun pada ketika itu mungkin terdapat faktor yang menghalang baginda menggunakan kain tersebut seperti kotoran yang terdapat pada kain.

Selain itu terdapat juga beberapa riwayat yang menerangkan Rasulullah mengelap air wudhu’nya [Sunan al-Tirmizi, no: 48], namun darjat kekuatan riwayat-riwayat ini diperbincangkan. Saya cenderung kepada pendapat yang membolehkan mengelap air wudhu’ di badan.