Soalan:

Adakah dibolehkan wanita Islam mewarnakan atau mengerintingkan rambutnya dengan keizinan suami jika gaya tersebut yang lebih disukai suaminya?

Hafizah Mohktar, Sentul, Kuala Lumpur.

 

Jawapan:

Ya, seorang isteri boleh mewarnakan atau mengerintingkan rambutnya dengan syarat ia hanya didedahkan kepada suami dan mahramnya. Ada pun jika isteri keluar ke khalayak ramai (bukan mahram), dia hendaklah menutup aurat dengan memakai tudung bagi menutupi rambut tersebut.

Selain itu, terdapat perbincangan berkenaan hukum wudhu’ bagi orang yang mewarnakan rambutnya. Ada yang berkata tidak sah kerana pewarna telah menghalang air daripada menyentuh rambut. Ada yang berkata sah kerana ketika berwudhu’, seseorang itu tidak disyaratkan membasuh rambutnya sebagaimana anggota lain (muka, tangan, kaki), akan tetapi memadai menyapu (mengusap) kepalanya. Perbuatan membasuh memerlukan air mengalir yang menyentuh permukaan kulit untuk membasuhnya sementara perbuatan menyapu memadai dengan menyentuh tangan yang basah ke atas kepala bagi melembabkannya. Tangan basah tersebut boleh menyentuh rambut atau kulit kepala atau kedua-duanya, baik sebahagian atau seluruhnya.

Perbezaan antara basuh dan sapu dapat dilihat dalam firman Allah berkenaan wudhu’: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang, maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. [al-Maidah 5:06] 

Di antara dua pendapat ini, lebih utama dipilih pendapat yang lebih selamat yakni tidak mewarnakan rambut demi menjaga keabsahan wudhu’.