Soalan:

Saya telah bertemu dengan seorang lelaki yang dikatakan baik. Masalahnya, apakah orang sebaik itu layak dengan saya yang pernah terlanjur. Bagaimana sekiranya saya berterus terang sahaja dengannya? Apa pandangan Ustaz?

Liza Mentakab, Pahang.

 

Jawapan:

Jika pernah terlanjur, apa yang paling penting ialah bertaubat kepada Allah dengan menyesali perbuatan tersebut, meminta maaf kepada Allah, berazam untuk menjauhinya dan memperbanyakkan amal soleh.

Merujuk kepada lelaki tersebut, jika saudari inginkan dia menjadi suami saudari dan keinginan tersebut direstui oleh ibubapa, maka hendaklah memberitahu kepadanya sebelum pernikahan. Ini kerana setiap bakal pasangan hendaklah berlaku jujur dan memberi tahu aib, kelemahan dan kekurangan masing-masing. Andai disembunyikan dan hanya diketahui oleh pasangan selepas bernikah, ia boleh mengeruhkan kehidupan suami-isteri, bahkan menjadi hujah di mahkamah untuk tuntutan cerai (fasakh).

Jika lelaki tersebut sekadar kawan biasa, maka tidak perlu diceritakan. Apa yang ditutup oleh Allah maka biarlah ia tertutup. Tidak perlu menceritakannya kepada orang lain.